“9–15 November. “Tiada Dewa yang Dapat Melakukan Hal yang Telah Dilakukan Tuhan Mereka”: Daniel 1–7,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Perjanjian Lama 2026 (2026)
“9–15 November. ‘Tiada Dewa yang Dapat Melakukan Hal yang Telah Dilakukan Tuhan Mereka,’” Ikutlah Aku: Perjanjian Lama 2026
Daniel Interprets Nebuchadnezzar’s Dream [Daniel Mentafsirkan Mimpi Nebukadnezar], oleh Grant Romney Clawson
November 9–15: “Tiada Dewa yang Dapat Melakukan Hal yang Telah Dilakukan Tuhan Mereka”
Daniel 1–7
Kemungkinan besar tiada orang yang akan mengancam untuk melemparkan anda ke dalam relau yang membara atau gua singa kerana iman anda terhadap Yesus Kristus. Namun, tiada di antara kita yang melalui kehidupan ini tanpa ujian iman. Jadi kita semua boleh mendapat manfaat daripada contoh orang seperti Daniel, Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, yang telah dijadikan tawanan semasa muda oleh Empayar Babilonia yang amat berkuasa (lihat 2 Raja-Raja 24:10–16). Dikelilingi budaya asing dengan nilai yang berbeza, mereka berhadapan dengan godaan yang besar untuk meninggalkan kepercayaan serta tradisi mereka yang soleh. Namun, mereka kekal setia pada perjanjian mereka. Bagaimanakah mereka melakukan itu? Dengan melakukan hal-hal yang kecil dan sederhana yang Tuhan meminta dari kita semua—berdoa, berpuasa, memilih kawan yang baik, mempercayai Dia, dan menjadi cahaya kepada orang lain. Seperti Yusuf di Mesir dan Ester di Parsi, Daniel dan rakannya di Babilon tetap menaruh kepercayaan terhadap Tuhan dan Tuhan telah melakukan mukjizat yang masih mengilhami orang yang percaya sehingga hari ini.
Untuk gambaran keseluruhan kitab Daniel, lihat “Daniel” dalam Panduan Tulisan Suci.
Idea-idea untuk Pembelajaran di Rumah dan di Gereja
Daniel 1; 3; 6
Saya boleh mempercayai Tuhan apabila iman saya dicabar.
Dari satu segi, kita semua tinggal di Babilon. Kita sering menghadapi godaan untuk kompromi standard kita dan berpaling daripada iman kepada Kristus. Apabila anda membaca Daniel 1, 3, dan 6, perhatikan cara Daniel, Sadrakh, Mesakh, dan Abednego dipaksa untuk melakukan hal-hal yang mereka tahu adalah salah. Bagaimanakah mereka bertindak balas terhadap situasi ini? (lihat Daniel 1:10–13; 3:15–18; 6:10). Apakah hasil daripada iman mereka? Apakah yang anda pelajari daripada pengalaman ini yang boleh membantu anda mempercayai Tuhan apabila anda menghadapi pertentangan? Juga pertimbangkan soalan-soalan berikut:
-
Bilakah anda berasa tertekan untuk melakukan sesuatu yang anda tahu salah? Bagaimanakah Tuhan telah memberkati anda kerana anda telah mentaati perintah-Nya?
-
Bagaimana jika iman anda tidak membawa kepada mukjizat yang anda inginkan? (contohnya, lihat Alma 14:8–13). Berdasarkan apa yang anda baca dalam Daniel 3:13–18, anda rasa, bagaimanakah Sadrakh, Mesakh, dan Abednego akan menjawab soalan ini? Bagaimanakah teladan mereka boleh mempengaruhi cara anda berhadapan dengan ujian anda?
-
Bagaimanakah pilihan soleh anda boleh membawa orang lain kepada iman yang lebih besar kepada Tuhan? (lihat Daniel 2:47; 3:28–29). Renungkan kesan pilihan anda ke atas orang lain.
