Kasih Saya kepada Juruselamat Adalah “Mengapa” Saya
Saya mengasihi Juruselamat kita. Inilah sebab sebenar dan paling berkuasa mengapa saya lakukan apa yang saya lakukan.
Pernahkah anda perasan bahawa nabi terkasih kita, Presiden Russell M. Nelson terus menjemput kita? Dia telah menjemput kita mengkaji dan merenung pesanan pada dua persidangan yang lalu. Pada April 2024, dia berkata, “Saya harap anda akan mengkaji pesanan persidangan ini berulang kali sepanjang bulan-bulan yang akan datang.” Pada Oktober 2024 pula, katanya: “Saya menggesa anda untuk kaji pesanan-pesanan [pembicara]. Gunakannya sebagai ujian litmus tentang apa yang benar, dan apa yang tidak, dalam tempoh enam bulan akan datang.”
Jemputan ini boleh ditambah kepada jemputan kenabian yang kita terima, terutamanya jemputan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Kita mungkin fikir ini adalah satu lagi hal yang perlu ditambah pada senarai tugas kita, hanya kerana kita dijemput untuk lakukannya. Tetapi, adakah ia hanya sekadar menyelesaikan tugas?
Selepas merenung semua jemputan ini, saya teringat pelajaran dan keputusan saya lama dahulu. Saya cuba lakukan hal penting ini kerana saya mengasihi-Nya; saya mengasihi Juruselamat kita. Inilah sebab sebenar dan berkuasa mengapa saya lakukannya, dan ia merupakan simbol kasih saya kepada anda, saudara dan saudari saya.
Sebagai saudara anda, saya harap anda terima jemputan ikhlas saya untuk mengaitkan semua yang kita lakukan dengan kasih kepada Juruselamat.
Melakukan ini akan bantu kita fahami “mengapa” yang sebenar di sebalik hal kita lakukan sebagai pengikut Juruselamat. Ini akan bantu kita menguatkan hubungan perjanjian kita dengan Tuhan, memahami kebenaran ilahi dan abadi-Nya—yang tak akan pernah berubah. Kebenaran abadi seperti “Tuhan sangat mengasihi orang di dunia ini, sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal.”
Adalah menarik bahawa kadang-kala, kerana kita lakukan sesuatu secara konsisten sehingga ia jadi tradisi, kita membenarkan ia menentukan usaha kita untuk bina iman kepada Yesus Kristus. Nampaknya kita lakukan hal-hal ini kerana sudah terbiasa tanpa fikirkan kesan terhadap hubungan perjanjian kita dengan Juruselamat.
Dalam dunia kita, kita biasanya fokus dalam lengkapkan tugas dan capai matlamat secara konsisten. Dalam lingkungan rohani, kita berpeluang untuk fahami mengapa kita lakukannya lebih dari sekadar mencapai matlamat. Jika kita boleh faham dan hubungkan sebab di sebalik tindakan kita berkaitan dengan kasih kepada Juruselamat dan Bapa Syurgawi, kita akan faham bahawa melakukan hal soleh seperti aktiviti atau tradisi Gereja dengan wajar adalah hal baik, apabila kita menghubungkannya dengan “mengapa”, kita akan diberkati untuk fahami sebabnya. Ia bukan hanya sekadar lakukan hal baik atau dengan betul; sebabnya juga akan jadi betul.
Contohnya, apabila anda tetapkan matlamat untuk baca tulisan suci, ikhlas berdoa, atau menyediakan aktiviti, adakah matlamatnya hanya untuk lengkapkan tugas ini? Atau adakah ini alat untuk anda capai matlamat sebenar? Adakah tujuannya sekadar mengadakan aktiviti kerana telah menjadi tradisi dan tandakan kotak apabila kita telah selesai? Atau, adakah ini cara yang kita gunakan untuk belajar dan mendekati Juruselamat?
Sila jangan salah faham maksud saya tentang aktiviti, tradisi atau matlamat dan berusaha mencapainya; tiada yang salah dengan ini. Namun demikian, saya jemput anda ambil peluang dan berkat untuk pemahaman mengapa kita lakukannya dan bagaimana kita mengamalkan agama kita.
Contoh utama tradisi berpusatkan Kristus ialah jemputan Presiden Dallin H. Oaks bagi pihak Presidensi Utama kepada kita. Presiden Oaks berkata: “Pada tahun baru ini, marilah kita bersedia untuk perayaan Easter bagi korban penebusan Yesus Kristus. Tidak kira apa orang lain percaya atau lakukan, kita harus meraikan Kebangkitan Juruselamat kita yang hidup dengan kaji ajaran-Nya dan bantu menubuhkan tradisi Easter dalam masyarakat kita secara keseluruhan, terutamanya dalam keluarga kita.” Seperti yang anda lihat, ia bukan sekadar jemputan untuk ada tradisi. Sebaliknya, guna tradisi ini sebagai cara untuk pelajari lebih tentang Juruselamat dan mengingati Kebangkitan-Nya.
