“Dekatlah kepada-Ku.”
Yesus Kristus mengasihi setiap kita. Dia menawarkan kita peluang untuk dekatkan diri kepada-Nya.
Saudara dan saudariku yang terkasih, saya gembira dapat bersama anda dalam Persidangan Umum Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir ini. Inilah Gereja-Nya. Kita berkumpul di bangunan dan rumah di seluruh dunia dalam nama-Nya.
Kita ambil ke atas diri kita nama-Nya apabila kita memasuki kerajaan-Nya. Dia ialah Putera Tuhan yang telah dibangkitkan dan dimuliakan. Kita ialah manusia fana, terikat dengan dosa dan kematian. Namun, dalam kasih-Nya bagi setiap kita, Juruselamat menjemput kita untuk datang dekat kepada-Nya.
Inilah jemputan Dia kepada kita: “Mendekatlah kepada-Ku dan Aku akan mendekat kepadamu; carilah Aku dengan tekun maka kamu akan menemukan Aku; mintalah, dan kamu akan menerima; ketuklah, dan hal itu akan dibukakan untukmu.”
Ada kalanya kita berasa dekat dengan Juruselamat Yesus Kristus. Namun, kadang-kadang dalam ujian fana kita, kita berasa menjauh daripada-Nya dan menginginkan kepastian bahawa Dia tahu apa yang ada di dalam hati kita dan mengasihi kita sebagai individu.
Jemputan Juruselamat termasuk cara untuk merasakan kepastian itu. Dekatlah kepada-Nya dengan sentiasa mengingati Dia. Carilah Dia dengan tekun melalui kajian tulisan suci. Bertanya dalam doa yang tulus kepada Bapa Syurgawi untuk rasa dekat kepada Putera Terkasih-Nya.
Ada cara mudah untuk memikirkannya. Itulah yang akan anda lakukan jika anda berpisah seketika dengan rakan-rakan terkasih. Anda akan mencari cara untuk berkomunikasi dengan mereka, anda akan hargai sebarang pesanan yang diterima daripada mereka, dan anda akan lakukan semua yang boleh untuk membantu mereka.
Semakin banyak itu berlaku, semakin lama ia bertahan, semakin erat ikatan kasih, dan anda akan merasakan diri anda semakin dekat. Jika banyak masa berlalu tanpa komunikasi yang dihargai dan peluang untuk membantu satu sama lain, ikatan itu akan lemah.
Yesus Kristus mengasihi setiap kita. Dia menawarkan peluang untuk dekatkan diri kepada-Nya. Seperti dengan rakan yang penyayang, anda akan lakukannya dengan cara yang sama, dengan berkomunikasi melalui doa kepada Bapa Syurgawi dalam nama Yesus Kristus, mencari bimbingan daripada Roh Kudus, dan kemudian melayani orang lain untuk Juruselamat dengan gembira. Tidak lama kemudian anda akan merasakan berkat bila mendekatkan diri kepada-Nya.
Pada masa muda, saya mengalami sukacita untuk mendekati Juruselamat—dan Dia mendekati saya—melalui tindakan kepatuhan kepada perintah. Semasa saya muda, pertemuan sakramen diadakan pada waktu petang. Saya masih ingat pada malam itu, 75 tahun yang lalu, masa itu gelap dan sejuk di luar. Saya ingat perasaan sukacita dan kasih ketika saya sedar bahawa saya telah mematuhi perintah untuk berkumpul bersama Orang Suci dan mengambil sakramen, berjanji pada Bapa Syurgawi untuk selalu ingat Putera-Nya dan taat kepada perintah-Nya.
Di akhir pertemuan pada malam itu, kami nyanyikan lagu rohani “Ya, Tinggallah Besertaku,” perkataan yang tidak dilupakan, “Ya, Yesus tinggal sertaku s’panjang malam ini.”
Ayat ini membawa rasa Roh yang luar biasa kepada saya, walaupun masih muda. Saya rasa kasih dan keakraban Juruselamat pada petang itu melalui peneman Roh Kudus.
