Persidangan Umum
Teguh Pada Iman Leluhur Kita
Persidangan umum April 2025


11:0

Teguh Pada Iman Leluhur Kita

Sila belajar dan menerima kekuatan daripada iman dan kesaksian mereka yang datang sebelum anda.

Semasa saya melawat Bait Suci Nashville Tennessee bagi pemeriksaan bait suci, saya berpeluang meninjau dan mengkaji semula rumah Tuhan yang indah ini. Saya mengagumi lukisan Mary Wanlass bertajuk Carry On [Teruskanlah] yang digantung pada pejabat matron.

Inilah kisah lukisan itu:

“Di Missouri pada tahun 1862, Mary Wanlass yang berumur 14 tahun berjanji kepada ibu tirinya yang nazak bahawa ayahnya yang kehilangan upaya dan empat adik-beradik mudanya akan berjaya tiba ke Lembah Great Salt Lake. … Mary menjaga dan membawa keluarganya dengan gerabak yang ditarik oleh lembu. Setiap hari, dia memberi keluarganya makan tumbuhan, bunga, dan buah beri. Dia hanya berpandukan arahan yang diterima untuk terus mengembara ke barat ‘sehingga awan menjadi gunung.’

“Mereka tiba di Lembah Utah pada bulan September, setelah mengembara sepanjang musim bunga dan panas. Bapanya meninggal tidak lama selepas menetap di Utah County, kemudian Mary pun berkahwin dan berkeluarga.”

Inilah kisah menakjubkan tentang iman dan kekuatan remaja puteri berusia 14 tahun yang boleh membantu kita untuk “teruskanlah.”

“Teruskanlah,”—atau dalam bahasa Belanda, Gewoon doorgaan, juga slogan ibu bapa saya.

Ibu bapa dan mertua saya adalah perintis keluarga. Mereka telah menyeberangi “dataran”, sama seperti semua orang yang datang ke Gereja sejati Tuhan setiap hari. Walaupun tiada kaitan dengan lembu dan gerabak tapi kesannya sama untuk generasi masa depan.

Mereka menerima injil dan dibaptiskan semasa mereka masih dalam usia belia. Masa kecil ibu bapa saya alami kesukaran. Bapa saya membesar di pulau Java di Indonesia. Semasa Perang Dunia Kedua, dia dipaksa berpisah dari keluarganya dan dikurung di kem tahanan, membuatnya mengalami penderitaan yang besar pada usia muda.

Ibu saya membesar dalam keluarga yang berpecah-belah dan menderita kelaparan dan kesusahan Perang Dunia Kedua. Ada kalanya dia terpaksa makan mentol tulip. Oleh kerana tindakan ayahnya dan perceraian ibu bapanya, kadang-kadang sukar untuknya melihat Bapa Syurgawi sebagai Bapa yang penyayang.

Ibu bapa saya bertemu di Gereja dan memutuskan untuk berkahwin di Bait Suci Bern Switzerland. Menunggu di stesen kereta api setelah menghabiskan simpanan terakhir mereka untuk ke bait suci, mereka risau akan keperluan tetapi yakin semuanya akan berjaya. Dan ia berjaya!

Mereka membina keluarga mereka dari sebuah bilik loteng tunggal sederhana di pusat Amsterdam. Selepas beberapa tahun mencuci baju dengan tangan, mereka akhirnya menabung cukup duit untuk membeli mesin basuh. Sejurus sebelum mereka membeli, uskup datang meminta sumbangan mereka untuk pembinaan gereja di Amsterdam. Mereka memberikan semua simpanan untuk membeli mesin basuh dan terus mencuci dengan tangan.

Sebagai keluarga kami juga melalui kesusahan, seperti keluarga lain. Ini telah menguatkan dan memperdalam iman kami kepada Yesus Kristus, seperti perkongsian Alma kepada anak lelakinya Helaman, bahawa dia “didukung dalam pencubaan dan kesusahan” kerana percaya kepada Tuhan Yesus Kristus.

Bagaimana dua orang yang banyak ujian pada masa muda menjadi ibu bapa terbaik yang pernah saya harapkan? Jawapannya mudah: mereka menerima injil sepenuhnya dan patuhi perjanjian mereka sehingga hari ini!

Selepas lebih 65 tahun berkahwin, ibu saya, penghidap Alzheimer, meninggal dunia pada bulan Februari. Bapa saya, ketika berusia 92 tahun dan tinggal di rumah, selalu melawat dia sehingga kematiannya. Dia pernah menyebut kepada adik-beradik saya yang muda bahawa pengalaman ngeri di Indonesia semasa Perang Dunia Kedua telah menyediakannya untuk sabar menjaga isterinya yang jatuh sakit untuk beberapa tahun dan untuk hari di mana dia terpaksa membiarkan orang lain menjaga isterinya kerana dia tidak berdaya lagi. Moto mereka masih kekal untuk “Teruskanlah,” memiliki harapan yang sempurna kepada Kristus untuk dibangkitkan pada hari terakhir dan hidup bersama-Nya dalam kemuliaan selamanya.

