Ikutlah Aku
23–29 Mac. “Aku Mengingat Perjanjian-Ku”: Keluaran 1–6


“23–29 Mac. ‘Aku Mengingat Perjanjian-Ku’: Keluaran 1–6,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Perjanjian Lama 2026 (2026)

“23–29 Mac. ‘Aku Mengingat Perjanjian-Ku’,” Ikutlah Aku: 2026

Musa dan semak yang terbakar

Moses and the Burning Bush [Musa dan Semak yang Terbakar], oleh Jerry Thompson

23–29 Mac: “Aku Mengingat Perjanjian-Ku”

Keluaran 1–6

Jemputan untuk tinggal di Mesir telah menyelamatkan keluarga Yakub. Tetapi setelah beratus-ratus tahun, keturunan mereka diperhambakan dan diganasi oleh firaun baharu yang “tidak mengenal Yusuf” (Keluaran 1:8). Adalah wajar bagi orang Israel untuk tertanya-tanya mengapakah Tuhan membiarkan hal ini terjadi kepada mereka, umat perjanjian-Nya. Adakah Tuhan mengingati perjanjian yang Dia telah buat dengan mereka? Adakah mereka masih umat-Nya? Bolehkah Dia melihat betapa mereka menderita?

Mungkin ada kalanya anda bertanya soalan yang serupa. Anda mungkin tertanya-tanya, “Adakah Tuhan tahu apa yang saya sedang lalui? Bolehkah Dia mendengar rayuan saya untuk bantuan?” Pembebasan Israel dari Mesir jelas menjawab soalan-soalan seperti itu: Tuhan tidak melupakan umat-Nya. Dia mengingati perjanjian-Nya dengan kita dan akan memenuhinya menurut waktu dan cara-Nya sendiri. “Aku akan menggunakan kuasa-Ku yang besar untuk menyelamatkan kamu,” Dia menyatakan. “Akulah Tuhan; Aku akan membebaskan kamu daripada perhambaan [kamu]” (Keluaran 6:6–7).

Untuk gambaran keseluruhan kitab Keluaran, lihat “Keluaran” dalam Panduan Tulisan Suci.

ikon pengkajian

Idea-idea untuk Pembelajaran di Rumah dan di Gereja

Keluaran 1–2

Tuhan dapat bekerja melalui saya untuk memenuhi tujuan-Nya.

Apakah yang anda kagum tentang para wanita yang digambarkan dalam Keluaran 1–2? Bagaimanakah mereka membantu memenuhi rancangan Tuhan untuk umat-Nya? Apakah yang usaha mereka ajarkan anda tentang pelayanan dalam pekerjaan Tuhan?

Keluaran 1–3

Yesus Kristus ialah Pembebas saya.

Sebelum anda mula membaca Keluaran, anda boleh fikirkan tentang kesusahan yang anda lalui—sesuatu yang anda harap Tuhan akan membebaskan anda daripadanya. Apakah perkataan dan frasa dalam Keluaran 1–3 yang serupa dengan penawanan rohani atau hal-hal lain yang kita hadapi hari ini? Perhatikan juga bagaimana anak-anak Israel mencari pembebasan dan bagaimana Tuhan bertindak balas (lihat, contohnya, Keluaran 2:23–25; 3:7–8). Bagaimanakah Tuhan “turun untuk membebaskan” anda?

Sepanjang kitab Keluaran, anda juga mungkin perhatikan beberapa persamaan antara Musa dan Yesus Kristus (lihat Ulangan 18:18–19; 1 Nefi 22:20–21). Contohnya, apakah persamaan yang anda lihat antara Keluaran 1:22; 2:1–10 dan Matius 2:13–16? Atau antara Keluaran 24:18 dan Matius 4:1–2? Apakah yang Tuhan mahu anda fahami tentang diri-Nya dan kuasa-Nya?

