Cerita-cerita Kitab Suci
Kornelius dan Kawan-kawannya Menerima Roh Kudus—Injil adalah untuk semua orang


Kisah Rasul-Rasul 10

Kornelius dan Kawan-kawannya Menerima Roh Kudus

Injil adalah untuk semua orang

Kornelius dan keluarganya membantu seseorang yang memerlukan.

Kornelius seorang pemimpin askar Roma. Dia dan keluarganya percaya kepada Tuhan, tetapi mereka bukan orang Yahudi dan tidak tahu tentang Yesus Kristus. Kornelius berkongsi apa yang dia ada dengan orang miskin dan sering berdoa kepada Tuhan.

Kisah Rasul-Rasul 10:1–2

Seorang malaikat muncul kepada Kornelius.

Pada satu petang, seorang malaikat datang ke Kornelius semasa dia sedang berpuasa dan berdoa. Malaikat itu berkata, “Kornelius! Tuhan sudah mendengar doamu.” Tuhan telah melihat kebaikan hatinya. Malaikat itu memberitahu Kornelius untuk mencari Rasul Petrus, yang tinggal di kota Yope. Petrus akan memberitahu Kornelius apa yang perlu dilakukan.

Kisah Rasul-Rasul 10:3–6; 9:30–32

Kornelius memberitahu orang suruhannya untuk mencari Petrus.

Kornelius memberitahu orang suruhannya apa yang malaikat telah katakan. Dia menghantar mereka ke Yope untuk meminta Petrus datang melawatnya.

Kisah Rasul-Rasul 10:7–8

Petrus berlutut dan berdoa.

Di Yope, Petrus sedang berdoa di atas bumbung rumah. Dia berasa lapar dan hendak makan, tiba-tiba dia melihat satu penglihatan.

Kisah Rasul-Rasul 10:9–10

Petrus mempunyai satu penglihatan.

Petrus melihat sehelai kain lebar turun dari syurga, penuh dengan semua jenis binatang dan burung. Kemudian Petrus terdengar satu suara yang menyuruhnya memakan binatang itu. Tetapi binatang itu ialah binatang yang orang Yahudi tidak dibenarkan makan. Hukum Musa berkata bahawa mereka tidak bersih. Petrus tidak mahu memakannya.

Kisah Rasul-Rasul 10:11–14

Petrus melihat penglihatan itu lagi.

Suara itu berkata bahawa jika Tuhan telah membuat sesuatu yang bersih, ia tidak harus dipanggil tidak bersih. Penglihatan itu berulang tiga kali. Petrus tertanya-tanya apa maksudnya.

Kisah Rasul-Rasul 10:15–17

Satu suara memberitahu Petrus untuk pergi bertemu dengan orang suruhan Kornelius.

Pada masa itu, Roh memberitahu Petrus bahawa tiga orang sedang mencarinya. “Jangan ragu-ragu mengikut mereka,” Roh berkata, “kerana Aku yang menyuruh mereka datang.”

Kisah Rasul-Rasul 10:16–21

Petrus bercakap dengan orang suruhan Kornelius.

Tiga orang lelaki itu ialah para suruhan Kornelius. Mereka memberitahu Petrus tentang malaikat yang Kornelius telah nampak dan bertanya jika Petrus akan datang mengajarnya. Orang Yahudi biasanya tidak memasuki rumah orang bukan Yahudi, dan para Rasul tidak mengajarkan injil kepada mereka. Tetapi kerana penglihatannya, Petrus memutuskan untuk pergi.

Kisah Rasul-Rasul 10:22, 28.

Petrus bertemu dengan Kornelius serta keluarga dan kawan-kawannya.

Apabila Petrus tiba, Kornelius sedang menunggunya bersama kawan-kawan dan ahli keluarga yang ramai. Dia memberitahu Petrus bahawa mereka bersedia untuk mendengar apa pun yang Tuhan perintahkan kepadanya untuk memberitahu mereka.

Kisah Rasul-Rasul 10:26, 33.

Petrus mengajar tentang Yesus Kristus.

Sekarang, Petrus faham apa yang Tuhan ajarkan kepadanya melalui penglihatan itu. Petrus memberitahu semua orang bahawa Tuhan tidak mengasihi satu bangsa atau kumpulan lebih daripada yang lain. Tuhan menerima sesiapa yang mengikuti-Nya dan melakukan apa yang benar. Petrus mengajar Kornelius, keluarga dan kawan-kawannya tentang Yesus Kristus.

Kisah Rasul-Rasul 10:34–43

Petrus membaptiskan keluarga dan kawan-kawan Kornelius.

Semasa dia mengajar, Roh Kudus datang kepada semua yang sedang mendengar. Petrus menjemput mereka untuk dibaptiskan dalam nama Yesus Kristus. Petrus telah belajar bahawa semua anak Tuhan dialu-alukan dalam Gereja Yesus Kristus. Injil Yesus Kristus telah dikhutbahkan kepada semua orang.

Kisah Rasul-Rasul 10:44–48