Rancangan Belas Kasihan
Tuhan berbelas kasihan dan rancangan keselamatan Bapa Syurgawi kita benar-benar rancangan belas kasihan.
Jemputan Seorang Nabi
Pada April lalu, selepas berita gembira pemilikan Bait Suci Kirtland, Presiden Russell M. Nelson menjemput kita untuk kaji doa pembaktian Bait Suci Kirtland, direkodkan dalam bahagian 109 Ajaran dan Perjanjian. Kata Presiden Nelson, ia “adalah tutorial tentang bagaimana bait suci memberi anda dan saya kuasa secara rohani untuk menghadapi cabaran hidup pada zaman akhir ini.”
Saya pasti kajian bahagian 109 anda memberi pemahaman diri yang memberkati anda. Petang ini, saya berkongsi pembelajaran saya semasa mengikuti jemputan nabi. Kajian yang mendamaikan ini mengingatkan saya bahawa Tuhan berbelas kasihan dan rancangan keselamatan Bapa Syurgawi kita benar-benar rancangan belas kasihan.
Misionari yang Baru Dipanggil Melayani di Bait Suci
Seperti yang anda sedia maklum, “misionari yang baru dipanggil [digalakkan] menerima tatacara anugerahan bait suci, [menghadiri ke bait suci sekerap yang boleh]” Setelah dianugerahi, mereka “boleh melayani sebagai pekerja … bait suci sebelum mereka memulakan pelayanan misionari.”
Masa di bait suci sebelum memasuki Pusat Latihan Misionari (MTC) boleh menjadi berkat yang indah bagi misionari baharu semasa mereka belajar lebih lanjut tentang perjanjian bait suci sebelum berkongsi berkat-berkat perjanjian itu dengan dunia.
Tetapi dengan mengkaji bahagian 109, saya belajar bahawa, di bait suci, Tuhan menguatkan misionari baharu—kita semua—dengan cara kudus. Dalam doa pembaktian, yang diwahyukan, Nabi Joseph Smith berdoa “apabila para hamba-Mu akan keluar dari rumah-Mu … untuk memberikan kesaksian tentang nama-Mu,” “hati” “semua orang”—“yang berkuasa di bumi” dan “semua yang miskin, yang memerlukan, dan [yang] sengsara.” Dia berdoa agar “prasangka mereka boleh hilang di hadapan kebenaran, dan umat-Mu boleh berkenan di dalam pandangan semua orang; agar segenap hujung bumi boleh mengetahui bahawa kami, para hamba-Mu, telah mendengar suara-Mu, dan bahawa Engkau telah mengutuskan kami.”
Ini adalah janji indah untuk misionari baharu—agar prasangka “boleh hilang di hadapan kebenaran,” untuk “berkenan di dalam pandangan semua orang,” dan agar dunia tahu mereka diutus oleh Tuhan. Setiap daripada kita pasti perlukan berkat ini. Betapa berkatnya hati dilembutkan semasa kita berinteraksi dengan jiran dan rakan sekerja. Doa pembaktian tidak jelaskan tentang bagaimana masa kita di bait suci akan melembutkan hati, tapi saya yakin ia berkaitan dengan masa di rumah Tuhan melembutkan hati kita dengan memusatkan kita kepada Yesus Kristus.
Tuhan Menjawab Rayuan Joseph Smith untuk Belas Kasihan
Semasa saya mengkaji doa pembaktian Kirtland, saya juga terkejut bahawa Joseph berulang kali memohon belas kasihan—untuk ahli-ahli Gereja, untuk musuh-musuh Gereja, untuk pemimpin negara, untuk bangsa-bangsa di bumi. Dan, secara peribadi, dia merayu kepada Tuhan untuk mengingatinya dan untuk berbelas kasihan kepada Emma yang dikasihinya dan anak-anak mereka.
