Persidangan Umum
Menghargai Kehidupan
Persidangan umum April 2025


14:10

Menghargai Kehidupan

Kehidupan adalah bahagian paling berharga dalam rancangan sempurna Bapa kita, dan melalui ketetapan-Nya kita hargai dan pelihara kehidupan.

Juruselamat, Yesus Kristus mengajar, “Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamu pengikut-pengikut-Ku.”

Seorang uskup di Utah berkongsi dengan saya tentang kasih yang melimpah di bahagian mereka untuk seorang remaja puteri dan keluarganya. Melalui beberapa siri peristiwa indah, ibu bapanya nekad untuk kembali kepada Juruselamat dan Gereja-Nya. Semasa mereka jauh dari Gereja, anak perempuan remaja mereka terlibat dengan seorang lelaki muda. Setelah kembali, anak perempuan berharga ini merasakan kasih luar biasa daripada Bapa Syurgawi semasa pertemuan kesaksian Remaja Puteri. Dia bertekad untuk patuhi perintah-perintah dengan lebih sepenuhnya. Dia menulis, “Saya mulakan proses pertaubatan dengan uskup saya.”

Tidak lama selepas itu, dia jatuh sakit. Dalam kata-katanya: “[Satu] ujian menunjukkan … saya mengandung. Saya … mula menangis. … Bapa memeluk dan yakinkan saya bahawa semua [akan] Baik saja. … Teman lelaki saya … minta saya gugurkan bayi itu. … Saya menolak.”

Menjaga Mereka yang Memerlukan.

Dia teruskan: “Saya menerima kasih dan sokongan besar daripada keluarga bahagian kami. Ia sangat luar biasa. Uskup dan presiden Remaja Puteri [saya] berusaha keras untuk menunjukkan kasih dan sokongan mereka. … Saya telah melihat tangan Tuhan … membimbing saya dan keluarga. … Bahagian seperti ini adalah satu keluarga yang semua orang perlukan, terutamanya remaja puteri dalam situasi saya.”

Dia, keluarganya, dan keluarga bahagian menyambut kelahiran bayi lelakinya pada Februari lalu dengan penuh kasih.

Tuhan Yesus Kristus

Presiden Russell M. Nelson berkata, “Satu ciri Gereja Tuhan yang sejati dan hidup adalah usaha yang teratur … melayani setiap anak Tuhan … [melayani dengan kebaikan yang penuh kasih] kepada yang satu, sama seperti Dia melakukan.”

Membantu Pilihan Soleh

Apabila seorang wanita bujang dapati dia hamil tanpa diduga, masalah kesihatan, pergolakan rohani, rasa malu, masalah kewangan, soalan pendidikan, ketidakpastian perkahwinan, dan rasa kecewa akan impian yang musnah, dalam kesakitan dan kebingungan, menyebabkan wanita yang bijak mengambil langkah yang membawa kesakitan dan penyesalan.

Untuk anda yang telah merasakan kesakitan dan penyesalan yang mendalam atau telah melakukan pengguguran, sila ingatlah: Walaupun kita tidak dapat mengubah masa lalu, Tuhan dapat sembuhkan masa lalu. Pengampunan dapat datang melalui mukjizat rahmat penebusan-Nya jika anda berpaling kepada-Nya dengan hati yang rendah hati dan bertaubat.

Dua perkataan sering dikaitkan kepada kesucian kelahiran fana: kehidupan dan pilihan. Kehidupan adalah bahagian paling berharga dalam rancangan sempurna Bapa kita, dan melalui ketetapan-Nya kita hargai dan pelihara kehidupan; dan kita memilih kesinambungan kehidupan yang dilahirkan. Kita juga hargai kurnia hak pilihan—membantu mengukuhkan pilihan soleh yang diluluskan oleh Tuhan yang membawa kebahagiaan abadi.

Apabila seorang wanita dan lelaki berhadapan dengan pilihan kritikal, kata, tangan dan hati kita—secara rohani, emosi, dan kewangan—boleh memberkati mereka untuk rasa kasih Juruselamat dan, seperti Presiden Henry B. Eyring katakan, bantu mata rohani mereka bezakan “apa yang mereka mereka lihat” kepada “apa yang mereka masih tidak dapat lihat.”

Ajaran Kehidupan Fana

Presiden Dallin H. Oaks berkata: “Sikap kita terhadap pengguguran tidak berdasarkan pengetahuan yang didedahkan bila kehidupan fana bermula. … Ia ditetapkan oleh pengetahuan kita bahawa … semua anak roh Tuhan mesti datang ke bumi untuk tujuan mulia, dan identiti individu itu bermula lama sebelum dihamilkan dan akan berterusan untuk selama-lamanya yang akan datang.”

