Persediaan Peribadi untuk Bertemu dengan Juruselamat
Mengikuti ajaran-ajaran Juruselamat. Arahan-Nya bukanlah misteri atau kompleks. Apabila kita mengikut arahan tersebut, kita tidak perlu takut atau resah.
Saudara dan saudari yang saya kasihi, Oktober lepas, Presiden Russell M. Nelson mengajar, “Sekarang adalah masa untuk anda dan saya bersedia untuk Kedatangan Kedua Tuhan dan Jeruselamat kita, Yesus Kristus.” Apabila Presiden Nelson bercakap tentang Kedatangan Kedua, dia sentiasa bercakap dengan optimistik dan riang. Namun, seorang budak perempuan sekolah Primer baru-baru ini beritahu bahawa dia berasa resah apabila Kedatangan Kedua disebut. Dia berkata, “Saya takut kerana perkara tidak baik akan berlaku sebelum Yesus datang semula.”
Bukan kanak-kanak sahaja yang berasa sedemikian. Nasihat terbaik untuk dia, anda, dan saya adalah untuk mengikuti ajaran Juruselamat. Arahan-Nya bukanlah misteri atau kompleks. Apabila kita mengikut arahan tersebut, kita tidak perlu takut atau resah.
Di akhir pelayanan duniawi-Nya, Yesus Kristus ditanya jika Dia akan datang lagi. Dia menjawab, melalui tiga perumpamaan, dicatat dalam Matius 25, tentang persediaan untuk bertemu dengan Dia—sama ada di Kedatangan Kedua atau apabila kita meninggalkan dunia ini. Ajaran-ajaran ini penting kerana persediaan peribadi untuk bertemu dengan-Nya adalah teras kepada tujuan hidup.
Perumpamaan pertama Juruselamat ceritakan ialah tentang sepuluh orang gadis. Dalam perumpamaan ini, sepuluh orang gadis pergi ke satu jamuan perkahwinan. Lima yang bijak telah membawa minyak untuk diisi ke dalam pelita, dan lima lagi tidak. Apabila ketibaan pengantin lelaki diumumkan, lima orang gadis kurang bijak pergi membeli minyak. Apabila mereka kembali, ia sudah terlambat; pintu jamuan telah ditutup.
Yesus mengenal pasti tiga aspek perumpamaan untuk membantu kita. Dia menjelaskan:
“Dan pada hari itu, apabila Aku akan datang dalam kemuliaan-Ku, perumpamaan itu akan digenapi yang mana Aku telah firmankan tentang sepuluh orang gadis.
“Kerana mereka yang bijak dan telah menerima kebenaran, dan telah mengambil Roh Kudus untuk pembimbing mereka, dan tidak terpedaya—sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, mereka … akan bertahan pada hari itu.”
Dalam kata lain, mereka tidak perlu takut atau resah kerana mereka akan hidup dan diberkati. Mereka akan menang.
Jika kita bijak, kita memperoleh kebenaran dengan menerima injil Yesus Kristus melalui tatacara imamat dan perjanjian. Seterusnya, kita berusaha untuk kekal layak bagi memperoleh Roh Kudus bersama kita selalu. Kemampuan ini perlu diperoleh secara individu dan peribadi, setitis demi setitis. Tindakan pengabadian yang konsisten dan peribadi menjemput Roh Kudus untuk membimbing kita.
Unsur ketiga yang Yesus tekankan ialah untuk mengelak daripada diperdaya. Juruselamat telah memberi amaran:
“Berjaga-jagalah supaya kamu tidak tertipu.
“Banyak orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, ‘Aku Penyelamat yang diutus oleh Tuhan!’ Mereka akan menipu banyak orang.”
Juruselamat tahu penyamar akan cuba memperdaya umat pilihan Tuhan dan ramai pengikut akan ditipu. Kita tidak harus percaya mereka yang mendakwa secara palsu akan kebenaran ilahi atau memasuki padang gurun atau ruang rahsia untuk diperdaya.
Kitab Mormon mengajar kita bagaimana kita boleh membezakan penipu daripada pengikut. Para pengikut sentiasa menggalakkan kepercayaan dalam Tuhan, melayani Dia, dan melakukan kebaikan. Kita tidak akan diperdaya apabila kita mencari dan mendapat nasihat daripada individu yang juga pengikut setia Juruselamat.
