4.
Yesus Kristus akan membantu anda
Mazmur 147:3
Yesus Kristus ialah kekuatan anda. Dia telah melakukan segala yang diperlukan supaya anda memiliki kebahagiaan dalam kehidupan ini dan selamanya. Dengan memilih-Nya dan injil-Nya, anda memilih kegembiraan dan kebahagiaan abadi.
Walaupun anda mencuba sedaya upaya untuk membuat pilihan yang baik, kadangkala anda akan melakukan kesilapan. Anda akan melakukan perkara yang anda tidak ingin lakukan. Hal ini berlaku pada semua orang. Apabila hal ini berlaku, anda mudah berasa kecewa atau berfikir sama ada anda mampu menjadi cukup bagus. Tetapi ada berita baik—berita penuh harapan yang mengagumkan! Oleh kerana Tuhan mengasihi anda, Dia mengutuskan Putera-Nya, Yesus Kristus, yang mengambil ke atas diri-Nya dosa-dosa anda supaya anda boleh bertaubat, diampun, dan terus maju.
Kebenaran abadi
Yesus Kristus akan menguatkan anda. Dia akan membantu mengubah keinginan, fikiran dan tindakan anda. Apabila anda berasa risau, takut atau bergelut dalam apa jua situasi, Dia akan menenangkan anda. Dia akan membantu anda dalam semua aspek kehidupan anda. Anda boleh mempercayai Dia.
Pertaubatan bukan hukuman untuk dosa; ia merupakan cara Juruselamat membebaskan kita daripada dosa. Untuk bertaubat bermaksud untuk berubah—untuk berpaling daripada dosa dan kepada Tuhan. Ia bermaksud untuk menambah baik dan menerima keampunan. Perubahan seperti ini bukanlah suatu peristiwa yang berlaku hanya sekali; ia suatu proses yang berterusan.
Jemputan
Jadikan Yesus Kristus sebagai fokus hidup anda. Carilah bantuan-Nya dalam segala yang anda lakukan.
Bertaubat. Berpaling kepada Tuhan dengan keinginan untuk bertambah baik. Apabila anda telah melakukan kesalahan, mengaku dengan jujur di hadapan Tuhan dan, jika perlu, kepada uskup anda dan sesiapa pun yang mungkin telah anda lukai. Cuba sedaya upaya untuk membuat pembetulan.
Bersukacitalah dalam kurnia untuk memperbaiki dan menjadi lebih baik. Walaupun ia tidak mudah dan mengambil masa lama, jangan berhenti mencuba. Terus berusaha dan mempercayai Tuhan. Dia akan membantu anda sepanjang perjalanan.
Berkat-berkat yang Dijanjikan
Yesus Kristus akan mengampuni dan menyembuhkan anda apabila anda bertaubat. Dia akan menggantikan perasaan bersalah dengan kedamaian dan kebahagiaan. Dia tidak akan mengingati dosa-dosa anda. Yesus Kristus ialah kekuatan anda, dan dengan kekuatan-Nya, keinginan anda untuk mematuhi perintah-perintah-Nya akan meningkat.
Dia akan mengubah hati dan kehidupan anda. Sedikit demi sedikit, anda akan berkembang dan menjadi lebih seperti Dia.
Soalan dan Jawapan
Bagaimanakah saya tahu sama ada Tuhan telah mengampuni saya? Tuhan berjanji bahawa Dia akan mengampuni mereka yang bertaubat. Apabila anda merasai ketenangan daripada Roh, anda boleh tahu bahawa kuasa penebusan Juruselamat berkerja dalam hidup anda.
Bilakah saya memerlukan bantuan uskup untuk bertaubat? Uskup anda memegang kunci-kunci imamat dan kurnia rohani untuk membantu anda bertaubat. Anda boleh mendapatkan bantuan dan nasihatnya pada bila-bila masa pun. Jika anda telah melakukan kesilapan yang besar, seperti melanggar hukum kemurnian akhlak, berjumpalah dengan uskup anda. Dia tidak akan menghukum anda. Dia seorang wakil Yesus Kristus dan akan membantu anda mengetahui cara untuk bertaubat sepenuhnya serta menerima kuasa penyembuhan dan pengukuhan Juruselamat.
Saya sedang cuba bertaubat, tetapi saya masih melakukan kesilapan yang sama. Apakah yang harus saya lakukan? Janganlah berputus asa. Berpalinglah kepada Kristus, dan berimanlah kepada-Nya. Rahmat-Nya mencukupi. Cuba lagi. Anda tidak bersendirian dalam usaha anda untuk maju. Yesus Kristus sentiasa bersama anda.
Lihat Enos 1:6 (rasa bersalah boleh disapu bersih); Mosia 4:3 (melalui Roh Kudus, Tuhan memberitahu anda yang anda telah diampuni); 26:30 (Juruselamat mengampuni kita sekerap kita bertaubat); Eter 12:27 (rahmat Juruselamat boleh menjadikan hal-hal yang lemah menjadi kuat); Moroni 6:8 (mereka yang bertaubat akan diampunkan); 10:32 (disempurnakanlah di dalam Kristus); Ajaran dan Perjanjian 1:32 (Tuhan mengampuni mereka yang bertaubat); 58:42–43 (pertaubatan termasuk mengakui dan meninggalkan dosa).
Soalan Kad Rekomen Bait Suci
-
Adakah anda mempunyai kesaksian tentang Korban Tebusan Yesus Kristus dan peranan-Nya sebagai Juruselamat dan Penebus anda?
-
Adakah anda mempunyai dosa-dosa besar yang perlu diselesaikan dengan penguasa imamat sebagai sebahagian daripada pertaubatan anda?