Persidangan Umum
Kasih Tuhan
Persidangan umum April 2025


10:34

Kasih Tuhan

Saya dengan sukacita bersaksi bahawa Yesus Kristus ialah kasih Tuhan. Kasih-Nya kepada kita adalah sempurna, peribadi, dan kekal.

Pada suatu musim panas semasa mengembara di kawasan terpencil, keluarga kami menghabiskan waktu petang tidur di luar rumah di bawah langit tanpa awan. Jelas kelihatan di atas kami, Bima Sakti yang mengagumkan, dipenuhi bintang dan bintang jatuh yang muncul sekali-sekala. Semasa kami kagum dengan keagungan ciptaan Tuhan, kami merasakan hubungan yang penuh takzim dengan-Nya. Anak-anak kami, yang telah dibesarkan di Hong Kong, tidak pernah merasakan pengalaman sebegini. Mereka tanya dengan jujur sama ada kami tinggal di bawah langit yang sama di rumah. Saya cuba untuk jelaskan kepada mereka bahawa ia adalah langit yang sama, tetapi pencemaran udara dan cahaya di tempat kami tinggal menghalang kami daripada melihat bintang-bintang ini walaupun ia berada di sana.

Tulisan suci mengajar kita bahawa “beriman bererti yakin sungguh-sungguh akan perkara-perkara yang diharapkan, dan mempunyai kepastian akan perkara-perkara yang tidak dapat kita lihat.” Walaupun kecelaruan gangguan dan godaan terestrial mengaburkan penglihatan rohani kita, apabila kita beriman kepada Tuhan dan Putera-Nya, Yesus Kristus, kita terima jaminan yang jelas tentang realiti Mereka dan keprihatinan Mereka terhadap kita.

Dalam Kitab Mormon, nabi Lehi melihat “suatu pohon, yang buahnya dihasrati untuk menjadikan seseorang gembira.” dan “bahawa ianya paling manis, melebihi segala lain.” Apabila dia merasai buah itu, jiwanya dipenuhi dengan kebahagiaan yang sangat besar, dan dia mahu keluarganya turut merasakan juga. Kita belajar bahawa pohon itu mewakili “kasih Tuhan,” dan seperti Lehi, kita juga boleh terima kesaksian yang penuh kegembiraan tentang Tuhan semasa kita menjemput Dia ke dalam kehidupan kita.

Yesus Kristus mewakili kasih Bapa Syurgawi kepada kita. Melalui korban tebusan-Nya, Dia mengambil ke atas diri-Nya dosa-dosa kita dan diseksa kerana kederhakaan kita. Dia secara peribadi telah menanggung kepiluan kita, memikul dukacita kita dan mengambil ke atas diri-Nya kesakitan dan penyakit kita. Dia hantar Roh Kudus untuk menenangkan kita, dan hasil daripada Roh termasuk kebahagiaan, kedamaian dan iman, yang memenuhi kita dengan harapan dan kasih.

Walaupun kasih Tuhan boleh diakses oleh semua orang, ramai yang mencarinya dengan tekun, sementara yang lain ingin merasakan kasih Tuhan tetapi tidak percaya bahawa mereka layak menerimanya. Sesetengah yang lain berusaha sedaya upaya untuk berpegang padanya. Tulisan suci dan nabi Tuhan mengajar kita bahawa kita boleh secara konsisten mengalami kasih Tuhan apabila, melalui rahmat Yesus Kristus, kita berulang kali bertaubat, mengampuni, berusaha untuk patuhi perintah-perintah-Nya, dan melayani orang lain tanpa pentingkan diri sendiri. Kita merasa kasih Tuhan apabila kita lakukan perkara yang mendekatkan kita kepada-Nya, seperti bercakap dengan-Nya setiap hari melalui doa, dan kaji tulisan suci dan berhenti melakukan perkara yang menjauhkan kita daripada-Nya, seperti sombong, berselisih dan memberontak.

Presiden Russell M. Nelson telah menjemput kita untuk “membuang, halangan lama dalam kehidupan kita dengan bantuan Juruselamat.” dan untuk “mengenepikan kepahitan.” Dia telah menggalakkan kita untuk “mengukuhkan landasan rohani” dengan “memusatkan kehidupan kita kepada Juruselamat dan tatacara dan perjanjian bait suci-Nya.” Dia janjikan bahawa “apabila kita mentaati perjanjian bait suci kita, kita memperoleh akses yang lebih besar ke atas kuasa pengukuhan Tuhan. … Kita mengalami kasih suci Yesus Kristus dan Bapa Syurgawi kita dengan berlimpah-limpah!”