Firman Tuhan mengenai yang belum lahir, dinyatakan oleh Presidensi Utama dan Kuorum Dua Belas Rasul, tidak pernah berubah dan mengulang kata-kata nabi sepanjang zaman, memberi kejelasan ilahi kepada permintaan Tuhan.

“Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir percaya dengan kesucian kehidupan. Oleh itu, Gereja menentang pengguguran elektif demi kemudahan peribadi atau sosial. Ahli-ahli tidak harus menyerah, melaksanakan, mengatur, atau menggalakkan pengguguran.

“[Tuhan] membenarkan kemungkinan pengecualian … apabila:

  • Kehamilan disebabkan oleh rogol atau sumbang mahram, atau

  • Doktor yang cekap menentukan bahawa kehidupan atau kesihatan ibu dalam bahaya, atau

  • Doktor yang cekap menentukan jika janin mempunyai kecacatan teruk yang tidak akan membolehkan bayi hidup selepas kelahiran.”

Presidensi Utama meneruskan: “Pengguguran adalah hal yang paling serius. [Walaupun dalam situasi jarang berlaku ini] ia harus dipertimbangkan hanya setelah orang yang bertanggungjawab telah menerima pengesahan melalui doa” dan berunding dengan yang lain.

Tiga puluh tahun yang lalu, nabi Tuhan mengeluarkan suatu perisytiharan kepada dunia. Ia termasuk ayat berikut:

“Kami … mengisytiharkan bahawa Tuhan telah memerintah bahawa kuasa memperanakkan yang kudus harus digunakan hanya di antara seorang lelaki dan seorang perempuan yang telah dikahwinkan menurut undang-undang negara sebagai suami dan isteri.

“Kami mengisytiharkan bahawa cara dengan mana kehidupan fana dicipta adalah ditetapkan oleh Tuhan. Kami menegaskan kesucian kehidupan dan kepentingannya di dalam rancangan kekal Tuhan.”

Memelihara dan melindungi kehidupan yang belum lahir bukanlah kedudukan politik. Ia adalah hukum moral yang disahkan oleh Tuhan melalui para nabi-Nya.

Bercakap dengan Lebih Terbuka

Kenyataan oleh Presiden J. Reuben Clark Jr., yang melayani dalam Presidensi Utama, dengan indah menggambarkan remaja kita hari ini: “Para remaja Gereja lapar akan perkara Roh; mereka tidak sabar untuk mempelajari injil, dan mereka mahukannya lurus dan murni. Mereka mahu tahu tentang … kepercayaan kita; mereka mahu dapat kesaksian akan kebenaran mereka. Mereka adalah … penyelidik, pencari kebenaran.” Mari kita kerap bercakap dengan iman dan rasa kasihan kepada remaja kita di rumah, dan dengan satu sama lain, dan dalam pertemuan Lembaga Pertolongan dan kuorum penatua kita tentang hukum kemurnian akhlak Tuhan, kesucian kehidupan, dan penjagaan yang belum lahir dan ibu mereka.

Seorang saudari terkasih menulis kepada saya tentang pengalamannya beberapa dekad yang lalu, “Sebagai remaja 17 tahun, saya mendapati diri saya hamil dengan sedikit atau tiada sokongan daripada teman lelaki saya. Saya malu dan sendirian [tapi saya] tidak pernah inginkan [pengguguran]. … Saya [ada] keluarga dan uskup yang pengasih, yang kerap saya jumpa untuk bimbingan. … Saya berpaling kepada Tuhan. Saya kaji tulisan suci … berdoa [dan] temui kekuatan melalui Juruselamat saya dan proses pertaubatan. … Saya terima jawapan [untuk doa saya] yang tidak dapat dinafikan. … Ia menyedihkan, tapi saya tahu saya akan meletakkan anak perempuan saya untuk pengambilan anak angkat. … Saya berdoa untuk keberanian [dan] rasa kasih jelas Juruselamat melalui pertaubatan, saya tahu Tuhan … menjawab doa dan kuatkan kita.”

Sepasang suami isteri yang penyayang mengambilnya sebagai anak angkat dan mengajarnya injil. Dia kini sudah berkahwin dan mempunyai keluarga yang indah.

Kadang kala, ketidakpastian yang sangat sukar dan menyakitkan dapat mengiringi perlindungan kehidupan.

Baru-baru ini pasangan muda yang saya dan Kathy kasihi menulis kepada saya tentang bayi mereka dalam kandungan.

Bapanya menulis: “[Apabila isteri saya] hamil 10 minggu, kami dapati bayi mukjizat kami mempunyai keadaan genetik trisomi 21, biasa dikenali sebagai Sindrom Down. Kami merasai tekanan … daripada bidang perubatan untuk pertimbangkan pengguguran. Beberapa minggu kemudian kami dapati … anak kami yang belum lahir … perlukan beberapa pembedahan jantung pada tahun pertama hidupnya. Sepanjang proses ini ketika kami berdoa bersungguh-sungguh untuk pertolongan ilahi, … kami merasakan Roh memberi penghiburan. Kami terima wahyu dan pemahaman bahawa anak perempuan kami adalah anak penting Bapa Syurgawi dan ada keinginan besar untuk berada dalam keluarga kami dan datang ke bumi.”

