Family Looking Towards the Light [Keluarga Memandang Ke Cahaya], oleh Lovetta Reyes Cairo. Dengan ihsan Havenlight
10.
Tubuh anda adalah kudus
1 Korintus 6:18–20
Tubuh anda merupakan kurnia yang menakjubkan daripada Bapa Syurgawi anda. Tubuh memberi anda kuasa yang lebih besar untuk memilih hal yang betul dan salah dengan bebas. Injil Yesus Kristus yang dipulihkan boleh membantu anda melihat tubuh anda daripada perspektif Tuhan. Ini memberi perbezaan yang besar dalam pilihan bagaimana anda memperlakukan tubuh dan cara menjaga tubuh anda.
Kebenaran Abadi
Tubuh anda adalah dalam rupa Tuhan—Makhluk yang paling agung dan megah di dalam semesta. Tulisan suci membandingkan tubuh kita dengan bait suci yang kudus, sebuah tempat di mana Roh boleh tinggal. Sudah tentu, tubuh anda tidak sempurna sekarang. Tetapi pengalaman yang anda alami dengan tubuh anda boleh membantu anda bersedia untuk menerima tubuh yang sempurna, dibangkitkan dan dimuliakan pada suatu hari nanti.
Jiwa anda terdiri daripada tubuh dan roh anda. Atas sebab ini, kesihatan jasmani dan kesihatan rohani berkait rapat. Juruselamat mengungkapkan Kata-kata Bijaksana untuk mengajar tentang asas menjaga tubuh anda dan untuk menjanjikan berkat jasmani dan rohani.
Perasaan seksual merupakan bahagian yang penting dalam rancangan Tuhan untuk mencipta perkahwinan bahagia dan keluarga abadi. Perasaan ini tidak berdosa—ia adalah kudus. Oleh kerana perasaan seksual begitu kudus dan hebat, Tuhan telah memberi anda hukum kemurnian akhlak-Nya untuk menyediakan anda agar menggunakan perasaan ini seperti yang Dia maksudkan. Hukum kemurnian akhlak menyatakan bahawa Tuhan mewajarkan aktiviti seksual hanya di antara seorang lelaki dan seorang perempuan yang sudah berkahwin. Ramai di dunia ini tidak menghiraukan atau mengejek hukum Tuhan, tetapi Tuhan menjemput kita untuk menjadi pengikut-Nya dan mengamalkan hidup mengikut standard yang lebih tinggi daripada dunia.
Jemputan
Perlakukan tubuh anda—dan tubuh orang lain—dengan hormat. Semasa anda membuat keputusan tentang pakaian, gaya rambut dan penampilan anda, tanyakan diri anda, “Adakah saya menghormati tubuh saya sebagai kurnia kudus daripada Tuhan?” Bapa Syurgawi mahu kita melihat sesama sendiri siapa diri kita yang sebenarnya: bukan setakat tubuh jasmani tetapi sebagai anak terkasih-Nya yang mempunyai takdir ilahi. Elakkan gaya yang menekankan atau menarik perhatian yang tidak sesuai terhadap tubuh jasmani anda dan bukannya siapa anda sebagai anak Tuhan yang mempunyai masa depan yang abadi. Biarkan kebersihan moral dan kasih terhadap Tuhan membimbing pilihan anda. Dapatkan nasihat daripada keluarga anda.
Lakukan perkara yang akan menguatkan tubuh anda, elakkan perbuatan yang akan mencederakan atau merosakkan tubuh anda. Nikmati dengan kesyukuran terhadap banyak perkara baik yang telah Tuhan sediakan. Ingatlah bahawa alkohol, tembakau, kopi, teh dan dadah serta bahan lain yang memudaratkan bukan untuk tubuh atau roh anda. Bahkan bahan yang berguna, seperti ubat preskripsi, boleh memusnahkan jika tidak digunakan dengan betul.
Jaga seks dan perasaan seksual dengan kudus. Ia tidak harus dijadikan subjek gurauan atau hiburan. Di luar perkahwinan di antara seorang lelaki dan seorang perempuan, adalah salah untuk menyentuh bahagian peribadi dan kudus tubuh orang lain walaupun berpakaian. Dalam membuat pilihan mengenai perkara yang anda lakukan, lihat, baca, dengar, fikirkan, siarkan atau hantar dalam mesej teks, elakkan apa-apa yang berniat untuk membangkitkan emosi bernafsu pada orang lain atau diri anda sendiri. Ini termasuk pornografi dalam apa jua bentuk. Jika anda mendapati situasi atau aktiviti itu menjadikan godaan lebih kuat, elakkan situasi atau aktiviti tersebut. Anda tahu situasi dan aktiviti itu. Jika anda tidak pasti, Roh, keluarga dan pemimpin anda boleh membantu. Tunjukkan kepada Bapa Syurgawi bahawa anda mentaati dan menghormati kuasa kudus untuk mencipta kehidupan.