Bertahun kemudian saya ingin merasai semula perasaan kasih Juruselamat dan rasa dekat dengan Tuhan seperti pertemuan sakramen masa muda saya. Jadi saya mematuhi satu lagi perintah mudah: saya menyelidiki tulisan suci.
Dalam kitab Lukas, saya baca tentang hari ketiga selepas Penyaliban dan pengebumian-Nya, ketika hamba-nya yang setia datang, atas kasih kepada Juruselamat, untuk menyapu minyak di tubuh-Nya. Apabila tiba, mereka menemui bahawa batu telah digulingkan dari makam dan melihat bahawa mayat-Nya hilang.
Dua malaikat berdiri dekat dan bertanya mengapa mereka takut:
“Mengapakah kamu mencari orang hidup antara orang mati?
“Dia tidak ada di sini, Dia sudah bangkit. Ingatlah akan apa yang telah dikatakan-Nya kepada kamu sewaktu Dia di Galilea,
“Anak Manusia mesti diserahkan kepada orang berdosa, lalu disalibkan, dan bangkit pada hari ketiga.”
Petang itu, dua orang pengikut berjalan dari Yerusalem ke Emaus, dan Tuhan yang telah bangkit menampakkan diri dan berjalan bersama mereka.
Kitab Lukas membenarkan kita berjalan bersama mereka petang itu:
“Sedang mereka bercakap dan bertukar pendapat, Yesus datang menghampiri mereka dan berjalan bersama-sama mereka.
“Mereka nampak Yesus, tetapi entah bagaimana mereka tidak mengenal Dia.
“Yesus berkata kepada mereka, ‘Apakah yang kamu percakapkan dalam perjalanan kamu ini?’ Mereka berhenti dengan muka yang sedih.
Lalu seorang daripada mereka yang bernama Kleopas bertanya kepada Yesus, ‘Adakah tuan satu-satunya orang di Yerusalem yang tidak mengetahui apa yang telah berlaku akhir-akhir ini?’ ”
Mereka beritahu Dia kesedihan mereka bahawa Yesus telah mati ketika mereka percaya bahawa Dia akan jadi Penebus Israel.
Pasti ada kasih dalam suara Tuhan semasa Dia bercakap kepada dua orang yang berdukacita dan sedih ini:
Semasa saya terus membaca, kata-kata ini mengharukan saya, seperti yang saya rasakan semasa muda:
“Mereka hampir tiba di pekan yang ditujui. Yesus kelihatannya seolah-olah hendak meneruskan perjalanan
Tetapi mereka menjemput Dia bermalam. Mereka berkata, ‘Tinggallah dengan kami. Hari hampir malam, lagi pun sudah mulai gelap.’ Oleh itu Yesus masuk ke rumah untuk bermalam dengan mereka.”
Juruselamat menerima jemputan malam itu untuk masuk ke rumah pengikut-Nya. Dia makan bersama-sama mereka. Dia mengambil roti, mengucap syukur kepada Tuhan, lalu membahagi roti itu, dan memberikannya kepada mereka. Maka sedarlah mereka bahawa orang itu Yesus. Tetapi Yesus lenyap daripada pandangan mereka.
Lukas mencatat bagi kita perasaan para pengikut yang diberkati itu: “Kata mereka seorang kepada yang lain: “Tidakkah hati kita berasa seperti meluap, ketika Dia berkata-kata kepada kita di tengah jalan dan menerangkan isi Alkitab kepada kita?”
Kedua pengikut itu bergegas ke Yerusalem untuk memberitahu sebelas Rasul apa yang telah berlaku. Semasa berkongsi pengalaman mereka, Juruselamat muncul semula.
Yesus berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata, “Sejahteralah kamu!” Dia mengulangi nubuat misi-Nya untuk menebus dosa semua anak Bapa-Nya dan untuk memecah ikatan kematian.