Bagaimana perasaan Joseph pada Hari Easter, 3 April 1836, di Bait Suci Kirtland, apabila Juruselamat muncul kepadanya dan Oliver Cowdery dan seperti dicatat dalam bahagian 110 Ajaran dan Perjanjian, berkata, “Aku telah menerima rumah ini, dan nama-Ku akan berada di sini; dan Aku akan menyatakan diri-Ku kepada umat-Ku dengan belas kasihan di dalam rumah ini.” Janji belas kasihan ini pasti istimewa kepada Joseph. Dan seperti yang Presiden Nelson ajarkan pada April lepas, janji ini juga “berkaitan dengan setiap bait suci yang dibaktikan hari ini.”
Mencari Belas Kasihan di Rumah Tuhan
Terdapat banyak cara bagaimana setiap kita dapat mencari belas kasihan di rumah Tuhan. Ini benar sejak Tuhan memerintahkan Israel untuk membina khemah ibadat dan meletakkan “tabut” di tengahnya. Di bait suci, kita mendapat belas kasihan dalam perjanjian dibuat. Perjanjian tersebut, bersama perjanjian pembaptisan, mengikat kita kepada Bapa dan Putera dan memberi kita akses yang lebih besar kepada ajaran Presiden Nelson iaitu “kasih dan belas kasihan yang istimewa … dipanggil hesed” dalam bahasa Ibrani.
Kita mendapat belas kasihan dalam pemeteraian keluarga kita untuk keabadian. Di dalam bait suci, kita juga faham dengan jelas bahawa Penciptaan, Kejatuhan, korban tebusan Juruselamat, dan keupayaan untuk pulang kepada Bapa Syurgawi kita—sememangnya, seluruh rancangan keselamatan—adalah pernyataan belas kasihan. Rancangan keselamatan adalah rancangan kebahagiaan kerana ia adalah “rancangan belas kasihan.”
Mencari Pengampunan Membuka Pintu kepada Roh Kudus
Saya bersyukur atas janji indah dalam bahagian 110 bahawa Tuhan akan datang dalam belas kasihan di bait suci-Nya. Saya juga bersyukur mengetahui Tuhan akan menunjukkan belas kasihan setiap kali kita memohon belas kasihan.
Rayuan Joseph Smith untuk belas kasihan dalam bahagian 109 bukanlah rayuan pertama untuk belas kasihan. Di Sacred Grove [Hutan Kudus], Joseph bukan sahaja berdoa untuk mengetahui Gereja yang benar, tapi dia juga “berseru kepada Tuhan untuk belas kasihan, kerana tidak siapa saya boleh pergi untuk dapatkan belas kasihan.” Entah bagaimana, perakuannya bahawa dia perlukan belas kasihan yang hanya Tuhan dapat sediakan membantu membuka tingkap-tingkap syurga. Tiga tahun kemudian malaikat Moroni muncul, selepas Joseph katakan dalam “doa dan permohonan kepada Tuhan Yang Maha Kuasa untuk pengampunan bagi segala dosa dan kebodohanku.”
Pola wahyu berikutan rayuan untuk belas kasihan ini adalah yang biasa dalam kitab suci. Enos mendengar suara Tuhan hanya selepas meminta pengampunan. Penukaran hati bapa Raja Lamoni bermula dengan doanya: “Aku akan melepaskan segala dosa Aku untuk mengenal Engkau.” Kita mungkin tidak mengalami pengalaman dramatik ini, tetapi bagi mereka yang bergelut mencari jawapan kepada doa, mencari belas kasihan Tuhan adalah cara yang sangat berkuasa untuk merasakan kesaksian Roh Kudus.
Merenung Belas Kasihan Tuhan Membuka Pintu kepada Kesaksian Kitab Mormon
Asas yang sama diajar dalam Moroni 10:3–5. Kita sering memendekkan ayat-ayat ini untuk mengajar bahawa dengan doa ikhlas, kita boleh tahu jika Kitab Mormon itu benar. Tetapi singkatan ini boleh mengabaikan kepentingan belas kasihan. Dengar bagaimana Moroni menasihat: “Aku hendak mendorongmu agar kamu akan membaca hal-hal ini, … bahawa kamu akan mengingati betapa Tuhan telah penuh berbelas kasihan kepada anak-anak manusia, sejak dari penciptaan Adam bahkan sehingga tiba masanya kamu akan menerima hal-hal ini, dan merenungkannya di dalam hatimu.”
