“11–17 Mei. ‘Berhati-hatilah Supaya Kamu Tidak Lupa Akan Tuhan’: Ulangan 6–8; 15; 18; 29–30; 34,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Perjanjian Lama 2026 (2026)
“11–17 Mei. ‘Berhati-hatilah Supaya Kamu Tidak Lupa Akan Tuhan,’” Ikutlah Aku: Perjanjian Lama 2026
Moses on Mount Nebo [Musa di Gunung Nebo], oleh John Steel, © Providence Collection/dilesenkan dari goodsalt.com
11–17 Mei: “Berhati-hatilah Supaya Kamu Tidak Lupa Akan Tuhan”
Ulangan 6–8; 15; 18; 29–30; 34
Pelayanan fana Musa bermula di gunung, ketika Tuhan berbicara kepadanya dari semak yang membakar (lihat Keluaran 3:1–10). Ia juga berakhir di sebuah gunung, lebih daripada 40 tahun kemudian, ketika Tuhan memberi dia sekilas pandang tentang negeri yang dijanjikan dari puncak Gunung Nebo (lihat Ulangan 34:1–4). Musa menghabiskan hidupnya mempersiapkan anak-anak Israel untuk memasuki negeri yang dijanjikan itu, dan kitab Ulangan mencatatkan arahan, peringatan, nasihat, dan rayuan terakhirnya kepada orang Israel. Membaca kata-katanya menjelaskan matlamat sebenarnya pelayanan Musa—persiapan yang orang itu perlukan—bukan tentang kelangsungan hidup di belantara, menakluki musuh, atau membangunkan bangsa. Ini tentang pelajaran untuk mengasihi Tuhan, mematuhi-Nya, dan kekal setia kepada-Nya. Itulah persiapan yang kita semua perlukan untuk memasuki kehidupan abadi yang dijanjikan. Walaupun Musa tidak pernah menjejak kaki di “negeri yang luas, kaya dan subur” itu (Keluaran 3:8), kerana iman dan kesetiaannya, dia memasuki negeri yang dijanjikan yang Tuhan telah siapkan untuk semua orang yang mengikuti-Nya.
Untuk gambaran keseluruhan Ulangan, lihat “Ulangan” dalam Panduan Tulisan Suci.
Idea-idea untuk Pembelajaran di Rumah dan di Gereja
Ulangan 6:4–7; 8:2–5, 11–17; 29:18–20; 30:6–10, 14–20
“Kasihilah Tuhan, Tuhan kamu dengan segenap hati.”
Hukum Musa merangkumi banyak upacara dan ritual luaran. Seperti yang anda akan lihat dalam nasihat Musa dalam Ulangan, Tuhan juga prihatin tentang keadaan dalaman umat-Nya—keadaan rohani hati mereka.
Dalam petikan di bawah, cari perkataan hati, dan renungkan apa yang ia mungkin lambangkan. Anda boleh fikirkan petikan-petikan ini sebagai sejenis pemeriksaan rohani bagi hati anda. Apakah diagnosis yang akan anda berikan kepada diri sendiri? Apakah rawatan yang akan anda beri untuk meningkatkan kesihatan rohani hati anda? Tuliskan tanggapan-tanggapan anda:
-
Ulangan 6:4–7:
-
Ulangan 8:2–5:
-
Ulangan 8:11–17:
-
Ulangan 29:18–20:
-
Ulangan 30:6–10:
-
Ulangan 30:14–20:
Satu cara untuk mengatur pemikiran anda ialah dengan melukis satu hati dan menulis di dalamnya hal-hal yang Tuhan katakan harus ada dalam hati anda. Kemudian anda boleh menulis di luarnya hal-hal yang harus anda jauhkan dari hati anda.
Bagaimanakah anda menunjukkan anda mengasihi Tuhan dengan sepenuh hati? Untuk idea, lihat “Kasihilah Tuhan, kasihilah sesama manusia” dalam Untuk Kekuatan Remaja: Panduan Untuk Membuat Pilihan, 10–12.
