“26 Oktober–1 November. ‘Aku Akan Mengubah Kedukaan Mereka Menjadi Kesukaan’: Yeremia 31–33; 36–39; Ratapan 1; 3” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Perjanjian Lama 2026 (2026)
“26 Oktober–1 November. ‘Aku Akan Mengubah Kedukaan Mereka Menjadi Kesukaan,’” Ikutlah Aku: Perjanjian Lama 2026
Jeremiah Lamenting the Destruction of Jerusalem [Yeremia Menyesali Kemusnahan Yerusalem], oleh Rembrandt van Rijn
26 Oktober–1 November: “Aku Akan Mengubah Kedukaan Mereka Menjadi Kesukaan”
Yeremia 31–33; 36–39; Ratapan 1; 3
Apabila Tuhan mula-mula memanggil Yeremia untuk menjadi nabi, Dia telah memberitahu bahawa misinya adalah “untuk mencabut dan menjatuhkannya” (Yeremia 1:10)—dan di Yerusalem, terdapat banyak kejahatan untuk dicabut dan dijatuhkan. Namun, ini hanya merupakan sebahagian daripada misi Yeremia—dia juga dipanggil “untuk membina dan menegakkannya” (Yeremia 1:10). Apakah yang boleh dibina atau ditegakkan dalam kehancuran yang ditinggalkan oleh pemberontakan umat perjanjian? Ditanya dengan cara lain, apabila dosa atau kesukaran telah menghancurkan hidup kita, bagaimanakah kita boleh membina dan menegakkan semula? Jawapannya ada dalam “Seorang yang adil” (Yeremia 33:15), Mesias yang dijanjikan. Dia membawa “perjanjian yang baru” (Yeremia 31:31)—perjanjian yang memerlukan lebih daripada sifat luaran atau penampilan yang kelihatan taat. Hukumnya hendaklah “dalam batin [kita]”, ditulis “pada hati [kita]”. Inilah maksud untuk Tuhan “menjadi Tuhan [kita], dan kita akan menjadi umat [Dia]” (Yeremia 31:33). Ini merupakan proses sepanjang hayat dan kita masih akan melakukan kesilapan dan ada sebabnya untuk berduka dari semasa ke semasa. Namun, apabila kita berbuat demikian, Tuhan berjanji, “Aku akan mengubah kedukaan mereka menjadi kesukaan” (Yeremia 31:13).
Untuk gambaran keseluruhan tentang Ratapan, lihat “Kitab Ratapan” dalam Panduan Tulisan Suci.
Idea-idea untuk Pembelajaran di Rumah dan di Gereja
Yeremia 31;33
Tuhan akan membawa umat perjanjian-Nya keluar dari penawanan.
Dalam Yeremia 31; 33 Tuhan telah memberitahu tentang “ratapan, tangisan yang penuh kepedihan” (Yeremia 31:15) orang Israel akan alami dalam penawanan. Namun, dia turut menawarkan firman yang menghiburkan dan penuh harapan. Carinya semasa anda membaca bab-bab ini. Apakah janji yang anda temui yang berguna kepada anda?
Yeremia 31:31–34; 32:37–42
“Mereka akan menjadi umat-Ku, dan Aku menjadi Tuhan mereka”.
Walaupun orang Israel telah memungkiri perjanjian mereka, Yeremia menubuatkan bahawa Tuhan akan mewujudkan satu “perjanjian yang baru” dan “kekal” dengan mereka (Yeremia 31:31; 32:40). Apakah perjanjian itu? Pertimbangkan untuk mencari pandangan dalam Panduan Tulisan Suci, “Perjanjian yang Baru dan Kekal,” Gospel Library.
Semasa anda membaca Yeremia 31:31–34; 32:37–42, renungkan:
-
Apa maksudnya bagi anda untuk menjadi sebahagian daripada umat perjanjian Tuhan?
-
Apa maksudnya mempunyai hukum-Nya tertulis di dalam hati anda?
-
Apa yang Tuhan janjikan apabila anda membuat perjanjian dengan-Nya?
-
Bagaimana hubungan perjanjian anda dengan Tuhan mengubah anda?
Apakah janji yang telah anda buat kepada Tuhan semasa anda mengambil bahagian dalam tatacara kudus? Bagaimanakah Dia memenuhi janji-janji-Nya kepada anda?
Lihat juga David A. Bednar, “Tinggallah Di Dalam Aku, dan Aku Di Dalam Kamu; Oleh Kerana Itu Berjalanlah Bersama-Ku,” Liahona, Mei 2023, 123–26.
Yeremia 36
Tulisan suci mempunyai kuasa untuk memalingkan saya daripada kejahatan.
