Keyakinan di Hadirat Tuhan.
Semasa kita berusaha untuk mempunyai kasih ihsan dan berhemah memenuhi kehidupan kita, keyakinan kita untuk mendekati Tuhan akan meningkat.
Para saudara dan saudari terkasih, saya bersyukur dapat berucap kepada anda hari ini, di persidangan umum yang penting ini. Mata saya terus menjadi tua. Terima kasih atas pemahaman anda semasa saya menyampaikan pesanan saya.
Kita hidup dalam zaman momentum besar bagi Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Saya dipenuhi kegembiraan apabila saya melihat perkembangan dalam banyak kawasan.
Saya amat diilhamkan oleh remaja kita. Mereka memberi pelayanan dalam jumlah yang banyak. Mereka mencari nenek moyang mereka dan melaksanakan tatacara di bait suci. Remaja putera dan puteri kita menghantar permohonan untuk pelayanan misionari dalam bilangan yang tinggi. Generasi yang semakin meningkat terus bangkit sebagai pengikut Yesus Kristus yang cekal.
Baru-baru ini saya bertemu dengan seorang cicit perempuan baharu. Apabila saya merenungkan cabaran-cabaran yang dia akan alami dalam hidupnya, saya mempunyai keinginan yang besar untuk membantunya membina iman kepada Yesus Kristus. Hidup menurut injil-Nya adalah sangat penting untuk kebahagiaan masa depannya.
Dia, seperti kita semua, akan menghadapi cabaran. Kita semua akan mengalami penyakit, kekecewaan, godaan, dan kehilangan. Cabaran ini akan menggugat keyakinan diri kita. Walau bagaimanapun, pengikut Yesus Kristus mempunyai keyakinan yang berbeza.
Apabila kita membuat dan mentaati perjanjian dengan Tuhan, kita akan mempunyai keyakinan yang lahir daripada Roh. Tuhan berfirman kepada nabi Joseph Smith bahawa keyakinan kita boleh “menjadi kuat di dalam hadirat Tuhan.” Bayangkan penghiburan mempunyai keyakinan di hadirat Tuhan!
Apabila saya bercakap tentang mempunyai keyakinan di hadapan Tuhan, saya merujuk kepada keyakinan untuk mendekati Tuhan sekarang! Saya merujuk kepada berdoa dengan yakin bahawa Bapa Syurgawi mendengar kita, bahawa Dia memahami keperluan kita lebih baik daripada kita. Saya merujuk kepada mempunyai keyakinan bahawa Dia mengasihi kita lebih daripada yang kita boleh fahami, bahawa Dia menghantar malaikat untuk bersama kita dan dengan orang yang kita kasihi. Saya merujuk kepada mempunyai keyakinan bahawa dia ingin membantu setiap kita mencapai potensi tertinggi kita.
Sekarang, bagaimanakah kita memperoleh keyakinan itu? Tuhan menjawab soalan ini dengan kata-kata ini: “Biarlah sanubarimu, … penuh kasih ihsan terhadap semua orang, … dan biarlah kehemahan mengisi fikiranmu tanpa henti; maka keyakinanmu akan menjadi kuat di dalam hadirat Tuhan.”
Itulah kuncinya! Dalam firman Tuhan sendiri, kasih ihsan dan berhemah membuka jalan untuk memiliki keyakinan di hadapan Tuhan! Saudara dan saudari, kita boleh lakukan ini! Keyakinan kita boleh benar-benar menjadi kuat di dalam hadirat Tuhan, sekarang!
Mari kita pertimbangkan kasih ihsan dan berhemah.
Pertama, kasih ihsan. Dua tahun lalu, saya menyeru kita, sebagai pengikut perjanjian Yesus Kristus, untuk menjadi pendamai. Saya ulangi apa yang telah saya katakan: “Kemarahan tidak pernah memujuk. Permusuhan tidak membina sesiapa pun. Pertikaian tidak membawa penyelesaian yang diilhami.”
Kasih ihsan terhadap semua manusia adalah ciri pendamai! Ianya penting bahawa kita mempunyai kasih ihsan dalam percakapan kita, baik di awam mahupun peribadi. Saya berterima kasih kepada anda yang mengambil nasihat saya sebelum ini. Tetapi kita masih boleh melakukan lebih baik.
Permusuhan dalam dialog awam dan di media sosial sekarang adalah membimbangkan. Kata-kata kebencian adalah senjata yang mematikan. Pertikaian menghalang Roh Kudus daripada menjadi teman tetap kita.
