Remaja
12. Yesus Kristus membawa kebahagiaan


Yusuf dan Maria bersama dengan bayi Yesus

12.

Yesus Kristus membawa kebahagiaan

Ajaran dan Perjanjian 101:36

Bapa Syurgawi anda bahagia. Dia mahu anda, anak-Nya, untuk mempunyai sebanyak kebahagiaan yang mungkin. Inilah sebabnya Dia menyediakan rancangan kebahagiaan. Dia menghantar Putera-Nya, Yesus Kristus, untuk menjadi Juruselamat anda dan mengajar injil-Nya. Perkataan injil bermaksud “berita baik,” dan berita baiknya adalah kerana Yesus Kristus, anda boleh memperoleh kegembiraan dalam kehidupan ini dan kegenapan kebahagiaan untuk keabadian.

Kebenaran Abadi

Anda dimaksudkan untuk mempunyai kegembiraan dan kebahagiaan. Itulah tujuan hidup anda. Ia adalah tujuan rancangan kebahagiaan Bapa Syurgawi. Ini tidak bermakna anda tidak akan berasa sedih atau mengalami masa-masa yang sukar. Tetapi ini bermakna Juruselamat dapat membantu anda mengatasi masa-masa yang sukar dan mencari kebahagiaan.

Kebahagiaan tidak datang daripada keadaan hidup anda; ia datang daripada mengikuti Yesus Kristus. Anda mungkin mempunyai hari yang buruk, minggu yang buruk, atau tahun yang buruk. Tetapi kebahagiaan bukanlah ketiadaan kesedihan dalam hidup anda; ia adalah kehadiran Kristus dalam hidup anda.

Kebahagiaan Juruselamat adalah lebih besar dan lebih berkekalan daripada apa-apa pun. Setan akan menggoda anda untuk mencari keseronokan dan kepuasan dalam cara mementingkan diri atau dari keseronokan duniawi. Apa-apa sahaja yang bertentangan dengan Yesus Kristus dan perintah-perintah-Nya tidak dapat membawa kepada anda kebahagiaan dan kegembiraan sejati yang berkekalan. Ingatlah bahawa hal-hal di bumi ini adalah sementara. Injil Yesus Kristus menawarkan kebahagiaan dan kegembiraan yang mendalam, kudus, dan abadi.

Jemputan

Pilih kebahagiaan. Walaupun benar bahawa terdapat kesedihan dan kesusahan di dunia ini, Bapa Syurgawi juga telah memenuhi dunia ini dengan banyak hal-hal yang indah dan baik. Carilah hal-hal tersebut. Cuba perhatikan sebab-sebab untuk bergembira setiap hari—mungkin juga mencatatkannya. Ini adalah kurnia-kurnia daripada Bapa Syurgawi anda yang penyayang.

Bawalah kebahagiaan dan kegembiraan kepada orang lain. Yesus Kristus menemui kegenapan kebahagiaan dalam membawa kebahagiaan kepada kita. Anda boleh mengikuti teladan-Nya dengan mencari kebahagiaan dan kegembiraan dalam melayani orang lain. Bantu seseorang merasa dikasihi. Beri pujian yang ikhlas. Beri galakkan kepada seseorang yang sedang menghadapi kesukaran. Jika anda pernah rasa anda memerlukan lebih banyak kebahagiaan dalam hidup anda, cubalah membawa kebahagiaan kepada orang lain.

Berbahagialah dalam menyembah Tuhan. Apabila anda pergi ke gereja, tumpukan pada kebahagiaan yang Yesus Kristus berikan kepada anda, dan puji Dia untuk itu! Lakukan bahagian anda untuk menyumbang kepada semangat kebahagiaan dalam pertemuan Gereja anda. Jadikan muzik suci sebahagian daripada penyembahan anda di rumah dan di gereja.

Minerva Teichert, Christ in a Red Robe [Kristus dalam Jubah Merah]

Berkat-berkat yang Dijanjikan

Anda boleh rasa bahagia walaupun kehidupan sukar. Anda mungkin tertanya-tanya bagaimana ini boleh berlaku, tetapi ia benar. Iman anda kepada Yesus Kristus, kuasa penyembuhan-Nya, dan janji-janji abadi-Nya dapat memberi anda kebahagiaan yang berterusan. Kebahagiaan-Nya mengatasi kesedihan dan membawa kedamaian yang melebihi segala pemahaman.

Kegenapan kebahagiaan menanti anda di kerajaan selestial Tuhan. Yesus Kristus mengatasi segala hal yang boleh menghalang anda daripada menerima kebahagiaan abadi. Apabila anda mempercayai dan mengikuti-Nya, kebahagiaan ini akan menjadi milik anda.

Soalan dan Jawapan

Jika injil adalah kebahagiaan, mengapakah saya berasa begitu sedih? Perasaan sedih bukanlah tanda bahawa anda tidak menjalani injil. Kehidupan semua orang termasuk kesukaran, percubaan, dan kesedihan. Mengikuti Yesus Kristus tidak mengubah ini, tetapi ia menghubungkan anda dengan Juruselamat yang boleh menghibur anda dan membantu anda mencari kebahagiaan dan kegembiraan.

Mengapakah terdapat banyak penderitaan di dunia? Beberapa penderitaan di dunia datang kerana orang menggunakan hak pilihan mereka untuk membuat pilihan yang salah. Ini boleh menyebabkan penderitaan untuk diri mereka sendiri dan untuk orang lain. Dalam kes lain, penderitaan bukanlah kesalahan seseorang—ia hanyalah hasil kehidupan di dunia yang tidak sempurna. Apapun sebabnya, ia amat menyedihkan apabila melihat seseorang menderita, terutamanya seseorang yang anda kasihi. Yakinlah bahawa Tuhan juga berasa sedih apabila anda menderita. Dia membenarkan percubaan kefanaan untuk membantu anda berkembang dan bersedia demi kebahagiaan abadi dengan-Nya, tetapi Dia tidak meninggalkan anda untuk menderita bersendirian. Dia menghantar Yesus Kristus untuk mengambil ke atas diri-Nya kesakitan anda supaya Dia dapat membantu anda. Yesus Kristus ialah kekuatan anda! Dan Dia menjemput anda, sebagai salah seorang pengikut-Nya, untuk melakukan apa yang anda mampu bagi meringankan penderitaan orang lain.

Lihat Mazmur 16:11 (dalam hadirat Tuhan terdapat kegenapan kebahagiaan); 95:1 (nyanyilah kepada Tuhan); Yohanes 16:33 (tabahkanlah hati kamu; Yesus Kristus sudah mengalahkan dunia); Galatia 5:22 (buah Roh adalah kebahagiaan); Ibrani 12:2 (Yesus menanggung penderitaan-Nya kerana kebahagiaan menyelamatkan anak-anak Tuhan.); 2 Nefi 2:25 (Tuhan mahu anda mempunyai kebahagiaan); Alma 26:15–16 (melakukan pekerjaan Tuhan membawa kepada kebahagiaan); Ajaran dan Perjanjian 18:15–16 (betapa besarnya kebahagiaan anda apabila anda membantu orang lain datang kepada Kristus).

Soalan Kad Rekomen Bait Suci

  • Adakah anda mempunyai kesaksian tentang Korban Tebusan Yesus Kristus dan peranan-Nya sebagai Juruselamat dan Penebus anda?