Remaja
8. Tatacara dan perjanjian bait suci memberi anda akses yang lebih besar kepada berkat-berkat Tuhan


Yesus Kristus duduk dan mengajar para pengikut-Nya

8.

Tatacara dan perjanjian bait suci memberi anda akses yang lebih besar kepada berkat-berkat Tuhan

Ajaran dan Perjanjian 95:8

Beberapa berkat Bapa Syurgawi adalah begitu kudus, Dia telah memerintahkan kita untuk mengetengahkan tempat-tempat istimewa dan kudus di mana kita boleh menerimanya: bait suci. Di bait suci, rumah Tuhan, anda boleh menerima tatacara tertinggi-Nya—anugerahan dan pemeteraian—dan menerima janji-janji-Nya yang lebih besar.

Kebenaran abadi

Anugerahan adalah kurnia pengetahuan dan kuasa. Dalam tatacara anugerahan bait suci, anda mengambil nama Juruselamat ke atas diri anda dengan lebih penuh. Anda berjanji untuk mematuhi Tuhan, berkorban untuk melakukan kehendak-Nya, mematuhi injil Yesus Kristus, mematuhi hukum kemurnian akhlak, dan menyucikan—atau membaktikan—kehidupan anda dan segala yang Tuhan telah berikan kepada Gereja-Nya. Ini adalah janji-janji anda. Tuhan berjanji untuk memberkati anda dengan pengetahuan, perlindungan, dan akses yang lebih besar kepada kuasa-Nya. Dia juga berjanji untuk memberi anda kehidupan abadi bersama-Nya. Sebagai sebahagian anugerahan, anda menerima hak istimewa kudus untuk memakai pakaian suci imamat kudus. Pakaian suci adalah lambang Yesus Kristus dan satu peringatan tentang perjanjian bait suci anda.

Pemeteraian bait suci menyatukan pasangan dan keluarga untuk keabadian. Dalam tatacara pemeteraian bait suci, anda dan pasangan anda akan membuat perjanjian dengan Tuhan dan dengan satu sama lain. Anda akan berjanji untuk setia sepenuhnya kepada Tuhan dan kepada satu sama lain, untuk mengasihi dan melayani satu sama lain, dan bekerjasama untuk mematuhi hukum-hukum Tuhan. Inilah janji anda. Tuhan berjanji bahawa hubungan anda dengan pasangan dan anak-anak anda boleh bertahan selamanya. Dia juga berjanji bahawa anda boleh menerima kemuliaan tertinggi bersama-Nya di kerajaan selestial apabila anda mentaati perjanjian anda. Berkat ini dipanggil permuliaan.

Jemputan

Sentiasa mempunyai kad rekomen bait suci. Bertemu dengan seorang ahli lembaga uskup anda untuk menerimanya. Dia akan menanya anda soalan-soalan tentang bagaimana anda menjalani standard Tuhan untuk memasuki rumah kudus-Nya. Kaji semula soalan-soalan ini dengan kerap. (Anda boleh mencarinya dalam lampiran kepada panduan ini.) Walaupun anda tinggal jauh dari bait suci, biarkan rekomen anda menjadi lambang kasih anda kepada Tuhan dan komitmen anda untuk mematuhi standard-standard-Nya.

Pergi ke bait suci sekerap yang anda boleh. Dengan rekomen bait suci anda, anda boleh memasuki rumah Tuhan dan dibaptiskan dan ditetapkan untuk nenek moyang anda, supaya mereka boleh menerima berkat-berkat yang anda telah terima. Ambil kesempatan daripada setiap peluang untuk berada di bait suci. Cari Tuhan di rumah kudus-Nya. Carilah Dia dalam tatacara-tatacara, lambang-lambang, dan Roh yang anda rasa. Anda akan menemui-Nya.

Bersedia untuk membuat perjanjian di rumah Tuhan. Salah satu cara terbaik untuk melakukan ini adalah mematuhi perjanjian pembaptisan anda. Jadikannya salah satu matlamat bimbingan anda untuk menerima tatacara bait suci dan menjadi penjaga perjanjian sepanjang hidup. Mula sekarang untuk mematuhi hukum-hukum yang anda akan berjanji untuk patuh di bait suci: kepatuhan kepada perintah-perintah, pengorbanan, injil Yesus Kristus, kemurnian akhlak, dan pembaktian. Keluarga, uskup, dan pemimpin Gereja anda yang lain boleh membantu anda.