Lihat juga Dieter F. Uchtdorf, “Jangan Takut, Percaya Saja,” Liahona, Nov. 2015, 76–79.
Cuba libatkan semua orang. Juruselamat “menjemput … semua datang kepada Dia dan mengambil bahagian dalam kebaikan-Nya” (2 Nefi 26:33). Jika anda mengajar keluarga anda atau kelas, renungkan cara anda boleh memberi semua orang peluang untuk mengambil bahagian dalam beberapa cara. Contohnya, anda boleh memberi setiap orang satu petikan tulisan suci, sebahagian pesanan persidangan, atau ayat daripada lagu rohani untuk direnungkan dan diulas. Jangan memaksa sesiapa untuk mengambil bahagian, tetapi berikan mereka peluang.
Shadrach, Meshach, and Abednego in the Fiery Furnace [Sadrakh, Mesakh, dan Abednego dalam Relau Api], oleh William Maughan
Daniel 2
Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir adalah kerajaan Tuhan di bumi.
Melalui wahyu, Daniel telah melihat bahawa mimpi Nebukadnezzar telah meramalkan kerajaan duniawi yang akan datang dan juga kerajaan Tuhan, yang “tidak dapat dikalahkan” (Daniel 2:44). “Gereja ialah kerajaan zaman akhir yang diwahyukan”, Elder D. Todd Christofferson mengajar, “bukan ciptaan manusia, tetapi ia didirikan oleh Tuhan dari syurga dan akan gerak seperti batu yang jatuh dari tebing dengan sendirinya” (“Apakah Tujuan Gereja,” Liahona, Nov. 2015, 111). Fikirkan tentang kerajaan zaman akhir Tuhan apabila anda membaca gambaran batu dalam Daniel 2:34–35, 44–45. Apakah peranan anda dalam membantu nubuat ini menjadi kenyataan?
Lihat juga “S’mua Bangsa Dengar Suara Surga,” Nyanyian Rohani, no. 124; “God Gave Them Knowledge” (video), ChurchofJesusChrist.org.
God Gave Them Knowledge
Daniel 2:1–30
Penerimaan wahyu memerlukan persediaan rohani.
Semasa anda menyemak Daniel 2:1–15, pertimbangkan bagaimana perasaan anda jika anda berada dalam kedudukan Daniel. Apa yang Daniel lakukan? (lihat Daniel 2:16–18). Apakah yang anda dapat belajar daripada Daniel 1:17 tentang cara Tuhan mempersiapkan Daniel? Apakah yang boleh anda belajar daripada kata-kata dan tindakan Daniel selepas dia menerima bantuan Tuhan? (lihat Daniel 2:19–30).
Daniel 7:13–14
Yesus Kristus adalah Putera Bapa yang Abadi.
Semasa pelayanan Juruselamat di bumi, ramai orang Yahudi menganggap gelaran “Putera Manusia” daripada Daniel 7:13 merujuk kepada Mesias yang akan datang. Apakah yang anda pelajari tentang Mesias daripada Daniel 7:13–14? (lihat juga Musa 6:57).
Juruselamat sering merujuk diri-Nya sebagai “Putera Manusia.” Pertimbangkan untuk menyemak beberapa contoh: Matius 25:31; Markus 9:31; 10:45. Apakah yang Dia ajarkan tentang diri-Nya dalam ayat-ayat ini? Dalam Markus 14:61–64, Yesus menggunakan gelaran ini pada hari terakhir kehidupan fana-Nya. Perhatikan reaksi orang-orang yang mendengar pengisytiharan-Nya. Bagaimanakah nubuat Daniel tentang Putera Manusia mempengaruhi perasaan anda tentang apa yang berlaku kepada-Nya dalam Markus 15?
Sama seperti Yesus dibenci kerana mengisytiharkan bahawa Dia adalah “Putera Manusia,” anda juga mungkin menghadapi penganiayaan kerana mengisytiharkan kebenaran. Bandingkan nubuat dalam Daniel 7:13–14 dengan janji-janji dalam Ajaran dan Perjanjian 121:29, 46.
