Berkat Pengganti
Walaupun banyak keadaan dalam kehidupan mungkin di luar kawalan kita, tidak seorang pun daripada kita berada di luar jangkauan berkat-berkat Tuhan yang tidak terhingga.
Melayani di Uskup Utama, saya mempunyai peluang untuk bertemu dengan orang Suci Zaman Akhir di seluruh dunia di pelbagai tempat dan budaya. Saya sentiasa diilhamkan oleh iman dan pengabdian anda kepada Tuhan Yesus Kristus. Namun saya juga tersentuh dengan keadaan yang pelbagai dan sering kali sukar dihadapi oleh ramai di antara anda—cabaran-cabaran seperti penyakit, kurang upaya, sumber yang terhad, peluang untuk perkahwinan atau pendidikan yang sedikit, penderaan oleh orang lain, dan batasan atau kekangan lain. Ada kalanya, ujian ini mungkin kelihatan menghalang kemajuan anda dan mencabar usaha murni anda untuk hidup menurut injil sepenuhnya, menjadikannya lebih sukar untuk melayani, menyembah, dan memenuhi tugas-tugas kudus.
Rakan-rakan yang dikasihi, jika anda berasa terhad atau kurang bernasib baik dengan keadaan hidup anda, saya ingin anda tahu ini: Tuhan mengasihi anda secara peribadi. Dia tahu keadaan anda, dan pintu ke berkat-berkatnya terbuka luas untuk anda tidak kira apa sahaja cabaran yang anda hadapi.
Saya pelajari kebenaran ini melalui pengalaman peribadi bahawa, walaupun kelihatan tidak penting, ianya meninggalkan kesan yang berpanjangan kepada saya. Pada usia 22 tahun, semasa berkhidmat dalam Tentera Udara Perancis di Paris, saya teruja untuk mengetahui bahawa Elder Neal A. Maxwell, seorang Rasul Tuhan, akan berucap pada persidangan di Champs-Élysées. Bagaimanapun, sejurus sebelum acara, saya menerima arahan untuk memandu pegawai kanan ke lapangan terbang pada masa yang sama persidangan itu ditetapkan untuk berlangsung.
Saya rasa kecewa. Tetapi berazam untuk hadir, saya menurunkan pegawai itu dan bergegas ke persidangan itu. Selepas mencari tempat letak kereta, saya berlari menuruni Champs-Élysées ke tempat pertemuan dan tiba dengan nafas tercungap-cungap dengan hanya tinggal lima minit sebelum pertemuan tamat. Ketika saya masuk, saya dengar Elder Maxwell berkata, “Saya sekarang akan memberi anda berkat-berkat kerasulan.” Pada masa itu, saya ada pengalaman rohani yang indah dan tidak dapat dilupakan. Saya dikuasai oleh Roh dan kata-kata berkat itu sepertinya menusuk ke dalam jiwa saya, seolah-olah ia ditujukan hanya untuk saya.
Apa yang saya alami pada hari itu adalah pernyataan kecil namun kuat tentang aspek yang menghiburkan dalam rancangan Tuhan untuk anak-anak-Nya: Apabila keadaan di luar kawalan kita menghalang kita daripada memenuhi keinginan soleh hati kita, Tuhan akan menggantikan dengan cara yang membolehkan kita menerima berkat-berkat yang dijanjikan-Nya.
Kebenaran yang meyakinkan ini berlandaskan pada tiga asas utama yang terdapat dalam injil Yesus Kristus yang dipulihkan:
-
Tuhan mengasihi setiap kita dengan sempurna. “Dia menjemput [kita] semua datang kepada Dia dan mengambil bahagian dalam kebaikan-Nya.” Rancangan penebusan-Nya memastikan bahawa semua orang, tanpa pengecualian, akan diberikan peluang yang adil untuk suatu hari nanti menerima berkat-berkat keselamatan dan permuliaan.
