Ikutlah Aku
7–13 September. “Dia Akan Menunjukkan Cara Hidup yang Baik Kepadamu”: Amsal 1–4; 15–16; 22; 31; Pengkhutbah 1–3; 11–12


“7–13 September. “Dia Akan Menunjukkan Cara Hidup yang Baik Kepadamu”: Amsal 1–4; 15–16; 22; 31; Pengkhutbah 1–3; 11–12,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Perjanjian Lama 2026 (2026)

“7–13 September. ‘Dia Akan Menunjukkan Cara Hidup yang Baik Kepadamu,” Ikutlah Aku: Perjanjian Lama 2026

Yesus dengan kanak-kanak

Jesus with Children [Yesus dengan Kanak-Kanak], oleh Dilleen Marsh

7–13 September: “Dia Akan Menunjukkan Cara Hidup yang Baik Kepadamu”

Amsal 1–4; 15–16; 22; 31; Pengkhutbah 1–3; 11–12

Anda boleh menganggap kitab Amsal sebagai koleksi nasihat bijak daripada ibu bapa yang penuh kasih (lihat Amsal 1:8). Pesanan utamanya ialah jika anda mencari kebijaksanaan—terutamanya kebijaksanaan Tuhan—kehidupan akan berjalan lancar. Namun, Amsal disusuli dengan kitab Pengkhutbah, yang seolah-olah mengatakan bahawa, “Ia tidak semudah itu.” Penulis yang dipetik dalam Pengkhutbah memerhatikan bahawa “bertekad untuk mengetahui perbezaan antara pengetahuan dan kebodohan” tetapi masih mendapati ia “seperti mengejar angin sahaja” serta “banyak penderitaan” (Pengkhutbah 1:17–18). Dalam pelbagai cara, kitab ini bertanya, “Adakah terdapat makna sebenar dalam dunia di mana segala-galanya kelihatan sia-sia, sementara, dan tidak pasti?”

Namun, sementara kedua-dua kitab ini melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza, kitab-kitab ini mengajar kebenaran yang serupa. Pengkhutbah mengatakan: “Inilah kesimpulan daripada semuanya: Hormatilah Tuhan, dan taatilah segala perintah-Nya, kerana bagi maksud itulah manusia diciptakan” (Pengkhutbah 12:13). Ini adalah asas sama yang terdapat di seluruh Amsal: “Percayalah kepada Tuhan dengan sepenuh hatimu” (Amsal 3:5; lihat juga ayat 7). Hidup sentiasa lebih baik—jika tidak selalu sempurna—apabila kita mempercayai dan mengikuti Tuhan Yesus Kristus.

Untuk gambaran keseluruhan kitab-kitab ini, lihat “kitab Amsal” dan “Pengkhutbah” dalam Panduan Tulisan Suci.

ikon pengkajian

Idea-idea untuk Pembelajaran di Rumah dan di Gereja

Amsal 1–4; 15–16; Pengkhutbah 1–3; 11–12

“Dengarlah apa yang bijaksana dan cubalah memahaminya.”

Kitab Amsal dan Pengkhutbah dipenuhi pelbagai pandangan tentang kebijaksanaan. Pertimbangkan untuk menanda perkataan “kebijaksanaan” dan perkataan yang berkaitan, seperti “pengetahuan” dan “pemahaman,” semasa anda melihat perkataan ini dalam Amsal 1–4; 15–16; Pengkhutbah 1–3; 11–12. Bagaimanakah bab-bab ini mempengaruhi fikiran anda tentang kebijaksanaan? Berdasarkan apa yang anda temui, bagaimanakah anda menggambarkan kebijaksanaan yang “Tuhan berikan”? (Amsal 2:6). Apakah berkat-berkat yang datang daripada kebijaksanaan Tuhan?

Lihat juga Matius 7:24–27; 25:1–13.

Bantu pelajar berkongsi apa yang mereka telah pelajari. “Memberi para pelajar peluang untuk berkongsi dengan satu sama lain apa yang mereka pelajari tentang Juruselamat dan injil-Nya. Melakukan ini akan membantu mereka menghayati kebenaran yang diajar dan mengungkapkannya. Ia juga akan membantu mereka memperoleh keyakinan dalam kemampuan mereka untuk berkongsi kebenaran dalam situasi lain” (Mengajar dengan Cara Juruselamat, 26). Contohnya, anda boleh menjemput pelajar untuk menulis beberapa rujukan daripada Amsal atau Pengkhutbah di mana mereka mendapat pandangan tentang hikmat Tuhan. Jemput pelajar untuk bercakap tentang apa yang mereka pelajari.

