“23–29 November. ‘Kembalilah kepada Tuhan, Maka Kamu Akan Hidup’: Amos; Obaja; Yunus,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Perjanjian Lama 2026 (2026)
“23–29 November. ‘Kembalilah kepada Tuhan, Maka Kamu Akan Hidup,’” Ikutlah Aku: Perjanjian Lama 2026
Jonah on the Beach at Nineveh [Yunus di Persisiran Niniwe], oleh Daniel Lewis
23–29 November: “Kembalilah kepada Tuhan, Maka Kamu Akan Hidup”
Amos; Obaja; Yunus
Yunus sedang menaiki kapal menuju ke Tarsis. Tiada masalah dengan pelayaran ke Tarsis, kecuali tempat ini terletak jauh dari Niniwe, yang Yunus seharusnya pergi untuk menyampaikan pesanan Tuhan. Apabila kapal itu berdepan dengan ribut yang kencang, Yunus sedar itu adalah disebabkan ketidakpatuhannya. Atas desakan Yunus, rakan pelautnya membawanya ke tengah laut untuk menghentikan ribut. Kejadian itu menampakkan seolah-olah Yunus dan pelayanannya sudah berakhir. Namun, Tuhan tidak berputus asa dengan Yunus—sama seperti Dia tidak berputus asa dengan orang Niniwe, bani Israel, atau kita.
Oleh itu, Dia terus mengutus nabi—seperti Yunus, Amos, Obaja, dan nabi-nabi kita hari ini—dengan pesanan bahawa jika kita bertaubat, kita tidak akan dibuang keluar selama-lamanya. Daripada semua “rahsia” yang Tuhan wahyukan (lihat Amos 3:7), yang ini adalah antara yang paling berharga: bahawa kerana Yesus Kristus, masih belum terlambat untuk berubah. Dia masih mahu membantu kita memenuhi perjanjian yang kita buat dengan-Nya, dan Dia sanggup menawarkan kita satu lagi peluang.
Untuk lebih lanjut mengenai kitab-kitab ini, lihat “Amos” dan “Obaja” dalam Panduan Tulisan Suci.
Idea-idea untuk Pembelajaran di Rumah dan di Gereja
Amos 3:1–8; 7:10–15
Tuhan mengungkapkan kebenaran melalui para nabi-Nya.
Dalam Amos 3:3–6, nabi Amos memberikan contoh kesimpulan yang boleh kita buat daripada tanda-tanda yang kita dengar atau lihat: apabila seekor singa mengaum, ia pasti telah menangkap mangsa; jika seekor burung terperangkap dalam perangkap, pasti ada umpan di sana. Dalam ayat 7–8, Amos telah menggunakan logik ini pada para nabi. Apakah kesimpulan yang boleh kita buat apabila seorang nabi bernubuat? Apakah lagi yang anda pelajari tentang para nabi dari Amos 7:10–15?
Apakah yang telah Tuhan ungkapkan kepada anda melalui para nabi-Nya?
Elder Ulisses Soares berkata bahawa “adanya nabi merupakan tanda kasih Tuhan” (“Nabi-nabi Berbicara Melalui Kuasa Roh Kudus,” Liahona, Mei 2018, 99). Pertimbangkan bagaimana untuk melengkapkan ayat ini: “Saya tahu Tuhan mengasihi saya, kerana Dia mengutus para nabi yang …” Berikut ialah beberapa tulisan suci yang boleh membantu: Ulangan 18:18; Yehezkiel 3:16–17; Efesus 4:11–14; 1 Nefi 22:2; Ajaran dan Perjanjian 21:4–6; 84:36–38; 107:91–92.
Apakah yang akan anda katakan kepada seseorang yang rasa nabi tidak diperlukan hari ini?
Lihat juga Topics and Questions, “Prophets,” Gospel Library.
Amos 4–5
“Kembalilah kepada Tuhan, maka kamu akan hidup.”
Menurut Amos 4:6–13, apakah yang Tuhan harapkan akan berlaku selepas orang Israel mengalami cubaan? (lihat juga Helaman 12:3). Walaupun cubaan anda mungkin tidak dihantar oleh Tuhan, bagaimanakah ia telah memberikan anda peluang untuk berpaling kepada-Nya.
