Masanya Bagi Tuhan Menjadikan Semuanya Baru
(Kisah Rasul-Rasul 3:21)
“Berita baik” yang paling penting dan mulia adalah pesanan tentang Tuhan Yesus Kristus telah memulihkan injil dan Gereja-Nya pada zaman akhir.
Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir ditubuhkan 195 tahun yang lalu hari ini, pada 6 April 1830.
Suatu jemaah kecil untuk orang yang percaya dan para sahabat berkumpul untuk peristiwa gembira ini. Semua orang yang hadir dicurahkan dengan berkat Roh semasa sakramen diberikan, kurnia Roh Kudus dianugerahkan, pentahbisan imamat dilakukan, dan kebenaran injil Yesus Kristus dikhutbahkan.
Dalam memulihkan Gereja-Nya, melalui wahyu Tuhan memilih Joseph Smith yang berumur 24 tahun sebagai pemimpin di dunia: “seorang pelihat, penterjemah, nabi, rasul Yesus Kristus, penatua gereja melalui kehendak Tuhan Bapa, dan rahmat Tuhanmu Yesus Kristus.”
Saya berdoa dengan tulus untuk bantuan Roh Kudus semasa kita pertimbangkan kepentingan dan kesan yang berterusan daripada peristiwa ini dalam sejarah dunia.
Penglihatan Pertama
Pertubuhan rasmi Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir adalah kemuncak kepada deretan pengalaman ajaib. Pengalaman pertama berlaku 10 tahun lebih awal di bahagian utara New York.
Pada musim bunga tahun 1820, seorang budak lelaki bernama Joseph pergi ke hutan berhampiran rumahnya untuk berdoa. Dia mempunyai persoalan tentang keselamatan jiwanya, dan “untuk mengetahui yang manakah daripada semua [gereja] itu adalah benar, agar [dia] boleh mengetahui yang mana satu harus diikuti.” Joseph percaya bahawa Tuhan akan menjawab doanya dan membimbingnya.
Ingat bahawa Joseph tidak hanya berdoa untuk tahu apa yang benar. Tetapi, dia berdoa untuk tahu apa yang benar agar dia boleh lakukan yang benar. Joseph bertanya dengan iman dan berazam untuk bertindak atas jawapan yang diterimanya.
“Sebagai jawapan kepada doanya [yang ikhlas], Tuhan Bapa dan Putera-Nya, Yesus Kristus, telah muncul kepada Joseph dan memulakan ‘pemulihan segala sesuatu’ (Kisah Rasul-Rasul 3:21) seperti yang dinubuatkan dalam Alkitab. Dalam penglihatan itu, dia mempelajari bahawa selepas kematian para Rasul yang asal, Gereja Perjanjian Baru Kristus telah hilang dari muka bumi.” Joseph Smith akan menjadi alat dalam memulihkan lagi ajaran, wewenang, dan perjanjian dan tatacara Gereja pada zaman Juruselamat.
Joseph mengesahkan: “Aku melihat dua Lembaga, yang mana keterangan dan kemuliaan Mereka tidak dapat digambarkan, berdiri di atasku di udara. Salah seorang daripada Mereka berfirman kepadaku, memanggil namaku dan berfirman, sambil menunjuk kepada yang seorang lagi—Inilah Putera-Ku yang Ku kasihi. Dengarkanlah Dia!”
Melalui penglihatan ini dan pengalaman ilahi yang lain, Joseph Smith faham bahawa Tuhan dan Yesus Kristus kenal dia secara peribadi, peduli tentang keselamatan abadinya, dan mempunyai misi untuknya. Dia belajar pelajaran yang penting tentang sifat, watak, dan kesempurnaan Kesatuan Ketuhanan—dan bahawa Bapa dan Putera adalah Makhluk yang berbeza. Yesus Kristus adalah Putera Tuhan dalam roh dan daging.
Joseph Smith mengisytiharkan bahawa Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus mempunyai tubuh badan. Dia berkata, “Bapa memiliki tubuh daging dan tulang senyata manusia; Putera juga; tetapi Roh Kudus tidak memiliki tubuh daging dan tulang, tetapi merupakan lembaga Roh.”
Saya bersaksi bahawa kunjungan Bapa dan Putera kepada Joseph Smith memulakan “pemulihan segala sesuatu yang dibicarakan oleh mulut semua nabi kudus sejak permulaan dunia.”
Kitab Mormon
Pengalaman kedua peristiwa ajaib yang membawa kepada pertubuhan rasmi Gereja Juruselamat adalah penterjemahan dan kedatangan Kitab Mormon.
