Persidangan Umum
Kebahagiaan Melalui Perjanjian Penganutan
Persidangan umum April 2025


10:58

Kebahagiaan Melalui Perjanjian Penganutan

Apabila kita mengikat diri kita untuk bertindak sebagai pengikut perjanjian, hubungan kita dengan Bapa dan Putera diperkaya, kebahagiaan kita dipertingkatkan, dan perspektif abadi kita diperluaskan.

Suatu hari pada tahun 2023, Uyanga Altansukh sedang bekerja di bandar Darkhan di utara Mongolia apabila presiden misi Mongolia memasuki tempat kerjanya. Dalam kata-katanya:

“Saya melihatnya dan fikir wajah dia mempunyai cahaya yang terang. Dia sangat baik hati dan mesra kepada semua, dan saya merasakan kemesraannya. Sebelum dia pergi, saya bertanya dia beberapa soalan. Beberapa hari kemudian, dia datang ke tempat kerja saya sekali lagi dan bertanya sama ada saya boleh hadiri gerejanya. Saya fikir ia mungkin membantu. Saya bimbang akan masa depan anak-anak saya, kerana masyarakat penuh dengan tekanan dan kegelapan. Saya mahu anak saya jadi seperti lelaki ini dengan cahaya di wajah mereka, sebarkan kebahagiaan kepada semua orang.

“Suatu hari para misionari mengajar kami hukum persepuluhan. Anak saya berkata dengan teruja, ‘Kita mesti membayar persepuluhan kita, Ibu.’ Saya dapat lihat iman anak saya pada masa itu. Sebelum saya sertai Gereja, saya tonton persidangan umum dan dengar Presiden Russell M. Nelson berucap. Dia mengumumkan bait suci baharu di seluruh dunia dan berkata bahawa sebuah bait suci baharu akan dibina di Ulaanbaatar, Mongolia. Saya gembira dan menangis, walaupun saya tidak faham mengapa. Dengan perasaan gembira ini, saya tahu iman dan kesaksian saya sedang berkembang.”

Uyanga, seperti ramai yang lain, adalah sebahagian dari pengumpulan Israel dalam persediaan untuk Kedatangan Kedua Yesus Kristus. Dia telah mula perjalanannya di jalan perjanjian dan telah jadi pengikut Kristus. Apakah ertinya untuk jadi pengikut Kristus? Saya hargai perkataan Jepun untuk pengikut—deshide bermaksud adik lelaki, dan shi bermaksud anak.

Yesus mengisytiharkan, “Aku pada mulanya berada bersama Bapa, dan merupakan Putera Sulung.” Kerana siapa Dia ialah dan apa Dia telah lakukan, kita menyembah, menghormati, memuliakan, dan mengikuti Dia. Kristus telah menebus kita, dan kita bersyukur atas pengorbanan-Nya yang tak terhingga.

Kita ada Bapa Syurgawi, yang kasihi kita sebagai anak-anak-Nya. Kasih-Nya terhadap kita adalah sempurna. Yesus Kristus dan misi-Nya menggambarkan kasih Tuhan kepada kita. Yohanes menulis, “Tuhan sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal.”

Dalam usaha untuk fahami apa yang kita tidak tahu, kadang-kala kita bergantung pada pengalaman fana kita yang biasa, atau hal yang kita sudah tahu. Contohnya, kita boleh belajar sedikit tentang Tuhan Bapa melalui keibubapaan kita sendiri dan hubungan keluarga fana. Namun, kita harus berhati-hati dalam menerapkan perbandingan ini dalam usaha untuk memahami Bapa Syurgawi kita. Sifat Tuhan Bapa mengatasi mana-mana sifat manusia terjatuh yang kurang daripada sempurna. Tuhan Bapa adalah Bapa yang sempurna. Dia sangat penyayang, baik hati, sabar, dan memahami serta sangat mulia. Kita boleh percayai Dia dengan sempurna. Kasih Kristus mencerminkan kasih Tuhan Bapa dan merupakan kasih itu.