Saya ada seorang rakan yang diberkati dengan keluarga yang indah dan kerjaya yang menjanjikan. Ini berubah apabila satu penyakit menyebabkan dia tidak dapat bekerja, kemudian diikuti dengan perceraian. Tahun-tahun yang berlalu telah sukar, tetapi kasihnya kepada anak-anaknya dan perjanjian yang telah dia buat dengan Tuhan telah menyokongnya. Suatu hari dia mendapat tahu bahawa bekas pasangannya telah berkahwin lagi dan meminta pembatalan pemeteraian bait suci mereka. Dia berasa resah dan keliru. Dia mencari kedamaian dan pemahaman di rumah Tuhan. Sehari selepas kunjungannya, saya menerima pesanan berikut daripada dia:

“Saya mengalami pengalaman yang luar biasa di bait suci semalam. Saya masih menyimpan sedikit kebencian. … Saya tahu saya mesti berubah, dan saya telah berdoa sepanjang minggu untuk berbuat demikian. … Semalam di bait suci saya benar-benar merasakan Roh hilangkan rasa benci daripada hati saya. … Ia sangat melegakan apabila bebas daripadanya. … Satu beban fizikal yang memberi tekanan kepada saya sudah diangkat.”

Walaupun dia masih ada cabarannya, rakan saya menghargai pengalaman itu di rumah Tuhan, di mana kuasa pembebasan kasih Tuhan telah membantunya berasa lebih dekat dengan Tuhan, lebih optimis tentang kehidupan, dan kurang bimbang tentang masa depannya.

Bila kita mengalami kasih Tuhan, kita boleh menanggung beban kita dengan mudah dan tunduk dengan kesabaran dan dengan riang pada segala kehendak-Nya. Kita ada keyakinan bahawa Tuhan akan ingat perjanjian-Nya dengan kita, mengunjungi kita dalam kesengsaraan, dan membebaskan kita dari perhambaan. Kita juga ingin berkongsi kegembiraan yang kita rasakan dengan keluarga dan dengan orang yang kita kasihi. Seperti keluarga Lehi, setiap orang ada hak pilihan untuk memilih sama ada untuk mengambil buah itu atau tidak, tetapi peluang kita adalah untuk mengasihi, berkongsi, dan menjemput dengan cara di mana orang yang kita kasihi dapat merasakan kasih Tuhan.

Untuk bantu orang lain rasakan kasih Tuhan, kita perlu memupuk dalam diri kita sifat-sifat Kristus seperti kerendahan hati, kasih ihsan, rasa kasihan dan kesabaran, dan membantu memalingkan orang lain kepada Juruselamat dengan ikuti dua perintah yang terpenting iaitu kasihi Tuhan dan kasihi sesama kita.

Salah seorang anak lelaki kami bergelut dengan menyesuaikan diri dan masalah harga diri semasa remajanya. Saya dan isteri saya berdoa untuk tahu cara membantunya, dan kami bersedia melakukan apa sahaja yang Tuhan mahu kami lakukan. Suatu hari saya berasa terdorong untuk bertanya kepada presiden kuorum penatua saya sama ada dia tahu sesiapa yang memerlukan yang boleh saya lawati bersama dengan anak saya. Selepas berfikir, dia minta kami kunjungi seorang wanita dengan masalah kesihatan yang ketara dan dengan kebenaran daripada presiden cabang, untuk membawa sakramen kepadanya setiap minggu. Saya gembira tetapi juga bimbang tentang reaksi anak saya terhadap komitmen mingguan ini.

Pada kunjungan pertama kami, hati kami pedih untuk wanita yang dikasihi ini, kerana dia sentiasa mengalami kesakitan. Dia sangat bersyukur atas sakramen, dan kami seronok kerana dapat kunjungi dia dan suaminya. Selepas beberapa kunjungan, pada suatu hari Ahad saya tiada di rumah dan tidak dapat menemani anak saya, tetapi saya mengingatkan dia tentang tugasan kami. Apabila saya pulang ke rumah, saya tidak sabar untuk dengar tentang kunjungan itu. Anak saya menjawab bahawa dia tidak fikir rakan sekelasnya boleh melakukan perkara hebat seperti ini. Dan dia berkata rakan dia bawa abangnya bersama untuk membantu, dan sakramen itu berjalan lancar, tetapi saudari yang dikasihi telah bersedih sepanjang minggu kerana dia telah menjemput rakan-rakan ke rumahnya untuk menonton filem, tetapi pemain videonya tidak berfungsi. Anak saya berkata dia mencari dalam talian, menemui masalahnya, dan membaikinya pada masa itu juga. Dia berasa berguna, gembira, dan dipercayai untuk lakukan sesuatu yang menceriakan hari wanita itu. Dia rasa kasih Tuhan untuknya.

