Ketakziman terhadap Perkara Kudus
Ketakziman terhadap perkara kudus memupuk kesyukuran yang ikhlas, memberi kebahagiaan sejati, memimpin kepada wahyu, dan membawa kegembiraan yang lebih besar.
Dalam kitab Keluaran, kita mengikuti Musa ke Gunung Sinai untuk berpaling daripada tugas hariannya—sesuatu yang kita harus sanggup lakukan—untuk melihat semak terbakar yang tidak hangus. Ketika dia menghampiri, “Tuhan memanggil dia dari tengah semak itu, ‘Musa, Musa!’ Musa menjawab, ‘Ya, aku di sini.’ Tuhan berfirman, … tanggalkan kasutmu kerana engkau sedang berdiri di tanah yang suci.” Dengan ketakziman, kerendahan hati, dan kagum, Musa tanggalkan kasut dan bersedia untuk dengar firman Tuhan dan merasa kehadiran kudus-Nya.
Pengalaman di gunung kudus yang penuh takzim, menghubungkan Musa dengan identiti ilahinya, dan adalah elemen utama transformasinya daripada gembala rendah hati kepada nabi berkuasa, membimbingnya ke arah jalan hidup baharu. Kita juga boleh ubah cara penganutan kita kepada pola rohani yang lebih tinggi dengan menjadikan ketakziman sebahagian watak rohani kita.
Perkataan reverence [ketakziman], berasal dari kata kerja Latin revereri, yang bermaksud “berdiri kagum.” Dalam erti kata injil, definisi ini berkaitan dengan perasaan hormat, kasih, dan kesyukuran yang mendalam. Ketakziman terhadap perkara kudus oleh hati yang menyesal dan kasih mendalam kepada Tuhan dan Yesus Kristus meningkatkan kebahagiaan dalam jiwa.
Ketakziman terhadap perkara kudus adalah pernyataan terbesar kualiti rohani yang penting; ia hasil daripada hubungan kita dengan kekudusan dan mencerminkan kasih kita kepada Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus. Ia juga salah satu pengalaman jiwa yang paling tinggi. Ketakziman mengarahkan fikiran, hati, dan hidup kita kepada Tuhan. Malah, ketakziman adalah asas di mana kerohanian dibina—mewujudkan hubungan peribadi dengan kekudusan, seperti yang anak-anak kita ajarkan apabila menyanyi, “Dan bila berkhidmat, Ku rasa dekat, dengan Yesus dan Tuhan Bapa.”
Sebagai pengikut Yesus Kristus, kita harus memupuk berkat ketakziman dalam hidup untuk berkomunikasi secara mendalam dengan Tuhan dan Putera-Nya, Yesus Kristus, serta mengukuhkan watak rohani kita. Kita akan ada kebahagiaan yang besar jika kita mempunyai perasaan sedemikian dengan lebih kerap, dan kesedihan akan berkurangan. Ingatlah bahawa ketakziman terhadap perkara kudus sangat bermakna dan akan menguatkan rasa syukur—mengilhami kekaguman, rasa hormat, dan kasih untuk perkara yang lebih tinggi dan kudus.
Malangnya, kita hidup dalam dunia di mana ia semakin jarang untuk menunjukkan ketakziman terhadap perkara kudus. Malah, dunia meraikan yang tidak sopan, seperti yang ditayangkan di media massa. Ketiadaan rasa hormat terhadap perkara kudus meningkatkan sikap tidak peduli dalam perlakuan yang boleh menjadikan satu generasi menderita dan akan berterusan ke generasi seterusnya.
Ketidaktakziman juga akan menjauhkan kita dari ikatan perjanjian dengan Tuhan dan mengurangkan rasa pertanggungjawaban terhadap Tuhan. Akibatnya, kita berisiko untuk hanya mementingkan keselesaan diri, dan akhirnya mengembangkan sikap menghina perkara kudus, bahkan Tuhan, dan juga sifat ilahi kita sebagai anak-anak Bapa Syurgawi. Ketidaktakziman terhadap perkara kudus akan mengganggu penerimaan wahyu yang penting untuk kelangsungan rohani kita pada zaman ini.
Makna dan kepentingan ketakziman terhadap perkara kudus dinyatakan dengan baik dalam tulisan suci. Satu contoh dalam Ajaran dan Perjanjian menyatakan ketakziman kepada Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus adalah keperluan penting untuk mencapai Kerajaan Selestial.
Sebagai ahli gereja kita berusaha untuk menguduskan Bapa dan Putera dalam setiap aspek, termasuk cara kita menggambarkan imej Mereka. Bimbingan Roh Kudus adalah penting dalam menentukan bagaimana imej ini harus mencerminkan sifat kudus, watak, dan sifat ilahi Bapa dan Putera. Kita berhati-hati agar tidak menampilkan elemen yang mengalihkan fokus utama kita kepada Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus, dan ajaran Mereka, termasuk penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan kandungan dan imej.
Asas yang sama terpakai untuk sumber maklumat yang terdapat di saluran komunikasi rasmi Gereja. Setiap pelajaran, buku, panduan, dan pesanan disusun dan diluluskan secara teliti dengan bimbingan Roh untuk mengekalkan kekudusan, nilai, dan standard injil Yesus Kristus. Dalam pesanan untuk belia Gereja baru-baru ini, Elder David A. Bednar ajarkan, ”Untuk menavigasi persimpangan kompleks kerohanian dan teknologi, Orang Suci Zaman Akhir harus rendah hati dan berdoa (1) mengenal pasti asas injil yang boleh membimbing penggunaan kecerdasan buatan dan (2) ikhlas berusaha untuk bimbingan Roh Kudus dan kurnia rohani wahyu.”