Semakin kita boleh menghubungkan sebab dengan kasih kita kepada Juruselamat, semakin banyak keperluan kita dipenuhi. Presiden Nelson berkata, “Semua soalan atau masalah yang anda ada, jawapannya sentiasa ada pada kehidupan dan ajaran Yesus Kristus.” Kemudian dia menjemput: “Pelajari tentang Korban Tebusan, kasih, belas kasihan, ajaran, dan injil Dia yang dipulihkan tentang penyembuhan dan perkembangan. Berpaling kepada Tuhan! Ikutlah Dia!”
Renungkan ini dalam hati dan fikiran anda: Adakah anda percaya jemputan Presiden Nelson berniat membantu kita menyediakan senarai semak yang memberikan lebih banyak pengetahuan dan menyelesaikan tugas? Atau adakah jemputannya untuk memikirkan aspek kebenaran dan asas abadi ini untuk memahami mengapa dan menghubungkan kasih perjanjian Juruselamat dengan perjalanan penganutan sepanjang hayat kita?
Biar saya gambarkan asas yang saya cuba sampaikan. Satu pilihan, yang mungkin melampau, ialah membaca semua pesanan daripada persidangan umum sekali gus, dan sebaik sahaja saya selesai, saya akan tandakan ini dari senarai tugasan saya tanpa lakukan apa-apa lagi dengan apa yang saya baca. Saya faham ini kes yang melampau, tetapi tidak mustahil. Mungkin ramai di antara kita kadang kala berada di antara situasi ini.
Jemputannya adalah untuk kaji dan renungkan pesanan dari persidangan umum dan gunakannya untuk memperbaiki diri.
Apabila kita terima jemputan itu dan fahami “mengapa” di sebaliknya, kita berpeluang menjadi lebih dekat dengan Juruselamat. Kita akan mula fahami bahawa kerana saya kasihi Juruselamat, saya ingin belajar lebih tentang Dia dengan mengkaji firman nabi yang hidup. Dan kerana saya mengasihi sesama, saya akan berkongsi ajaran nabi, pelihat, dan pewahyu dengan orang lain, bermula dengan orang yang saya kasihi.
Dalam kedua-dua contoh, anda melakukan hal yang soleh. Dalam satu, matlamatnya adalah menggunakan cara yang Bapa Syurgawi dan Juruselamat berikan, iaitu pesanan persidangan umum. Versi kedua merangkumi berkat mendalam dari pengetahuan tentang sebab asas, memberi jalan untuk fahami kebenaran abadi dan berkat kepada semua yang berfokus kepada ajaran dan kehidupan Juruselamat kita, Yesus Kristus.
Saudara dan saudari, saya harap anda dapat merasai kepentingan menghubungkan tindakan kita dengan kasih kepada Juruselamat. Dalam dunia global, banyak suara akan cuba pengaruhi anda dan, jika boleh, bawa anda untuk percaya bahawa beberapa kebenaran asas injil Yesus Kristus yang dipulihkan tidak diperlukan. Suara-suara ini bermula dengan kebenaran penting tentang keperluan untuk pemulihan pada zaman akhir ini, termasuk keperluan untuk ada kerajaan Tuhan di bumi, yang diwakili oleh Gereja Yesus Kristus Orang-Orang Suci Zaman Akhir yang dipulihkan.
Mungkin ada suara yang menegaskan bahawa hanya hubungan dan pemahaman peribadi dengan Juruselamat adalah mencukupi dan Gereja yang dipulihkan adalah tidak perlu. Saya menjemput anda untuk menjadi kebal dari pengaruh yang mengelirukan ini dan untuk mengingati apa yang Juruselamat ajarkan sejak zaman dahulu—bermula dengan kasih Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus dan menghubungkan kasih kita kepada Mereka sebagai alasan untuk mengikuti Mereka.
Tuhan Bapa dan Putera-Nya datang kepada Joseph Smith untuk memulihkan Gereja Yesus Kristus dan untuk memulakan kegenapan zaman keagamaan, Kerajaan-Nya di Bumi. Oleh itu, Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir ialah cara yang Bapa Syurgawi tetapkan untuk akses perjanjian yang membolehkan kita pulang ke rumah. Maka, tidak cukup sekadar hubungan peribadi dengan Bapa Syurgawi dan Putera-Nya; kita perlukan tatacara imamat penting untuk membuat perjanjian dengan Mereka. Ini menyediakan hubungan perjanjian dan memberi akses kepada kasih perjanjian Mereka, menjadikannya mungkin untuk mencapai kerajaan kemuliaan tertinggi untuk semua mereka yang benar dan setia.
Dengan seluruh tenaga jiwa, saya bersaksi tentang realiti dan ketuhanan Juruselamat kita, Yesus Kristus. Dia mengasihi anda. Dia tahu apa yang berlaku dalam hidup anda. Tangannya terbuka luas, menjemput, “Marilah kepada-Ku, … Aku akan membebaskan kamu daripada beban kamu.”
Saya mengasihi Juruselamat, dan kasih saya kepada-Nya ialah “mengapa” saya. Dalam nama Yesus Kristus, amin.