-
Kerana Tuhan itu adil dan berbelas kasihan dan rancangan-Nya adalah sempurna, Dia tidak akan menjadikan kita bertanggungjawab untuk perkara di luar kawalan kita. Elder Neal A. Maxwell menjelaskan bahawa “Tuhan … mengambil kira belas kasihan bukan sahaja keinginan dan prestasi kita, tetapi juga tahap kesukaran yang terjadi kepada kita kerana keadaan yang berbeza menimpa kita.”
-
Melalui Yesus Kristus dan Korban Tebusan-Nya, kita boleh dapat kekuatan untuk bertahan dan akhirnya mengatasi semua cabaran hidup. Sebagaimana Alma ajarkan, Juruselamat mengambil ke atas diri-Nya bukan sahaja dosa orang yang bertaubat tetapi juga “kesakitan dan penyakit umat-Nya” dan “kelemahan mereka.” Oleh itu, selain menebus kita daripada kesilapan kita, belas kasihan dan rahmat Tuhan menyokong kita melalui ketidakadilan, kekurangan, dan batasan yang dikenakan oleh pengalaman fana kita.
Menerima berkat pengganti ini datang dengan syarat-syarat tertentu. Tuhan tanya kita untuk lakukan “sebaik yang mampu” dan “persembahkanlah seluruh jiwa [kita] sebagai persembahan kepada-Nya.” Ini memerlukan hasrat yang mendalam, hati yang ikhlas dan beriman, dan ketekunan terbaik kita dalam mematuhi perintah-perintah-Nya dan menyelaraskan kehendak kita dengan kehendak-Nya.
Apabila usaha kita yang bersungguh-sungguh gagal mencapai aspirasi kita kerana keadaan di luar kawalan kita, Tuhan masih menerima keinginan hati kita sebagai persembahan yang layak. Oaks mengajar, “Kita akan diberkati kerana hasrat soleh hati kita walaupun beberapa keadaan di luar telah menyebabkan mustahil untuk kita melaksanakan hasrat itu ke dalam tindakan.”
Ketika Nabi Joseph Smith bimbang tentang saudaranya Alvin, yang telah meninggal dunia tanpa menerima tatacara injil yang penting, dia menerima wahyu yang menyenangkan ini: “semua yang akan mati mulai sekarang tanpa sebarang pengetahuan tentang [injil], yang akan menerimanya dengan segenap hati mereka, akan menjadi para pewaris [kerajaan Selestial Tuhan].” Tuhan menambahkan, “Kerana Aku, Tuhan, akan menghakimi semua orang menurut pekerjaan mereka, menurut hasrat hati mereka.”
Apa yang penting bagi Tuhan bukan semata-mata sama ada kita boleh tetapi sama ada kita sanggup untuk lakukan segala yang kita boleh lakukan untuk mengikuti-Nya sebagai Juruselamat kita.
Seorang kawan pernah menghiburkan seorang misionari muda yang berduka atas pelepasan awalnya disebabkan kesihatan, walaupun dia berdoa dengan tulus dan bersungguh-sungguh untuk melayani. Kawan ini berkongsi tulisan suci di mana Tuhan menyatakan bahawa apabila anak-anak-Nya “pergi dengan seluruh daya mereka” dan “tidak menghentikan ketekunan mereka” untuk melaksanakan perintah-perintah-Nya, “dan musuh-musuh mereka [yang mungkin termasuk kesusahan dalam hidup kita] … menghalang mereka daripada melaksanakan pekerjaan itu, lihatlah, adalah perlu menurut-ku untuk tidak lagi menuntut perkerjaan itu daripada tangan [mereka], tetapi untuk menerima persembahan mereka.”
Rakan saya bersaksi kepada pemuda ini bahawa Tuhan tahu dia telah memberikan yang terbaik dalam menjawab panggilan untuk melayani. Dia meyakinkannya bahawa Tuhan telah menerima persembahannya dan bahawa berkat-berkat yang dijanjikan kepada semua misionari yang setia tidak akan ditahan.