Saudara dan saudari, secanggih mana pun teknologi, ia tidak dapat membuat keajaiban dan kekaguman yang terdapat melalui ketakziman yang lahir daripada pengaruh Roh Kudus. Sebagai pengikut Kristus, kita perlu menggunakan penjana AI dengan berhati-hati agar ia tidak melemahkan hubungan kita dengan Tuhan dan Putera-Nya. Ingatlah bahawa bergantung pada “lengan daging” teknologi moden adalah pengganti yang tidak mencukupi dan tidak sopan untuk ilham, pembangunan, dan kesaksian yang hanya boleh diterima melalui kuasa Roh Kudus. Seperti yang Nefi nyatakan: “Ya Tuhan, aku telah percaya kepada-Mu, dan aku akan percaya kepada-Mu selama-lamanya. Aku tidak akan menaruh kepercayaanku pada lengan daging.”
Dalam wahyu lain, Nabi Joseph Smith diarahkan bahawa bait suci yang didirikan kepada Tuhan hendaklah menjadi tempat ketakziman kepada-Nya. Sepanjang pelayanannya, nabi terkasih kita, Presiden Russell M. Nelson menekankan dengan kuat untuk menyembah dengan takzim di bait suci. Di rumah Tuhan kita diajar untuk masuk ke hadirat kudus Bapa dan Putera. Saya sering mendapati ia memberi pengajaran dan mengilhami bahawa apabila kita memasuki bait suci untuk tatacara kudus, kita menanggalkan kasut dan memakai pakaian putih kita. Seperti Musa, jika disengajakan, kita sedar bahawa menanggalkan kasut duniawi adalah langkah permulaan ke tanah kudus dan diubah dengan cara yang lebih tinggi dan kudus.
Saudara dan saudari, kita tidak perlu mendaki gunung seperti Musa untuk menemui ketakziman terhadap perkara kudus dan menukar cara penganutan kita kepada tahap rohani dan pengabdian yang lebih dalam. Kita dapat menemuinya apabila kita berusaha untuk melindungi persekitaran rumah dari pengaruh duniawi. Ini boleh dicapai dengan ikhlas berdoa kepada Bapa Syurgawi dalam nama Yesus Kristus dan belajar untuk kenal Juruselamat dengan kajian yang tekun terhadap firman Tuhan dalam tulisan suci dan ajaran para nabi kita. Selain itu, transformasi rohani boleh datang apabila kita berusaha untuk menghormati perjanjian Tuhan dengan mematuhi perintah-Nya. Usaha ini akan membawa ketenangan yang pasti dalam hati kita. Tumpuan kepada tindakan tersebut akan mengubah rumah kita menjadi tempat perlindungan rohani yang takzim—di mana Roh dapat tinggal, seperti pengalaman gunung Musa.
Kita juga dapat mengalami transformasi rohani apabila kita beriman menyembah di Gereja, termasuk melaraskan hati kita kepada Tuhan melalui nyanyian lagu rohani kudus. Berpaling—seperti Musa—daripada gangguan duniawi, terutamanya telefon bimbit atau hal yang tidak selaras dengan detik kudus ini, membantu kita mengambil sakramen dengan minda dan hati tertumpu kepada Juruselamat dan korban tebusan-Nya bersama dengan perjanjian kita sendiri. Tumpuan tersebut akan memupuk detik pembaharuan yang takzim dalam hubungan kita dengan Juruselamat dan menjadikan hari Sabat satu kegembiraan dan mengubah hidup kita.
Akhirnya, kita boleh mengalami perubahan rohani ini dalam penganutan kita semasa penyembahan kerap di bukit tempat rumah Tuhan—bait suci kita—dan berusaha untuk hidup dengan keyakinan perjanjian, terutamanya dalam ujian kehidupan fana.
Saya dan isteri secara peribadi telah mengalami beberapa detik gunung kudus dalam ketakziman semasa kami berusaha untuk menerapkan asas ini, yang memberi makna dalam penganutan kami. Saya masih ingat pengalaman berjalan melalui perkuburan sebelum mengebumikan anak kedua kami yang dilahirkan pramatang, manakala isteri saya sedang pulih di hospital. Saya masih ingat berdoa kepada Tuhan dengan kesungguhan dan ketakziman, meminta bantuan untuk hadapi ujian yang mencabar. Dengan serta merta, saya menerima jaminan rohani yang jelas dan kuat dalam hati: Segalanya akan baik-baik sahaja jika kami berpegang pada kebahagiaan yang datang dari menjalani injil Yesus Kristus. Cabaran yang kelihatan menyedihkan pada masa itu bertukar menjadi pengalaman kudus dan takzim, pengalaman mendalam yang telah menyokong iman dan keyakinan terhadap perjanjian yang telah kami buat dengan Tuhan dan dalam janji-Nya untuk saya dan keluarga.
Saudara dan saudari, ketakziman terhadap perkara kudus memupuk kesyukuran yang ikhlas, memberi kebahagiaan sejati, memimpin kepada wahyu, dan membawa kegembiraan yang lebih besar. Ia membantu kita hidup dengan kudus dan menumpukan hati kita kepada Tuhan.
Saya bersaksi, semasa kita berusaha memasukkan sifat tersebut dalam hidup kita, kita dapat merendahkan hati kita, lebih memahami kehendak Tuhan, dan mengukuhkan keyakinan terhadap janji perjanjian yang kita buat dengan Tuhan. Saya bersaksi apabila kita menerima kurnia ketakziman terhadap perkara kudus—sama ada di bukit tempat rumah Tuhan, gereja, atau rumah kita—kita akan dipenuhi kekaguman yang menakjubkan apabila kita berhubung dengan kasih sempurna Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus. Saya dengan takzim bersaksi tentang kebenaran ini dalam nama Juruselamat Yesus Kristus, amin.