Amsal 1:7; 2:5; 3:7; 15:33; 16:6; 31:30; Pengkhutbah 12:13

“Jangan anggap dirimu lebih bijaksana daripada yang sebenarnya. Taatlah kepada Tuhan.”

Satu lagi tema yang terdapat di seluruh Amsal dan Pengkhutbah ialah “taatlah kepada Tuhan.” Perhatikan frasa ini semasa anda membaca. Anda rasa apakah maksudnya taat kepada Tuhan? Cari pandangan dalam pesanan Elder David A. Bednar “Oleh Kerana Itu Mereka Mendiamkan Rasa Takut Mereka” (Liahona, Mei 2015, 46–49). Bagaimanakah takut kepada Tuhan berbeza dengan perasaan takut yang lain?

Lihat juga Amsal 8:13.

Amsal 3:5–7; 4

ikon seminari
“Percayalah kepada Tuhan dengan sepenuh hatimu.”

Bagaimana anda cuba meyakinkan seseorang bahawa adalah lebih baik “percaya kepada Tuhan” daripada “bergantung kepada pengertian [kita] sendiri”? (Amsal 3:5). Apakah perbandingan atau pelajaran berobjek yang akan anda gunakan? Semasa anda merenungkan Amsal 3:5–7, fikirkan cara anda boleh melengkapkan ayat seperti berikut: Mempercayai Tuhan adalah seperti … Bergantung kepada pengertian kita sendiri adalah seperti …

Mengapakah tidak bijak untuk bergantung kepada pengertian kita sendiri? Bagaimanakah anda tahu bahawa Tuhan boleh dipercayai?

Namun, kita kadang kala sukar untuk mempercayai Tuhan pada masa-masa tertentu. Mengapa begitu? Elder Gerrit W. Gong mencadangkan beberapa sebab, serta nasihat yang berguna, dalam “Percaya Semula” (Liahona, Nov. 2021, 97–99). Apakah cerita atau ajaran yang anda temui dalam pesanan ini yang boleh membantu seseorang memulihkan kepercayaan mereka kepada Tuhan?

Kedua-dua Amsal 3:6 dan Amsal 4 membandingkan kehidupan dengan “cara (laluan)” atau “jalan.” Apakah maksudnya membiarkan Tuhan “menunjukkan cara hidup yang baik kepada [anda]”? (Amsal 3:6). Apakah yang anda temui dalam bab 4 yang membantu anda “buatlah rancangan [anda] dengan teliti”? (ayat 26). Contohnya, apakah yang ayat 11–12 dan 18–19 ajarkan tentang berkat mengikuti jalan yang betul? Apakah maksud ayat 26–27 kepada anda?

Lihat juga 2 Nefi 31:18–21.

Amsal 15; 16:24–32

“Jawapan yang lembut meredakan kemarahan.”

Sesetengah idea dalam Amsal 15–16 boleh mengilhami anda untuk meningkatkan cara anda berkomunikasi dengan orang lain, terutamanya orang tersayang. Contohnya, fikirkan tentang masa-masa tertentu apabila “jawapan yang lembut” membantu “meredakan kemarahan” (Amsal 15:1).

Anda juga boleh fikirkan masa-masa apabila Juruselamat mencontohi ajaran-ajaran dalam Amsal 15:1–4, 18 (lihat Markus 12:13–17; Yohanes 8:1–11). Bagaimana anda boleh mengikuti teladan-Nya semasa berinteraksi dengan orang lain?

Bagaimana nasihat dalam Amsal 15; 16:24–32 berguna dalam komunikasi digital hari ini? Lihat jika anda boleh menemui satu ayat dalam bab-bab ini yang boleh anda petik sebagai nasihat tentang berinteraksi melalui media sosial atau melalui teks.

Lihat juga Neil L. Andersen, “Mengikuti Yesus: Menjadi Pendamai, Liahona, Mei 2022, 17–20; Ronald A. Rasband, “Kata-Kata Itu Penting,” Liahona, Mei 2024, 70–77; Untuk Kekuatan Remaja: Panduan Untuk Membuat Pilihan (2022), 11–12.

seorang wanita dan burung camar

Who Can Find a Virtuous Woman? [Wanita yang Cekap Susah Ditemukan] II, oleh Louise Parker

Amsal 31:10–31

“Seorang wanita yang menghormati Tuhan harus dipuji.”

