I Shall Not Want [Aku Tidak Kekurangan Apa-apa], oleh Yongsung Kim. Dengan ihsan Havenlight
5.
Berjalan dalam cahaya Tuhan
Galatia 5:25
Anda membuat pilihan yang lebih baik apabila anda dapat melihat dengan jelas. Itulah sebabnya cahaya sangat penting; cahaya memudahkan untuk melihat jalan yang betul. Bapa Syurgawi telah memberi anda akses kepada sumber cahaya syurgawi—kurnia Roh Kudus—untuk membantu anda melihat dengan jelas apa yang baik dan buruk, betul dan salah.
Kebenaran Abadi
Anda boleh memiliki Roh Kudus sebagai rakan yang tetap. Apabila anda ditetapkan sebagai ahli Gereja, anda dijemput untuk “menerima Roh Kudus.” Peluang untuk memiliki Roh sebagai rakan tetap anda adalah salah satu kurnia terbesar Tuhan kepada anda.
Membuat pilihan yang baik meningkatkan keupayaan anda untuk merasai Roh. Terdapat banyak perkara yang baik dan menyeronokkan di dunia ini. Sepertimana tubuh anda dipengaruhi oleh makanan dan minuman anda, minda dan roh anda dipengaruhi oleh kandungan yang anda baca, tonton, serta dengar.
Jemputan
Luangkan masa untuk Tuhan setiap hari. Belajar tentang-Nya. Selalu mengingati-Nya. Berdoa kepada Bapa Syurgawi anda. Kaji tulisan suci dan firman para nabi yang hidup. Kemudian, berusaha untuk berpegang kepada perkara yang anda pelajari.
Cari perkara yang menggalakkan, mengilhami dan menjemput Roh. Apabila anda membuat pilihan mengenai kandungan yang harus ditonton, dibaca, didengar atau acara yang harus disertai, fikirkan tentang perasaan anda terhadap kandungan tersebut. Adakah kandungan ini menjemput fikiran yang baik? Jauhkan diri daripada apa-apa yang memperolok-olokkan hal kudus atau yang tidak berakhlak. Jangan melibatkan diri dalam apa-apa yang melemahkan pertimbangan atau kepekaan anda terhadap Roh, seperti keganasan, alkohol dan dadah yang memudaratkan. Berani untuk menghentikan video atau permainan, meninggalkan panggung wayang atau tarian, mengubah muzik anda atau berpaling daripada apa-apa yang tidak selaras dengan Roh.
Gunakan media sosial untuk menaikkan semangat. Media sosial boleh menjadi satu alat komunikasi yang sangat berkuasa. Jika anda menggunakannya, tumpukan pada yang berfaedah, penuh iman dan benar. Jangan membandingkan hidup anda dengan pengalaman orang lain. Ingatlah bahawa harga diri anda datang daripada menjadi anak ibu bapa syurgawi, bukan daripada media sosial.
Cari pengalaman yang baik dan perhubungan yang benar serta berkekalan. Berhati-hati bahawa penggunaan teknologi dan media sosial anda tidak menggantikan masa yang anda luangkan bersama keluarga serta kawan-kawan anda. Media sosial dan teknologi lain boleh memakan banyak masa anda tanpa memberikan balasan yang setimpal. Berehat daripada dunia maya dan berhubung dengan orang dalam dunia nyata.
Berkat-berkat yang Dijanjikan
Roh boleh sentiasa bersama anda. Janji ini adalah sebahagian daripada perjanjian yang anda buat setiap kali anda mengambil sakramen. Roh akan memberikan kesaksian kepada anda tentang Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus. Dia akan menenangkan, membimbing, memberikan amaran dan menguduskan anda. Dia akan membantu anda mengenali kebenaran dan melihat aspek yang baik di dunia.
Soalan dan Jawapan
Bagaimanakah saya boleh tahu sama ada saya merasai Roh Kudus? Belajar untuk menyedari kehadiran Roh mengambil masa, latihan dan kesabaran. Dia berucap kepada orang yang berbeza melalui cara yang berbeza. Jangan mengabaikan perkara remeh—perasaan damai yang anda peroleh apabila mendengar kesaksian seseorang atau perasaan tidak tenteram yang anda rasai selepas membuat pilihan yang salah. Cari dalam tulisan suci mengenai pelbagai cara yang Roh berkomunikasi, berdoa dan mencari peluang untuk merasai kehadiran Roh secara berterusan.
Apakah itu pornografi? Mengapakah saya harus mengelakkan benda ini? Pornografi merupakan suatu pernyataan, dalam bentuk gambar atau perkataan, yang dicipta untuk membangkitkan perasaan seksual. Pornografi datang dalam pelbagai bentuk, termasuk video, gambar, buku, permainan dan muzik. Ini turut termasuk mesej atau imej yang dihantar antara kawan-kawan. Pornografi memperlakukan perkara yang kudus—tubuh jasmani dan perasaan seksual kita—tanpa hormat. Anda mungkin melihat pornografi secara tidak sengaja. Sama ada anda melihat pornografi secara sengaja atau tidak, berpaling dengan segera. Anda juga boleh berbincang dengan ibu, bapa atau orang dewasa lain yang boleh dipercayai. Melihat pornografi secara sengaja merupakan perbuatan yang berdosa dan menjejaskan keupayaan anda untuk merasai Roh. Ia melemahkan kawalan diri anda dan memutarbelitkan cara anda melihat diri anda serta orang lain. Yesus Kristus mempunyai kuasa untuk membantu anda menentang pornografi dan bertaubat. Berpalinglah kepada-Nya dan berpalinglah daripada kegelapan. Uskup anda boleh membantu anda menerima kekuatan dan keampunan melalui Juruselamat. Yesus Kristus ialah kekuatan anda!
Lihat Mazmur 119:105 (firman Tuhan bagaikan cahaya di jalan kita); Amos 5:14 (berusaha untuk berbuat baik); Galatia 5:22–23 (inilah hasilnya jika orang dipimpin oleh Roh Tuhan); Moroni 7:18–19 (cahaya Kristus); Ajaran dan Perjanjian 6:23 (Tuhan memfirmankan kedamaian); 20:77, 79 (doa sakramen).
Soalan Kad Rekomen Bait Suci
-
Tuhan telah berfirman bahawa segala hal “dilakukan dalam kebersihan” di hadapan-Nya (Ajaran dan Perjanjian 42:41). Adakah anda berusaha untuk menjaga fikiran dan kelakuan dengan kebersihan moral?