“21–27 September. ‘Suatu Pekerjaan yang Menakjubkan dan Sebuah Keajaiban’: Yesaya 13–14; 22; 24–30; 35,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Perjanjian Lama 2026 (2026)
“21–27 September. ‘Suatu Pekerjaan yang Menakjubkan dan Sebuah Keajaiban,’” Ikutlah Aku: 2026
Sacred Grove, oleh Brent Borup
21–27 September: “Suatu Pekerjaan yang Menakjubkan dan Sebuah Keajaiban”
Yesaya 13–14; 22; 24–30; 35
Satu hal yang Tuhan minta para nabi lakukan adalah untuk memberi peringatan tentang akibat dosa. Bagi nabi-nabi Perjanjian Lama, ini sering kali bermaksud memberitahu para pemerintah kerajaan yang perkasa bahawa mereka perlu bertaubat. Itu tugas yang bahaya, tetapi Yesaya tidak takut dan peringatannya kepada kerajaan pada zamannya—termasuk Israel, Yehuda dan negara-negara di sekitar—adalahberani (lihat Yesaya 13–23).
Namun, Yesaya juga memberi pesanan harapan. Walaupun kemusnahan yang dinubuat menimpa kerajaan-kerajaan ini, Yesaya telah meramalkan peluang untuk pemulihan dan pembaharuan. Tuhan akan menjemput umat-Nya untuk kembali kepada-Nya. Dia akan membuatkan “pasir yang panas … menjadi kolam air, tanah yang gersang menjadi sumber air” (Yesaya 35:7). Dia akan melaksanakan “pukulan demi pukulan yang tidak disangka-sangka” (pekerjaan menakjubkan) (Yesaya 29:14), memulihkan kepada orang Israel berkat yang telah dijanjikan-Nya kepada mereka. Baik Yesaya mahupun orang lain yang masih hidup pada masa itu hidup untuk melihat kerja yang menakjubkan ini. Tetapi kita melihatnya hari ini. Hakikatnya, kita merupakan sebahagian daripadanya.
Idea-idea untuk Pembelajaran di Rumah dan di Gereja
Yesaya 13:1–11, 19–22; 14:1–20
Keangkuhan dan keduniaan akan gagal.
Pada zaman Yesaya, Babel ialah sebuah kerajaan yang perkasa dengan pemerintah yang berkuasa. Sekarang Babel adalah sejarah purba. Jadi mengapakah pesanan Yesaya kepada Babel, dalam Yesaya 13–14, penting bagi kita pada hari ini? Kerana Babel melambangkan keangkuhan, ketamakan, dan dosa, hal-hal yang masih mengelilingi kita hari ini. Fikirkan tentang simbol ini semasa anda membaca Yesaya 13:1–11, 19–22; 14:1–20. Anda boleh mempertimbangkan soalan-soalan seperti ini:
-
Apakah persamaan yang anda lihat antara keangkuhan raja orang Babel dan keangkuhan Setan? (lihat Yesaya 14:4–20; Musa 4:1–4). Apakah peringatan yang anda dapat cari dalam ayat-ayat ini untuk diri anda sendiri?
-
Bagaimanakah Juruselamat membantu “mengakhiri kesakitan dan penderitaan [anda]”? (Yesaya 14:3).
“Tuhan Raja akan memusnahkan maut selama-lamanya!” (Yesaya 25:8).
Yesaya 22:22–23; 24:21–23; 25:6–8; 26:19; 28:16
Yesus Kristus adalah Mesias yang dijanjikan.
Ajaran Yesaya sering merujuk pada misi Juruselamat, termasuk korban penebusan, Kebangkitan, dan Kedatangan Kedua-Nya. Apakah aspek misi-Nya yang terlintas dalam fikiran anda semasa anda membaca ayat-ayat ini: Yesaya 22:22–23; 24:21–23; 25:6–8; 26:19; 28:16? Apakah petikan lain yang anda temui yang mengingatkan anda tentang Juruselamat?