Cari lambang-lambang yang bersaksi tentang Yesus Kristus. “Anda … boleh mencari persamaan kehidupan Juruselamat dalam kehidupan para nabi, lelaki serta wanita yang setia dalam tulisan suci. [Berbuat demikian] mengungkapkan kebenaran tentang Juruselamat di tempat yang anda mungkin terlepas pandang” (Lihat Mengajar dengan Cara Juruselamat, 7; lihat juga Hosea 12:10).

wanita menarik bakul dari sungai

Faith at Water’s Edge[Iman di Tepi Air], oleh Anne Marie Oborn

Keluaran 3:1–6

ikon seminari
Saya boleh menunjukkan ketakziman terhadap hal-hal dan tempat kudus.

Bolehkah anda fikirkan masa apabila sesuatu memenuhi anda dengan rasa kagum dan terpegun? Bagaimanakah anda bertindak balas? Bagaimana anda menggambarkan emosi yang anda rasakan?

Dengan itu, baca Keluaran 3:1–6. Apakah yang anda kagum tentang pengalaman Musa yang mengilhamkan? Apakah yang Musa lakukan untuk menunjukkan ketakziman kepada Tuhan? Apakah kaitan yang anda lihat antara tindakannya dan ketakzimannya terhadap hal-hal kudus?

Membaca ayat-ayat ini mungkin mendorong anda untuk berfikir tentang hal-hal dan tempat kudus dalam hidup anda. Mengapakah ia kudus bagi anda? Bagaimanakah anda memperlakukanya secara berbeza daripada hal-hal biasa? Untuk membimbing renungan anda, anda boleh merujuk kepada bahagian bertajuk “Mengingati Janji-Janji” dalam pesanan Elder David A. Bednar “Janji-janji yang Sangat Baik dan Berharga” (Liahona, Nov. 2017, 91–93). Anda juga boleh nyanyikan atau mendengar lagu rohani yang mengilhamkan kekaguman, seperti “Ku Berdiri Kagum” (Nyanyian Rohani, no. 82) dan renungkan apa yang anda kagum tentang injil.

Sudah tentu, walaupun kita mempunyai pengalaman rohani yang indah, ada bahayanya untuk menjadi terlalu santai tentang hal-hal kudus. Bagaimanakah anda mengelak ini? Berikut ialah dua pesanan yang menangani isu ini; pilih satu, dan cari pernyataan yang membantu anda: Ulisses Soares, “Kagum Pada Kristus dan Injil-Nya” (Liahona, Mei 2022, 115–17); Gérald Caussé, “{Adakah Ia Masih Menakjubkan Untuk Kamu?” (Liahona, Mei 2015, 98–100).

Lihat juga Ajaran dan Perjanjian 6:10–12; 63:64.

Keluaran 3–4

Tuhan memberi kuasa kepada orang yang Dia panggil untuk melakukan pekerjaan-Nya.

Hari ini kita mengenali Musa sebagai seorang nabi dan pemimpin yang hebat. Tetapi Musa tidak melihat dirinya seperti itu ketika Tuhan pertama kali memanggilnya. Semasa anda membaca Keluaran 3–4, senaraikan kebimbangan Musa dan bagaimana Tuhan bertindak balas terhadap setiap kebimbangan. Apakah yang anda temui dalam bab-bab ini yang mungkin mengilhami anda ketika anda berasa serba kekurangan? Bilakah anda melihat Tuhan memberi kuasa kepada anda atau orang lain untuk melakukan pekerjaan-Nya?

Keluaran 5–6

Tujuan Tuhan akan dipenuhi menurut waktu-Nya sendiri.

Mungkin mengecewakan apabila usaha tulus kita untuk melakukan kebaikan seolah-olah tidak berhasil—apabila kita cuba melakukan kehendak Tuhan tetapi kita tidak melihat hasil yang kita harapkan. Untuk mempelajari tentang pengalaman Musa yang serupa, baca Keluaran 5:4–9, 20–23. Bagaimanakah Tuhan telah membantu Musa mengatasi perasaan kecewanya? (lihat Keluaran 6:1–13). Bagaimanakah Tuhan telah membantu anda terus melakukan kehendak-Nya?

Lihat juga Jeffrey R. Holland, “Menunggu Tuhan,” Liahona, Nov. 2020, 115–17.