“Joseph Smith telah diberikan kurnia dan kuasa Tuhan untuk menterjemahkan sebuah catatan kuno: Kitab Mormon—Satu Lagi Kesaksian Tentang Yesus Kristus. … Catatan kudus ini mengandungi sebuah laporan mengenai pelayanan peribadi Yesus Kristus di kalangan orang-orang di Hemisfera Barat sejurus selepas Kebangkitan-Nya. [Kitab Mormon] mengajarkan tujuan kehidupan dan menjelaskan ajaran Kristus, yang merupakan pusat utama tujuan tersebut. Sebagai sebuah gandingan tulisan suci pada Alkitab, Kitab Mormon bersaksi bahawa semua umat manusia ialah putera dan puteri bagi seorang Bapa Di Syurga yang penyayang, bahawa Dia mempunyai rancangan ilahi bagi kehidupan kita, dan bahawa Putera-Nya, Yesus Kristus, berbicara hari ini seperti di zaman dahulu.”
Sebagai ahli Gereja Juruselamat yang dipulihkan, “Kami percaya Alkitab adalah firman Tuhan sejauh mana ianya diterjemahkan dengan betul; kami juga percaya Kitab Mormon adalah firman Tuhan.” Kitab Mormon adalah satu lagi kesaksian tentang Yesus Kristus, mengesahkan kebenaran Alkitab, dan memulihkan kebenaran yang jelas dan berharga yang hilang dari Alkitab.
Imamat Dipulihkan
Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir mengajar bahawa Gereja asli yang ditubuhkan oleh Juruselamat, dengan wewenang ilahi, ajaran, dan perjanjian dan tatacara, telah hilang dari bumi. Sebagai sebahagian daripada pemulihan yang dinubuatkan pada zaman akhir, para nabi dan rasul dahulu menganugerahkan wewenang imamat kepada Joseph Smith dan memberinya kunci imamat. Inilah peristiwa ajaib ketiga yang membawa kepada pertubuhan rasmi Gereja Juruselamat.
Wewenang imamat membenarkan hamba Tuhan untuk “mewakili [Dia] dan bertindak atas nama-Nya.” “Kunci-kunci imamat adalah wewenang untuk mengarahkan penggunaan imamat bagi pihak anak-anak Tuhan.”
Di bawah arahan Bapa dan Putera, Yohanes Pembaptis yang sudah bangkit telah memulihkan, pada tahun 1829, wewenang untuk membaptis melalui pencelupan untuk pengampunan dosa-dosa. Pada tahun yang sama, tiga daripada dua belas Rasul yang asal—Petrus, Yakobus, dan Yohanes—telah memulihkan kerasulan dan kunci-kunci kuasa imamat.
Enam tahun selepas pertubuhan rasmi Gereja, di Bait Suci Kirtland, Musa, Elias, dan Elia menganugerahkan kepada Joseph wewenang tambahan untuk menyelesaikan pekerjaan Tuhan pada zaman akhir.
Musa menganugerahkan kunci-kunci pengumpulan Israel.
Elias menganugerahkan zaman keagamaan injil Abraham, termasuk pemulihan perjanjian Abraham.
Elia menganugerahkan kunci kuasa pemeteraian, menyediakan wewenang yang membolehkan tatacara dilakukan di bumi untuk diikat dalam keabadian, seperti menyatukan keluarga dalam hubungan abadi yang mengatasi kematian.
Gereja Yesus Kristus Ditubuhkan
Semasa Joseph Smith menterjemahkan Kitab Mormon, dia menerima wahyu bahawa Gereja Yesus Kristus akan ditubuhkan semula. Tetapi Tuhan menyuruh Joseph untuk tidak menubuhkan Gereja-Nya segera. Tetapi, “melalui roh nubuat dan wahyu,” Tuhan nyatakan kepada Joseph “hari yang tepat … [dia] harus mula untuk mengorganisasikan Gereja-Nya sekali [lagi,] di sini di atas bumi.”
Gereja ditubuhkan dalam urutan yang betul hanya selepas pemulihan imamat dan penerbitan Kitab Mormon. Salinan pertama Kitab Mormon mula tersedia pada 26 Mac, 1830, dan Gereja ditubuhkan secara rasmi pada 6 April.
“Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir … adalah Gereja Perjanjian Baru Kristus yang dipulihkan. Gereja ini ditambatkan pada kehidupan sempurna batu penjurunya, Yesus Kristus, dan dalam Korban Tebusan-Nya yang abadi dan kebangkitan-Nya yang nyata. Yesus Kristus sekali lagi telah memanggil para Rasul dan memberikan kepada mereka kuasa imamat. Dia menjemput kita semua untuk datang kepada Dia dan Gereja-Nya, untuk menerima Roh Kudus, tatacara-tatacara keselamatan, dan mendapatkan kebahagiaan yang berterusan.”
