2.
Tuhan ingin berkomunikasi dengan anda
Pemulihan injil bermula apabila seorang remaja bernama Joseph Smith berdoa, dan Bapa Syurgawi dan Putera-Nya, Yesus Kristus, menjawabnya. Tuhan terus membimbing Gereja-Nya melalui para nabi hidup. Dia juga ingin berbicara kepada anda, anak-Nya, melalui Roh Kudus. Belajar untuk mengenali bagaimana Roh Kudus bercakap kepada anda adalah salah satu kemahiran yang paling berharga untuk diperoleh.
Kebenaran Abadi
Roh membimbing anda kepada Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus. Ini peranan penting Roh Kudus. Dia juga akan mengilhami anda untuk bertaubat dan mengikuti Yesus Kristus agar anda boleh menerima berkat-berkat Korban Tebusan-Nya. Apabila anda bertaubat, Roh menyucikan anda dan membantu anda berubah.
Roh Kudus bercakap ke fikiran dan hati anda. Pesanan daripada Roh boleh datang ke minda anda dalam pelbagai cara—melalui fikiran, amaran, pemahaman yang jelas dan memori rohani. Roh Kudus boleh bercakap kepada hati anda melalui perasaan yang meningkatkan penghiburan, keyakinan, kedamaian, kasih, kebahagiaan, kerendahan hati, kesyukuran, dan kesabaran.
Jemputan
“Terimalah Roh Kudus.” Kata-kata ini diucapkan apabila anda ditetapkan sebagai ahli Gereja Kristus. Bagaimanakah anda menerima Roh Kudus? Dengan mematuhi ajaran-ajaran Yesus Kristus. Dialah kekuatan anda. Mengikuti-Nya menjemput Roh Kudus ke dalam hidup anda.
Carilah Bapa Syurgawi anda dalam doa. Luahkan isi hati anda kepada-Nya. Bersyukurlah kepada-Nya atas berkat-berkat indah yang Dia telah berikan kepada anda. Kongsi dengan-Nya kegembiraan, kebimbangan, dan soalan anda. Tenanglah dan dengarkan jawapan-Nya, yang mungkin datang sebagai perasaan kedamaian, fikiran dalam minda anda, atau tanggapan untuk melakukan sesuatu.
Dengarlah suara Tuhan dalam tulisan suci. Tulisan suci adalah firman Tuhan kepada anda! Belajarlah daripadanya setiap hari untuk menemui suara dan merasakan kasih-Nya. Semasa anda membaca, renungkan apa yang Dia mungkin ajarkan anda, dan catatkan tanggapan yang datang. Jadikannya satu tabiat harian untuk mengkaji tulisan suci—terutamanya Kitab Mormon—sepanjang hidup anda.
Bertindak atas tanggapan rohani yang anda terima. Jika anda mempunyai fikiran atau tanggapan untuk melakukan sesuatu yang akan memberkati seseorang, lakukannya! Segala hal baik datang daripada Tuhan. Tunjukkan Kepada Bapa Syurgawi bahawa Dia boleh mempercayai anda untuk mengikuti tanggapan daripada-Nya.
Berkat-berkat yang Dijanjikan
Roh Kudus akan menghibur dan membimbing anda. Dia dikenali sebagai Penolong. Dia akan menyokong anda pada masa percubaan. Dia akan membantu anda mengetahui apa yang harus dikatakan atau lakukan. Dengan pengaruh-Nya, anda boleh memberitahu perbezaan antara apa yang benar dan salah. Dia boleh membantu anda mencari kebaikan dalam orang lain dan dalam diri anda. Roh juga boleh memberi amaran kepada anda tentang bahaya. Dia akan membimbing anda kepada Yesus Kristus dan menjauhkan diri daripada dosa.
Anda boleh menerima kurnia rohani. Terdapat banyak kurnia yang Tuhan berikan kepada anak-anak-Nya melalui Roh-Nya. Beberapa yang disebutkan dalam tulisan suci termasuk wahyu, kepercayaan kepada Yesus Kristus, pengajaran, kebijaksanaan menilai, dan kebijaksanaan. Berdoa kepada Bapa Syurgawi tentang kurnia-kurnia rohani yang Dia telah berikan kepada anda, bagaimana anda boleh mengembangkannya, dan bagaimana Dia mahu anda menggunakannya untuk memberkati orang lain.
Soalan dan Jawapan
Mengapakah orang lain mempunyai pengalaman rohani yang lebih besar daripada saya? Tidak semua pengalaman rohani adalah menakjubkan atau dramatik. Selalunya, Tuhan berfirman kepada kita melalui fikiran ke minda atau perasaan lembut dalam hati kita. Ini adalah bisikan kecil daripada suara yang tenang dan lembut. Anda mungkin merasai Roh dan belum mengenalinya. Teruskan berdoa. Teruskan mengkaji firman Tuhan. Lambat laun, anda akan belajar untuk mengenali Roh melalui pelbagai cara.
Lihat 1 Raja-Raja 19:11–12 (Tuhan berfirman dengan suara yang tenang dan lembut); Yohanes 15:26 (Roh bersaksi tentang Kristus); Moroni 10:3–5 (mengetahui kebenaran melalui Roh); Ajaran dan Perjanjian 11:12–13 (Roh memimpin untuk melakukan kebaikan); 45:57 (jadikan Roh sebagai panduan anda); 46:8–26 (kurnia rohani).
Soalan Kad Rekomen Bait Suci
-
Adakah anda mempunyai iman dan satu kesaksian tentang Tuhan Bapa yang Abadi, Putera-Nya, Yesus Kristus dan Roh Kudus?