Kisah Rasul-Rasul 1–4
Para Rasul Yesus Memimpin Gereja-Nya
Mengajar, membaptis, menyembuhkan, dan berkongsi segala-galanya
Selepas Yesus kembali kepada Bapa-Nya di Syurga, para Rasul menjadi pemimpin Gereja. Mereka mengajar injil Juruselamat, menjemput orang menyertai Gereja-Nya, dan melakukan banyak mukjizat dengan kuasa Tuhan. Yesus berjanji untuk membantu mereka dengan mengutus Roh Kudus.
Kisah Rasul-Rasul 1:8–13; 2:41–47
Oleh kerana Yudas telah mati, hanya ada sebelas Rasul. Para Rasul berdoa untuk mengetahui siapa yang Tuhan pilih untuk menggantikan Yudas dan menjadi saksi istimewa Yesus Kristus. Tuhan memilih seorang lelaki bernama Matias. Dia menjadi salah seorang Dua Belas Rasul.
Kisah Rasul-Rasul 1:15–26
Pada hari perayaan istimewa orang Yahudi, para pengikut berkumpul di Yerusalem. Tiba-tiba, ia terasa seperti angin dari syurga memenuhi rumah itu. Mereka melihat cahaya seperti api berada di atas mereka, dan mereka dipenuhi dengan Roh Kudus. Kerana Roh Kudus, mereka boleh bercakap dalam bahasa lain.
Kisah Rasul-Rasul 2:1–4
Apabila orang ramai di Yerusalem mendengar tentang ini, ramai orang berkumpul. Walaupun orang ramai datang daripada pelbagai negara dan bercakap dalam bahasa yang berbeza, mereka masing-masing mendengar apa yang para Rasul katakan dalam bahasa mereka sendiri. Orang ramai amat kagum!
Kisah Rasul-Rasul 2:5–13
Petrus berdiri dan bercakap kepada orang ramai. Dia memberitahu mereka tentang Yesus Kristus. Dia kongsikan kesaksiannya bahawa Yesus ialah Juruselamat dan telah dibangkitkan.
Kisah Rasul-Rasul 2:14–36
Apabila orang ramai mendengar ini, mereka merasakan bahawa mereka perlu berubah. Mereka tanya para Rasul apa yang harus mereka lakukan.
Kisah Rasul-Rasul 2:37
Petrus menjawab, “Hendaklah setiap orang di kalangan saudara bertaubat daripada dosa, lalu dibaptis demi nama Yesus Kristus, supaya dosa saudara-saudara diampunkan lalu saudara semua akan menerima pemberian Tuhan, iaitu Roh Tuhan.” Kira-kira 3,000 orang dibaptiskan dan menyertai Gereja pada hari itu.
Kisah Rasul-Rasul 2:38–43
Kemudian, Petrus dan Yohanes pergi ke bait suci. Mereka melihat seorang lelaki yang tidak dapat berjalan. Dia duduk di sana setiap hari, meminta wang.
Kisah Rasul-Rasul 3:1–2
Lelaki itu meminta wang daripada Petrus dan Yohanes. Mereka berhenti dan memandang dia. Petrus berkata, “Pandanglah kami.”
Kisah Rasul-Rasul 3:3–4
Petrus berkata bahawa mereka tidak mempunyai perak atau emas. Tetapi mereka mempunyai sesuatu yang lebih baik. “Dengan kuasa Yesus Kristus orang Nasaret,” dia berkata, “berjalanlah.” Petrus membantunya untuk berdiri. Buat kali pertama dalam hidupnya, lelaki itu boleh berjalan! Dia sangat gembira, dia melompat dan berjalan ke bait suci bersama Petrus dan Yohanes.
Kisah Rasul-Rasul 3:6–8
Orang ramai amat kagum. Petrus memberitahu mereka bahawa itu bukan kuasanya atau Yohanes yang menyembuhkan lelaki itu. Dia disembuhkan oleh kuasa Yesus Kristus dan iman kepada-Nya. Petrus memberitahu mereka untuk bertaubat dan percaya kepada Yesus.
Kisah Rasul-Rasul 3:9–26
Beberapa pemimpin orang Yahudi tidak suka apa yang Petrus dan Yohanes ajarkan. Mereka berkata bahawa tiada siapa yang dibenarkan untuk mengajar tentang Yesus.
Kisah Rasul-Rasul 4:1–18
Petrus dan Yohanes berkata mereka akan mematuhi Tuhan, dan Tuhan mahu mereka memberitahu orang ramai tentang Yesus Kristus.
Kisah Rasul-Rasul 4:19–20
Para Rasul terus mengajar injil Juruselamat dengan kuasa yang besar. Semakin ramai orang menyertai Gereja-Nya. Mereka dipenuhi oleh Roh Tuhan. Mereka mengasihi satu sama lain dan berkongsi segala-galanya. Mereka menjual apa yang mereka ada dan memberikan wang itu kepada para Rasul untuk membantu orang miskin.
Kisah Rasul-Rasul 4:31–37