Kegenapan Zaman Keagamaan
Kemunculan Bapa dan Putera kepada Joseph Smith, penterjemahan dan kemunculan Kitab Mormon, serta pemulihan wewenang dan kunci imamat diperlukan untuk pertubuhan Gereja Tuhan yang dipulihkan 195 tahun yang lalu pada hari ini.
Dalam Perjanjian Lama, nabi Daniel terjemahkan mimpi tentang sebuah batu yang dikerat daripada gunung tanpa tangan dan memenuhi seluruh bumi. Setahun selepas pertubuhan Gereja, Tuhan mengarahkan Joseph Smith bahawa kunci-kunci kerajaan Tuhan sekali lagi “dianugerahkan kepada manusia di atas bumi” dan “injil [Yesus Kristus] akan berguling ke hujung-hujung bumi, bagaikan batu yang dikerat dari gunung tanpa tangan akan berguling, sehingga ia telah memenuhi seluruh bumi.”
Saya bersaksi: Tuhan sedang menggenapi perjanjian-Nya. Gereja Juruselamat yang dipulihkan sedang ditubuhkan di seluruh dunia dan menjadi alat yang melaluinya Tuhan akan “menyatukan segala sesuatu yang telah diciptakan, baik yang di syurga mahupun yang di bumi, dengan Kristus sebagai kepala.”
Pekerjaan zaman akhir Tuhan “adalah perkara yang telah menarik umat Tuhan dalam setiap zaman; ia adalah tema yang telah didiami oleh para nabi, imam dan raja dengan kebahagiaan istimewa; mereka menantikan dengan penuh sukacita terhadap zaman kita; dan didorong dengan harapan syurgawi dan kebahagiaan, mereka bernyanyi, menulis dan bernubuat tentang zaman kita.”
Dalam zaman keagamaan injil terbesar dan akhir ini, “suatu kesatuan yang menyeluruh dan lengkap dan sempurna, dan gabungan zaman-zaman keagamaan, dan kunci, dan kuasa, dan kemuliaan akan terjadi, dan didedahkan dari zaman Adam bahkan sehingga sekarang. Dan bukan sahaja ini, tetapi hal-hal yang tidak pernah didedahkan sejak pengasasan dunia … akan didedahkan … pada waktu ini, kegenapan zaman.”
Nabi Joseph menjelaskan, “Semua tatacara dan tugas yang pernah dituntut oleh Imamat, bawah arahan dan perintah Yang Maha Kuasa dalam mana-mana zaman keagamaan, semuanya akan dimiliki pada zaman keagamaan yang terakhir … membawa pemulihan yang dibicarakan melalui mulut semua Nabi Kudus.”
Janji-janji dan Kesaksian
Saya telah cuba ringkaskan elemen asas “khabar baik” yang penting dan mulia bagi setiap orang di dunia boleh menerima—pesanan bahawa Tuhan Yesus Kristus telah memulihkan injil dan Gereja-Nya pada zaman akhir.
Saya menjemput semua untuk belajar dan buktikan pesanan ini. Saya berjanji bahawa “mereka yang mengkaji pesanan Pemulihan dengan penuh doa dan bertindak dengan iman akan diberkati [melalui kuasa Roh Kudus] untuk memperoleh kesaksian mereka sendiri tentang ketuhanan dan matlamatnya untuk menyediakan dunia bagi Kedatangan Kedua Tuhan dan Juruselamat kita Yesus Kristus.” Apabila anda tulus berdoa menjangka untuk menerima dan bertindak atas jawapan daripada Tuhan, seperti Joseph Smith yang muda, kebolehan anda untuk mengenal dan bertindak terhadap saksi ilahi akan meningkat.
Saya bersaksi bahawa Tuhan, Bapa yang Abadi, ialah Bapa kita. Saya bersaksi bahawa Yesus Kristus ialah Putera Terkasih Bapa dan Anak Tunggal-Nya dalam daging. Dialah Juruselamat dan Penebus kita.
Dan saya sukacita bersaksi bahawa Bapa dan Putera muncul kepada Joseph Smith, dengan itu memulakan Pemulihan injil Yesus Kristus di zaman akhir. Kitab Mormon ialah satu lagi kesaksian tentang Yesus Kristus dan mengandungi firman Tuhan. Wewenang imamat untuk mewakili Juruselamat dan bertindak atas nama-Nya sekali lagi berada di bumi. Dan Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir adalah Gereja Perjanjian Baru Kristus yang dipulihkan. Saya berkongsi kesaksian pasti saya bahawa semua perkara ini adalah benar dalam nama kudus Tuhan Yesus Kristus, amin.