Matius 16–17
Yesus Memberi Para Rasul-Nya Kunci-kunci Imamat
“Dengan beralaskan batu inilah, Aku akan membina jemaah-Ku”
Suatu hari, Yesus bertanya kepada pengikut-Nya siapa Dia menurut orang ramai. Para pengikut-Nya menjawab bahawa ada orang mengatakan Dia ialah Yohanes Pembaptis. Ada pula yang menyangka Dia seorang nabi daripada Perjanjian Lama yang telah kembali.
Matius 16:13–14
Kemudian Yesus bertanya kepada para pengikut-Nya siapa Dia menurut mereka. Petrus berkata, “Guru ialah Penyelamat yang diutus oleh Tuhan, Anak Tuhan Yang Hidup.”
Matius 16:15–16
Yesus gembira mendengar Petrus mengatakan ini. Dia memberitahu Petrus bahawa dia tidak mengenali siapa Yesus daripada orang lain. Bapa Syurgawi telah menunjukkan kebenaran itu kepadanya.
Matius 16:17
Yesus berkata kepada Petrus, “Dengan beralaskan batu inilah, Aku akan membina jemaah-Ku.” Kemudian Dia berjanji untuk memberi Petrus kunci-kunci imamat, atau wewenang daripada Tuhan, supaya dia dan para Rasul yang lain boleh memimpin Gereja-Nya di bumi.
Matius 16:18–19
Beberapa hari kemudian, Yesus membawa Petrus, Yakobus, dan Yohanes ke sebuah gunung yang tinggi untuk berdoa.
Matius 17:1; Lukas 9:28
Semasa Yesus berdoa, muka-Nya bersinar seperti matahari. Bahkan pakaian-Nya kelihatan terang.
Matius 17:2; Lukas 9:29
Dua nabi daripada Perjanjian Lama, Musa dan Elia, muncul. Mereka bercakap dengan Yesus tentang kematian dan Kebangkitan-Nya, yang akan berlaku tidak lama lagi di Yerusalem. Petrus berkata kepada Yesus, “Tuhan, sungguh baik kami di sini.”
Matius 17:3–4; Lukas 9:30–33
Semasa Petrus bercakap, awan yang terang mengelilingi mereka. Mereka mendengar suara Bapa Syurgawi berkata, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Dia menyenangkan hati-Ku; Dengarkanlah Dia!” Petrus, Yakobus, dan Yohanes takut dan jatuh ke tanah.
Matius 17:5–6
Yesus menyentuh para Rasul-Nya dan berkata, “Bangunlah, Janganlah takut!” Mereka memandang ke atas. Musa dan Elia telah pergi. Di gunung ini, Petrus, Yakobus, dan Yohanes menerima kunci-kunci imamat yang Yesus telah janjikan kepada mereka.
Matius 17:7–9; lihat juga Ajaran dan Perjanjian 27:12–13