Persidangan Umum
Janganlah Mengeraskan Hatimu
Persidangan umum April 2025


11:6

Janganlah Mengeraskan Hatimu

Jika kita ikhlas bertaubat, merendahkan hati, percaya dan bergantung kepada Tuhan, hati kita akan dilembutkan.

Pemulihan injil Yesus Kristus bermula apabila Tuhan Bapa dan Putera Terkasih-Nya muncul kepada Joseph Smith, menjawab doanya. Sebagai sebahagian dari Pemulihan, Joseph Smith menterjemahkan catatan kuno melalui kurnia dan kuasa Tuhan. Catatan ini mengandungi “urusan Tuhan dengan para penduduk Benua Amerika zaman dahulu dan mengandungi seperti juga Alkitab, kegenapan Injil kekal.”

Semasa saya baca Kitab Mormon pada waktu kecil, saya selalu terfikir mengapa Laman dan Lemuel tidak percaya kebenaran yang diberikan, walaupun malaikat telah muncul kepada mereka. Mengapa mereka berdua tidak rendah hati dan patuh kepada ajaran bapa mereka, Lehi, dan adik mereka Nefi?

Saya menemui salah satu jawapannya di 1 Nefi, yang menyatakan bahawa Nefi “berasa pilu akibat kekerasan hati mereka.” Nefi menanyakan abang-abangnya, “Mengapakah engkau begitu keras dalam hatimu, dan begitu buta dalam penglihatanmu?”

Apakah maksudnya mempunyai kekerasan hati?

Penterjemahan Bahasa Korea bagi “kekerasan” dalam Kitab Mormon adalah 완악 (Wan-Aak: 頑惡). Frasa ini menggunakan aksara Bahasa Cina “Wan” (頑), bermaksud “degil,” dan “Aak” (惡), bermaksud “jahat.” Apabila kita mengeraskan hati, kita akan buta, dan tiada hal baik boleh masuk ke hati atau fikiran kita. Kita jadi degil dan mula berfokus kepada keinginan duniawi, tidak mahu mentaati Tuhan. Kita memilih untuk berfokus kepada pemikiran kita sendiri dan tidak menerima pendapat dan bimbingan orang lain. Kita memilih untuk tidak mentaati Tuhan tetapi sebaliknya kepada pengaruh dunia dan musuh. Apabila hati kita dikeraskan, kita menentang pengaruh Roh Kudus. Kita “lambat mengingati Tuhan,” dan lama kelamaan menjadi “tidak lagi berperasaan” akan firman-Nya.

Alma ajarkan orang di Amoniha bahawa sesetengah orang “mahu menolak Roh Tuhan kerana kekerasan hati mereka.” Dia juga ajarkan bahawa “mereka yang akan mengeraskan hati mereka, kepada mereka diberikan bahagian yang lebih kecil daripada firman itu sampai mereka tidak mengetahui apa-apa pun berkenaan misteri-misteri-Nya.” Akhirnya, Roh menarik diri, dan Tuhan “akan mengambil firman-[Nya] daripada mereka” daripada mereka yang keras hati seperti Laman dan Lemuel. Kerana Laman dan Lemuel terus mengeraskan hati, menentang pengaruh Roh Kudus, dan tidak menerima firman dan ajaran bapa mereka dan Nefi, mereka akhirnya menolak kebenaran abadi Tuhan.

Berbeza dengan Laman dan Lemuel, Nefi sentiasa rendah hati, dan selalu mencari bimbingan Roh Tuhan. Sebagai balasan, Tuhan melembutkan hati Nefi. Nefi berkongsi bahawa dia “berseru kepada Tuhan; dan lihatlah Dia mengunjungiku, dan melunakkan hatiku sehingga aku mempercayai segala perkataan yang telah diucapkan oleh bapaku.” Tuhan membantu Nefi untuk terima, fahami, dan percaya akan semua misteri-misteri Tuhan dan firman-Nya. Nefi dapat mempunyai bimbingan Roh Kudus yang berterusan.

Apakah yang kita boleh lakukan untuk tidak mengeraskan hati?

Pertama, kita boleh amalkan pertaubatan setiap hari.

Juruselamat ajarkan, “sesiapa yang bertaubat dan datang kepada-Ku seperti seorang anak kecil, dialah yang akan Aku terima.” Nabi terkasih kita, Presiden Russell M. Nelson, ajarkan:

“Pertaubatan ialah kunci ke kemajuan. Iman yang murni memastikan kita maju di jalan perjanjian.

“Sila jangan takut atau menangguhkan pertaubatan. Setan bersukacita dalam kesengsaraan anda. … Mulakan hari ini dengan mengalami kebahagiaan dari menanggalkan manusia alamiah. Juruselamat sentiasa mengasihi kita tetapi terutamanya apabila kita bertaubat.”

Semasa kita mengalami kebahagiaan melembutkan hati dan datang kepada Tuhan, kita menjadi “seperti seorang anak kecil, peserah, lembut hati, rendah hati, sabar, penuh dengan kasih, rela untuk berserah pada segalanya yang Tuhan anggap patut untuk ditimpakan ke atas dirinya, bahkan seperti anak kecil berserah kepada ayahnya.”

Kedua, kita boleh amalkan kerendahan hati.

Pertaubatan harian akan merendahkan hati kita. Kita mahu menjadi rendah hati di hadapan Tuhan, seperti anak kecil yang mentaati bapa mereka. Kita akan sentiasa ada Roh Kudus bersama kita, dan hati kita akan dilembutkan.

