Cerita-cerita Kitab Suci
Mukjizat semasa Perjalanan Paulus ke Roma—Tuhan Memberkati Hamba-Nya


Kisah Rasul-Rasul 21–22; 26–28

Mukjizat semasa Perjalanan Paulus ke Roma

Tuhan memberkati hamba-Nya

Paulus ditangkap di Yerusalem.

Roh Kudus berfirman kepada Paulus untuk pergi ke Yerusalem. Ramai orang tidak menyukai apa yang Paulus ajarkan tentang Yesus Kristus. Mereka menangkap dan mengikatnya dengan rantai. Paulus menceritakan kepada semua orang saat dia melihat cahaya dari syurga, mendengar suara Yesus, dan dibaptiskan.

Kisah Rasul-Rasul 21:4, 12–13, 27–40; 22:1–16

Yesus menampakkan dirinya kepada Paulus di penjara.

Paulus dimasukkan ke dalam penjara. Semasa dia di sana, Yesus menampakkan diri dan berkata, “Tabahkanlah hatimu.” Dia berkata bahawa Paulus akan memberi kesaksian tentang Dia di Roma.

Kisah Rasul-Rasul 23:10–11

Paulus bersaksi tentang Yesus Kristus.

Paulus dibawa menghadap para gabenor dan seorang raja. Dia dengan berani bersaksi tentang Yesus Kristus kepada pemerintah berkuasa ini. Dia mahu semua orang percaya kepada Yesus.

Kisah Rasul-Rasul 24:10–27; 25:6–8, 17–19; 26:1–29

Paulus memberitahu anak kapal untuk menunggu sehingga cuaca menjadi lebih baik.

Raja itu menghantar Paulus ke Roma untuk dihakimi Kaisar, sang maharaja. Paulus belayar dengan kapal bersama tahanan lain, dan singgah di beberapa tempat dalam perjalanan. Di satu persinggahan, Paulus tahu bahawa musim sejuk akan segera tiba. Jika mereka meneruskan perjalanan, mereka akan berada dalam bahaya besar. Dia menasihatkan anak kapal untuk menunggu sehingga cuaca menjadi lebih baik.

Kisah Rasul-Rasul 27:1–10

Kapal dilanda ribut.

Tidak seorang pun percaya Paulus, jadi mereka terus belayar. Ribut besar melanda, dan kapal itu diumbang-ambing selama berhari-hari. Mereka tidak dapat melihat matahari ataupun bintang-bintang. Mereka fikir mereka akan mati dalam ribut itu.

Kisah Rasul-Rasul 27:11–20

Seorang malaikat menampakkan diri kepada Paulus di kapal.

Pada satu malam, seorang malaikat Tuhan mengunjungi Paulus dan berkata, “Janganlah takut, Paulus.” Malaikat itu menyatakan Paulus akan sampai ke Roma, seperti yang dijanjikan Tuhan. Dia berkata bahawa Tuhan akan melindungi semua orang di atas kapal—tiada seorang pun akan mati.

Kisah Rasul-Rasul 27:23–24

Paulus memberitahu orang ramai di atas kapal tentang malaikat itu.

Paulus memberitahu semua orang apa yang dikatakan oleh malaikat. “Tabahkanlah hati,” Paulus berkata, “Saya percaya kepada Tuhan.”

Kisah Rasul-Rasul 27:21–25

Paulus dan yang lain di sebuah pulau bernama Malta.

Beberapa hari kemudian, kapal itu terhempas dan tenggelam. Tetapi, seperti apa yang dijanjikan malaikat itu, tiada seorang pun di atas kapal itu mati. Mereka semua berenang ke sebuah pulau yang dipanggil Malta.

Kisah Rasul-Rasul 27:40–44; 28:1

Penduduk Malta membantu Paulus dan yang lain.

Orang ramai di pulau Malta baik hati kepada Paulus dan orang daripada kapal itu. Mereka menyalakan api supaya semua orang dapat memanaskan badan.

Kisah Rasul-Rasul 28:2

Seekor ular mematuk Paulus, tetapi dia tidak cedera.

Tiba-tiba, seekor ular keluar daripada api dan mematuk tangan Paulus. Tetapi Paulus tidak cedera. Dia mengibaskan ular itu. Orang ramai sangat terpegun!

Kisah Rasul-Rasul 28:3–6

Paulus memberi berkat kepada bapa Publius.

Seorang lelaki bernama Publius membenarkan Paulus bermalam di rumahnya. Bapa Publius sangat sakit. Paulus meletakkan tangannya ke atasnya dan, dengan kuasa Tuhan, menyembuhkannya.

Kisah Rasul-Rasul 28:7–8

Paulus tiba di Roma.

Paulus tinggal di Malta selama tiga bulan. Tuhan membantu dia melakukan pelbagai mukjizat, memberi berkat dan menyembuhkan orang yang sakit. Kemudian, seperti yang Tuhan janjikan, Paulus pergi ke Roma.

Kisah Rasul-Rasul 28:9–16

Paulus mengajar tentang injil semasa ditahan.

Paulus masih seorang tahanan semasa dia berada di Roma. Tetapi pengawalnya membenarkan orang ramai melawatnya. Paulus mengajar tentang Yesus Kristus kepada sesiapa yang ingin mendengar. Dia juga menulis surat kepada para ahli Gereja di pelbagai tempat. Beberapa surat ini terdapat dalam Perjanjian Baru.

Kisah Rasul-Rasul 28:16–31