“27 Julai–2 Ogos. ‘Saya Sedang Menjalankan Pekerjaan Penting’: Ezra 1; 3–7; Nehemia 2; 4–6; 8,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Perjanjian Lama 2026 (2026)
“27 Julai–2 Ogos. ‘Saya Sedang Menjalankan Pekerjaan Penting,’” Ikutlah Aku: Perjanjian Lama 2026
I Have a Great Work to Do [Saya ada Pekerjaan Hebat untuk Dilakukan], oleh Tyson Snow
27 Julai–2 Ogos: “Saya Sedang Menjalankan Pekerjaan Penting”
Ezra 1; 3–7; Nehemia 2; 4–6; 8
Bangsa Yahudi telah menjadi tawanan di Kota Babel selama kira-kira 70 tahun. Mereka telah kehilangan Yerusalem dan bait suci, dan ramai yang lupa komitmen mereka terhadap hukum Tuhan. Tetapi Tuhan tidak melupakan mereka. Malah, Dia telah menyatakan melalui nabi-Nya, “Aku akan memperhatikan kamu lagi dan menepati janji-Ku untuk membawa kamu pulang” (Yeremia 29:10). Sesuai dengan nubuat ini, Tuhan menyediakan jalan bagi umat-Nya untuk kembali—ke Yerusalem dan, yang lebih penting, kepada perjanjian mereka. Dan Dia membangkitkan hamba-hamba yang mencapai “pekerjaan penting” (Nehemia 6:3): Seorang gabenor bernama Zerubabel menyelia pembinaan semula rumah Tuhan. Ezra, seorang imam dan guru taurat, membantu orang ramai memalingkan hati mereka kembali kepada hukum Tuhan. Dan Nehemia mengetuai pembinaan semula tembok pelindung di sekeliling Yerusalem. Mereka menghadapi penentangan, tetapi mereka juga mendapat bantuan daripada sumber yang tidak dijangka. Pengalaman mereka dapat memberi maklumat dan mengilhami kita kerana kita juga sedang melakukan pekerjaan penting. Dan seperti mereka, pekerjaan kita banyak berkaitan dengan rumah Tuhan, hukum Tuhan, dan perlindungan rohani yang kita temui dalam-Nya.
Untuk gambaran keseluruhan tentang kitab Ezra dan Nehemia, lihat “Ezra” dan “Nehemia” dalam Panduan Tulisan Suci.
Idea-idea untuk Pembelajaran di Rumah dan di Gereja
Ezra 1
Tuhan mengilhami manusia untuk mencapai tujuan-Nya.
Setelah Persia menakluki Babilonia, raja Persia, Kores, telah diilhami oleh Tuhan untuk mengirim sekumpulan orang Yahudi ke Yerusalem untuk membina semula bait suci. Semasa anda membaca Ezra 1, perhatikan apa yang Kores lakukan untuk menyokong orang Yahudi dalam pekerjaan penting ini. Bagaimanakah anda melihat Tuhan bekerja melalui lelaki dan wanita di sekeliling anda, termasuk mereka yang bukan ahli Gereja-Nya? Apakah yang ini cadangkan kepada anda tentang Tuhan dan pekerjaan-Nya?
Lihat juga Yesaya 44:24–28.
Ezra 3:8–13; 6:16–22
Rumah Tuhan ialah sebuah tempat kebahagiaan.
Ketika orang Babilonia menyerang Yerusalem, mereka menjarah bait suci dan membakarnya ke tanah (lihat 2 Raja-Raja 25:1–10; 2 Tawarikh 36:17–19). Bagaimana perasaan anda jika anda adalah salah seorang orang Yahudi yang menyaksikan ini? (lihat Mazmur 137). Perhatikan bagaimana perasaan orang Yahudi, beberapa dekad kemudian, ketika mereka diizinkan untuk kembali dan membina semula bait suci (lihat Ezra 3:8–13; 6:16–22). Itu mungkin mendorong anda untuk merenungkan perasaan anda sendiri tentang Tuhan dan rumah-Nya. Mengapakah pembinaan sebuah bait suci menjadi alasan untuk meraikan?