Ibu bayi ini menulis: “[Kami] sangat terkejut, keliru, dan sejujurnya hancur dengan berita itu. … Semasa saya hamil 14 minggu, kami dapati bayi kami ada pelbagai kecacatan jantung kongenital, yang boleh membawa maut. Kami berjumpa dengan ramai doktor dan pakar dari 10–18 minggu kehamilan. … Pada setiap janji temu, kami ditanya jika kami mahu teruskan kandungan ini atau menggugurkannya. … Juruselamat sembuhkan hati saya dan mendamaikan saya dan keterujaan tentang bayi perempuan kami. … [Bapa Syurgawi] telah menunjukkan bahawa Dia ada rancangan sempurna untuk saya [dan] saya percaya Dia.”

Mereka dengan teruja menyambut bayi perempuan mereka tepat seminggu yang lalu hari ini. Dia adalah milik mereka dan mereka adalah miliknya selamanya.

Iman tidak gentar dan keberanian luar biasa adalah ciri-ciri pengikut Yesus Kristus.

Contoh Iman yang Luar Biasa

Selama bertahun-tahun, saya berpeluang untuk bertemu dengan lelaki dan wanita yang rendah hati berusaha untuk kembali ke jalan perjanjian dan kepada berkat imamat dan bait suci mereka bertahun-tahun selepas kehilangan keahlian mereka.

Pada satu masa, saya menemu duga seorang lelaki bagi pihak Presidensi Utama untuk pemulihan imamat dan berkat bait sucinya.

Selepas perkahwinannya di bait suci, dan selepas mempunyai tiga anak, lelaki itu tidak setia kepada isterinya dan perjanjian kudusnya. Seorang wanita bujang menjadi hamil dan inginkan pengguguran.

Isterinya yang baik merayu kepadanya untuk melahirkan bayi tersebut dan berjanji dia akan membesarkan anak itu, sebaik sahaja dia dilahirkan dengan anak-anaknya sendiri.

Wanita bujang itu setuju untuk tidak menggugurkannya.

Sekarang sudah 10 tahun. Saudari rendah hati itu duduk di depan saya mengasihi anak lelaki itu dan memberitahu usaha suaminya untuk menebus kesalahan serta mengasihi dan menjaga dia dan keluarga. Bapa itu menangis semasa dia bercakap.

Bagaimana wanita Tuhan yang mulia ini boleh mengambil seorang anak sebagai miliknya yang boleh mengingatinya kepada ketidaksetiaan suaminya? Bagaimana? Kerana dia dikuatkan oleh Yesus Kristus dan dia percaya kepada kekudusan dan kesucian kehidupan. Dia tahu anak yang belum lahir ialah anak Tuhan, tidak berdosa dan suci.

Kolaj gambar bayi.

Saudara dan saudari, kasih yang berkurangan untuk anak-anak yang belum lahir di bumi adalah kebimbangan serius. Tuhan menghargai kehidupan. Ini adalah pekerjaan-Nya dan kemuliaan-Nya untuk mendatangkan kebaqaan dan kehidupan abadi bagi manusia. Sebagai pengikut Yesus Kristus, kita menghargai kehidupan. “Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamu pengikut-pengikut-Ku.” Semoga kita berkongsi kasih kita dengan lebih banyak lagi dengan mereka yang sangat memerlukannya. Saya mengungkapkan kasih saya kepada anda dan kasih Bapa Syurgawi kita untuk anak-anak-Nya yang datang ke bumi. Dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Yohanes 13:35; lihat juga Matius 22:36–40.

  2. Surat-menyurat peribadi, 6 Feb 2025; digunakan dengan kebenaran.

  3. Surat-menyurat peribadi, 6 Feb 2025; digunakan dengan kebenaran.

  4. Russell M. Nelson, “Pelayanan dengan Kuasa dan Wewenang Tuhan,” Liahona, Mei 2018, 69.

  5. Contoh seorang wanita soleh di Perancis; lihat Neil L. Andersen, The Divine Gift of Forgiveness (2019), 154–56.

  6. Lihat Neil L. Andersen, The Divine Gift of Forgiveness, 219; lihat juga Neil L. Andersen, Jesus Is the Christ (2023), 5.