Berkat-berkat yang Dijanjikan
Penghormatan anda terhadap diri dan orang lain akan meningkat apabila anda menghormati tubuh melalui tingkah laku, penampilan dan pemakaian anda.
Tuhan telah menjanjikan harta pengetahuan yang besar kepada mereka yang mematuhi Kata-kata Bijaksana. Tubuh yang sihat, bebas daripada ketagihan, turut meningkatkan keupayaan anda untuk menerima wahyu peribadi, berfikir dengan jelas dan melayani Tuhan.
Mengamalkan hukum kemurnian akhlak membawa kelulusan Tuhan dan kuasa rohani peribadi. Ia melindungi anda dan keluarga masa depan anda. Apabila anda berkahwin, hukum ini akan membawa kasih, kepercayaan dan perpaduan yang lebih mendalam kepada perkahwinan anda. Kepatuhan terhadap hukum ini akan membolehkan anda berkembang secara abadi dan menjadi lebih seperti Bapa Syurgawi anda. Keyakinan anda akan berkembang apabila anda hidup sebagai pengikut Yesus Kristus.
Soalan dan Jawapan
Apakah standard Tuhan mengenai pemakaian, dandanan, tatu dan penindikan? Standard Tuhan adalah untuk anda menghormati kekudusan tubuh anda, walaupun itu bermaksud berlainan daripada dunia. Biarkan kebenaran ini dan Roh menjadi bimbingan anda semasa anda membuat keputusan—terutamanya keputusan yang mempunyai kesan berkekalan pada tubuh anda. Jadilah bijak dan beriman, minta nasihat daripada keluarga dan pemimpin anda.
Bagaimanakah saya boleh mengatasi godaan dan tabiat buruk? Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus memiliki kuasa untuk membantu anda. Penuhi kehidupan anda dengan perkara yang menjemput kuasa Mereka ke dalam hidup anda, seperti berdoa, mengkaji tulisan suci dan melayani orang lain. Berpaling kepada Yesus Kristus serta injil-Nya, dan anda akan mendapati bahawa kelemahan boleh menjadi kekuatan. Minta bantuan daripada keluarga, pemimpin dan penasihat profesional yang dipercayai jika perlu. Ia boleh membantu anda mengawal kehidupan anda semula. Ia mungkin mengambil masa, jadi bersabarlah dan jangan berputus asa.
Saya tertarik kepada orang yang sama jantina dengan saya. Bagaimanakah standard ini berguna kepada anda? Tarikan sama jantina bukan suatu dosa. Jika anda mempunyai perasaan ini dan tidak meneruskan atau bertindak terhadap perasaan tersebut, maka anda mengamalkan hukum kemurnian akhlak Bapa Syurgawi yang kudus. Anda anak Tuhan dan pengikut Yesus Kristus yang dikasihi. Ingatlah bahawa Juruselamat memahami semua yang anda alami. Melalui hubungan perjanjian anda dengan-Nya, anda akan menemukan kekuatan untuk mematuhi perintah Tuhan dan menerima berkat yang dijanjikan-Nya. Percayai-Nya dan injil-Nya.
Saya telah dianiayai dan saya berasa malu. Adakah saya berdosa? Tidak. Menjadi mangsa penganiayaan atau perkosaan tidak membuat anda berdosa. Juruselamat mengasihi anda. Dialah kekuatan anda. Dia ingin membantu anda, menyembuhkan anda dan memberi anda kedamaian. Penasihat profesional yang dipercayai, ahli keluarga anda dan pemimpin anda juga boleh membantu.
Lihat Kejadian 1:27 (kita meyerupai Tuhan); Yohanes 14:18 (Juruselamat menjanjikan penghiburan); Filipi 4:7 (kesejahteraan Tuhan yang tidak mungkin difahami oleh manusia); Mosia 2:41 (mereka yang mematuhi perintah-perintah Tuhan diberkati secara duniawi dan rohani); Ajaran dan Perjanjian 88:15 (roh dan tubuh adalah jiwa); 89 (Kata-kata Bijaksana); 121:45 (fikiran yang berhemah membawa kepada peningkatan keyakinan).
Soalan-Soalan Kad Rekomen Bait Suci
-
Tuhan telah berfirman bahawa segala hal “dilakukan dalam kebersihan” di hadapan-Nya (Ajaran dan Perjanjian 42:41). Adakah anda berusaha untuk menjaga fikiran dan kelakuan dengan kebersihan moral?
-
Adakah anda mematuhi hukum kemurnian akhlak?
-
Adakah anda memahami dan mematuhi Kata-kata Bijaksana?