Yesus Kristus adalah teladan dan cara. Dalam Kristus, kita boleh fahami dengan lebih baik sifat-sifat sempurna Bapa dan rancangan-Nya. Melalui Kristus, kita diberi kuasa yang membolehkan kita mengatasi kecenderungan lelaki dan wanita alamiah supaya kita boleh jadi lebih seperti Bapa.

Sama seperti Bapa Syurgawi kita, Yesus Kristus sangat berbelas kasihan dan adil. Sifat ilahi keadilan dan belas kasihan ini tidak bertentangan. Mereka saling melengkapi. Keadilan dan belas kasihan-Nya menggambarkan kasih sempurna Tuhan. Kita boleh percayai Tuhan Bapa dan Yesus Kristus kerana Mereka adil dengan kita semua.

Tuhan Bapa dan Putera-Nya, Yesus Kristus, ada tujuan dan kasih yang selaras dengan sempurna. Kerana Tuhan dan Yesus Kristus mengasihi kita, kita diberi peluang dan keistimewaan sebagai pengikut sejati untuk buat perjanjian dengan Mereka. Dengan itu, hubungan kita dengan Kristus dikembangkan: “Dan sekarang, kerana perjanjian yang telah kamu buat, kamu akan disebut anak-anak Kristus, para putera-Nya, dan para puteri-Nya; kerana lihatlah, hari ini Dia telah secara rohani memperanakkanmu; kerana kamu berkata bahawa hatimu diubah melalui iman pada nama-Nya; oleh kerana itu, kamu dilahirkan daripada-Nya dan telah menjadi para putera-Nya dan para puteri-Nya.”

Sebagai pengikut, apabila kita membuat dan mentaati perjanjian suci, kita diberkati dengan kuasa rohani. Kita berhubung dengan Kristus dan Tuhan Bapa dalam satu hubungan istimewa dan boleh mengalami kasih dan kebahagiaan Mereka yang dikhaskan bagi mereka yang telah membuat dan mentaati perjanjian. Keupayaan kita untuk merasakan kasih Tuhan sepenuhnya, atau untuk meneruskan dalam kasih-Nya, bergantung kepada keinginan dan tindakan kita yang soleh.

Dalam Yohanes bab 15, ayat 9, kita baca, “Aku mengasihi kamu seperti Bapa mengasihi Aku.” Dan kemudian kita dijemput: “Hendaklah kamu tetap hidup sebagai orang yang Aku kasihi.”

Dalam ayat seterusnya, kita diberi jalan untuk teruskan dalam kasih-Nya: “ Jika kamu mentaati perintah-Ku, Aku akan tetap mengasihi kamu, seperti Bapa tetap mengasihi Aku kerana Aku mentaati perintah-Nya.”

Kemudian kita dapat lihat tujuan mematuhi perintah dalam ayat 11: “Semua ini Aku katakan kepada kamu supaya kegembiraan-Ku ada di dalam hati kamu dan kegembiraan kamu menjadi sempurna.”

Melalui perjanjian penganutan yang sejati, kita boleh fahami sifat Tuhan dengan lebih baik dan kebahagiaan yang Dia mahu semua anak-Nya alami. Kita juga boleh fahami beberapa asas yang pada mulanya kelihatan mengelirukan. Sebagai contoh, bagaimanakah Tuhan boleh ada kegenapan kebahagiaan apabila sesetengah anak-Nya sangat menderita? Jawapannya ada dalam perspektif dan rancangan Tuhan yang sempurna. Dia lihat kita dari mula hingga masa depan kita yang mulia. Dia telah menyediakan jalan, melalui Putera-Nya, Yesus Kristus, untuk kita semua, anak-Nya, untuk mengatasi kesakitan, penderitaan, dosa, rasa bersalah, dan kesunyian kefanaan kita. Tuhan telah menyediakan jalan dan pilihan untuk kita.

