Utuh Secara Rohani dalam Tuhan
Keutuhan tidak bermaksud pemulihan fizikal dan emosi dalam kehidupan ini. Keutuhan lahir dari iman dan penukaran hati kepada Yesus Kristus.
Sepuluh pesakit kusta menjerit kepada Juruselamat, “Kasihanilah kami.“ Dan Yesus Kristus lakukannya. Dia menyuruh mereka pergi kepada imam, dan kemudian mereka dibersihkan daripada penyakit.
Dan seorang daripada mereka, setelah disembuhkan, melaung pujian kepada Tuhan. Dia pergi ke Juruselamat, rebah di kaki-Nya, dan bersyukur.
Dan Juruselamat berkata kepada yang bersyukur, “Kamu sembuh kerana kamu percaya kepada-Ku.“
Yesus Kristus telah sembuhkan sepuluh pesakit kusta. Tetapi seorang, kembali kepada Juruselamat, menerima sesuatu sebagai tambahan. Dia telah diutuhkan.
Sembilan pesakit kusta telah sembuh secara fizikal.
Seorang disembuhkan secara fizikal dan diutuhkan secara rohani.
Merenungkan cerita ini, saya tertanya-tanya jika sebaliknya adalah benar. Jika penyembuhan dan keutuhan tidak sama, bolehkah seseorang diutuhkan secara rohani oleh-Nya tetapi belum disembuhkan secara fizikal dan emosi?
Tuan Penyembuh akan menyembuhkan kesengsaraan kita—fizikal dan emosi—pada masa-Nya. Tetapi dalam menunggu untuk sembuh, bolehkah seseorang menjadi utuh?
Apa maksudnya untuk jadi utuh secara rohani?
Kita utuh dalam Yesus Kristus apabila kita gunakan hak pilihan kita untuk ikuti-Nya dalam iman, serahkan hati kita kepada-Nya supaya Dia ubahnya, patuhi perintah-Nya, dan memasuki hubungan perjanjian dengan-Nya, bertahan dan belajar daripada cabaran duniawi sehingga kita kembali ke hadirat-Nya dan disembuhkan sepenuhnya. Saya boleh jadi utuh sementara menunggu penyembuhan jika saya sepenuh hati dalam hubungan dengan-Nya.
Iman dalam Yesus Kristus melahirkan harapan. Saya temui harapan dalam usaha untuk jadi utuh—keutuhan yang lahir dari iman kepada Yesus Kristus. Iman kepada-Nya meningkatkan harapan saya untuk penyembuhan, dan harapan itu mengukuhkan iman saya kepada Yesus Kristus. Ia adalah kitaran yang kuat.
Tuhan memberitahu Enos bahawa imannya menjadikan dia “utuh “ Keutuhan datang ketika Enos merenungkan kata-kata nabi Yakub, untuk memahami tentang kehidupan kekal, ketika dia berseru kepada Tuhan dalam doa. Dan dalam keinginan dan kerendahan hati itu, suara Tuhan datang kepadanya, mengatakan dosanya telah diampunkan. Dan Enos menanya Tuhan, “Bagaimana ia dilakukan?“ Dan Tuhan menjawab, “Kerana imanmu kepada Kristus, … manmu telah menjadikan engkau suci.”
Melalui iman dalam Yesus Kristus, kita boleh berusaha menjadi utuh secara rohani sementara menunggu dan harap penyembuhan fizikal dan emosi.
Dengan korban tebusan-Nya, dan apabila kita ikhlas bertaubat, Juruselamat menyembuhkan kita daripada dosa, seperti Enos. Korban tebusan-Nya yang tak terhingga juga mencapai kesedihan kita.
Dia mungkin tidak beri penyembuhan dari penyakit—sakit kronik, gangguan autoimun seperti sklerosis, kanser, kebimbangan, kemurungan, dan lain-lain. Penyembuhan seperti itu mengikut masa Tuhan. Dan sementara itu, kita boleh pilih untuk jadi utuh dengan menguatkan iman kepada-Nya!