Menurut Yeremia 36:2–3, mengapakah Tuhan memerintahkan Yeremia untuk merekodkan nubuatnya? Semasa anda membaca Yeremia 36, perhatikan perasaan orang-orang yang berikut tentang nubuat-nubuat ini:
-
Tuhan (lihat ayat 1–3, 27–31)
-
Yeremia (lihat ayat 4–7, 32)
-
Barukh (lihat ayat 4, 8–10, 14–18)
-
Yehudi dan Raja Yoyakim (lihat ayat 20–26)
-
Elnathan, Delaya, dan Gemarya (lihat ayat 25)
Renungkan perasaan anda tentang tulisan suci itu. Bagaimanakah tulisan suci ini telah membantu anda berpaling daripada kejahatan?
Yeremia 37–39
Teguh dalam mengikuti nabi-nabi Tuhan.
Dalam Yeremia 37:1–3, 15–21; 38:1–6, 14–28, apakah bukti yang anda lihat bahawa Raja Zedekia percaya Yeremia ialah nabi Tuhan yang benar? Apakah bukti yang anda lihat bahawa Zedekia tidak percaya? Apakah yang anda pelajari daripada perbandingan ini? Semasa anda membaca Yeremia 39, renungkan perbezaan yang akan dibuat jika Zedekia dan umatnya telah mengikuti nabi dan mentaati perintah-perintah Tuhan. (Bandingkan apa yang berlaku kepada Zedekia dengan apa yang berlaku kepada keluarga Lehi dalam 1 Nefi 1–2.)
Yeremia 38:6–13; 39:15–18
Saya boleh berani dalam mempertahankan apa yang betul.
Pegawai-pegawai raja merasakan bahawa nubuat Yeremia membuat askar mereka kurang bersedia untuk berperang, jadi mereka melemparkan Yeremia ke dalam penjara bawah tanah yang kotor (lihat Yeremia 38:1–4). Dalam Yeremia 38:6–13, apakah yang anda kagum tentang respon Ebed-melekh orang Ethiopia? Perhatikan juga berkat yang Tuhan berikan kepada Ebed-melekh dalam Yeremia 39:15–18.
Bagaimanakah anda boleh mengikuti teladan Ebed-melekh?
The Cry of Jeremiah the Prophet [Seruan Nabi Yeremia], dari ukiran oleh Nazarene School
Ratapan 1; 3
Tuhan boleh melegakan kesedihan yang saya alami kerana dosa.
Kitab Ratapan terdiri daripada koleksi puisi yang ditulis setelah kemusnahan Yerusalem dan bait suci Yerusalem. Mengapa ia penting untuk dipelihara dipelihara? Pertimbangkan metafora dalam Ratapan 1 dan 3 yang membantu anda memahami tentang kesedihan yang orang Israel alami. Apakah pesanan harapan dalam Kristus yang anda temui? (lihat terutamanya Ratapan 3:20–33; lihat juga Matius 5:4; Yakobus 4:8–10; Alma 36:17–20).
Presiden M. Russell Ballard telah menyebut beberapa situasi yang boleh menyebabkan sesetengah orang hilang harapan dan dia telah memberi nasihat tentang mencari harapan:
“Sebilangan daripada kita mungkin mendapati hidup kita dibebani kekecewaan dan kesedihan. Ramai yang merasa tidak berdaya untuk menangani keadaan kelam-kabut yang berleluasa di dunia ini. Yang lain pula berasa pedih disebabkan ahli keluarga yang telah dihanyut ke hilir sungai oleh ombak deras yang merosakkan nilai, menjejaskan standard moral. … Ramai yang telah menerima hakikat bahawa kejahatan dan kekejaman di dunia tidak lagi dapat diperbaiki. Mereka telah putus harapan. …
“… Sesetengah kita mungkin telah kehilangan semua harapan disebabkan dosa dan pelanggaran. Seseorang boleh menjadi sangat terjebak dalam hal-hal dunia sehingga dia tidak melihat jalan keluar dan kehilangan semua harapan. Permintaan saya kepada semua yang telah terjerat dalam perangkap musuh ini agar jangan berputus asa! Tidak kira keadaan mereka menjadi seberapa terdesak atau seberapa kecewa, harap percayalah, anda sentiasa boleh menaruh harapan. Sentiasa” (“The Joy of Hope Fulfilled,” Ensign, Nov. 1992, 31–32).
Lihat juga “Come, Ye Disconsolate,” Hymns, no. 115.
