Persidangan Umum
Berhati-hati dengan Godaan Kedua
Persidangan umum April 2025


11:36

Berhati-hati dengan Godaan Kedua

Jangan sembunyi daripada mereka yang mengasihi dan menyokong anda; tapi dekatilah mereka.

Semasa saya berumur 12 tahun, saya dijemput untuk menghadiri perkhemahan semalaman kuorum Imamat Harun pertama saya. Jemputan ini dinanti-nantikan kerana ayah saya seorang pemimpin kuorum dan sering berkhemah dengan remaja lelaki di bahagian, sementara saya di rumah.

Apabila hari itu tiba, saya teruja. Dan saya akui bahawa saya sangat ingin bersama dengan remaja lelaki yang lebih tua. Saya bertekad untuk membuktikan diri. Dalam usaha itu saya diuji oleh mereka sama ada saya boleh menjadi sebahagian daripada kumpulan.

Saya ditugaskan untuk mengambil kunci kereta ayah saya supaya gurauan boleh dilakukan kepada pemimpin. Saya tidak ingat bagaimana saya yakinkan ayah saya, tapi saya segera berlari ke kumpulan remaja lelaki dengan kunci di tangan, bangga dengan pencapaian saya.

Kemudian datang tugasan seterusnya. Saya perlu buka kunci pintu kereta dan ikat kayu di antara bahagian belakang kerusi pemandu dan hon kereta. Dan saya perlu kuncikan pintu supaya hon berbunyi tanpa sebarang cara untuk para pemimpin untuk memasuki kereta dan menghentikannya.

Sekarang, di sinilah kisah itu menjadi sangat memalukan bagi saya. Sebaik sahaja saya letakkan kayu tersebut, saya kuncikan pintu dan berlari secepatnya untuk sembunyi di semak berdekatan. Semasa saya bercangkung, saya rasa kesakitan yang kuat. Dalam kegelapan, saya terduduk di atas kaktus berduri.

Kaktus pear berduri.

Jeritan kesakitan saya tenggelam oleh hon yang berbunyi, dan tiada jalan lain selain daripada kembali ke kereta, mengaku “dosa” saya, dan mendapatkan rawatan perubatan.

Malam itu, saya meniarap dalam khemah sementara ayah saya mengeluarkan duri kaktus dari … baiklah, boleh dikatakan saya tidak duduk dengan selesa selama beberapa hari.

Saya merenung pengalaman itu berkali-kali. Saya kini boleh ketawa akan kebodohan masa muda saya, walaupun beberapa asas telah menjadi jelas kepada saya.

Banyak pola tingkah laku manusia nampaknya biasa dalam manusia alamiah—keinginan untuk menyesuaikan diri, buktikan diri, takut ketinggalan, dan keperluan mendesak untuk bersembunyi untuk mengelak akibat. Tingkah laku terakhir inilah fokus hari ini—bersembunyi selepas melakukan sesuatu yang tidak patut.

Sekarang, saya tidak menyamakan gurauan masa kecil saya dengan dosa berat, tapi kita boleh belajar beberapa asas daripadanya yang mungkin berguna dalam ujian fana kita.

Di Taman Eden, Adam dan Hawa hidup dalam keindahan—banyak makanan, keindahan taman yang tiada tandingan—bukan sahaja itu, tetapi tiada rumpai atau pear berduri.

Namun, kita tahu bahawa kehidupan taman itu mengehadkan kemajuan penting. Taman itu bukan destinasi akhir tapi satu ujian, yang akan membuktikan, menyediakan, dan membolehkan mereka maju untuk pulang ke hadirat Bapa dan Putera.

Anda akan ingat bahawa terdapat tentangan di taman. Lusifer dibenarkan untuk menguji Adam dan Hawa. Dia mula-mula menggoda Adam untuk makan buah pokok pengetahuan baik dan jahat. Adam menentang kerana dia mengingati perintah untuk tidak memakannya. Dan Hawa yang diberkati pula memilih untuk memakannya, meyakinkan Adam untuk makan juga.

Kemudian, Adam dan Hawa menyatakan keputusan ini adalah perlu untuk memenuhi rancangan Bapa Syurgawi. Tetapi dengan memakan buah itu, mereka telah melanggar hukum—hukum langsung daripada Bapa. Pemahaman tentang kebaikan dan kejahatan pasti menyebabkan mereka terharu apabila mereka mendengar suara Bapa tentang kedatangan-Nya. Mereka sedar mereka telanjang, tanpa pakaian, setelah hidup dalam keadaan tidak bersalah. Tapi mungkin lebih menyakitkan daripada ketelanjangan adalah mereka kini terdedah atas pelanggaran mereka. Mereka tidak berdaya dan terdedah. Mereka telanjang dalam setiap erti perkataan.

Lusifer mengetahui keadaan mereka yang terdedah dan lemah, menggoda sekali lagi—untuk bersembunyi daripada Tuhan.

Godaan ini—saya panggil “godaan kedua,”—ia adalah godaan yang boleh membawa akibat terbesar jika kita tunduk. Sesungguhnya, mengelak semua godaan pertama untuk melanggar hukum Tuhan adalah cemerlang, tapi kita tahu bahawa semua akan tunduk kepada pelbagai godaan pertama. Semasa kita maju dalam kematangan dan pemahaman, kita harap kekuatan kita untuk mengelak godaan pertama akan terus bertambah baik apabila kita berusaha menjadi lebih seperti Yesus Kristus.

Mungkin ada yang cuba sembunyi daripada Tuhan kerana tidak mahu ditemui dan berasa malu atau bersalah. Akan tetapi, tulisan suci mengajar bahawa bersembunyi daripada Tuhan adalah mustahil. Saya akan kongsi beberapa contoh.