Contoh mereka yang telah mengalami kegembiraan melalui penganutan boleh bantu kita fahami konsep ini dengan lebih baik. Mungkin anda pernah dengar ungkapan bahawa kita hanya bahagia setakat anak kita yang paling tidak gembira. Saya telah lihat bahawa ini tidak perlu berlaku. Ibu saya yang berusia 94 tahun mempunyai lebih daripada 200 keturunan yang masih hidup. Pada bila-bila masa, sekurang-kurangnya satu daripada 200 saudara akan tidak bahagia. Jika pernyataan ini benar, ibu saya akan berada dalam keadaan tidak bahagia yang berterusan, tetapi dia tidak. Mereka yang mengenalinya tahu betapa gembiranya dia.

Sekarang saya ingin berkongsi satu lagi pengalaman. Pada Januari 2019, isteri saya, Debbie dan saya telah dijemput ke pejabat Presiden Nelson. Dia telah meletakkan kerusi berhampiran dengan kami, dan kami duduk hampir menyentuh lutut. Selepas menyampaikan kepada kami panggilan semasa kami, Presiden Nelson lihat Debbie dan beri tumpuan kepadanya. Dia seorang yang baik, penyayang, lembut, dan penuh kegembiraan, seperti bapa atau datuk yang sempurna. Dia memegang tangan Debbie dan menepuknya, meyakinkannya bahawa semuanya akan baik dan keluarga kami akan diberkati. Pada masa itu, kami rasa seperti orang yang paling penting baginya dan dia ada semua masa di dunia untuk kami. Kami meninggalkan pejabatnya pada petang Jumaat itu berasa yakin, dikasihi, dan gembira.

Pada hari Isnin kami lihat berita itu. Pada hari yang sama Presiden Nelson telah meluangkan masa bersama kami, salah seorang anak perempuannya telah meninggal dunia akibat kanser. Kami terkejut. Hati kami berasa penuh ketika berkabung untuk dia dan keluarganya. Hati kami juga penuh dengan rasa syukur atas perhatiannya yang seperti Kristus kepada kami sambil berkabung untuk anak perempuannya yang menderita.

Semasa kami merenungkan ini, kami tertanya, “Bagaimana dia boleh jadi begitu baik, penyayang, dan juga gembira pada masa yang sukar?” Jawapannya adalah kerana dia tahu. Dia tahu bahawa Kristus telah menang. Dia tahu dia akan bersama anak perempuannya semula selama keabadian. Kebahagiaan dan perspektif abadi datang melalui ikatan kepada Juruselamat dengan membuat perjanjian melalui penganutan seperti Kristus.

Presiden Nelson ajarkan: “Seperti Juruselamat mendatangkan kedamaian yang “tidak mungkin difahami oleh manusia,” [Filipi 4:7], Dia juga berikan kebahagiaan yang begitu mendalam dan kuat yang menentang logik manusia atau pemahaman fana. Contohnya, agak mustahil untuk rasa kebahagiaan apabila anak anda menderita penyakit yang tidak dapat diubati, atau apabila anda kehilangan kerja, atau apabila suami atau isteri anda mengkhianati anda. Namun, inilah kebahagiaan yang Juruselamat berikan.”

Apabila kita buat dan taati perjanjian, kita secara alamiah akan berpaling ke luar dan ada hasrat untuk bantu orang lain rasa kebahagiaan dan kasih yang kita rasai dalam hubungan perjanjian kita. Kita boleh jadi sebahagian dari perjuangan terbesar di bumi hari ini—pengumpulan Israel. Kita boleh bantu bawa anak-anak Tuhan kepada Kristus. Nabi Yakub ajarkan, “Dan diberkatilah engkau; kerana engkau telah tekun dalam bekerja bersamaku di ladangku, dan telah mentaati perintah-perintahku, dan telah membawa kepadaku kembali buah semula jadi, … kamu akan merasakan sukacita bersamaku kerana buah dari ladangku.”

Apabila kita mengikat diri kita untuk bertindak sebagai pengikut perjanjian, dalam apa jua tahap kapasiti kita, hubungan kita dengan Bapa dan Putera diperkaya, kebahagiaan kita dipertingkatkan, dan perspektif abadi kita diperluaskan. Kita kemudiannya dikurniakan kuasa dan boleh rasa kebahagiaan dalam perjanjian pengikut sejati Tuhan. Dalam nama kudus Yesus Kristus, amin