Moroni menggesa untuk bukan sahaja membaca—rekod-rekod yang dimeteraikan—tetapi juga untuk merenung apa yang Kitab Mormon dedahkan tentang “betapa Tuhan telah penuh berbelas kasihan kepada anak-anak manusia.” Merenung belas kasihan Tuhan menyediakan kita untuk “bertanya kepada Tuhan, Bapa Yang Abadi, dalam nama Kristus, jikalau hal-hal ini tidak benar.”
Semasa kita merenungkan Kitab Mormon, kita mungkin bertanya: Adakah benar, seperti yang Alma ajarkan, bahawa rancangan belas kasihan Tuhan memberi jaminan bahawa setiap orang yang pernah hidup di bumi ini akan dibangkitkan dan bahawa mereka akan “dipulihkan kepada … rangka yang … sempurna”? Adakah Amulek betul—bolehkah belas kasihan Juruselamat memenuhi semua tuntutan keadilan yang sangat nyata yang kita wajib bayar dan sebaliknya “[mengelilingi kita] dalam pelukan keselamatan”?
Adakah benar, seperti yang disaksikan oleh Alma, bahawa Kristus menderita bukan sahaja untuk dosa-dosa kita tetapi untuk “kesakitan dan kesengsaraan” kita supaya Dia boleh “mengetahui … bagaimana untuk menyokong umat-Nya menurut kelemahan mereka”? Adakah Tuhan benar-benar begitu berbelas kasihan, seperti yang diajarkan oleh Raja Benjamin, bahawa sebagai pemberian percuma, Dia menebus “dosa-dosa mereka … yang telah mati tanpa mengetahui kehendak Tuhan berkenaan mereka, atau yang telah berdosa tanpa mengetahuinya”?
Adakah benar, seperti yang dikatakan Lehi, bahawa “Adam jatuh supaya manusia boleh wujud; dan manusia wujud agar mereka boleh berbahagia”? Dan adakah benar-benar benar, seperti yang Abinadi bersaksi, memetik Yesaya, bahawa Yesus Kristus telah “terluka kerana pelanggaran kita, dia dimemar untuk kederhakaan kita; hukuman untuk kedamaian kita berada di atasnya; dan dengan bilur-bilur-Nya kita disembuhkan”?
Ringkasnya, adakah rancangan Bapa seperti yang diajar dalam Kitab Mormon ini benar-benar berbelas kasihan? Saya bersaksi bahawa ajaran yang memberi kedamaian dan penuh harapan tentang belas kasihan dalam Kitab Mormon adalah benar.
Namun, saya tahu ada orang mungkin bergelut, walaupun setia membaca dan berdoa, untuk menerima janji Moroni bahawa Bapa Syurgawi “akan menyatakan kebenarannya kepadamu, melalui kuasa Roh Kudus.” Saya faham kerana pernah merasainya, lama dahulu apabila pembacaan pertama Kitab Mormon tidak memberi jawapan segera dan jelas kepada doa saya.
Jika anda sedang bergelut, saya menjemput anda untuk mengikuti nasihat Moroni untuk merenungkan banyak cara Kitab Mormon mengajar “betapa Tuhan telah penuh berbelas kasihan kepada anak-anak manusia“? Berdasarkan pengalaman saya, saya berharap apabila anda melakukannya, kedamaian Roh Kudus boleh memasuki hati anda dan anda boleh mengetahui, percaya, dan merasakan bahawa Kitab Mormon dan rancangan belas kasihan yang diajarnya adalah benar.
Saya bersyukur atas rancangan belas kasihan Bapa dan kesediaan Juruselamat untuk melaksanakannya. Saya tahu Dia akan datang dalam belas kasihan di bait suci kudus-Nya dan dalam kehidupan kita jika kita mencari Dia. Dalam nama Yesus Kristus, amin.