Jika di sebalik usaha terbaik anda kehidupan ini gelap, jika anda rasa bahawa doa anda tidak didengari, atau jika anda tidak dapat rasa kasih Tuhan, ketahuilah bahawa setiap usaha anda penting dan, sebegitu pasti seperti bintang-bintang di atas kita, bahawa Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus kenal, dengar, dan kasihi anda.

Pada suatu masa, ketika pengikut-Nya berada di dalam perahu “diumbang-ambingkan [oleh] ombak,” Juruselamat berjalan ke arah mereka di atas air dan yakinkan mereka, berkata “Tabahkan hati kamu! Aku Yesus. Jangan takut.” Apabila Petrus hendak berjalan kepada Juruselamat di atas air, Yesus memanggilnya, sambil berkata, “Marilah.” Dan ketika Petrus hilang tumpuan dan mula tenggelam, Juruselamat segera menghulurkan tangan-Nya lalu memegang dia dan bawa dia ke tempat selamat sambil berkata, “Mengapa engkau kurang percaya kepada-Ku? Mengapa engkau meragui Aku?”

Apabila angin menentang kita dalam hidup kita, adakah kita bersedia untuk menjadi riang dan berani? Bagaimanakah kita boleh ingat bahawa Juruselamat tidak meninggalkan kita dan bahawa Dia berada dekat dengan kita, mungkin dengan cara yang belum kita kenali? Adakah kita sanggup untuk pergi kepada-Nya dalam iman, terutamanya apabila jalan di hadapan kita kelihatan mustahil? Dan dengan cara apa Dia mengangkat kita ke tempat yang selamat apabila kita gagal? Bagaimana kita boleh memandang dengan penuh iman kepada-Nya dalam setiap pemikiran, tanpa keraguan atau ketakutan?

Jika anda ingin rasa kasih Tuhan dengan lebih banyak dalam hidup anda, izinkan saya menjemput anda untuk pertimbangkan perkara berikut:

  • Pertama, berhenti seketika dengan kerap untuk ingat bahawa anda ialah anak Tuhan dan fikirkan perkara yang anda syukuri.

  • Kedua, berdoalah setiap hari, minta Bapa Syurgawi untuk membantu anda ketahui siapa di sekeliling anda perlu merasakan kasih-Nya.

  • Ketiga, bertanya dengan ikhlas apa yang boleh anda lakukan untuk membantu individu itu merasakan kasih Tuhan.

  • Dan keempat, bertindak segera berdasarkan ilham yang anda terima.

Jika kita secara konsisten berdoa dan bertanya bagi pihak orang lain, Tuhan akan tunjukkan kepada kita orang yang boleh kita bantu. Dan jika kita bertindak dengan segera, kita boleh menjadi sarana di mana Dia menjawab doa mereka. Dengan berbuat demikian, pada waktunya, kita akan terima jawapan kepada doa kita, dan kita akan rasa kasih Tuhan dalam hidup kita sendiri.

Pemandangan diluar tingkap kapal terbang.

Beberapa bulan yang lalu semasa melancong di Vietnam, saya dan isteri saya berada dalam penerbangan yang berlepas dalam ribut yang kuat. Pergolakan itu teruk, dan awan gelap, hujan lebat, dan kilat dapat dilihat dari tingkap kami. Selepas penerbangan yang panjang dan bergelora, kapal terbang kami akhirnya naik di atas awan ribut dan muncul dengan pemandangan yang indah ini. Kami diingatkan sekali lagi tentang Bapa Syurgawi kami dan Yesus Kristus dan merasakan kasih besar Mereka kepada kami.

Rakan-rakan yang dikasihi, sebagai seorang yang telah mengalami kasih Tuhan, saya dengan sukacita menyaksikan bahawa Juruselamat Yesus Kristus adalah kasih Tuhan. Kasih-Nya kepada kita adalah sempurna, peribadi, dan kekal. Semasa kita setia mengikuti-Nya, semoga kita dipenuhi dengan kasih-Nya dan semoga kita menjadi rumah api yang membimbing orang lain kepada kasih-Nya. Dalam nama Yesus Kristus, amin.