Bait suci Zerubabel; ilustrasi oleh Sam Lawlor
Ezra 4–7; Nehemia 2; 4; 6
Tuhan mempunyai pekerjaan yang penting untuk saya lakukan.
Pekerjaan Tuhan jarang tidak ditentang. Ini benar bagi usaha yang dipimpin oleh Zerubabel dan Nehemia. Berikut ialah pendekatan mudah yang boleh membantu anda belajar daripada cerita-cerita ini dan mempertimbangkan bagaimana anda boleh melakukan pekerjaan Tuhan walaupun menghadapi tentangan:
Pekerjaan Tuhan untuk Zerubabel (Ezra 4:3):
Pekerjaan Tuhan untuk Nehemia (Nehemia 2:17–18):
Pekerjaan Tuhan untuk saya:
Pertentangan yang Zerubabel hadapi (Ezra 4:4–24):
Pertentangan yang Nehemia hadapi (Nehemia 2:19; 4:1–3, 7–8; 6:1–13):
Pertentangan yang saya hadapi:
Bagaimana Zerubabel bertindak balas (Ezra 5:1–2):
Bagaimana Nehemia bertindak balas (Nehemia 2:20; 4:6, 9; 6:3–15):
Bagaimana saya boleh bertindak balas:
Untuk bantuan membandingkan pengalaman Nehemia dengan kehidupan anda, anda boleh mengkaji pesanan Presiden Dieter F. Uchtdorf “We Are Doing a Great Work and Cannot Come Down” (Liahona, Mei 2009, 59–62), terutama dua bahagian terakhir. Semasa anda berfikir tentang pekerjaan yang Tuhan berikan kepada anda, anda boleh mengkaji “Tema Remaja Puteri” atau “Tema Kuorum Imamat Harun” (Gospel Library). Atau anda boleh melihat dalam nyanyian rohani seperti “P’ra Sister di Sion” (Nyanyian Rohani, no. 139) atau “Penatua Israel” (Nyanyian Rohani, no. 138).
Bagi anda, apakah maksud “dengan penuh semangat” dalam pelayanan Juruselamat? (Nehemia 4:6). Apakah maksudnya mempunyai “Tuhan menyertai [anda]” semasa anda melakukan pekerjaan-Nya? (Nehemia 2:8; lihat juga Nehemia 2:18; Ezra 7:6, 9, 27–28). Bagaimanakah anda telah melihat tangan-Nya dalam usaha anda untuk melayani-Nya?
Nehemia 8
Saya diberkati ketika saya mengkaji tulisan suci.
Selama beberapa generasi dalam tawanan, orang Yahudi mempunyai akses yang terhad kepada “kitab Taurat Musa” (Nehemia 8:1). Dalam Nehemia 8, Ezra membaca hukum itu kepada orang ramai. Apakah yang anda temui dalam bab ini yang menunjukkan bagaimana perasaan Ezra dan orangnya tentang Tuhan dan firman-Nya? (lihat terutamanya ayat 1–12). Apakah dalam hidup anda yang menunjukkan perasaan anda tentang Tuhan dan firman-Nya?
Lihat juga Teachings of Presidents of the Church: Ezra Taft Benson (2014), 115–24.
Untuk lebih lanjut, lihat isu bulan ini dalam majalah Liahona dan Untuk Kekuatan Remaja.
Idea-idea untuk Mengajar Kanak-kanak
Ezra 3:8–13; 6:16–22
Rumah Tuhan ialah sebuah tempat kebahagiaan.
-
Untuk mengajar anak-anak anda tentang kebahagiaan yang orang Yahudi rasa apabila bait suci mereka dibina semula, anda boleh tunjukkan mereka gambar seperti di bawah. Bercakap tentang mengapa orang-orang ini mungkin gembira berada di rumah Tuhan. Anda juga boleh beritahu anak-anak anda mengapa bait suci adalah satu tempat kebahagiaan bagi anda. Bagaimanakah bait suci membantu anda merasa lebih dekat dengan Bapa Syurgawi dan Juruselamat?