Kita juga boleh mengelak daripada diperdaya dengan sentiasa menyembah di bait suci. Ini membantu kita kekalkan pandangan abadi, lindungi kita dari pengaruh yang mungkin mengalih kita dari perjalanan perjanjian.
Pelajaran penting tentang perumpamaan sepuluh orang gadis ini bahawa kita menjadi bijak apabila menerima injil, berusaha dapatkan Roh Kudus bersama kita, dan mengelak daripada diperdaya. Lima orang gadis bijak tidak dapat membantu mereka yang tiada minyak; tiada siapa yang dapat menerima injil, dibimbing Roh Kudus, dan mengelak daripada diperdaya bagi pihak kita. Kita perlu lakukan ini untuk diri sendiri.
Kemudian Juruselamat ceritakan perumpamaan tentang wang emas. Dalam perumpamaan ini, seorang lelaki telah memberi jumlah duit yang berbeza, dipanggil wang emas, kepada tiga hamba. Kepada hamba pertama diberi lima ribu keping wang emas, yang kedua diberi dua ribu keping, dan yang ketiga seribu keping. Masa berlalu, hamba pertama dan kedua menggandakan pendapatan mereka. Namun hamba ketiga hanya menyembunyikan wang emasnya. Kepada dua hamba yang telah menggandakan wang emas mereka, lelaki itu berkata, “Bagus, … kamu hamba yang baik dan setia: kamu dapat dipercayakan dengan yang sedikit, aku akan mempercayakan yang lebih banyak kepadamu. Masuklah dan bersukacitalah bersama-sama tuanmu!”
Lelaki itu menegur hamba yang telah menyembunyikan wang emas kerana “jahat dan malas.” Wang emas hamba itu diambil dan dia dihalau. Sekiranya hamba ini menggandakan wang emasnya, dia akan menerima pujian dan ganjaran yang sama seperti hamba lain.
Satu pesanan perumpamaan ini ialah Tuhan mengharapkan kita kembangkan kebolehan yang telah diberi, tetapi Dia tidak mahu kita bandingkan kebolehan kita dengan orang lain. Pertimbangkan pandangan yang diberi oleh ilmuwan Hasidik abad ke-18, Zusya dari Anipol. Zusya adalah seorang guru terkenal yang mula takut apabila dia menghampiri kematian. Para pengikutnya bertanya, “Tuan, mengapa kamu gementar? Kamu mempunyai hidup yang baik; sudah pasti Tuhan akan memberi kamu ganjaran besar.”
Zusya berkata: “Jika Tuhan berkata, ‘Zusya, mengapa kamu bukan seperti Musa?’ Saya akan jawab, ‘Kerana kamu tidak memberi saya roh sehebat Musa.’ Dan jika saya berdiri menghadap Tuhan dan Dia berfirman, ‘Zusya, mengapa kamu bukan seperti Salomo?’ Saya akan jawab, ‘Kerana kamu tidak memberi saya kebijaksanaan Salomo.’ Tetapi, apa yang akan saya katakan jika saya berdiri menghadap Pencipta saya dan Dia berkata, ‘Zusya, mengapa kamu tidak seperti Zusya? Mengapa kamu bukan orang yang saya beri keupayaan untuk menjadi?’ Ah, itulah sebab saya gementar.”
Sememangnya, Tuhan akan kecewa jika kita tidak bergantung kepada Juruselamat untuk kembangkan kebolehan yang kita terima. Dengan bantuan-Nya yang penuh kasih, Dia harapkan kita menjadi versi terbaik diri kita. Tahap kebolehan kita yang berbeza tidak penting bagi Dia. Maka itu juga bagi kita.
Akhir sekali, Juruselamat ceritakan perumpamaan tentang domba dan kambing. Apabila Dia kembali dalam kemuliaan-Nya, “umat manusia di bumi ini akan dikumpulkan di hadapan-Nya. Kemudian Dia akan memisahkan mereka menjadi dua kumpulan, seperti gembala memisahkan domba daripada kambing, anak manusia akan mengumpulkan orang yang melakukan kehendak Tuhan di sebelah kanan-Nya dan yang lain di sebelah kiri-Nya.”