Untuk lebih lanjut, lihat isu bulan ini dalam majalah Liahona dan Untuk Kekuatan Remaja.

ikon 01 bahagian kanak-kanak

Idea-idea untuk Mengajar Kanak-kanak

Oleh kerana Ahad ini adalah hari Ahad kelima, pengajar Sekolah Primer digalakkan untuk gunakan aktiviti pembelajaran dalam “Lampiran B: Menyediakan Kanak-kanak untuk Seumur Hidup di Jalan Perjanjian Tuhan.”

Keluaran 1–2

Tuhan dapat bekerja melalui saya untuk memenuhi tujuan-Nya.

  • Musa mempunyai peranan besar dalam membebaskan Israel dari perhambaan. Tetapi dia tidak akan dapat melakukannya jika ibunya, adiknya, anak perempuan Firaun, dan wanita-wanita lain yang setia tidak melindungi dan menjaganya. Bantu anak-anak anda belajar tentang wanita-wanita ini dalam Keluaran 1:15–20; Keluaran 2:2–10 (lihat juga Bilangan 26:59); dan Keluaran 2:16–21. Anda juga boleh gunakan halaman aktiviti minggu ini dan “Bayi Musa” (dalam Cerita-cerita Perjanjian Lama, 61–63) untuk menceritakan cerita mereka. Bagaimanakah para wanita ini membantu memenuhi rancangan Tuhan? Saling bercakap tentang orang lain yang anda kagumi yang membantu pekerjaan Tuhan, termasuk dalam cara yang kecil dan sederhana. Bagaimanakah kita dapat mengikuti teladan mereka?

    1:36

    Baby Moses

Keluaran 3:1–5

Saya boleh memperlakukan tempat kudus dengan ketakziman.

  • Selepas membaca Keluaran 3:1–5 bersama, minta anak-anak anda untuk meringkaskan ayat-ayat ini dalam kata-kata mereka sendiri (lihat juga “Nabi Musa” dalam Cerita-cerita Perjanjian Lama, 64–66). Bagaimanakah Musa menunjukkan ketakziman di hadirat Tuhan? Bagaimanakah Tuhan mahu kita menunjuk ketakziman? Anda juga boleh meminta anak-anak anda membantu anda mencari (atau melukis) gambar tempat kudus atau aktiviti di mana kita harus menunjuk ketakziman. Apakah yang kita boleh lakukan untuk menjadikan rumah kita satu tempat yang kudus?

    1:26

    Moses the Prophet

  • Nyanyi bersama satu lagu tentang ketakziman, seperti “Khidmat Adalah Kasih” (Buku Nyanyian Anak-Anak, 12). Semasa anda melakukannya, anak-anak anda boleh mencari perkataan atau frasa yang menerangkan maksud menjadi takzim. Jika kita membawa seorang rakan ke gereja buat kali pertama, bagaimana kita akan menerangkan apa maksudnya menjadi takzim?

Musa dan Harun bercakap kepada orang ramai

Moses and Aaron Speak to the People [Musa dan Harun Bercakap kepada Orang Ramai], oleh James J. Tissot

Keluaran 3–4

Apabila Tuhan meminta saya melakukan sesuatu, Dia akan membantu saya melakukannya.

  • Gunakan laporan dalam Keluaran 3; 4:1–17, biarkan anak-anak anda bergilir berlakon menjadi Musa. Menyertakan objek atau bahan ringkas, seperti lampu suluh dan tumbuhan-tumbuhan untuk mewakili semak yang terbakar boleh menyeronokkan. Bantulah anak-anak anda menerokai bagaimana perasaan Musa tentang tugasan yang Tuhan berikan kepadanya (lihat Keluaran 3:11; 4:1, 10). Mungkin anda boleh saling berkongsi masa-masa ketika anda mempunyai perasaan yang sama. Apakah nasihat yang kita boleh berikan kepada Musa untuk membantunya? Baca tentang bagaimana Tuhan menggalakkan Musa dalam Keluaran 3:12; 4:2–9, 11–12. Beritahu anak-anak bagaimana Juruselamat telah membantu anda memenuhi panggilan, mengikuti dorongan, atau melakukan sesuatu yang sukar bagi anda.

Untuk lebih lanjut, lihat isu bulan ini dalam majalah Friend.

Ibu Musa

The Mother of Moses [Ibu Musa], oleh Simeon Solomon

Halaman aktiviti Sekolah Primer: Saya boleh mengampuni