Beri peluang kepada pelajar untuk bersaksi tentang Yesus Kristus. “Untuk menjadi pengajar injil Yesus Kristus bermaksud membantu orang lain memahami dan bergantung pada ajaran, kuasa penebusan, dan kasih sempurna-Nya” (Mengajar dengan Cara Juruselamat, 8). Satu cara mudah untuk melakukannya setiap kali anda mengajar ialah bertanya soalan seperti “Apakah yang anda temui dalam tulisan suci minggu ini yang mengajar anda sesuatu tentang Juruselamat?” Kemudian biarkan pelajar berkongsi pengalaman mereka dan menguatkan iman satu sama lain.
Yesaya 24:1–12; 28:1–8; 29:7–13; 30:8–14
Berpaling daripada Tuhan membawa bahaya rohani.
Dalam belas kasihan-Nya, Tuhan mengutus Yesaya untuk memberi peringatan kepada umat perjanjian bahawa mereka menyimpang daripada-Nya. Lihat jika anda boleh menemukan tanda-tanda amaran rohani tentang ini dalam Yesaya 24:5; 29:13; 30:8–12. Mengapakah sikap dan tindakan ini berbahaya dari segi rohani?
Untuk memberi peringatan tentang akibat berpaling daripada Tuhan, Yesaya telah menggunakan beberapa perbandingan yang tidak dapat dilupakan. Semasa anda mengkajinya, tanya diri anda bagaimana berpaling daripada Tuhan adalah seperti:
-
Bumi yang tandus dan sepi (Yesaya 24:1–12).
-
Mabuk (Yesaya 28:7–8).
-
Kelaparan dan kehausan (Yesaya 29:7–10).
-
Tembok atau belanga yang retak (Yesaya 30:13–14).
Mengapakah ia penting untuk anda kekal dekat kepada Tuhan?
Yesaya 29; 30:18–26; 35
Tuhan boleh memulihkan apa yang hilang atau rosak.
Pernahkah anda kehilangan sesuatu yang anda fikir anda tidak akan menemuinya lagi? Atau mungkin ada sesuatu yang rosak, dan anda bimbang ia tidak boleh dibaiki. Apabila kita berpaling daripada Tuhan, Setan mahu kita berfikir bahawa kita tidak boleh kembali atau disembuhkan. Namun, Yesaya menggambarkan beberapa hal menakjubkan yang Tuhan akan lakukan untuk membantu kita kembali kepada-Nya. Apakah yang anda pelajari daripada Yesaya 29:13–24; 30:18–26; 35 tentang Tuhan, kasih-Nya, dan kuasa-Nya? Mungkin anda boleh mencari frasa dalam petikan ini yang memberi anda harapan apabila anda memerlukan penyembuhan. Anda juga boleh melihat dalam pesanan Sister Amy A. Wright “Kristus Menyembuhkan Apa yang Telah Hancur” (Liahona, Mei 2022, 81–84).
Salah satu cara Tuhan menyatakan kuasa dan belas kasihan-Nya di zaman kita adalah melalui Pemulihan injil-Nya. Yesaya 29 mengandungi beberapa petikan yang selari dengan peristiwa Pemulihan. Contohnya:
-
Bandingkan Yesaya 29:11–12 dengan 2 Nefi 27:6–26 dan Joseph Smith—Sejarah 1:63–65.
-
Bandingkan Yesaya 29:13–14 dengan Ajaran dan Perjanjian 4 dan Joseph Smith—Sejarah 1:17–19.
-
Bandingkan Yesaya 29:18–24 dengan halaman tajuk Kitab Mormon.
Pada pendapat anda, mengapa perkataan “mengejutkan” dan “tidak disangka-sangka” (Yesaya 29:14) adalah perkataan yang bagus untuk menggambarkan Tuhan memulihkan injil-Nya? Bagaimanakah anda boleh membantu menggenapi nubuat tentang Pemulihan? Untuk idea, lihat dalam pesanan Elder Gerrit W. Gong “Semua Negara, Kaum, dan Bahasa” (Liahona, Nov. 2020, 38–41).
