3.
Anda boleh membantu dalam pekerjaan Tuhan
Bapa Syurgawi mengasihi setiap anak-anak-Nya. Dia ingin membantu mereka mencari kegembiraan dan kebahagiaan, kembali kepada-Nya, dan memperoleh kehidupan abadi. Ini dipanggil pekerjaan penyelamatan dan permuliaan-Nya, dan Dia menjemput anda untuk membantu!
Kebenaran Abadi
Pekerjaan dan kemuliaan Tuhan adalah untuk mendatangkan kebaqaan dan kehidupan abadi bagi anda. Kebaqaan adalah untuk hidup secara abadi dengan tubuh jasmani yang telah dibangkitkan. Kehidupan abadi, atau permuliaan, adalah untuk menjadi lebih seperti Tuhan dan hidup di hadirat-Nya sebagai keluarga abadi. Semua ini terjadi kerana Yesus Kristus dan Korban Tebusan-Nya. Anda boleh mempercayai Dia.
Anda boleh membantu dalam pekerjaan Tuhan dengan datang kepada Kristus dan membantu orang lain melakukan perkara yang sama. Setiap kali anda melakukan apa-apa untuk membantu seseorang mengikuti Yesus Kristus, anda membantu dalam pekerjaan Tuhan.
Jemputan
Mengamalkan injil. Membina iman anda kepada Yesus Kristus. Bertaubat setiap hari. Menerima tatacara imamat Tuhan dan mentaati perjanjian anda. Jadikannya pola sepanjang hidup anda.
Menjaga mereka yang memerlukan. Cari cara untuk melayan orang lain, termasuk keluarga, kawan-kawan, dan komuniti anda. Satu cara yang baik untuk membantu orang yang memerlukan adalah dengan mematuhi hukum puasa dan memberi sumbangan puasa.
Jemput semua untuk menerima injil. Biarkan kata-kata dan tindakan anda mencerminkan kepercayaan anda terhadap Yesus Kristus. Bersedia untuk memberitahu sesiapa yang menanya anda tentang harapan serta kebahagiaan yang anda rasai sebagai pengikut-Nya. Bagi remaja putera, melayani misi sepenuh masa adalah tanggungjawab imamat. Bagi remaja puteri, ia adalah satu peluang yang berkuasa; berdoa untuk mengetahui jika Tuhan mahu anda melayani. Bersedia untuk berkongsi injil sepanjang hidup anda.
Menyatukan keluarga untuk keabadian dengan melakukan kerja sejarah keluarga dan bait suci. Kenali nenek moyang anda. Ketahui siapa yang memerlukan tatacara-tatacara bait suci. Pergi ke bait suci sekerap mungkin untuk dibaptis dan ditetapkan bagi pihak mereka. Jika anda memerlukan bantuan, layari FamilySearch.org.
Berkat-berkat yang Dijanjikan
Tuhan akan membantu anda. Bapa Syurgawi tidak mengharapkan anda untuk melakukan pekerjaan ini sendiri. Dia bersama anda. Apabila anda dengan rendah hati menawarkan masa dan hati anda, Dia akan melakukan hal-hal yang menakjubkan melalui anda. Yesus Kristus ialah kekuatan anda!
Anda akan dipenuhi dengan kebahagiaan. Pekerjaan Tuhan adalah pekerjaan yang menggembirakan! Apabila anda mengambil bahagian dalam kerja-Nya, anda boleh merasakan kebahagiaan yang Dia rasakan. Bayangkan kebahagiaan yang akan anda kongsikan bersama Bapa Syurgawi dan anak-anak-Nya yang telah anda bantu bawakan kepada-Nya!
Soalan dan Jawapan
Bolehkah Tuhan benar-benar menggunakan saya dalam pekerjaan-Nya? Ya! Terdapat banyak cara untuk membantu dalam pekerjaan tersebut. Ia mungkin kelihatan seperti orang lain lebih berbakat atau mahir, tetapi Bapa Syurgawi melihat potensi anda. Dia telah memberi anda kurnia-kurnia yang anda boleh gunakan untuk melayani dan mengumpulkan anak-anak-Nya. Tidak mengapa jika kurnia-kurnia ini berbeza daripada apa yang orang lain ada. Sebenarnya, itulah sebabnya kurnia anda sangat berharga. Anda diperlukan!
Lihat Matius 10:39 (jika anda kehilangan hidup anda dalam pelayanan Juruselamat, anda akan menemuinya); 1 Korintus 12:14–27 (semua anggota diperlukan dalam tubuh Kristus); Filipi 1:6 (yakin bahawa Tuhan sedang bekerja dalam diri anda); Yakub 5:72 (Tuan ladang itu bekerja bersamamu); Ajaran dan Perjanjian 18:15–16 (kebahagiaan anda akan menjadi besar dengan mereka yang anda bawa kepada Kristus); 64:33–34 (pekerjaan besar datang dari hal-hal yang kecil dan sederhana); Musa 1:6 (“Aku mempunyai sebuah pekerjaan bagimu”); 6:31–34 (Tuhan melayakkan mereka yang Dia panggil, walaupun mereka merasa tidak mencukupi).
Soalan Kad Rekomen Bait Suci
-
Adakah anda mempunyai kesaksian dalam Pemulihan injil Yesus Kristus?