Ikutlah Aku
Fikiran untuk Direnungkan: Kitab Sejarah dalam Perjanjian Lama


“Fikiran untuk Direnungkan: Kitab Sejarah dalam Perjanjian Lama,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Perjanjian Lama 2026 (2026)

“Kitab Sejarah dalam Perjanjian Lama,” Ikutlah Aku: Perjanjian Lama 2026

ikon fikiran

Fikiran untuk Direnungkan

Kitab Sejarah dalam Perjanjian Lama

Kitab Yosua sehingga Ester mengikut tradisi dikenali sebagai “kitab sejarah” Perjanjian Lama. Ini tidak bermaksud bahawa kitab-kitab lain dalam Perjanjian Lama tidak mempunyai nilai sejarah. Sebaliknya, kitab-kitab sejarah ini digelar sedemikian kerana objektif utama penulis mereka adalah untuk memperlihatkan pengaruh Tuhan dalam sejarah umat Israel. Tujuannya bukan untuk menggariskan hukum Musa, seperti Imamat dan Ulangan lakukan. Ia bukan untuk melafazkan pujian atau ratapan dalam bentuk puisi, seperti Mazmur dan Ratapan lakukan. Dan ia bukan untuk mencatat kata-kata para nabi, seperti kitab Yesaya dan Yehezkiel lakukan. Sebaliknya, kitab-kitab sejarah ini menceritakan cerita.

Perspektif Semata-mata

Sememangnya, cerita-cerita ini diceritakan dari sudut pandangan tertentu. Sepertimana ia adalah mustahil untuk melihat bunga, batu atau pokok dari lebih daripada satu sudut pada satu masa, ia tidak dapat dielakkan juga bahawa laporan sejarah akan mencerminkan perspektif seseorang atau sekumpulan orang yang menulis catatan tersebut. Perspektif ini merangkumi hubungan nasional atau etnik penulis dan kebiasaan serta kepercayaan budaya mereka. Kesedaran tentang hal ini boleh membantu kita memahami bahawa penulis dan penyusun kitab-kitab sejarah telah memfokuskan pada butiran tertentu sementara meninggalkan perkara lain. Mereka membuat andaian yang orang lain tidak buat. Dan mereka membuat kesimpulan berdasarkan butiran dan andaian ini. Kita bahkan dapat melihat perspektif yang berbeza antara kitab-kitab dalam Alkitab (dan kadang-kadang dalam kitab yang sama). Semakin kita peka tentang perspektif ini, kita dapat lebih memahami kitab-kitab sejarah.

Satu perspektif yang umum pada semua kitab sejarah Perjanjian Lama ialah perspektif keturunan anak-anak Israel, umat perjanjian Tuhan. Iman mereka terhadap Tuhan telah membantu mereka melihat pengaruh-Nya dalam kehidupan mereka dan dalam hal-ehwal negara mereka. Walaupun kitab-kitab sejarah sekular tidak bertujuan untuk melihat sesuatu melalui cara ini, perspektif rohani ini merupakan sebahagian perkara yang menjadikan kitab-kitab sejarah Perjanjian Lama begitu berharga kepada orang yang ingin membina iman mereka sendiri dalam Tuhan.

Konteks untuk Perjanjian Lama yang Selebihnya

Kitab-kitab sejarah bermula dari kitab terakhir Ulangan, ketika perjalanan orang Israel di padang belantara hampir berakhir. Kitab Yosua menunjukkan keturunan anak-anak Israel bersedia untuk masuk ke Kanaan, negeri yang dijanjikan dan menjelaskan cara mereka mengambil alih negeri tersebut. Kitab-kitab yang menyusul, Hakim-Hakim sehingga 2 Tawarikh, menggambarkan pengalaman orang Israel di negeri yang dijanjikan, dari masa mereka menetap di negeri tersebut sehingga masa mereka ditawan oleh Assyria dan Babilon. Kitab Ezra dan Nehemia mengisahkan pengembalian beberapa kumpulan orang Israel ke ibu negeri mereka, Yerusalem, beberapa dekad kemudian. Akhir sekali, kitab Ester mengaitkan cerita orang Israel hidup dalam buangan di bawah pemerintahan orang Persia.