Lihat juga M. Russell Ballard, “Adakah Kamu Lebih Mengasihi Aku Daripada Semua Orang Ini Mengasihi Aku?,” Liahona, Nov. 2021, 51–53.
Carilah pandangan rohani anda sendiri. Ikutlah Aku mencadangkan petikan dan asas-asas untuk difokuskan dalam tulisan suci, tetapi jangan biarkan hal itu membatasi kajian anda. Semasa anda membaca Ulangan, anda mungkin menemui asas yang tidak ditekankan di sini. Biarkan Roh membimbing anda untuk apa yang anda perlu pelajari.
Ulangan 6:4–12, 20–25
“Berhati-hatilah Supaya Kamu Tidak Lupa Akan Tuhan.”
Ramai orang Israel yang akan memasuki negeri yang dijanjikan tidak menyaksikan wabak-wabak di Mesir atau menyeberangi Laut Merah. Musa tahu bahawa mereka—dan generasi akan datang—perlu mengingati mukjizat Tuhan dan hukum Tuhan untuk kekal menjadi umat Tuhan.
Apakah nasihat yang anda temui dalam Ulangan 6:4–12, 20–25 yang boleh membantu anda mengingati hal-hal hebat yang Tuhan telah lakukan untuk anda? Apakah yang anda terilham untuk lakukan agar anda “jangan sekali-kali lupa” firman Tuhan? (ayat 6).
Anda juga boleh mengkaji pesanan Brother Jan E. Newman “Memelihara Suara Orang Perjanjian dalam Generasi Muda” (Liahona, Nov. 2023, 36–38) dan pertimbangkan bagaimana anda akan mewariskan iman anda dalam Kristus kepada generasi akan datang.
Lihat juga Ulangan 11:18–21; Dale G. Renlund, “Renungkan Kebaikan dan Keagungan Tuhan,” Liahona, Mei 2020, 41–44; Bible Dictionary, “Frontlets or phylacteries.”
Ulangan 15:1–15
Membantu orang yang memerlukan melibatkan tangan yang murah hati dan hati yang rela.
Kita masih belum sampai ke hari di mana “tidak seorang pun daripada bangsa kamu akan menjadi miskin” (Ulangan 15:4), jadi, asas-asas tentang membantu orang yang miskin dalam Ulangan 15 masih bernilai, walaupun amalan tertentu telah berubah. Perhatikan apa yang ayat 1–15 ajarkan tentang mengapa kita membantu orang yang memerlukan dan bagaimanakah sikap kita yang seharusnya.
Apakah maksud “bermurah hati terhadap” orang yang memerlukan? (ayat 8, 11). Apakah yang anda pelajari daripada teladan Tuhan tentang membantu orang yang memerlukan? (lihat ayat 15).
Lihat juga: “Sudahkah ‘Ku Berbuat Baik?,” Nyanyian Rohani, no. 101.
Ulangan 18:15–19
Musa “seperti” Yesus Kristus.
Petrus, Nefi, Moroni, dan Juruselamat Sendiri berucap tentang nubuat dalam Ulangan 18:15–19 (lihat Kisah Rasul-Rasul 3:20–23; 1 Nefi 22:20–21; Joseph Smith—Sejarah 1:40; 3 Nefi 20:23). Apakah yang anda pelajari tentang Juruselamat dari ayat-ayat ini? Fikirkan tentang apa yang telah anda baca tentang Musa sejak beberapa minggu lalu. Bagaimanakah Musa “seperti” Yesus Kristus?
Yesus Kristus memberitahu umat-Nya di benua Amerika, “Akulah Dia yang Musa bicarakan itu” (3 Nefi 20:23).
Ulangan 29:9; 30:15–20
Tuhan menjemput saya untuk memilih di antara yang baik dan yang jahat.