Lihat juga “Pemulihan Kegenapan Injil Yesus Kristus: Perisytiharan Ulang Tahun Kedua Ratus kepada Dunia,” (Gospel Library); “Pagi Tiba, Gelap Lenyap,” Nyanyian Rohani, no 1.
Untuk lebih lanjut, lihat isu bulan ini dalam majalah Liahona dan Untuk Kekuatan Remaja.
Idea-idea untuk Mengajar Kanak-kanak
Yesaya 14:3; 25:8–9; 28:16
Yesus Kristus boleh menyelamatkan saya daripada dosa dan kematian.
-
Bagaimanakah anda akan membantu anak-anak anda melihat Juruselamat dalam tulisan Yesaya? Anda boleh membantu mereka mencari frasa yang mengingatkan mereka tentang Dia di dalam Yesaya 14:3; 25:8; atau 28:16. Mereka juga boleh memadankan ayat-ayat ini daripada Yesaya dengan ayat-ayat lain yang mengajar tentang Juruselamat, seperti Matius 11:28–30; 1 Korintus 15:53–57; Helaman 5:12. Apakah hal-hal hebat yang Tuhan telah lakukan untuk kita?
-
Selepas membaca Yesaya 25:8–9 bersama, anda boleh melihat gambar-gambar Juruselamat di Getsemani, di kayu salib, dan selepas Kebangkitan-Nya. Biarkan anak-anak anda bercakap tentang apa yang berlaku dalam gambar dan mengapa mereka mengasihi Yesus dan “bersorak gembira” (ayat 9).
-
Anda boleh memilih untuk memberitahu anak-anak anda tentang kesedihan yang anda rasai apabila seseorang yang anda kasihi meninggal dunia. Bersaksi tentang penghiburan yang anda terima kerana Yesus Kristus. Mungkin anak-anak anda boleh melukis wajah menangis dan kemudian memadamkan air mata semasa anda membaca Yesaya 25:8 bersama.
Thy Will Be Done [Kehendak-Mu Ditaati], oleh Ken Spencer
Yesaya 25:4–6
Yesus memberi saya “[perlindungan] daripada angin ribut.”
-
Pernahkah anda dan anak-anak anda mengalami berkat tempat perlindungan yang selamat semasa ribut atau tempat berteduh pada hari yang panas semasa musim panas? Atau adakah anda menikmati hidangan yang enak ketika anda lapar? Bercakap tentang pengalaman ini semasa anda membaca Yesaya 25:4–6. Bagaimanakah Yesus seperti hal-hal ini?
Yesaya 29:11–18, 24
Pemulihan injil adalah suatu “pekerjaan yang menakjubkan.”
-
Semasa anda dan anak-anak anda membaca Yesaya 29:14, kongsi kata-kata lain yang membawa maksud sama dengan “mengejutkan” dan “tidak disangka-sangka.” Biarkan mereka membantu anda mencari objek atau gambar yang mewakili beberapa pekerjaan Tuhan yang menakjubkan pada zaman akhir. Ini mungkin termasuk salinan Kitab Mormon, gambar bait suci, atau gambar Penglihatan Pertama (terdapat satu pada permulaan garis panduan ini). Kemudian, anak-anak anda boleh pilih satu item dan kongsi mengapa ia menakjubkan bagi mereka.
-
Lagu tentang Pemulihan injil sesuai dengan Yesaya 29, seperti “Pada Musim Semi” (Buku Nyanyian Anak-Anak, 57). Dan mungkin pengalaman peribadi boleh membantu anak-anak fahami maksud pemulihan. Contohnya, anda dan anak-anak anda boleh bercakap tentang sesuatu yang anda hilang dan bagaimana anda menjumpainya. Bantu anak-anak anda membandingkannya dengan Pemulihan injil. Menurut Yesaya 29:13–15, mengapakah kita perlukan Pemulihan? Apakah pekerjaan yang menakjubkan yang Tuhan lakukan untuk memulihkan injil-Nya? (lihat halaman aktiviti minggu ini).
Untuk lebih lanjut, lihat isu bulan ini dalam majalah Friend.