“Fikiran untuk Direnungkan: Bani Israel,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Perjanjian Lama 2026 (2026)
“Bani Israel,” Ikutlah Aku: 2026
Fikiran untuk Direnungkan
Bani Israel
Di suatu tempat di padang belantara di sebelah timur Kanaan, Yakub dengan gelisah menunggu pertemuan dengan saudara kembarnya, Esau. Kali terakhir Yakub melihat Esau, kira-kira 20 tahun sebelumnya, Esau ingin membunuhnya. Yakub telah bergomol sepanjang malam, mencari berkat Tuhan. Sebagai hasil dari iman, ketekunan, dan keazaman Yakub, Tuhan telah menjawab doanya. Malam itu nama Yakub ditukar kepada Israel, nama yang bermaksud, antara lain, “dia tabah dengan Tuhan”.
Berhampiran Sungai Yabok, Yakub menerima nama Israel.
Ini adalah kali pertama nama Israel muncul dalam Alkitab, dan itu adalah nama yang kekal di sepanjang kitab dan sepanjang sejarah. Nama itu segera merujuk kepada lebih daripada seorang lelaki. Israel mempunyai 12 anak lelaki, dan keturunan mereka secara kolektif dikenali sebagai “bani Israel,” “suku-suku Israel,” “anak-anak Israel,” atau “orang Israel.”
Sepanjang sejarah, anak-anak Israel sangat mementingkan keturunan mereka dari salah satu dari dua belas suku-suku Israel. Keturunan mereka adalah bahagian penting dalam identiti perjanjian mereka. Rasul Paulus menyatakan bahawa dia daripada “suku Benyamin” (Roma 11:1). Satu sebab Lehi menghantar anak-anak lelakinya ke Yerusalem untuk mengambil kepingan-kepingan loyang adalah kerana ia mengandungi “suatu salasilah nenek moyangnya” (1 Nefi 5:14). Lehi mendapati bahawa dia adalah keturunan Yusuf, dan pemahaman keturunannya mengenai hubungan mereka dengan bani Israel terbukti penting bagi mereka pada tahun-tahun berikutnya.
Di Gereja hari ini, anda mungkin mendengar tentang Israel dalam ungkapan seperti “pengumpulan Israel.” Kita menyanyi tentang “Penebus Israel,” “Yang Jadi Harapan Israel,” dan “Penatua Israel.” Dalam kes ini, kita tidak bercakap atau menyanyi tentang kerajaan kuno Israel atau negara moden yang disebut Israel. Sebaliknya, kita merujuk kepada orang-orang yang telah dikumpulkan dari bangsa-bangsa di dunia ke dalam Gereja Yesus Kristus. Kita merujuk kepada orang-orang yang tabah dengan Tuhan, yang dengan sungguh-sungguh mencari berkat-Nya, dan yang, melalui pembaptisan, telah menjadi umat perjanjian-Nya. Dalam kata-kata Presiden Russell M. Nelson, menjadi Israel bermaksud “untuk membiarkan Tuhan menang dalam hidup kita, … untuk membiarkan Tuhan menjadi pengaruh yang paling berkuasa dalam hidup kita.”
Berkat bapa bangsa anda menyatakan hubungan anda dengan salah satu suku dari bani Israel. Itu adalah lebih daripada sekadar sejarah keluarga yang menarik. Ia turut berkait dengan masa kini dan masa depan anda. Menjadi sebahagian dari bani Israel bermaksud anda mempunyai hubungan perjanjian dengan Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus. Ini bermaksud bahawa anda, seperti Abraham, akan “menjadi berkat” kepada anak-anak Tuhan (Kejadian 12:2; Abraham 2:9–11). Ini bermaksud, dalam kata-kata Petrus, bahawa “kamu bangsa yang terpilih, imam-imam yang mengabdikan diri kepada Raja, bangsa yang suci, umat Tuhan sendiri. Tuhan memilih kamu untuk mengisytiharkan perbuatan-Nya yang luar biasa. Tuhan sudah memanggil kamu keluar daripada kegelapan supaya masuk ke dalam cahaya-Nya yang gemilang” (1 Petrus 2:9). Ini bermaksud anda “membiarkan Tuhan menang”—bahawa anda adalah salah seorang yang “tabah dengan Tuhan” semasa anda menghormati perjanjian anda dengan Dia.
Family Tree of Jacob (Israel) [Salasilah Keluarga Yakub (Israel)], oleh Brent Evans