Mereka yang di sebelah kanan akan mewarisi kerajaan-Nya, dan mereka yang di sebelah kiri tidak menerima warisan. Ciri yang membezakan ialah sama ada mereka memberi Dia makan ketika lapar, memberi minum ketika dahaga, menyambut Dia ke dalam rumah ketika Dia seorang asing, memberi Dia pakaian ketika tidak berpakaian, atau melawat Dia ketika jatuh sakit atau dipenjarakan.
Semua orang yang berada di sebelah tangan kanan dan tangan kiri kebingungan. Mereka bertanya bilakah mereka telah atau tidak, memberi Dia makanan, minuman, dan pakaian atau membantu Dia apabila Dia lemah. Juruselamat menjawab, “Ketahuilah, manakala kamu melakukan perkara itu untuk salah seorang daripada saudara-Ku, walaupun dia hina, kamu telah melakukannya untuk-Ku.”
Pesanan perumpamaan adalah jelas: apabila kita melayani sesama, kita melayani Tuhan; apabila tidak, kita mengecewakan. Dia harap kita gunakan kurnia, bakat, dan kebolehan untuk memberkati kehidupan anak-anak Bapa Syurgawi. Dorongan ilahi untuk melayani orang digambarkan dalam satu puisi pada abad ke-19 oleh penyair Finland, Johan Ludvig Runeberg. Kami adik-beradik sering mendengar puisi “Petani Paavo” sepanjang zaman kanak-kanak kami. Dalam puisi itu, Paavo seorang petani miskin yang tinggal bersama isteri dan anak-anaknya di kawasan tasik di tengah Finland. Dalam beberapa tahun berturut-turut, hampir semua tanamannya musnah disebabkan limpahan air semasa cairan salji musim bunga, ribut musim panas atau embun beku awal musim luruh. Setiap kali hasil tuaian sedikit, isteri petani mengeluh, “Paavo, Paavo, kamu lelaki tua yang malang, Tuhan telah meninggalkan kita.” Paavo, membalas dengan tabah, “Campurkan kulit kayu dengan tepung rai untuk membuat roti supaya anak-anak tidak lapar. Saya akan bekerja keras untuk keringkan ladang berpaya. Tuhan sedang menguji kita, namun Dia akan sediakan.”
Setiap kali tanaman musnah, Paavo menyuruh isterinya untuk gandakan kulit kayu yang dia campurkan dalam tepung untuk mengelak kebuluran. Dia juga bekerja keras, menggali parit untuk mengalirkan air dan mengurangkan risiko ladang terjejas akibat limpahan air semasa musim bunga dan embun beku awal musim luruh.
Setelah beberapa bertahun bekerja keras, Paavo akhirnya menuai hasil yang besar. Isterinya dengan gembira berkata, “Paavo, Paavo, ini masa yang menggembirakan! Sekarang kita boleh buang kulit kayu, dan buat roti hanya dengan tepung rai.” Tetapi Paavo mengambil tangan isterinya dan berkata, “Campur separuh tepung dengan kulit kayu, kerana ladang jiran kita telah membeku.” Paavo mengorbankan hasil keluarganya untuk membantu jiran yang susah dan memerlukan.
Ajaran perumpamaan Juruselamat tentang domba dan kambing ialah kita harus menggunakan kurnia yang telah diberi—masa, bakat, dan berkat—untuk melayani anak-anak Bapa Syurgawi, terutamanya yang amat lemah dan memerlukan.
Saya menjemput kanak-kanak sekolah Primer yang disebut tadi, dan setiap anda, untuk mengikut Yesus Kristus dan percaya akan Roh Kudus seperti anda lakukan kepada rakan yang dikasihi. Bergantunglah kepada mereka yang mengasihi anda dan Juruselamat. Cari bimbingan Tuhan untuk kembangkan kebolehan unik anda, dan bantu orang lain, walaupun susah. Anda akan bersedia untuk bertemu dengan Juruselamat, dan anda boleh sertai Presiden Nelson menjadi optimistik dan riang. Berbuat demikian, anda bantu dunia bersiap untuk Kedatangan Kedua Yesus Kristus, anda akan diberkati dengan harapan yang mencukupi untuk masuk ke dalam istirahat dan kegembiraan Tuhan, kini dan di masa depan.
Ketika kita nyanyikan satu lagu rohani baharu:
Dalam nama Yesus Kristus, amin.