Saya dan isteri saya, Sue, mengenali sepasang suami isteri hebat empat tahun lalu. Apabila kami mula-mula bertemu, si suami adalah ahli baharu Gereja, dan isterinya sedang mempelajari injil bersama misionari. Ramai misionari bertemu dengannya untuk membantu dia mendekati Kristus. Kami merasakan dia ada kesaksian yang bersemangat tentang injil dan tahu Gereja adalah benar. Dia selalu merasakan Roh semasa kunjungan kami dan aktif dalam semua pertemuan. Dia suka berinteraksi dengan ahli-ahli bahagian yang hebat. Namun, dia mendapati ia sukar untuk dibaptiskan. Suatu hari dia sedang membaca Moroni 7:43–44, yang menyatakan:

“Dan lagi, lihatlah aku berkata kepadamu bahawa dia tidak dapat beriman dan berharapan, kecuali dia akan melembutkan hati, dan rendah hati.

“Jika demikian, iman dan harapan [kamu] adalah sia-sia, kerana tidak seorang pun dapat diterima di hadapan Tuhan, kecuali yang lembut hati dan rendah hati.”

Selepas membaca ayat-ayat ini, dia sedar apa yang perlu dilakukan. Dia fikir bahawa dia sudah faham maksud menjadi lembut hati dan rendah hati. Namun, pemahamannya tidak cukup untuk beriman dan berharapan untuk mematuhi perintah Tuhan. Dia terpaksa melepaskan kedegilannya dan kebijaksanaannya sendiri. Dia mula merendahkan hatinya melalui pertaubatan yang ikhlas. Dia mula memahami kerendahan hati dari perspektif mata Tuhan. Dia bergantung kepada Bapa Syurgawi dan berdoa untuk melembutkan hati. Melalui doa ini, dia merasakan Roh bersaksi bahawa Bapa Syurgawi mahu dia dibaptiskan.

Kedua-dua mereka berkongsi bahawa semakin mereka rendah hati, semakin mereka boleh faham firman Tuhan, dan hati mereka dilembutkan untuk mengikuti ajaran Tuhan kita Yesus Kristus.

Ketiga, kita boleh percaya dan bergantung kepada Juruselamat kita.

Nefi adalah contoh hebat dalam membiarkan hatinya dilembutkan dengan mempercayai Tuhan. Dia mengajar, “Aku telah percaya kepada-Mu, dan aku akan percaya kepada-Mu selama-lamanya. Aku tidak akan menaruh kepercayaanku pada lengan daging.” Begitu juga, dalam wahyu diberikan kepada Joseph Smith, Tuhan berfirman, “Letaklah kepercayaanmu kepada Roh itu yang menuntun untuk melakukan kebaikan—ya, untuk melakukan keadilan, untuk berjalan dengan rendah hati.” Apabila kita percaya dan bergantung kepada-Nya, Dia akan melembutkan hati kita, dan akan disokong dalam percubaan, masalah, dan penderitaan kita.

Jika kita ikhlas bertaubat, merendahkan hati, percaya dan bergantung kepada Tuhan, hati kita akan dilembutkan. Dia akan mencurahkan Roh-Nya dan menunjukkan kita misteri-misteri syurga. Kita akan percaya semua firman yang Dia ajarkan, dan pemahaman kita semakin mendalam.

Juruselamat kita, Yesus Kristus, adalah contoh pasti kelembutan hati. Dalam 2 Nefi 31:7, berkata, “Tetapi sekalipun Dia kudus, Dia memperlihatkan kepada anak-anak manusia bahawa, menurut keadaan daging Dia merendahkan hati-Nya di hadapan Bapa, dan bersaksi kepada Bapa bahawa Dia akan patuh kepada-Nya dalam mentaati perintah-perintah-Nya.” Walaupun Dia kudus dan sempurna, Dia merendahkan hati-Nya di hadapan Bapa dan patuh kepada-Nya dengan dibaptiskan.

Di hujung kehidupan fana-Nya, Yesus Kristus menyerahkan kehendak-Nya sendiri kepada Bapa-Nya dengan meminum cawan pahit. Penderitaan ini menyebabkan Dia “Menggeletar kerana kesakitan, dan berdarah pada setiap liang roma, dan menderita baik tubuh mahupun roh.” Juruselamat minta untuk “tidak meminum cawan yang pahit itu, dan menarik diri.” “Walaupun demikian,” Dia berkata, “kemuliaan kepada Bapa, dan [Dia] meminumnya dan menyelesaikan persediaan-[Nya] bagi anak-anak manusia.”

Saudara dan saudari, kita telah diberi hak pilihan. Kita dapat memilih untuk mengeraskan hati, atau melembutkan hati kita. Dalam kehidupan seharian, kita dapat memilih untuk melakukan hal yang menjemput Roh Tuhan untuk bersama dan membimbing kita. Saya tahu dalam pilihan ini, ada kedamaian dan kebahagiaan.

Marilah ikut teladan Juruselamat kita, Yesus Kristus, yang mengikuti kehendak Bapa. Apabila kita berbuat demikian, Tuhan menjanjikan, “Kerana, lihatlah, Aku akan mengumpulkan mereka bagaikan seekor ayam betina mengumpulkan anak-anaknya di bawah sayapnya, jika mereka tidak akan mengeraskan hati mereka.” Dalam nama Yesus Kristus, amin.