Amsal 31:10–31 menjelaskan “wanita yang cekap” atau wanita yang memiliki kekuatan, keupayaan, dan pengaruh rohani. Anda boleh cuba merumuskan dalam kata-kata anda sendiri apa yang setiap ayat ini katakan tentang wanita yang cekap. Manakah antara ciri-ciri ini yang anda boleh contohi?

Pengkhutbah 1–3; 12

Kehidupan fana adalah sementara.

Mengapakah ia adalah berharga untuk anda mengingati bahawa apa-apa di dunia ini, seperti yang ditegaskan dalam Pengkhutbah 1–2 “sia-sia dan tidak berguna” (atau sementara dan lazimnya tidak penting)? Apakah yang anda temui dalam Pengkhutbah 12 yang memberi nilai kepada kehidupan yang abadi?

Untuk lebih lanjut, lihat isu bulan ini dalam majalah Liahona dan Untuk Kekuatan Remaja.

ikon bahagian kanak-kanak

Idea-idea untuk Mengajar Kanak-kanak

Amsal 1:7; 2:5; 15:33; 16:6; Pengkhutbah 12:13

“Taati Tuhan” bermaksud mengasihi dan mematuhi-Nya.

  • Untuk membantu anak-anak anda memahami petikan tentang taati Tuhan, anda boleh menggantikan perkataan “taati” dengan perkataan seperti ketakziman, kasih, atau kepatuhan (lihat juga Ibrani 12:28). Bagaimanakah ini mempengaruhi cara kita memikirkan tentang ayat-ayat ini? Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita taati Tuhan?

Amsal 3:5–7

Saya boleh mempercayai Tuhan dengan sepenuh hati saya.

  • Anda dan anak-anak anda boleh membuat aksi mengikut Amsal 3:5–7, seperti membuat bentuk hati dengan tangan anda, bersandar ke satu sisi, berjalan setempat, dan menunjuk pada mata anda. Bagaimanakah kita boleh tunjukkan kita mempercayai Yesus Kristus dengan sepenuh hati kita?

  • Untuk menunjukkan maksud “jangan bergantung kepada pengertianmu sendiri” (Amsal 3:5), pertimbangkan untuk menjemput anak-anak anda bersandar pada sesuatu yang kukuh dan stabil, seperti dinding. Kemudian, mereka boleh cuba bersandar pada sesuatu yang tidak kukuh, seperti penyapu. Atau mereka boleh cuba menyandarkan kayu atau pensel pada objek dengan pelbagai kekukuhan, seperti buku atau sekeping kertas. Mengapakah ia penting untuk “percayalah kepada Tuhan” (ayat 5) dan tidak bergantung pada “pengertian [kita] sendiri”?

seorang wanita termenung dengan bunga

Learning to Trust the Lord [Belajar untuk Mempercayai Tuhan], oleh Kathleen Peterson

Amsal 15:1, 18

Saya boleh menggunakan kata-kata baik.

  • Mungkin anda dan anak-anak anda boleh fikirkan situasi apabila anda atau mereka mungkin berasa marah. Baca Amsal 15:1 bersama, dan bantu anak-anak anda menerapkan ayat ini kepada situasi yang mereka fikirkan. Mungkin mereka boleh berlatih beberapa “jawapan yang lembut.” Lagu tentang kebaikan, seperti “Kasih Yang Diucapkan” (Buku Nyanyian Anak-Anak, 102), boleh mengukuhkan asas ini.

  • Untuk ketahui maksud menjadi “orang yang sabar” (Amsal 15:18), anda dan anak-anak anda boleh berkongsi apabila anda (atau seseorang yang anda kenali) berasa marah tetapi pilih untuk menjadi baik. Bantu anak-anak anda fikirkan hal-hal yang boleh kita lakukan dengan cepat jika kita “sabar.” Contohnya, kita boleh cepat memikirkan tentang Yesus, meminta bantuan Bapa Syurgawi, fikirkan lagu Sekolah Primer, atau, jika boleh, beredar.

Untuk lebih lanjut, lihat isu bulan ini dalam majalah Friend.

Yesus memimpin dua domba

“Ingatlah akan Tuhan dalam segala perbuatanmu, dan Dia akan menunjukkan cara hidup yang baik kepadamu” (Amsal 3:6). He Leadeth Me [Dia Membimbing Aku], oleh Yongsung Kim Imej dengan ihsan havenlight.com

Halaman aktiviti Sekolah Primer: Saya boleh menggunakan kata-kata baik