6.
Kasihilah Tuhan, kasihilah sesama manusia
Matius 22:37–40
Untuk membantu anda membuat pilihan yang baik, Tuhan memberikan perintah. Dia berbuat demikian kerana Dia mengasihi anda. Dan sebab yang terbaik untuk mematuhi perintah Tuhan adalah kerana anda mengasihi-Nya. Kasih adalah asas yang paling penting dalam perintah Tuhan.
Kebenaran Abadi
Tuhan mengasihi anda. Dia Bapa anda. Kasih sempurna-Nya boleh mengilhami anda untuk mengasihi-Nya. Apabila kasih anda terhadap Bapa Syurgawi menjadi pengaruh yang paling penting dalam hidup anda, banyak keputusan menjadi lebih mudah.
Dua perintah terhebat adalah untuk mengasihi Tuhan dan mengasihi sesamamu. Dan siapakah sesamamu? Semua orang! Segala yang diajar dalam tulisan suci dan oleh para nabi berkaitan dengan dua perintah ini.
Semua orang ialah saudara dan saudari anda—termasuklah mereka yang berbeza daripada anda atau tidak sependapat dengan anda. Bapa Syurgawi menginginkan anak-anak-Nya menyayangi satu sama lain. Apabila anda melayani anak-anak-Nya, anda melayani Dia.
Jemputan
Tunjukkan kasih kepada Tuhan dengan mematuhi perintah-Nya. Contohnya, dengan menguduskan hari Sabat sebagai hari yang suci, termasuk dengan mempersiapkan diri dan mengambil sakramen secara beriman, anda menunjukkan kepada Tuhan bahawa anda bersedia untuk mendedikasikan sehari dalam seminggu kepada-Nya. Apabila anda berpuasa dan membayar persepuluhan serta sumbangan, anda menunjukkan kepada Tuhan bahawa pekerjaan-Nya adalah lebih penting daripada kebendaan lain. Apabila anda menggunakan nama Tuhan dan Kristus dengan ketakziman, tidak sekali-kali dengan maksud yang jahat atau bersahaja, anda menunjukkan yang anda bersyukur atas semua yang Mereka telah dilakukan untuk anda.
Layanilah semua orang sebagai anak Tuhan. Sebagai pengikut Yesus Kristus, anda boleh menunjukkan teladan dengan melayani orang daripada semua bangsa, agama serta mana-mana kumpulan lain dengan perasaan kasih, hormat—terutamanya mereka yang kadangkala menjadi mangsa kata-kata serta tindakan yang melukakan hati. Hulurkan tangan kepada mereka yang mungkin berasa sunyi, terasing, atau tidak berdaya. Bantu mereka merasai kasih Bapa Syurgawi melalui anda. Kongsi dengan mereka berkat-berkat yang Dia telah berikan kepada anda, dan jemput mereka untuk mengikuti Yesus Kristus.
Pastikan pertuturan anda mencerminkan kasih kepada Tuhan dan orang lain—sama ada anda berkomunikasi secara bersemuka atau secara maya. Ucapkan kata-kata yang menggalakkan—elakkan apa-apa yang memecahbelahkan, melukakan hati atau menyinggung perasaan, walaupun sebagai gurauan. Kata-kata anda boleh menjadi sangat berkuasa. Biarlah ia berkuasa demi kebaikan.
Tunjukkan kasih kepada keluarga anda. Mengasihi semua anak Tuhan bermula di rumah. Lakukan tanggungjawab anda untuk menjadikan rumah anda satu tempat di mana semua orang boleh merasai kasih Juruselamat.
Berkat-berkat yang Dijanjikan
Hubungan anda dengan Tuhan akan menjadi semakin erat apabila anda meluahkan kasih anda dengan mematuhi perintah-Nya dan mentaati perjanjian anda bersama-Nya.