Pada ketika itulah kronologi Perjanjian Lama berakhir. Beberapa pembaca kali pertama Alkitab terkejut mendapati mereka telah habis membaca cerita Perjanjian Lama sebelum mereka membaca lebih daripada setengah halaman kitab tersebut. Selepas Ester, kita tidak mendapat banyak maklumat tentang sejarah orang Israel. Sebaliknya, kitab-kitab yang menyusul—terutamanya kitab para nabi—sepadan dengan garis masa yang kitab-kitab sejarah ini bentangkan. Pelayanan nabi Yeremia, misalnya, berlaku sepanjang peristiwa yang dicatatkan dalam 2 Raja-Raja 22–25 (dan sama dengan laporan dalam 2 Tawarikh 34–36). Kesedaran tentang hal ini boleh mempengaruhi cara anda membaca kedua-dua cerita sejarah dan kitab kenabian.

Apabila Tidak Bersesuaian

Semasa membaca Perjanjian Lama, seperti dengan sejarah yang lain, anda mungkin membaca tentang orang ramai yang melakukan atau mengatakan perkara-perkara yang, dari sudut pandangan moden, kelihatan aneh atau merisaukan. Kita harus menjangkakan hal ini—penulis Perjanjian Lama telah melihat dunia dari perspektif yang, dalam sesetengah hal, agak berbeza dengan kita. Kekerasan, hubungan etnik, dan peranan wanita hanyalah beberapa daripada isu yang mungkin penulis kuno telah lihat secara berbeza berbanding dengan apa yang kita lihat pada hari ini.

Jadi, apakah yang kita harus lakukan apabila kita terjumpa petikan-petikan dalam tulisan suci yang kelihatan merisaukan? Pertama sekali, ia mungkin membantu untuk pertimbangkan setiap petikan dalam konteks yang lebih luas. Bagaimanakah hal itu sepadan dalam rancangan penyelamatan Tuhan? Bagaimanakah hal itu sepadan dengan perkara yang anda ketahui tentang sifat Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus? Bagaimanakah hal itu sepadan dengan kebenaran yang diungkapkan dalam tulisan suci yang lain atau dengan ajaran-ajaran para nabi hidup? Bagaimanakah hal itu sepadan dengan bisikan Roh kepada hati dan fikiran anda sendiri?

Dalam sesetengah keadaan, petikan itu mungkin tidak sepadan dengan mana-mana perkara ini. Kadang-kadang petikan itu mungkin seperti kepingan suai gambar yang kelihatan seolah-olah tiada tempatnya dalam kalangan kepingan yang anda telah susunkan. Percubaan untuk memaksa kepingan tersebut agar sepadan bukanlah pendekatan yang terbaik. Namun, mengabaikan keseluruhan suai gambar itu pun bukan cara yang terbaik. Sebaliknya, anda mungkin perlu mengetepikan kepingan tersebut untuk seketika. Semasa anda belajar lebih banyak dan menyusun lebih banyak kepingan suai gambar, anda mungkin dapat melihat cara kepingan-kepingan ini dapat dipadankan bersama.

Pendekatan ini turut boleh membantu mengingatkan bahawa selain perspektif yang terhad, sejarah tulisan suci sudah tentu tertakluk pada kesilapan manusia. Contohnya, sepanjang abad, “banyak perkara yang jelas dan bernilai diambil dari [Alkitab] itu,” termasuk kebenaran yang penting tentang ajaran, tatacara, dan perjanjian (1 Nefi 13:28; lihat juga ayat 26, 29, 40). Pada masa yang sama, kita harus sanggup mengakui bahawa perspektif kita sendiri turut terhad: memang akan ada perkara yang kita tidak fahami sepenuhnya dan soalan yang belum dapat kita jawab.

seseorang menyusun kepingan suai gambar

Sesetengah petikan ayat suci mungkin seperti kepingan suai gambar yang kita tidak tahu cara untuk sesuaikan dengan kepingan suai gambar yang lain.