Menjadi utuh bermakna lengkap dan penuh. Seperti lima gadis bijak yang ada pelita penuh minyak bila pengantin lelaki datang, kita boleh jadi utuh di dalam Yesus Kristus apabila kita isi pelita dengan minyak penukaran hati kepada-Nya. Dengan itu, kita bersedia untuk Kedatangan-Nya yang Kedua.
Dalam perumpamaan sepuluh gadis berada di tempat yang betul, menunggu pengantin lelaki. Setiap orang datang dengan pelita.
Tetapi apabila Dia datang, di tengah malam, lima gadis kurang bijak tidak ada minyak yang cukup untuk pelita mereka. Mereka tidak digambarkan sebagai jahat tetapi sebagai kurang bijak. Orang kurang bijak gagal bersedia untuk pastikan pelita mereka menyala dengan minyak penukaran hati.
Oleh itu, bagi menjawab permohonan mereka untuk masuk ke jamuan perkahwinan, pengantin lelaki menjawab, “Kamu tidak mengenali Aku.”
Maksudnya lima gadis bijak itu mengenali-Nya. Mereka utuh dalam Dia.
Pelita mereka penuh dengan minyak penukaran hati, yang membolehkan gadis bijak masuk ke jamuan perkahwinan di sebelah kanan pengantin lelaki.
Seperti yang diajar oleh Juruselamat, “Setialah, berdoalah selalu, memastikan pelitamu dijaga dan menyala, dan minyak bersamamu, agar kamu boleh bersedia semasa kedatangan Pengantin Lelaki.”
Lima Perawan Bijaksana, oleh Ben Hammond
Sebuah arca yang menggambarkan lima gadis bijak telah diletakkan di Temple Square, di luar pintu ke Bangunan Lembaga Pertolongan dan di bawah bayang-bayang Bait Suci Salt Lake.
Ia adalah lokasi sesuai dengan perumpamaan itu. Apabila kita membuat dan mentaati perjanjian, terutamanya yang terdapat di rumah Tuhan, kita mengisi pelita dengan minyak penukaran hati.
Walaupun wanita yang digambarkan sebagai lima gadis bijak tidak berkongsi minyak penukaran hati, mereka berkongsi cahaya dengan mengangkat pelita yang penuh dengan minyak dan menyala terang. Mereka digambarkan menyokong satu sama lain—bahu ke bahu, lengan di sekeliling yang lain, bertentang mata dan memberi isyarat kepada orang lain untuk datang ke cahaya.
Sesungguhnya “[kita] bagaikan cahaya bagi dunia.” Juruselamat mengisytiharkan:
“Aku memerintahkanmu untuk menjadi cahaya kepada bangsa ini. Sebuah kota yang terletak di atas bukit tidak dapat disembunyikan.
“… Adakah [kita] menyalakan lilin dan meletakkannya di bawah gantang? Tidak, tetapi di atas kaki lilin, dan ia menerangi semua yang ada di dalam rumah itu;
“Oleh itu biarlah cahayamu bersinar sedemikian di hadapan bangsa ini, agar mereka boleh melihat pekerjaan baikmu dan memuliakan Bapamu [yang] berada di dalam syurga.”
Kita diperintahkan untuk kongsi cahaya-Nya. Pastikan pelita anda penuh dengan minyak penukaran dalam Yesus Kristus dan bersiap untuk pastikan pelita menyala terang. Kemudian biarkan cahaya itu bersinar. Apabila kita berkongsi cahaya, kita membawa kelegaan Yesus Kristus kepada orang lain, penukaran hati kita kepada-Nya mendalam, dan kita menjadi utuh sementara menunggu penyembuhan. Jika cahaya bersinar terang, kita boleh bergembira semasa kita menunggu.
Contoh kitab suci berguna dalam mengukuhkan kita menjadi utuh jika hati kita berpaling kepada Yesus Kristus dan dapat kekuatan daripada-Nya, walaupun menunggu penyembuhan.