Bait Suci Tegucigalpa Honduras

Berkat-berkat yang Dijanjikan

Anda boleh menjadi lebih seperti Yesus Kristus. Dia akan membantu anda menjadi pengikut kesolehan yang lebih baik. Tatacara dan perjanjian bait suci akan mengajar anda bagaimana untuk memasuki hadirat Tuhan dan menerima kehidupan abadi bersama-Nya.

Anda akan dipersenjatai dengan kuasa Tuhan. Perjanjian bait suci datang dengan janji bahawa kuasa dan kemuliaan Tuhan akan berada pada diri anda. Para malaikat-Nya akan menjaga anda.

Masa di bait suci akan menghubungkan anda dengan lebih dekat kepada Yesus Kristus dan Roh Kudus. Anda akan merasa kedamaian dan kesejahteraan Tuhan. Anda akan mendengar suara-Nya dengan kejelasan yang lebih besar. Syurga akan terbuka kepada anda, dan anda akan lebih memahami cara-Nya. Anda akan mempunyai kekuatan yang lebih besar untuk menghadapi cabaran-cabaran anda kerana hati anda berhubung dengan-Nya.

Soalan dan Jawapan

Bilakah saya boleh menerima anugerahan? Keputusan untuk menerima anugerahan anda adalah peribadi; buat keputusan ini dengan penuh doa. Berbincang dengan keluarga dan pemimpin anda. Untuk menerima anugerahan, anda perlu sekurang-kurangnya berumur 18 tahun dan telah habis sekolah menengah. Anda akan dianugerahi sebelum melayani misi atau dimeteraikan, tetapi anda tidak perlu menunggu untuk salah satu peristiwa ini sebelum dianugerahi. Anda hanya memerlukan hasrat dan persediaan untuk membuat dan mentaati perjanjian tambahan dengan Bapa Syurgawi anda. Uskup atau presiden cabang anda boleh membantu anda mengetahui jika anda bersedia. Jangan melihat anugerahan sebagai satu tugas dalam senarai semak abadi. Lihatnya sebagai bahagian yang indah dan mulia dalam perjalanan abadi anda untuk datang kepada Kristus dan menerima berkat rohani terbesar Tuhan.

Mengapakah saya memerlukan kad rekomen bait suci untuk memasuki bait suci? Bait suci ialah rumah Tuhan, dan Dia menetapkan standard untuk memasukinya. Tatacara dan perjanjian bait suci begitu kudus sehingga mereka memerlukan persediaan rohani yang istimewa. Temu duga kad rekomen bait suci adalah untuk memastikan bahawa anda bersedia secara rohani untuk keistimewaan perjanjian bait suci yang lebih tinggi. Bapa Syurgawi menjemput semua anak-Nya untuk bersedia membuat janji-janji dengan Dia di rumah kudus-Nya.

Adakah saya perlu menjadi sempurna untuk membuat perjanjian bait suci? Tidak ada seorang pun yang sempurna. Tuhan meminta anda untuk jujur dan rela mematuhi perintah-perintah-Nya. Membuat dan mentaati perjanjian dengan Tuhan adalah apa yang memberi anda kuasa untuk menjadi sempurna melalui Yesus Kristus. Dialah kekuatan anda!

Lihat Yesaya 2:2–3 (Tuhan mengajar kita cara-cara-Nya dibait suci); Matius 11:28–30 (ambil kuk Juruselamat ke atas diri anda); 1 Nefi 14:14 (kuasa Tuhan berada pada umat perjanjian-Nya); Ajaran dan Perjanjian 97:15–16 (hadirat Tuhan dan kemuliaan-Nya berada di dalam rumah-Nya); 109:22 (di dalam bait suci kita disenjatai dengan kuasa Tuhan); 131:1–4; 132:4–6, 15–20 (untuk menerima kehidupan abadi, seorang lelaki dan wanita mesti dimeteraikan untuk keabadian melalui perjanjian perkahwinan yang baru dan kekal); Abraham 1:2 (Abraham ingin menjadi pengikut kebenaran yang lebih baik dan menerima pengetahuan yang lebih besar).

Soalan Kad Rekomen Bait Suci

  • Adakah anda menganggap diri anda layak untuk memasuki rumah Tuhan dan menyertai dalam tatacara bait suci?