Lihat juga Ajaran dan Perjanjian 49:6; Panduan Tulisan Suci, “Putera Manusia,” Gospel Library.
Idea-idea untuk Mengajar Kanak-kanak
Daniel 1; 3; 6
Yesus akan membantu saya melakukan apa yang benar walaupun sukar.
-
Untuk membantu anak-anak anda belajar daripada cerita-cerita berilham dalam kitab Daniel, anda boleh menemui gambar peristiwa dalam Daniel 1, 3, dan 6 (lihat halaman aktiviti minggu ini atau Buku Seni Injil, nos. 23, 25, 26). Kemudian anda boleh meletakkan gambar menghadap ke bawah dan menjemput anak-anak untuk terbalikkannya dan bercakap tentang cerita yang ia wakili. (Untuk bantuan, lihat “Daniel dan Kawan-Kawannya,” “Sadrakh, Mesakh, dan Abednego,” dan “Daniel dan Gua Singa” dalam Cerita-cerita Perjanjian Lama, 154–56, 160–62, 163–65.)
1:39Daniel and His Friends
1:39Shadrach, Meshach, and Abed-nego
1:45Daniel and the Lions’ Den
-
Bantu anak-anak anda fikirkan situasi apabila mereka mungkin ditekan untuk membuat pilihan yang salah, seperti Daniel dan kawan-kawannya dalam Daniel 1, 3, dan 6. Saling berkongsi bagaimana anda telah diberkati kerana membuat pilihan yang benar walaupun ia sukar. Anda juga boleh menyanyikan sebuah lagu tentang topik ini, seperti “Yang Benar Pilihlah!” (Nyanyian Rohani, no. 108).
Daniel and the King’s Meat [Daniel dan Daging Tawaran Raja] oleh Brian Call
Daniel 1:1–17
Bapa Syurgawi mahu saya menjaga tubuh saya.
-
Membaca cerita tentang Daniel dan kawan-kawannya yang menolak daging dan wain tawaran raja boleh mengilhami perbualan tentang hukum kesihatan yang Bapa Syurgawi berikan kepada kita hari ini (lihat Ajaran dan Perjanjian 89). Mungkin anda boleh mencari berkat yang Daniel dan kawan-kawannya terima dan membandingkannya dengan berkat yang dijanjikan dalam Kata-kata Bijaksana (lihat Daniel 1:15–17 dan Ajaran dan Perjanjian 89:18–21).
Daniel 2
Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir adalah kerajaan Tuhan di bumi.
-
Semasa anda membaca Daniel 2:31–35, 44–45 dengan anak-anak anda, anda boleh menjemput mereka untuk melukis gambar mimpi Nebukadnezar. Bantu mereka memahami batu dalam mimpi itu melambangkan Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Apakah yang kita pelajari tentang Gereja daripada mimpi ini? Anak-anak anda boleh menyebut beberapa hal yang Bapa Syurgawi lakukan untuk mendirikan Gereja-Nya pada zaman akhir. Jika mereka perlukan bantuan, anda boleh tunjukkan gambar peristiwa dari Pemulihan Gereja (lihat Buku Seni Injil, no. 90–95).
Daniel 6
Bapa Syurgawi mahu saya selalu berdoa.
-
Mengapakah berdoa kepada Bapa Syurgawi begitu penting bagi Daniel? Mungkin anda dan anak-anak anda boleh bercakap tentang soalan itu semasa anda membaca Daniel 6 bersama. Kemudian anda boleh saling menceritakan mengapa berdoa penting bagi anda. Anak-anak anda boleh melukis gambar diri mereka berdoa dalam pelbagai situasi. Mereka boleh gunakan lukisan mereka untuk saling mengajar bahawa kita boleh berdoa kepada Bapa Syurgawi tidak kira di mana kita berada atau apa yang kita perlukan.
Untuk lebih lanjut, lihat isu bulan ini dalam majalah Friend.