Sebagai pengikut Yesus Kristus, kita harus memimpin jalan sebagai pembawa damai. Apabila kasih ihsan menjadi sebahagian daripada sifat kita, kita akan kehilangan dorongan untuk merendahkan orang lain. Kita akan berhenti menilai orang lain. Kita akan memiliki kasih ihsan untuk mereka dari semua lapisan masyarakat. Kasih ihsan terhadap semua manusia adalah penting kepada perkembangan kita. Kasih ihsan adalah landasan akhlak soleh.
Marilah kita merayu kepada Bapa Syurgawi kita untuk mengisi hati kita dengan kasih ihsan yang lebih besar—terutamanya bagi mereka yang sukar untuk dikasihi—kerana kasih ihsan adalah kurnia daripada Bapa Syurgawi kita bagi pengikut sejati Yesus Kristus. Juruselamat adalah Putera Damai. Kita adalah alat-Nya untuk kedamaian.
Sekarang, marilah kita bercakap tentang berhemah. Tuhan memberitahu kita untuk menghiasi fikiran kita tanpa henti dengan berhemah. Bayangkan rangsangan yang akan anda terima, kepada sebarang pemikiran positif, apabila anda meningkatkannya dengan berhemah. Berhemah menjadikan segala-galanya lebih baik dan lebih gembira! Sebaliknya, bayangkan apa yang akan berlaku apabila anda menambah hemah kepada pemikiran yang tidak murni, yang kejam, atau yang menyedihkan. Berhemah akan mengusir pemikiran itu. Berhemah akan membebaskan anda daripada pemikiran cemas, dan menyusahkan.
Saudara dan saudari, sebagaimana dunia semakin jahat, kita haruslah tumbuh menjadi semakin suci. Fikiran, perkataan, dan tindakan kita perlu berhemah tanpa gagal, dan dipenuhi dengan kasih murni Yesus Kristus terhadap semua manusia. Peluang yang terbesar untuk kita adalah menjadi orang yang Tuhan mahu kita jadi.
Kerap menyembah di rumah Tuhan meningkatkan keupayaan kita untuk mempunyai kasih ihsan dan berhemah. Oleh itu, masa yang diluangkan di bait suci akan meningkatkan keyakinan kita kepada Tuhan. Meningkatkan masa di bait suci akan membantu kita mempersiapkan diri untuk Kedatangan Kedua Juruselamat kita, Yesus Kristus. Kita tidak mengetahui hari dan waktu kedatangannya. Tetapi saya tahu bahawa Tuhan mendorong saya untuk menggesa kita supaya bersiap sedia untuk “hari yang hebat dan dahsyat.”
Semasa kita berusaha untuk mempunyai kasih ihsan dan berhemah memenuhi kehidupan kita, keyakinan kita untuk mendekati Tuhan akan meningkat. Saya menjemput anda untuk mengambil langkah-langkah secara berhasrat untuk meningkatkan keyakinan anda di hadapan Tuhan. Kemudian, bila kita pergi kepada Bapa Syurgawi dengan keyakinan yang meningkat, kita akan dipenuhi dengan lebih banyak kegembiraan, dan iman anda kepada Yesus Kristus akan meningkat. Kita akan mula mengalami kuasa rohani yang melebihi harapan terbesar kita.
Kami bersyukur kepada Tuhan atas mempercepatkan pembinaan bait suci dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Di bawah arahan-Nya, hari ini kami mengumumkan rancangan untuk membina sebuah bait suci di setiap 15 lokasi ini:
-
Reynosa, Mexico
-
Chorrillos, Peru
-
Rivera, Uruguay
-
Campo Grande, Brazil
-
Porto, Portugal
-
Uyo, Nigeria
-
San Jose del Monte, Philippines
-
Nouméa, New Caledonia
-
Liverpool, Australia
-
Caldwell, Idaho
-
Flagstaff, Arizona
-
Rapid City, South Dakota
-
Greenville, South Carolina
-
Norfolk, Virginia
-
Spanish Fork, Utah
Saya bersaksi bahawa Yesus Kristus, Penebus Israel, memimpin Gereja-Nya ini. Dia sedang bersedia untuk datang lagi. Semoga kita juga bersedia untuk menerima-Nya. Untuk ini saya berdoa dalam nama Yesus Kristus, amin.