-
Semasa anda membaca Ezra 3:10–13 dengan anak-anak anda, bantulah mereka mencari kata-kata yang menunjukkan perasaan orang Yahudi apabila bait suci itu dibina semula. Apabila anda sampai ke penghujung ayat 13, mungkin anda boleh bersorak kebahagiaan bersama. Bantulah anak-anak anda fikirkan sebab-sebab untuk bahagia kerana Tuhan telah memberi kita bait suci. Bagaimanakah kita boleh tunjukkan kebahagiaan itu?
-
Pertimbangkan untuk menyanyikan satu lagu tentang bait suci dengan anak-anak anda, seperti ayat kedua “Welcome Home” (Gospel Library). Selepas setiap baris, anda boleh berhenti sebentar untuk meminta seorang anak untuk kongsi sesuatu yang dia kasihi tentang bait suci. Anda juga boleh melihat gambar bait suci semasa anda menyanyi.
Nehemia 2:17–20; 6:1–9
Tuhan akan membantu saya melakukan “pekerjaan penting-Nya.”
-
Kongsi dengan anak-anak anda cerita Nehemia (lihat Nehemia 2:17–20; 6:1–9; atau “Nehemia” dalam Cerita-cerita Perjanjian Lama, 173–74). Semasa anda membaca Nehemia 2:20, anda dan anak-anak anda boleh “bangun” dan berpura-pura membantu membina tembok Yerusalem. Atau anak-anak anda boleh membina satu tembok dengan blok atau objek lain. Semasa mereka melakukannya, anda boleh membantu mereka fikirkan hal-hal penting yang Bapa Syurgawi mahu kita lakukan.
1:38Nehemiah
-
Semasa anda membaca Nehemia 6:9, jemput anak-anak anda untuk mengangkat tangan mereka apabila mereka mendengar anda berkata “kuatkanlah [tangan] aku sekarang.” Beritahu kanak-kanak tentang suatu masa ketika anda merasa Tuhan menguatkan tangan anda untuk melakukan pekerjaan-Nya.
Nehemia 8:1–12
Tulisan suci adalah satu berkat.
-
Baca dengan bersuara beberapa frasa daripada Nehemia 8:2–3, 5–6, 8–9, 12 yang menggambarkan apa yang orang lakukan ketika mereka mendengar Ezra membaca tulisan suci. Semasa anda membaca, anak-anak anda boleh melakonkan frasa ini. Kemudian anda boleh saling berkongsi bagaimana perasaan anda apabila anda membaca atau mendengar tulisan suci.
-
Semasa anda membaca Nehemia 8:8 bersama, anda boleh tanya anak-anak anda apa yang membantu mereka memahami tulisan suci. Tunjukkan kepada mereka cara menggunakan alat bantuan pembelajaran tulisan suci seperti Panduan Tulisan Suci dan Topics and Questions (Topik dan Soalan) (Gospel Library). Jemput anak-anak anda untuk berkongsi sesuatu yang mereka telah pelajari tentang Juruselamat daripada tulisan suci.
Carilah kebenaran abadi di dalam tulisan suci. “Tulisan suci … dipenuhi dengan kebenaran injil, tetapi kadangkala ia memerlukan usaha sedar untuk menemuinya. Semasa anda belajar bersama dari tulisan suci, berhenti dan tanya pelajar anda tentang kebenaran injil yang mereka perhatikan. Bantu mereka melihat bagaimana kebenaran ini berkaitan dengan rancangan keselamatan Bapa Syurgawi. Kadangkala kebenaran abadi dinyatakan dalam tulisan suci, dan kadangkala ia digambarkan dalam cerita dan kehidupan orang yang kita baca. Ia turut membantu untuk meneroka bersama latar belakang sejarah ayat-ayat yang anda baca, serta maksud ayat-ayat dan bagaimana ia berkaitan dengan kita hari ini” (Mengajar dengan Cara Juruselamat, 22).
Untuk lebih lanjut, lihat isu bulan ini dalam majalah Friend.