Membantu orang lain bertanggungjawab ke atas pembelajaran mereka sendiri. Kadang-kadang cara paling mudah untuk mengajar adalah dengan hanya memberitahu pelajar apa yang kita fikir mereka patut tahu. Namun, cara paling mudah tidak selalu merupakan cara terbaik. Elder David A. Bednar mengajar: “Niat kita tidak seharusnya menjadi ‘Apa yang saya beritahu mereka?’ Sebaliknya, soalan-soalan untuk tanya diri kita adalah ‘Apakah yang saya boleh jemput mereka untuk lakukan? Apakah soalan berilham yang saya boleh tanya, jika mereka sudi untuk menjawab, akan mula menjemput Roh Kudus ke dalam kehidupan mereka?’” (evening with a General Authority, 7 Feb 2020, broadcasts.ChurchofJesusChrist.org; lihat juga Mengajar dengan Cara Juruselamat, 25). Terdapat banyak cara untuk membantu pelajar bertanggungjawab terhadap pembelajaran mereka. Contohnya, dalam garis panduan ini pelajar dijemput untuk mencari, merenung, membuat senarai, melihat gambar, mengambil bahagian dalam pelajaran berobjek, melukis, dan berkongsi serta menerapkan apa yang mereka pelajari.
Idea-idea untuk Mengajar Kanak-kanak
Yeremia 31:3
Bapa Syurgawi dan Yesus mengasihi saya “dengan kasih yang kekal.”
-
Semasa anda membaca Yeremia 31:3 bersama anak-anak anda, mereka boleh membantu anda mencari objek (atau gambar objek) yang tahan lama, seperti duit syiling logam, dan beberapa yang tidak, seperti buah. Anda boleh bercakap tentang maksud “kekal” dan saling berkongsi bagaimana anda telah merasakan “kasih kekal” Bapa Syurgawi. Anda juga boleh menyanyi bersama lagu seperti “God Is Watching Over All” (Children’s Songbook, 229).
Yeremia 31:31–34; 32:38–41
Tuhan akan bantu saya mentaati perjanjian saya.
-
Anak-anak anda boleh melukis hati pada sekeping kertas dan kemudian menulis dalam hati itu hal-hal yang mereka pelajari daripada Yeremia 31:31–34 tentang membuat perjanjian dengan Tuhan. Anda boleh mengkaji semula perjanjian yang mereka buat semasa pembaptisan (lihat Mosia 18:10, 13) dan membincangkan apa maksudnya mempunyai janji-janji ini tertulis dalam hati mereka.
Yeremia 36:1–4
Tulisan suci ialah firman Tuhan.
-
Halaman aktiviti minggu ini boleh membantu anak-anak anda belajar tentang Yeremia, Barukh, dan raja (lihat Yeremia 36). Mereka juga boleh melakukan aksi yang selaras dengan perkataan dalam Yeremia 36:4–10, seperti menulis dalam sebuah buku (lihat ayat 4) dan membacakan tulisan suci kepada orang ramai (lihat ayat 8, 10).
-
Anda dan anak-anak anda boleh melihat satu buku kanak-kanak dan salinan tulisan suci dan bercakap tentang bagaimana buku-buku ini berbeza. Apakah yang menjadikan tulisan suci istimewa? Saling berkongsi beberapa petikan tulisan suci yang istimewa bagi anda boleh mengilhami.
Yeremia 38:6–13
Saya boleh pertahankan apa yang betul.
-
Anda boleh gunakan gambar pada akhir garis panduan untuk membantu anak-anak anda membayangkan cerita Ebed-melekh dalam Yeremia 38:6–13. Mungkin anda boleh membantu mereka mencari ayat di mana Ebed-melekh melakukan sesuatu yang berani untuk membantu nabi Tuhan. Apakah yang boleh kita lakukan untuk menunjukkan bahawa kita tahu nabi kita hari ini dipanggil oleh Tuhan?
Ratapan 1:1–2, 16; 3:22–26
Juruselamat membolehkan saya untuk diampuni dari dosa-dosa saya.
-
Untuk memperkenalkan Ratapan, anda boleh menerangkan kepada anak-anak anda bahawa kerana orang Israel tidak bertaubat, Yerusalem dan bait suci telah musnah. Anda boleh saling berkongsi bagaimana perasaan anda jika anda tinggal di sana pada masa itu (lihat Ratapan 1:1–2, 16). Bagaimanakah pesanan dalam Ratapan 3:22–26 memberi anda harapan?
-
Anda juga boleh saling bercerita tentang masa anda berasa sedih tentang pilihan buruk yang anda buat. Apakah yang kita temui dalam Ratapan 3:22–26 yang membantu kita memahami pengampunan yang Yesus Kristus tawarkan?
Untuk lebih lanjut, lihat isu bulan ini dalam majalah Friend.