Mungkin menarik untuk membandingkan kata-kata Musa dalam Bilangan 29:9; 30:15–20 dengan ajaran-ajaran terakhir Lehi kepada keluarganya dalam 2 Nefi 2:26–29; 4:4. Bagaimanakah Lehi memperluaskan apa yang Musa telah ajarkan? Apakah yang anda temui dalam ayat-ayat ini yang mengilhami anda untuk “pilihlah hidup”? (Ulangan 30:19).
Idea-idea untuk Mengajar Kanak-kanak
Ulangan 6:5
Saya boleh kasihi Tuhan dengan sepenuh hati saya.
-
Untuk membantu anak-anak anda memahami Ulangan 6:5, anda boleh melukis satu hati, rangka badan, dan lengan yang kuat. Anak-anak anda boleh tunjuk pada gambar itu semasa anda membaca perkataan “hati,” “jiwa,” dan “kekuatan.” Bagaimanakah kita menunjukkan kepada Tuhan bahawa kita mengasihi Dia dengan segenap hati, jiwa, dan kekuatan kita?
Ulangan 6:6–15
Saya boleh menyimpan firman Tuhan dalam hati saya.
-
Baca bersama anak-anak anda nasihat Tuhan kepada orang Israel untuk meletakkan petikan tulisan suci di mana mereka akan melihatnya setiap hari (lihat Ulangan 6:6–9). Ini mungkin mengilhami anda dan anak-anak anda untuk memikirkan cara untuk memastikan anda tidak “lupa akan Tuhan” (ayat 12) dan untuk mengingati apa yang telah Dia lakukan untuk anda.
-
Anda boleh menekankan Ulangan 6:13, 16 dan 8:3 telah membantu Juruselamat semasa detik penting dalam hidup-Nya. Untuk melihat bagaimana, baca bersama Matius 4:1–10. Kemudian anda boleh saling berkongsi beberapa ayat suci yang telah membantu anda pada masa memerlukan.
Ulangan 18:15–18
Para nabi mengajar kita tentang Yesus Kristus.
-
Semasa anda membaca Ulangan 18:18 bersama, bantu anak-anak anda memahami bahawa Nabi seperti Musa dalam ayat ini ialah Yesus Kristus. Mungkin anda boleh melihat gambar hal-hal yang Musa lakukan dan hal-hal yang Yesus Kristus lakukan, dan biarkan anak-anak anda memadankannya (lihat Buku Seni Injil, no. 15, 16, 38,39). Apakah yang nabi kita hari ini ajarkan kepada kita tentang Juruselamat?
Ulangan 29:12–13; 30:8–10
Kerana perjanjian saya, saya adalah sebahagian daripada umat Tuhan.
-
Bercakap tentang Ulangan 29:12–13 memberi anda dan anak-anak anda peluang untuk bercakap tentang perjanjian yang mereka akan buat atau telah buat dengan Bapa Syurgawi. Apakah maksud untuk menjadi umat Tuhan? Bagaimanakah janji-janji kita menjadikan kita umat Tuhan? (lihat ayat 13; lihat juga Mosia 18:8–10).
-
Jika anak-anak anda perlukan bantuan untuk memahami apa itu perjanjian, cadangkan agar mereka mencari definisi dalam “Perjanjian” dalam Panduan Tulisan Suci (Gospel Library). Apakah janji-janji yang Tuhan dan orang Israel buat antara satu sama lain dalam Ulangan 30:8–10? Apakah janji-janji yang telah kita buat dengan Tuhan? (lihat Ajaran dan Perjanjian 20:37, 77). Bagaimanakah janji-janji ini menghubungkan kita dengan-Nya? Pertimbangkan untuk nyanyikan lagu bersama tentang perjanjian, seperti “Standing on the Promises” (Gospel Library).
Untuk lebih lanjut, lihat isu bulan ini dalam majalah Friend.