Iman dan kesaksian mereka mengilhamkan generasi selepas itu.

Di kampung isteri saya membesar, ibu bapanya yang suka ke gereja, menerima injil sebagai pasangan muda bersama isteri saya yang ketika itu berusia dua tahun dan merupakan anak tunggal. Keputusan mereka untuk menjadi ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir memberi kesan besar dalam hidup mereka kerana tidak disukai oleh penduduk kampung dan keluarga mereka. Ia mengambil beberapa tahun, nota penuh kasih kepada ahli keluarga, dan pelayanan kepada komuniti sebelum mereka diterima.

Satu masa ketika bapa isteri saya melayani sebagai seorang uskup, dia dituduh secara palsu dan segera dilepaskan. Ibu mertua saya sangat sedih dan bertanya kepada suaminya jika mereka akan terus pergi ke gereja. Dia menjawab sudah tentu mereka terus pergi ke gereja kerana ini bukan gereja manusia tetapi ini adalah Gereja Yesus Kristus.

Agak lama sebelum kebenaran terbongkar dan permohonan maaf dibuat. Apa yang boleh menjatuhkan mereka sebaliknya menguatkan dan meyakinkan mereka.

Mengapa ada di kalangan kita tidak hargai iman dan kesaksian ibu bapa kita yang tetap setia dalam kesusahan? Adakah kerana mereka tiada pemahaman yang jelas? Mereka tidak dan tidak tertipu! Mereka banyak merasakan Roh dan boleh berkata seperti Nabi Joseph “Aku mengetahuinya, … dan aku tidak dapat menyangkalnya.”

Tidakkah anda suka lagu tentang askar Helaman, dalam Buku Nyanyian Anak-Anak?

S’perti Nefi ‘ku dilahirkan,

‘Rang tua yang mengasihi Tuhan,

‘Ku mengerti dan diajarkan,

‘Tuk mematuhi p’rintah Tuhan.

Walaupun bukan seperti yang dialami ibu saya semasa kecil, anda boleh menjadi “orang tua yang mengasihi Tuhan” dan menjadi teladan soleh kepada orang lain.

Adakah kita rasa ini benar apabila menyanyikannya? Adakah anda merasakan bahawa anda “seperti tentera Helaman” dan bahawa anda “akan menjadi misionari Tuhan untuk membawa kebenaran-Nya kepada dunia”? Saya telah merasakannya pada banyak kesempatan semasa menyanyikan lagu ini dalam beberapa tetapan FSY dan pertemuan remaja yang lain.

Atau apa kita rasa apabila menyanyikan “Teguh pada Iman”?

Ragukah teruna Sion

Mempertahankan haknya?

Disaat musuh menyerang,

Tak b’rani melawannya? ‘Tak!

Teguh pada iman leluhur kita.

Kepada generasi muda dalam apa jua keadaan anda berada, sila belajar dan terima kekuatan daripada iman dan kesaksian mereka sebelum anda. Ia akan membantu anda memahami bahawa untuk memperoleh atau mengembangkan kesaksian, pengorbanan perlu dibuat dan bahawa “pengorbanan mendatangkan berkat-berkat syurga.”

Fikirkan pengorbanan yang akan memberkati hidup anda, pertimbangkan dan berdoa tentang jemputan nabi terkasih, Presiden Russell M. Nelson, ketika dia meminta “setiap lelaki muda yang layak dan sihat untuk bersedia dan melayani misi. Bagi lelaki muda Orang Suci Zaman Akhir, pelayanan misi adalah tanggungjawab imamat. …

Bagi … wanita muda dan sihat, misi merupakan peluang hebat namun tidak wajib.”

Anda boleh dipanggil sebagai misionari pelayanan atau pengajar. Kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama untuk membawa jiwa kepada Kristus, dengan cara yang unik dan berkuasa.

Kedua-duanya menunjukkan bahawa anda mengasihi Dia dan ingin mengenali Dia dengan lebih baik. Ingatlah, “kerana bagaimanakah seseorang mengenal tuan yang tidak dia layani, dan yang adalah orang asing baginya, dan berada jauh dari fikiran dan maksud hatinya?”

Sama ada kita semua ialah generasi pertama dalam injil atau kelima, tanya diri sendiri, Apakah kisah iman, kekuatan, dan komitmen selestial yang akan saya sampaikan kepada generasi masa depan?

Marilah berusaha mengenali Juruselamat kita, Yesus Kristus, lebih baik dan jadikan-Nya pusat hidup kita. Dialah batu yang harus dilandaskan supaya ketika badai melanda, kita akan kekal berdiri teguh.

Marilah kita “teguh pada iman leluhur kita, teguh pada iman yang mati syahid, pada Tuhan, jiwa raga, kita ‘kan setia selamanya.” Dalam nama Yesus Kristus, amin.