Mencari Permata

Namun sementara itu, soalan yang tidak terjawab tidak harus menjauhkan kita daripada permata kebenaran abadi yang terdapat dalam Perjanjian Lama—bahkan permata ini kadang-kadang tersembunyi di kawasan berbatu-bata, di sebalik pengalaman yang merisaukan dan pilihan buruk yang insan tidak sempurna buat. Mungkin permata-permata yang paling berharga ini merupakan cerita dan petikan yang bersaksi tentang kasih Tuhan—terutama yang membimbing fikiran kita kepada pengorbanan Yesus Kristus. Apabila dilihat dari mana-mana sudut, permata seperti ini bersinar sama terangnya pada hari ini seperti pada dahulukala. Dan kerana laporan ini mengisahkan umat perjanjian Tuhan—lelaki dan wanita yang mempunyai kelemahan manusia dan masih mengasihi serta melayani Tuhan—permata kebenaran yang banyak ditemui dalam kitab-kitab Perjanjian Lama.

batu permata

Nota

  1. Kisah sejarah Alkitab yang kita ada hari ini kebanyakannya adalah kerja ramai penulis dan penyusun yang tidak diketahui namanya, yang kadang-kadang telah mengusahakannya bertahun-tahun malah berabad-abad lamanya, selepas tempoh masa yang mereka gambarkan. Mereka bergantung pada pelbagai sumber sejarah dan membuat keputusan tentang perkara untuk dimasukkan dalam laporan mereka dan perkara yang tidak perlu dimasukkan.

  2. Contohnya, walaupun 1–2 Tawarikh merangkumi kira-kira tempoh yang sama seperti 1 Samuel 31 hingga akhir 2 Raja-Raja, laporan dalam 1–2 Tawarikh menekankan butiran yang berbeza dan mengemukakan perspektif yang berbeza, memfokuskan hampir semata-mata pada Kerajaan Selatan Yehuda dan sering meninggalkan cerita negatif tentang Daud dan Salomo (bandingkan, sebagai contoh, 2 Samuel 10–12 dengan 1 Tawarikh 19–20 dan 1 Raja-Raja 10–11 dengan 2 Tawarikh 9). Ikutlah Aku menekankan pengkajian tentang laporan dalam 1 dan 2 Raja-Raja, walaupun perbandingan tentang laporan tersebut dengan 1 dan 2 Tawarikh juga bernilai. Ia mungkin berguna untuk mengetahui bahawa kerja tentang 1 Samuel–2 Raja-Raja berkemungkinan telah bermula sebelum empayar orang Babilonia menawan Yehuda dan disiapkan semasa di buang negeri di Babilon. Catatan yang telah membentuk 1–2 Tawarikh, sebaliknya telah disusun selepas orang Yahudi kembali ke Yerusalem dari negeri buangan mereka. Semasa anda membaca, anda boleh mempertimbangkan cara keadaan yang berbeza ini boleh mempengaruhi perspektif penyusun laporan yang berlainan.

  3. Di bahagian permulaan sumber ini, anda akan menemui “Gambaran Keseluruhan Perjanjian Lama,” suatu garis masa yang menunjukkan bagaimana pelayanan setiap nabi sepadan dengan (dan juga boleh ditentukan dalam) sejarah Israel. Anda akan melihat bahawa kebanyakan kitab kenabian Perjanjian Lama jatuh pada akhir garis masa itu—sejurus sebelum dan sejurus selepas keturunan orang Israel ditawan, dibuang negeri, dan tercerai-berai oleh musuh-musuh mereka.

  4. Lihat Fasal-Fasal Kepercayaan 1:8.