Remaja
11. Kebenaran akan membebaskan anda


Seorang remaja putera pada zaman purba membaca dari gulungan naskhah

Feast Upon the Word [Menjamu Firman], oleh Liz Lemon Swindle Dengan ihsan Havenlight

11.

Kebenaran akan membebaskan anda

Yohanes 8:32

Bapa Syurgawi anda ialah Tuhan kebenaran. Dia mengetahui segala-galanya. Semua kebenaran datang daripada-Nya dan membawa kepada-Nya. Anda menunjukkan bahawa anda menghargai kebenaran apabila anda belajar, mengamalkan kesempurnaan akhlak dan berani mempertahankan perkara yang anda tahu adalah benar—walaupun anda perlu melakukannya sendirian.

Kebenaran Abadi

Bapa Syurgawi mahu anak perempuan dan anak lelaki-Nya sentiasa belajar. Anda mempunyai sebab duniawi dan rohani untuk menimba pengetahuan dan gemar belajar. Pendidikan bukan hanya untuk mencari nafkah. Ia sebahagian daripada matlamat abadi anda untuk menjadi lebih seperti Bapa Syurgawi.

Hidup secara berintegriti bermaksud anda mengasihi apa yang benar di mata Tuhan—lebih daripada anda mengasihi keselesaan peribadi, populariti atau kemudahan. Ini bermaksud melakukan perkara yang betul kerana ia adalah betul.

Anda mempunyai sesuatu yang berharga untuk dikongsi. Injil Yesus Kristus mempunyai jawapan kepada soalan-soalan kehidupan. Ini ialah jalan menuju ke arah kedamaian dan kebahagiaan. Anda mungkin tidak tahu segala-galanya, tetapi anda tahu cukup untuk mengasihi jiran anda, berkongsi asas-asas benar dengan mereka, dan menjemput mereka untuk belajar lebih lanjut.

Jemputan

Sentiasa belajar. Cari peluang untuk mengembangkan minda dan kemahiran anda. Peluang ini boleh termasuk pendidikan formal di sekolah atau latihan vokasional dan juga pembelajaran tidak formal daripada sumber yang anda percayai. Libatkan Tuhan dalam usaha anda dan Dia akan membimbing anda.

Belajar kebenaran rohani. Apabila anda belajar tentang dunia di sekeliling anda, belajar juga tentang Juruselamat, yang mencipta dunia. Kaji tentang kehidupan dan ajaran-Nya. Jadikan seminari, institut dan pengkajian injil peribadi sebahagian daripada pembelajaran sepanjang hidup anda. Ia boleh menyediakan anda untuk melayani misi dan berkongsi injil sepanjang hidup anda.

Hidup dengan integriti. Jangan mencuri, berbohong, atau menipu dalam apa jua cara—di sekolah, di tempat kerja, dalam talian, di mana-mana sahaja. Jadilah pengikut Yesus Kristus beriman yang sama di tempat awam dan secara peribadi.

orang ramai berlutut di hadapan Yesus Kristus yang dibangkitkan

Berkat-berkat yang Dijanjikan

Pendidikan meningkatkan keupayaan anda untuk melayani Tuhan, termasuk sebagai seorang misionari. Ia memperkasakan anda untuk memberkati orang lain, terutamanya keluarga anda. Semakin banyak anda belajar, semakin banyak anda dapat membantu membina kerajaan Tuhan dan mempengaruhi dunia demi kebaikan.

Kejujuran membawa kedamaian dan hormat diri. Apabila kata-kata dan tindakan anda sejajar dengan kebenaran, anda menunjukkan bahawa anda boleh dipercayai—oleh orang lain dan oleh Tuhan.

Apabila anda mempertahankan ajaran-ajaran Yesus Kristus, Dia menyokong dan membantu anda. Yesus Kristus ialah kekuatan anda! Orang lain mungkin tidak bersetuju dengan kepercayaan anda, tetapi keberanian dan keikhlasan anda akan dapat dilihat. Sama ada orang lain mengikut teladan anda atau tidak, kesaksian, keyakinan dan keimanan anda terhadap Kristus akan berkembang.

Soalan dan Jawapan

Adakah salah untuk mempunyai soalan tentang Gereja? Bagaimanakah saya boleh mencari jawapannya? Menanya soalan bukanlah tanda kelemahan atau kekurangan iman. Sebenarnya, menanya soalan boleh membantu memupuk keimanan. Pemulihan injil bermula apabila Joseph Smith yang berumur 14 tahun bertanya soalan dengan penuh iman. Cari jawapan dalam tulisan suci, dalam firman para nabi Tuhan, daripada pemimpin dan ahli-ahli keluarga setia anda serta daripada Tuhan sendiri. Jika jawapan tidak datang dengan segera, percayalah bahawa anda akan belajar baris demi baris. Terus berpegang pada perkara yang anda sudah ketahui dan terus mencari kebenaran.

Bagaimanakah saya boleh mempertahankan perkara yang benar tanpa menyinggung perasaan mereka yang mempunyai kepercayaan yang berbeza? Bermula dengan memastikan kata-kata dan tindakan anda diilhamkan daripada kasih terhadap Tuhan dan anak-anak-Nya. Perkongsian injil tidak harus dilakukan melalui semangat pertikaian tetapi dengan kejelasan, kelembutan hati dan kebaikan hati. Anda boleh mengasihi orang lain walaupun anda tidak bersetuju dengan pandangan mereka. Jadilah teladan baik seorang pengikut Yesus Kristus melalui cara anda hidup.

Lihat Matius 5:14–16 (hendaklah cahaya kamu bersinar); Yohanes 14:6 (Yesus, jalan untuk mengenal Tuhan); 1 Petrus 3:15 (hendaklah kamu sentiasa bersedia berkongsi harapan dalam Kristus); Ajaran dan Perjanjian 88:77–80 (hal-hal yang Tuhan mahu kita pelajari); 88:118 (carilah kamu dari buku-buku terbaik kata-kata kebijaksanaan); 93:36 (kemuliaan Tuhan adalah kecerdasan); 124:15 (integriti bermaksud mengasihi apa yang benar); 130:18 (kecerdasan kita akan bangkit bersama kita dalam kebangkitan).

Soalan-Soalan Kad Rekomen Bait Suci

  • Adakah anda berusaha untuk jujur dalam semua perbuatan anda?

  • Adakah anda menyokong atau menggalakkan pengajaran, amalan, atau ajaran yang bertentangan dengan ajaran dari Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir?