“Fikiran untuk Direnungkan: Khemah Ibadat dan Korban,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Perjanjian Lama 2026 (2026)
“Khemah Ibadat dan Korban,” Ikutlah Aku: Perjanjian Lama 2026
Fikiran untuk Direnungkan
Khemah Ibadat dan Korban
Semasa kita membaca Perjanjian Lama, kita kadang-kadang menemui petikan panjang mengenai hal-hal yang jelas penting bagi Tuhan tetapi mungkin tidak relevan dengan kita hari ini. Keluaran 25–30; 35–40 dan Imamat 1–9; 16–17 adalah contoh. Bab-bab ini menerangkan secara terperinci khemah ibadat Israel di padang belantara dan korban binatang yang akan dilaksanakan di sana. Khemah ibadat itu adalah bait suci mudah alih, tempat kediaman Tuhan di kalangan umat-Nya.
Bait suci moden kita mempunyai persamaan dengan khemah ibadat Israel, tetapi pastinya tidak padan dengan gambaran dalam Keluaran. Dan kita tidak membunuh binatang di bait suci kita—Korban Tebusan Juruselamat mengakhiri korban binatang hampir 2,000 tahun yang lalu. Namun di sebalik perbezaan ini, terdapat banyak nilai dalam membaca tentang bentuk-bentuk penyembahan Israel kuno, terutamanya jika kita melihat mereka seperti umat Tuhan dalam Kitab Mormon—sebagai cara “untuk menguatkan iman mereka kepada Kristus” (Alma 25:16). Apabila kita memahami lambang khemah ibadat dan korban binatang, kita boleh memperoleh pandangan rohani yang juga akan menguatkan iman kita kepada Kristus.
Sacrifice of a Lamb [Korban Anak Domba], oleh Robert T. Barrett
Khemah Ibadat Memperkuatkan Iman kepada Yesus Kristus
Ketika Tuhan memerintahkan Musa untuk membina khemah ibadat di perkhemahan orang Israel, Dia menyatakan tujuannya: “supaya Aku dapat tinggal bersama-sama mereka” (Keluaran 25:8). Di dalam khemah ibadat, hadirat Tuhan diwakili oleh tabut perjanjian—sebuah kotak kayu, disaluti emas, yang berisi catatan bertulis perjanjian Tuhan dengan umat-Nya. Tabut itu disimpan dalam Bilik Maha Suci dan paling dalam, dipisahkan dari khemah ibadat yang lain oleh sebuah tirai. Tirai ini boleh melambangkan perpisahan kita dari hadirat Tuhan kerana Kejatuhan, serta jalan kita kembali kepada-Nya—melalui Juruselamat.
Selain Musa, kita tahu bahawa satu-satunya orang yang boleh memasuki “Bilik Maha Suci” itu (Keluaran 26:34)—imam tinggi. Seperti iman lain, dia harus dicuci dan disapu dengan minyak dahulu dan mengenakan pakaian imam melambangkan jawatannya. Sekali setahun, pada hari yang dipanggil sebagai Hari Pengampunan Dosa, imam tinggi akan mempersembah korban bagi pihak rakyat sebelum memasuki ke dalam khemah ibadat sendiri. Di tirai, dia akan membakar kemenyan. Wangian asap naik ke syurga melambangkan doa-doa orang sampai kepada Tuhan. Kemudian imam tinggi itu, mengambil darah korban binatang, melalui tirai dan mendekati takhta Tuhan, dilambangkan oleh tabut perjanjian.
Berdasarkan pengetahuan anda tentang Yesus Kristus dan peranan-Nya dalam rancangan Bapa Syurgawi, dapatkah anda melihat bagaimana khemah ibadat mengarahkan kita kepada Juruselamat? Seperti khemah ibadat, dan tabut di dalamnya, yang melambangkan hadirat Tuhan di kalangan umat-Nya, Yesus Kristus juga adalah hadirat Tuhan di kalangan umat-Nya. Seperti imam tinggi, Yesus Kristus adalah Pengantara di antara kita dan Tuhan Bapa. Dia melalui tirai itu untuk membuat perantaraan bagi kita dengan darah pengorbanan-Nya sendiri.
Beberapa aspek khemah ibadat Israel kedengaran biasa bagi anda, terutama jika anda pernah ke bait suci untuk menerima tatacara anda sendiri. Bait suci ialah rumah Tuhan—tempat Dia berdiam di kalangan umat-Nya. Seperti Bilik Maha Suci khemah ibadat, bilik selestial bait suci melambangkan hadirat Tuhan. Untuk masuk, kita mesti terlebih dahulu dicuci dan disapu dengan minyak. Kita memakai pakaian kudus. Kita membuat perjanjian. Kita berdoa di altar dari mana doa-doa naik kepada Tuhan. Dan akhirnya kita melalui tirai ke hadirat Tuhan.
Mungkin persamaan yang paling penting antara bait suci moden dan khemah ibadat kuno adalah keduanya jika difahami dengan betul, menguatkan iman kita kepada Yesus Kristus dan mengisi kita dengan kesyukuran atas korban tebusan-Nya. Tuhan ingin semua anak-Nya memasuki hadirat-Nya; Dia ingin “[satu kerajaan] imam” dan imam wanita (Keluaran 19:6). Tetapi dosa-dosa kita menghalang kita dari memperoleh berkat itu, kerana “tiada apa pun yang tidak bersih dapat hidup dengan Tuhan” (1 Nefi 10:21). Oleh itu, Tuhan Bapa mengutus Yesus Kristus, “Imam Agung [kita] daripada perkara-perkara baik” (Ibrani 9:11). Dia membelah tirai untuk kita dan memberi kuasa kepada semua umat Tuhan untuk “[datang] dengan penuh keberanian menghadap takhta Tuhan, [agar kita] menerima belas kasihan-Nya” (Ibrani 4:16).
Hari ini, tujuan bait suci adalah lebih daripada sekadar memperoleh permuliaan bagi diri kita sendiri. Setelah menerima tatacara kita sendiri dan membuat perjanjian dengan Tuhan, kita dapat berdiri bagi pihak moyang kita, secara perwakilan menerima tatacara bagi mereka. Dalam makna tertentu, kita dapat menjadi seperti imam tinggi kuno—dan Imam Agung—membuka jalan ke hadirat Tuhan untuk orang lain.
Korban Menguatkan Iman kepada Yesus Kristus
Asas-asas korban tebusan dan pendamaian diajarkan dengan berkuasa dalam amalan kuno korban binatang, yang lama wujud sebelum hukum Musa. Adam dan Hawa mempersembahkan korban. Mereka memahami lambangnya kepada pengorbanan Juruselamat. Dan mereka mengajarkan ini kepada anak-anak mereka.
Lambang korban binatang mungkin terasa sungguh memilukan pada Hari Pengampunan Dosa Israel kuno (“Yom Kippur” dalam bahasa Ibrani). Keperluan untuk upacara tahunan ini diungkapkan dalam Imamat 16:30: “Pada hari itu upacara harus dilakukan untuk menyucikan mereka daripada segala dosa agar mereka menjadi tahir.” Ini membolehkan hadirat Tuhan kekal di kalangan orang-orang. Upacara pengampunan dosa ini dilakukan melalui pelbagai upacara. Salah satu darinya, seekor kambing dibunuh sebagai persembahan untuk dosa-dosa rakyat, dan imam besar membawa darah kambing ke tempat yang paling kudus. Kemudian, imam besar itu meletakkan tangannya pada seekor kambing hidup dan mengaku dosa anak-anak Israel—secara lambangnya memindahkan dosa-dosa tersebut kepada kambing itu. Kambing itu kemudian diusir keluar dari kem Israel.
Dalam upacara ini, kambing melambangkan Yesus Kristus, menggantikan orang-orang yang berdosa. Dosa tidak dibenarkan dalam hadirat Tuhan. Tetapi daripada memusnahkan atau mengusirkan orang-orang berdosa, Tuhan menyediakan cara lain—seekor kambing akan dibunuh atau diusir keluar. “Kambing itu membawa segala dosa umat Israel” (Imamat 16:22).
Upacara ini menunjukkan cara yang Tuhan sediakan untuk membawa kita kembali ke hadirat-Nya—Yesus Kristus dan Korban Tebusan-Nya. “Penderitaan kitalah yang ditanggung [Juruselamat], penyakit kitalah yang diderita-Nya,” bahkan “hukuman yang seharusnya dijatuhkan kepada kita” (Yesaya 53:4, 6). Dia berdiri bagi pihak kita, memberi nyawa-Nya untuk membayar hukuman dosa dan kemudian menakluki kematian melalui Kebangkitan-Nya. Korban tebusan Yesus Kristus adalah “korban yang agung dan terakhir; ya, bukan korban manusia, tidak juga korban binatang” tetapi “korban yang tidak terhingga dan abadi” (Alma 34:10). Dia adalah penggenapan bagi semua pengorbanan kuno tujukan.
Untuk ini, selepas pengorbanan-Nya selesai, Dia berfirman, “Kamu akan mempersembahkan kepada-Ku bukan lagi penumpahan darah; ya, korban-korbanmu … akan ditamatkan. … Dan kamu akan mempersembahkan sebagai korban kepada-Ku sebuah hati yang hancur dan roh yang menyesal” (3 Nefi 9:19–20).
Oleh itu, apabila anda menemui petikan dalam Perjanjian Lama tentang korban binatang dan khemah ibadat (atau kemudiannya, bait suci)—anda akan temui banyak tentangnya—ingatlah bahawa tujuan utama dari semuanya adalah untuk menguatkan iman anda kepada Mesias, Yesus Kristus. Hubungkan apa yang anda baca dan pelajari dengan penyembahan anda di rumah-Nya. Biarlah hati dan minda anda berpaling kepada-Nya. Renungkan apa yang Dia telah lakukan untuk membawa anda kembali ke hadirat Tuhan—dan apa yang anda akan lakukan untuk mengikuti-Nya.