Rasul Paulus ada penyakit—yang dia sifatkan sebagai “duri dalam daging,” tiga kali dia meminta Tuhan untuk keluarkan. Dan Tuhan menjawab, “Aku mengasihi kamu dan hal itu sudah cukup bagimu, kerana kuasa-Ku nyata sekali pada masa kamu lemah.” Yang Paulus mengisytiharkan:
“Oleh itu aku … membanggakan kelemahanku, supaya merasakan kuasa Kristus yang melindungi aku.
“Aku bersukacita ketika mengalami kelemahan, … kesusahan, kerana Kristus. Aku bersukacita, kerana ketika aku lemah, pada masa itulah aku mendapat kekuatan daripada Kristus.”
Paulus menunjukkan walaupun dalam kelemahan, kekuatan kita dalam Yesus Kristus boleh disempurnakan—iaitu, lengkap dan utuh. Mereka yang berusaha dalam kefanaan dan beriman kepada Tuhan seperti Paulus boleh menerima berkat untuk dekat dengan Tuhan.
Paulus tidak sembuh dari penderitaannya, tetapi dia utuh secara rohani di dalam Yesus Kristus. Walaupun sukar, cahaya penukaran hati dan kekuatan daripada Yesus Kristus bersinar, dan dia gembira. Dalam Suratnya kepada Filipi, dia berseru, “Bersukacitalah di dalam Tuhan selalu: dan sekali lagi aku berkata, Bersukacitalah.“
Saudara dan saudari, jawapannya adalah ya, kita boleh jadi utuh secara rohani, walaupun kita menunggu penyembuhan fizikal dan emosi. Keutuhan tidak bermaksud pemulihan fizikal dan emosi dalam kehidupan ini. Keutuhan lahir dari iman dan penukaran hati ke Yesus Kristus dan membiarkan cahaya penukaran itu bersinar.
“Ramai yang dipanggil, tetapi hanya sedikit [yang memilih untuk menjadi] terpilih.”
Semua akan disembuhkan secara fizikal dan emosi dalam Kebangkitan. Tetapi adakah anda akan memilih sekarang untuk menjadi utuh di dalam Dia?
Saya isytiharkan, dengan sukacita, yang saya bertukar hati kepada Tuhan Yesus Kristus. Saya berusaha untuk jadi utuh di dalam Dia. Saya yakin semua perkara akan dipulihkan dan penyembuhan akan datang, pada masa-Nya, kerana Dia hidup.
Maria Magdalena ialah wanita yang disembuhkan oleh Yesus Kristus. Dan dia seorang wanita yang utuh di dalam Yesus Kristus. Sebagai pengikut-Nya, dia mengikuti Juruselamat ke seluruh Galilea dan melayani Dia.
Dia hadir di kaki salib, menyaksikan kematian-Nya.
Dia pergi ke kubur-Nya untuk persediaan pengebumian dan mendapati bahawa penutup batu dialihkan, dan tubuh Tuhan telah hilang. Maria berada di kubur menangis apabila dia ditanya, pertama oleh malaikat dan kemudian oleh Juruselamat, “Puan, mengapa menangis? Siapakah yang puan cari?“
Maria menjawab, “Jenazah Tuhan saya telah diambil dan saya tidak mengetahui tempat Dia diletakkan!“
Dan Yesus dengan lembut memanggil namanya, “Maria.” Dan dia mengenali Tuhan dan dengan hormat menjawab, ”Rabbuni; … Tuan.”
Bernubuat tentang Juruselamat, Yesaya berkata, “Tuhan Raja akan memusnahkan maut selama-lamanya! Dia akan menghapuskan air mata daripada setiap wajah.”
Kebangkitan-Nya membolehkan air mata Maria dihapuskan. Dia akan menghapuskan air matamu juga.
Maria ialah saksi pertama Juruselamat yang dibangkitkan. Dia juga pertama yang bersaksi kepada orang lain tentang apa dia lihat.
Saya dengan rendah hati menambah kesaksian saya. Dia telah bangkit. Yesus Kristus hidup. Akhirnya, semua akan disembuhkan, secara fizikal dan emosi, di dalam Dia. Dalam menunggu penyembuhan, iman pada Tuan Penyembuh jadikan kita utuh secara rohani. Dalam nama Yesus Kristus, amin.