Tuhan mengajar Yeremia dengan soalan: “Tiada seorang pun dapat menyembunyikan diri daripada pandangan-Ku, Aku hadir di mana-mana, di syurga dan di bumi”

Dan Ayub diajar:

“Dia memperhatikan kelakuan manusia, dan meneliti semua langkah mereka.

“Tiada kegelapan yang cukup gelapnya untuk menyembunyikan orang berdosa.”

Pemazmur Daud yang paling puitis, berseru:

“Ya Tuhan, Engkau telah menyelami hatiku, dan Engkau mengenal aku.

“Engkau mengetahui segala perbuatanku; dari jauh Engkau memahami fikiranku. …

“Bahkan sebelum aku bercakap, Engkau sudah tahu apa yang akan kukatakan. …

“Ke manakah aku dapat pergi untuk menjauhkan diri daripada-Mu? Ke manakah aku dapat lari dari hadirat-Mu?

“Jika aku pergi ke syurga, Engkau di sana; jika aku tidur di alam maut, Engkau di sana juga.”

Penganut Baharu

Bagi ahli baharu Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, godaan kedua mungkin kelihatan sangat mencabar. Melalui pembaptisan, anda telah berjanji untuk mengambil ke atas diri anda nama Yesus Kristus, bagi banyak orang termasuklah perubahan gaya hidup. Mengubah gaya hidup seseorang bukanlah mudah. Selalunya ia memerlukan perubahan tabiat, amalan dan juga rakan-rakan untuk maju ke arah Bapa Syurgawi.

Musuh tahu bahawa anda mungkin terdedah kepada serangannya. Dia akan menjadikan kehidupan masa lalu anda kini kelihatan menarik secara tidak realistik. Penuduh, gelaran dia dalam kitab Wahyu, akan menggoda anda begini: “Kamu tidak cukup kuat untuk mengubah hidupmu; kamu tidak boleh lakukan ini; kamu tidak tergolong dengan orang disini; kamu terlalu lemah.”

Jika pemikiran ini benar untuk anda yang baru membuat perjanjian, kami merayu untuk tidak mendengar suara penuduh. Kami mengasihi anda; anda boleh; kami menerima anda; dan dengan Juruselamat, anda akan mempunyai kekuatan untuk lakukan semuanya. Jika anda perlukan kasih dan sokongan kami, jangan berfikir bahawa kami akan menolak anda jika anda kembali ke gaya hidup sebelum ini. Melalui kuasa Korban tebusan Yesus Kristus, anda boleh disembuhkan semula. Tapi jika anda bersembunyi daripada-Nya dan menjauhkan diri dari komuniti iman yang baru ditemui, anda menjauhkan diri daripada sumber kekuatan untuk mengatasinya.

Kawan baik saya yang baru dibaptis, berkongsi betapa sukarnya untuk mengekalkan iman sendirian. Terdapat kekuatan besar dalam komuniti yang menyokong—membuat kesilapan namun maju sambil diberkati oleh kasih Yesus Kristus.

Presiden Russell M. Nelson mengajar bahawa “mengatasi dunia bukanlah satu peristiwa yang berlaku dalam masa yang singkat. Ia berlaku sepanjang hidup apabila kita berulang kali memeluk ajaran Kristus. Kita memupuk iman dalam Yesus Kristus dengan pertaubatan harian dan mentaati perjanjian yang menganugerahi kita dengan kuasa. Kita kekal pada jalan perjanjian dan diberkati dengan kekuatan rohani, wahyu peribadi, iman yang semakin bertambah dan pelayanan para malaikat.”

Jika anda mengalami kecederaan fizikal, keadaan anda akan merosot dan boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat dengan sewajarnya. Itu juga berlaku untuk luka rohani. Hanya luka rohani yang tak dirawat boleh mengancam keselamatan abadi anda. Jangan sembunyi daripada mereka yang mengasihi dan menyokong anda; tapi dekatilah mereka. Uskup, presiden cabang, dan pemimpin yang baik boleh bantu anda mengakses kuasa penyembuhan Korban Tebusan Yesus Kristus.

Kepada mereka yang mungkin bersembunyi, kami ingin anda kembali. Anda perlu apa yang ditawarkan injil dan Korban Tebusan Yesus Kristus, dan kami perlu apa yang anda tawarkan. Tuhan tahu dosa anda; anda tidak dapat sembunyi daripada-Nya. Damaikan diri anda di hadapan-Nya.

Sebagai Orang Suci-Nya, kita mesti memupuk budaya kekitaan dalam Gereja yang penuh kasih, menerima, dan menggalakkan semua yang ingin maju di sepanjang jalan-Nya.

Berhati-hati dengan godaan kedua ini! Ikutlah nasihat semua nabi dan sedarlah bahawa anda tidak boleh bersembunyi daripada Bapa yang mengasihi.

Sebaliknya, manfaatkan kuasa penyembuhan Korban Tebusan Yesus Kristus. Inilah tujuan kewujudan kita—untuk mendapatkan tubuh yang lemah dan fana yang “tunduk pada segala macam kelemahan” dan yang akan tunduk kepada banyak godaan pertama; untuk maju walaupun jatuh dalam godaan; dan untuk mencari bantuan ilahi, agar kita boleh menjadi lebih seperti Juruselamat dan Bapa Syurgawi. Ia adalah jalan-Nya. Ia satu-satunya jalan. Atas kebenaran ini saya bersaksi dalam nama Yesus Kristus, amin.