  7. Lihat kenyataan rasmi mengenai pengguguran: “Abortion,” newsroom.ChurchofJesusChrist.org. Buku Panduan Umum menyatakan, “Seseorang boleh bertaubat dan diampuni untuk dosa pengguguran” (Buku Panduan Umum: Melayani dalam Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, 38.6.1, Gospel Library). Presiden Ezra Taft Benson berkata: “Penyesalan ilahi adalah kurnia Roh. Ia adalah kesedaran mendalam bahawa tindakan kita telah menyinggung perasaan Bapa dan Tuhan kita. Ia adalah kesedaran yang jelas dan [mendalam] bahawa tingkah laku kita menyebabkan Juruselamat, Dia yang tidak mengenal dosa, walaupun yang paling besar daripada semua, menanggung kesakitan dan penderitaan. Dosa kita menyebabkan Dia berdarah di setiap liang roma. Penderitaan mental dan rohani yang sangat nyata ini adalah apa yang dirujuk oleh tulisan suci sebagai mempunyai ‘hati yang hancur dan jiwa yang menyesal’ [lihat Ajaran dan Perjanjian 20:37]. Semangat sedemikian adalah prasyarat mutlak untuk pertaubatan sejati” (Teachings of Presidents of the Church: Ezra Taft Benson [2014], 83; lihat juga 2 Korintus 7:10; 3 Nefi 9:20; 18:32).

  8. “Tuhan berfirman kepada Henokh: Lihatlah para saudaramu ini; mereka ialah hasil kerja tangan-Ku sendiri, dan Aku memberikan kepada mereka pengetahuan mereka, pada hari Aku menciptakan mereka; dan di dalam Taman Eden, Aku memberikan kepada manusia hak pilihannya;

    “Dan kepada para saudaramu telah Aku firmankan, dan juga berikan perintah, agar mereka harus saling mengasihi, dan agar mereka seharusnya memilih-Ku, Bapa mereka” (Musa 7:32–33).

  9. Henry B. Eyring, To Draw Closer to God (1997), 143.

  10. Dallin H. Oaks, “The Great Plan of Happiness,” Ensign, Nov. 1993, 74. Presiden Nelson pernah berkata: “Ia bukan persoalan bila ‘kehidupan yang bermakna’ bermula atau apabila roh ‘menghidupkan’ badan. Dalam sains biologi, diketahui bahawa kehidupan bermula apabila dua sel kuman bersatu menjadi satu sel, menyatukan dua puluh tiga kromosom daripada kedua-dua bapa dan daripada ibu. … Permulaan kehidupan bukanlah isu yang boleh dipertikaikan, tetapi fakta sains” (“Reverence for Life,” Ensign, Mei 1985, 13).

  11. Presiden John Taylor berkata pada tahun 1879, “Kita mesti [membantah] pembunuhan janin, pembunuhan bayi, dan amalan keji lain … sama ada dalam bentuk enakmen perundangan, keputusan kehakiman atau mana-mana tambahan lain yang dipanggil tamadun” (“Discourse,” Deseret News, 31 Dis, 1879, 755; ejaan dimodenkan).

  12. Kenyataan rasmi mengenai pengguguran: “Abortion,” newsroom.ChurchofJesusChrist.org.

  13. Keluarga: Satu Perisytiharan Kepada Dunia,” Gospel Library.

  14. J. Reuben Clark Jr., The Charted Course of the Church in Education, rev. ed. (1994; ucapan kepada pendidik agama Sistem Pendidikan Gereja, 8 Ogos, 1938), 3, Gospel Library.

  15. Lihat Topics and Questions, “Abortion,” Gospel Library.

  16. Surat-menyurat peribadi, 13 Feb 2025; digunakan dengan kebenaran.

  17. Satu lagi contoh berkat anak angkat yang indah adalah kisah Sherilyn Stinson dan anak perempuannya, Allison, bersama-sama dengan ibu kandung Allison, Jill Morgensen (lihat Mary Richards, “Navigating the Journey of Adoption Reunification,” Church News, 18 Nov, 2024, thechurchnews.com).

  18. Dengan bantuan Tuhan dan tangan kita yang dihulurkan, ramai yang diberkati untuk mencari jalan mereka. Lihat Amanda Becker, “Finding Hope as a Single Expectant Mother,” Liahona, Julai 2022 (digital sahaja); “The Adoption Decision,” New Era, Mac 2006, 28–33.

  19. Surat-menyurat peribadi, 17 Feb 2025; digunakan dengan kebenaran.

  20. Pengalaman peribadi; lihat Neil L. Andersen, The Divine Gift of Forgiveness, 246–47.

  21. Lihat Musa 1:39.

  22. Yohanes 13:35; lihat juga Matius 22:36–40.

  23. Sumber lain yang membantu: Topics and Questions, “Unwed Pregnancy,” Gospel Library; “Single Expectant Parents,” General Handbook, 38.6.19; Counseling Resources, “Single Expectant Parents,” Gospel Library.