Semasa anda membaca Amos 5:4, 14–15, renungkan bagaimana Tuhan telah bermurah hati kepada anda. Bagaimanakah mencari-Nya telah memberi anda hidup?
Amos 8:11–12
Firman Tuhan boleh memenuhi kelaparan dan kehausan rohani.
Semasa anda membaca Amos 8:11–12, fikirkan mengapa kebuluran adalah perbandingan yang baik untuk hidup tanpa firman Tuhan (lihat juga Yohanes 6:26–35; 2 Nefi 9:50–51; 32:3; Enos 1:4–8). Bagaimanakah anda tahu apabila anda lapar secara rohani?
Ayat-ayat ini juga boleh digunakan untuk Kemurtadan Besar (lihat Topic and Questions, “Apostasy,” Gospel Library). Bagaimanakah “kebuluran” rohani tersebut memberi kesan kepada anak-anak Tuhan? Bagaimanakah Pemulihan telah membantu memenuhi kelaparan rohani anda?
Lihat juga “The Great Apostasy” (video), Gospel Library.
The Great Apostasy
Obaja 1:21
Siapakah “penyelamat … di bukit Sion”?
Merujuk kepada Obaja 1:21, Presiden Gordon B. Hinckley menjelaskan bahawa kita menjadi penyelamat di Bukit Sion apabila kita menerima tatacara untuk orang mati di bait suci (lihat “Closing Remarks,” Liahona, Nov. 2004, 105). Bagaimanakah melakukan pekerjaan itu—walaupun hanya dalam cara yang kecil—serupa dengan apa yang Juruselamat lakukan untuk kita? Bagaimanakah melakukan pekerjaan ini telah membantu anda merasa lebih dekat dengan Juruselamat?
Lihat juga “Holy Temples on Mount Zion,” Hymns, no. 289.
Yunus 1–4
Tuhan berbelas kasihan kepada mereka yang berpaling kepada-Nya.
Niniwe merupakan musuh kepada orang Israel yang terkenal dengan keganasan dan kekejamannya. Bagi Yunus, kelihatan tidak realistik bahawa mereka bersedia untuk bertaubat. Ia mungkin menarik untuk membandingkan sikap Yunus (lihat Yunus 1; 3–4) dengan perasaan Alma dan para putera Mosia (lihat Mosia 28:1–5; Alma 17:23–25). Apakah yang anda pelajari daripada Yunus 3 yang mengilhami anda untuk berkongsi injil walaupun dengan orang yang kelihatan belum bersedia untuk berubah?
Semasa anda membaca Yunus, cari contoh-contoh belas kasihan Tuhan. Pendapat anda, mengapakah Yunus “tidak suka” dan “naik marah” (Yunus 4:1) apabila Tuhan menghulurkan belas kasihan kepada orang Niniwe? Apakah yang Tuhan sedang cuba untuk mengajarnya dalam bab 4? Renungkan pengalaman anda menerima belas kasihan-Nya dalam hidup anda. Apakah yang anda pelajari daripada Yunus yang boleh membantu anda menjadi lebih berbelas kasihan?
Idea-idea untuk Mengajar Kanak-kanak
Oleh kerana Ahad ini adalah hari Ahad kelima, pengajar Sekolah Primer digalakkan untuk menggunakan aktiviti pembelajaran dalam “Lampiran B: Menyediakan Kanak-Kanak untuk Seumur Hidup di Jalan Perjanjian Tuhan.”
Amos 3:7
Nabi adalah utusan Yesus Kristus.
-
Untuk membantu anak-anak anda memahami Amos 3:7, anda boleh membisikkan pesanan ringkas kepada salah seorang daripada mereka dan minta mereka berkongsi pesanan tersebut dengan anak-anak yang lain. Bagaimanakah utusan dalam aktiviti ini seperti seorang nabi? Mengapakah Tuhan memberi kita nabi?