“Yesus berkata kepada mereka, sudah tertulis bahawa Penyelamat yang diutus oleh Tuhan mesti mengalami penderitaan dan mesti bangkit daripada kematian pada hari ketiga.
Demi nama-Nya, perkhabaran bahawa manusia mesti bertaubat daripada dosa dan bahawa Tuhan akan mengampunkan dosa, mesti diisytiharkan kepada semua bangsa mulai dari Yerusalem.
Kamulah saksi semua perkara ini.”
Sama seperti pengikut-Nya, setiap anak Bapa Syurgawi yang telah memilih untuk masuk melalui gerbang pembaptisan berjanji untuk menjadi saksi Juruselamat dan membantu orang yang memerlukan sepanjang kehidupan fana kita. Komitmen ini dijelaskan kepada kita oleh nabi hebat Kitab Mormon Alma berabad lalu di Perairan Mormon:
“Kerana kamu berhasrat untuk datang ke dalam kawanan Tuhan, dan untuk dipanggil umat-Nya, dan bersedia untuk menanggung beban satu sama lain, agar ianya boleh menjadi ringan;
Ya, dan bersedia untuk berduka nestapa bersama mereka yang berduka nestapa; ya, dan menghibur mereka yang memerlukan penghiburan, dan untuk berdiri sebagai saksi bagi Tuhan di segala waktu dan dalam segala hal, dan di segala tempat … , bahkan sampai kematian, agar kamu boleh ditebus oleh Tuhan, … agar kamu boleh memperoleh kehidupan abadi.”
Apabila anda setia pada janji ini, anda akan tahu Tuhan menepati janji-Nya untuk menjadi satu dalam pelayananmu, menjadikan beban anda ringan. Anda akan mengenali Juruselamat, dan pada waktunya anda akan menjadi seperti Dia dan “disempurnakan di dalam Dia.” Dengan membantu orang lain untuk Juruselamat, anda akan merasa dekat kepada-Nya.
Ramai di antara anda mempunyai orang terkasih yang menyimpang dari jalan ke kehidupan abadi. Anda berfikir apa yang boleh anda lakukan untuk membawa mereka kembali. Anda boleh bergantung pada Tuhan untuk mendekat kepada mereka semasa anda melayani-Nya dalam iman.
Anda mungkin ingat janji Tuhan kepada Joseph Smith dan Sidney Rigdon ketika mereka berada jauh dari keluarga mereka kerana pekerjaan-Nya: “Teman-teman-Ku Sidney dan Joseph, keluargamu baik-baik saja; mereka berada dalam tangan-Ku, dan Aku akan memperlakukan mereka yang Aku anggap baik; sebab di dalam-Ku ada semua kekuasaan.”
Bila anda bantu orang yang memerlukan, kuasa Tuhan akan menyokong anda. Tangan-Nya dihulurkan bersama anda untuk membantu dan memberkati anak Bapa Syurgawi kita.
Setiap pengikut perjanjian Yesus Kristus akan menerima arahan-Nya daripada Roh semasa mereka diberkati dan melayani orang lain untuk-Nya. Dan mereka akan merasakan kasih Juruselamat dan memperoleh kebahagiaan ketika mendekat kepada-Nya.
Saya ialah saksi Kebangkitan Tuhan dengan kepastian seolah-olah saya bersama dua pengikut di jalan Emaus. Saya tahu Dia hidup.
Inilah Gereja-Nya—Gereja Yesus Kristus. Kita akan, pada Hari Penghakiman, berdiri di depan Juruselamat, bersemuka. Ia akan jadi masa kebahagiaan besar bagi mereka, dalam kehidupan ini, yang telah mendekatkan diri kepada-Nya dalam pelayanan-Nya boleh menanti dengan penuh semangat untuk mendengar Dia katakan: “Bagus, kamu hamba yang baik dan setia.”
Saya bersaksi sebagai saksi Juruselamat yang bangkit dan Penebus kita, dalam nama Yesus Kristus, amin.