Berkat pengganti Tuhan sering datang melalui kebaikan dan pelayanan orang lain yang membantu kita mencapai apa yang tidak dapat kita lakukan sendiri. Saya masih ingat ketika, tinggal jauh dari salah seorang anak perempuan kami di Perancis, kami berasa tidak berdaya untuk membantunya selepas kelahiran anak yang sukar. Pada minggu yang sama bahagian kami di Utah meminta bantuan untuk seorang ibu yang baru melahirkan anak kembar. Isteri saya, Valérie, sukarela untuk membawakan makanan untuknya—dengan doa dalam hatinya untuk ibu baharu ini dan anak perempuan kami yang memerlukan. Tidak lama kemudian, kami mengetahui bahawa saudari di bahagian anak perempuan kami di Perancis telah mengatur untuk menyediakan makanan untuk keluarganya. Bagi kami, Tuhan telah menjawab doa kami, menghantar malaikat-Nya untuk membawa ketenangan apabila kami tidak dapat melakukannya.
Apabila menghadapi batasan dan cabaran, semoga kita kenal berkat kita sendiri —kurnia, sumber, dan masa kita—dan gunakan berkat-berkat ini untuk melayani mereka yang memerlukannya. Kita bukan sahaja akan memberkati orang lain tetapi menjemput penyembuhan dan pengganti ke dalam kehidupan kita sendiri.
Salah satu cara yang paling berkuasa untuk kita sumbangkan kepada berkat pengganti Tuhan adalah melalui pekerjaan perwakilan yang kita lakukan untuk nenek moyang kita di rumah Tuhan. Semasa kita melaksanakan tatacara bagi pihak mereka, kita mengambil bahagian secara aktif dalam pekerjaan keselamatan Tuhan yang agung, menggunakan kurnia dan kebolehan kita untuk menyediakan berkat kepada mereka yang tidak berpeluang menerimanya semasa kehidupan fana mereka.
Pelayanan penuh kasih yang kita tawarkan di bait suci yang kudus mengingatkan kita bahawa rahmat Juruselamat melangkaui kehidupan ini. Dalam kehidupan yang akan datang kita mungkin diberi peluang baharu untuk mencapai apa yang tidak dapat kita lakukan dalam kehidupan fana ini. Kepada para saudari yang belum menemui pasangan abadi, Presiden Lorenzo Snow dengan penuh kasih berkata: “Tidak ada Orang Suci Zaman Akhir yang meninggal akan kehilangan apa-apa selepas menjalani kehidupan yang setia kerana gagal melakukan perkara yang tertentu apabila peluang tidak diberi kepadanya. … Mereka akan memperolehi semua berkat, permuliaan, dan kemuliaan yang akan dimiliki oleh mana-mana lelaki atau wanita yang mempunyai peluang ini.”
Pesanan pengharapan dan penghiburan ini adalah untuk kita semua, anak-anak Tuhan. Tiada seorang pun daripada kita dapat lari daripada cabaran dan batasan kefanaan. Lagipun, kita semua dilahirkan dengan ketidakupayaan untuk menyelamatkan diri kita sendiri. Namun, kita ada Juruselamat yang pengasih, dan “kita tahu bahawa melalui rahmat [Nya] kita diselamatkan, setelah kita melaksanakan sebaik yang mampu.”
Saya bersaksi bahawa walaupun banyak keadaan dalam kehidupan mungkin di luar kawalan kita, tidak seorang pun daripada kita berada di luar jangkauan berkat-berkat Tuhan yang tidak terhingga. Melalui korban tebusan-Nya, Juruselamat akan memberi pengganti kepada setiap ketidakmampuan dan ketidakadilan jika kita mempersembahkan seluruh jiwa kita kepada-Nya. Dalam nama Yesus Kristus, amin.