-
Untuk ketahui lebih lanjut tentang apa yang para nabi lakukan, anda dan anak-anak anda boleh menyemak pesanan terkini daripada Presiden Gereja semasa. Anda juga boleh nyanyikan lagu seperti “Patuhi Nabi” (Buku Nyanyian Anak-Anak, 58). Saling berkongsi mengapa anda memilih untuk mengikuti nabi Tuhan.
Bantu anak-anak menghafal tulisan suci. Elder Richard G. Scott berkongsi: “Menghafal tulisan suci adalah untuk menjalin persahabatan baharu. Ia seperti menemui individu baharu yang boleh membantu dalam masa yang diperlukan, memberi ilham dan penghiburan, dan menjadi sumber motivasi untuk perubahan yang diperlukan” (“The Power of Scripture,” Ensign, Nov. 2011, 6). Untuk membantu anak-anak anda menghafal semua atau sebahagian daripada Amos 3:7, anda boleh menulisnya dan mengulanginya bersama. Kemudian anda boleh padam atau tutup beberapa perkataan pada satu masa sehingga anak-anak anda boleh mengulangi keseluruhan ayat daripada ingatan.
Amos 8:11–12
Pemulihan injil telah menamatkan kebuluran kemurtadan.
-
Jemput anak-anak anda untuk berpura-pura lapar semasa anda membaca Amos 8:11–12. Bagaimana rasanya apabila kita lapar akan firman Tuhan? Mungkin anak-anak anda boleh berpura-pura makan semasa anda saling berkongsi beberapa tulisan suci kegemaran anda.
-
Anda boleh gunakan Panduan Tulisan Suci, “Kemurtadan” (Gospel Library), atau “Selepas Perjanjian Baru” (dalam Cerita-cerita Perjanjian Baru, 167–70) untuk membantu anak-anak anda memahami “kebuluran” yang datang daripada Kemurtadan Besar dan bagaimana ia berakhir dengan Pemulihan. Saling berkongsi sebab-sebab anda bersyukur kerana Tuhan telah memulihkan injil-Nya di zaman kita.
2:52After the New Testament
Yunus 1–3
Tuhan akan membantu saya mematuhi-Nya, walaupun ia sukar.
-
Untuk membantu anak-anak anda mempelajari cerita Yunus, anda boleh menyemak “Nabi Yunus” dalam Cerita-cerita Perjanjian Lama; lihat juga halaman aktiviti minggu ini). Anda kemudian boleh bertanya:
-
Apakah yang terjadi ketika Yunus tidak mematuhi Tuhan? (lihat Yunus 1:4–17).
-
Apakah yang Yunus lakukan untuk bertaubat? (lihat Yunus 1:10–12; 2:1–4, 9; 3:1–4).
-
Apakah yang berlaku ketika Yunus patuh? (lihat Yunus 3:5).
2:30Jonah the Prophet
-
-
Anak-anak anda boleh menceritakan semula cerita Yunus atau melakonkannya. Saling berkongsi beberapa pengalaman apabila Tuhan mahu anda melakukan sesuatu yang sukar bagi anda. Bagaimanakah Dia membantu anda mematuhi-Nya?
Yunus 1–4
Tuhan berbelas kasihan kepada mereka yang berpaling kepada-Nya.
-
Mungkin anak-anak anda boleh berpura-pura sedang menemu bual Yunus tentang pengalamannya. Apakah soalan yang akan mereka tanya kepadanya? Galakkan mereka untuk bertanya soalan-soalan untuk mengetahui apa yang Yunus pelajari tentang Tuhan. Apakah yang Yunus akan katakan, contohnya, tentang belas kasihan Tuhan? (lihat, contohnya, Yunus 2:7–10; 3:10; 4:2).
Christ and the Palsied Man [Kristus dan Lelaki Lumpuh], oleh J. Kirk Richards
-
Bantu anak-anak anda fikirkan contoh ketika Juruselamat menunjukkan belas kasihan kepada orang lain, seperti Markus 2:3–12; Lukas 23:33–34; dan Yohanes 8:1–11. Anda dan anak-anak anda boleh mencari gambar untuk contoh-contoh ini. Apakah peluang yang kita ada untuk berbelas kasihan kepada orang lain?
Untuk lebih lanjut, lihat isu bulan ini dalam majalah Friend.