Hubungan anda dengan orang lain akan menjadi semakin erat apabila anda meluahkan kasih anda melalui pelayanan seperti Kristus. Anda akan menemui kegembiraan dalam menjadikan dunia ini tempat yang lebih penyayang.
Soalan dan Jawapan
Bagaimanakah saya boleh merasai kasih Tuhan? Kasih Bapa Syurgawi sentiasa tersedia. Selalu bercakap dengan-Nya melalui doa. Kongsi perasaan anda dengan-Nya dan beri perhatian kepada tanggapan daripada-Nya. Baca firman-Nya dalam tulisan suci. Fikirkan tentang segala yang Dia telah lakukan untuk anda. Luangkan masa di tempat dan aktiviti di mana Roh-Nya hadir.
Adakah Tuhan mengharapkan saya untuk mengasihi semua orang, bahkan mereka yang memperlakukan saya dengan teruk? Tuhan mengharapkan anda untuk mengasihi musuh anda dan berdoa untuk mereka yang menganiayai anda. Namun, ini tidak bermaksud anda harus kekal berada dalam situasi yang mengganggu anda secara emosi, jasmani atau rohani. Kekalkan sempadan yang sihat untuk memastikan diri anda selamat. Jika anda dibuli atau dianiayai—atau tahu seseorang yang lain sedang mengalami isu ini—berbincanglah dengan seorang dewasa yang boleh dipercayai.
Bilakah dan bagaimanakah saya harus berkenalan dengan ahli berlainan jantina? Cara yang terbaik untuk berkenalan dengan orang lain adalah melalui persahabatan sejati. Semasa anda masih muda, jalin persahabatan yang baik dengan ramai orang. Dalam sesetengah budaya, remaja berkenalan dengan ahli berlainan jantina melalui aktiviti kumpulan yang baik dan menyeronokkan. Demi perkembangan dan keselamatan emosi serta rohani anda, aktiviti berdua-duaan harus ditangguhkan sehingga anda lebih matang—umur 16 tahun merupakan garis panduan yang baik. Berbincang dengan keluarga dan pemimpin anda. Tangguhkan perhubungan eksklusif sehingga anda lebih matang. Luangkan masa bersama mereka yang membantu anda mentaati komitmen anda kepada Yesus Kristus.
Apakah yang boleh saya lakukan jika rumah saya bukan satu tempat yang penuh kasih sayang? Juruselamat mengetahui situasi anda dan Dia mengasihi anda. Bersabarlah, terus mematuhi perintah Tuhan dan menjadi teladan yang baik kepada keluarga anda. Tindakan kasih yang sederhana anda boleh memberi perbezaan yang besar. Anda juga boleh membina hubungan dalam keluarga bahagian anda. Buat persediaan sekarang untuk membina keluarga anda sendiri yang berasaskan ajaran-ajaran Yesus Kristus. Ingat: Yesus Kristus ialah kekuatan anda!
Lihat Yesaya 58:3–11 (tujuan berpuasa); 58:13–14 (berkat merayakan hari Sabat); Maleakhi 3:8–10 (berkat memberikan persepuluhan); Lukas 6:27–28 (kasihilah musuhmu); 10:25–37 (siapakah sesamaku?); Yohanes 3:16–17 (Tuhan mengasihi kita, jadi Dia mengutuskan Putera-Nya); 14:15 (kita mentaati perintah kerana kita mengasihi Tuhan); 1 Yohanes 4:19 (kita mengasihi Tuhan kerana Dia mengasihi kita); Mosia 2:17 (apabila kita berada dalam pelayanan sesama kita, kita dalam pelayanan Tuhan).
Soalan-Soalan Kad Rekomen Bait Suci
-
Adakah anda mengikuti ajaran-ajaran Gereja Yesus Kristus dalam kelakuan anda secara peribadi dan awam dengan ahli-ahli keluarga dan orang lain?
-
Adakah anda pembayar persepuluhan penuh?