“13–19 Julai. ‘[Dia] Percaya kepada Tuhan, Tuhan Israel’: 2 Raja-raja 16–25,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Perjanjian Lama 2026 (2026)
“13–19 Julai. ‘[Dia] Percaya kepada Tuhan, Tuhan Israel,’” Ikutlah Aku: Perjanjian Lama 2026
The Flight of the Prisoners [Pelarian Tawanan], oleh James Jacques Joseph Tissot dan lain-lain
13–19 Julai: “[Dia] Percaya kepada Tuhan, Tuhan Israel”
2 Raja-Raja 16-25
Walaupun pelayanan nabi Elisa yang berkuasa, rakyat Kerajaan Utara Israel tidak bertaubat. Akhirnya, Empayar Assyria menakluki dan mencerai-beraikan sepuluh suku Israel itu. Sementara itu, Kerajaan Selatan Yehuda juga sama: penyembahan berhala juga tersebar luas di sana.
Di tengah-tengah keruntuhan rohani ini, tulisan suci menyebut dua raja Yehuda yang, untuk suatu tempoh, memalingkan rakyat mereka kembali kepada Tuhan. Salah seorang ialah Hizkia. Semasa pemerintahannya, orang Asyur (Assyria) menakluki sebahagian besar Yehuda. Tetapi Hizkia dan rakyatnya menunjukkan iman kepada Tuhan, yang menyelamatkan Yerusalem dengan cara yang menakjubkan. Kemudian, setelah tempoh kemurtadan yang lain, Yosia menjadi raja. Diilhami sebahagiannya oleh penemuan semula kitab hukum Musa, Yosia membawa reformasi yang menghidupkan kembali kehidupan beragama untuk rakyatnya.
Seperti Israel dan Yehuda, kita semua membuat pilihan baik dan buruk. Apabila kita berasa bahawa hidup kita perlukan beberapa pembaharuan, kita boleh mengambil galakan daripada dua titik terang ini dalam tahun-tahun gelap sejarah Yehuda. Mungkin teladan Hizkia dan Yosia boleh mengilhami kita untuk “[percaya] kepada Tuhan, [Tuhan Raja kita]” (2 Raja-Raja 18:22).
Idea-idea untuk Pembelajaran di Rumah dan di Gereja
2 Raja-Raja 18–19
Saya boleh kekal setia kepada Tuhan apabila iman saya dicabar.
Kebanyakan kita telah mempunyai pengalaman yang mencabar iman kita. Bagi Hizkia dan rakyatnya, salah satu cabaran itu datang apabila tentera Asyur menghampiri Yerusalem. Semasa anda membaca 2 Raja-Raja 18–19, bayangkan anda tinggal di Yerusalem ketika masa seperti ini. Bagaimanakah perasaan anda, contohnya, mendengar ejekan orang Asyur dalam 2 Raja-Raja 18:28–37; 19:10–13? Apakah yang anda akan lakukan? Bandingkan sebab-sebab orang Asyur untuk orang Israel tidak mempercayai Tuhan dengan sebab-sebab yang Setan berikan untuk kita meragui iman kita hari ini. Anda juga boleh membezakan sebab-sebab orang Asyur dengan sebab-sebab mengapa anda mempercayai Tuhan.
Apakah yang anda pelajari dari tindakan Hizkia dalam situasi ini? (lihat 2 Raja-Raja 19:1–7, 14–19). Bagaimanakah Tuhan menjawab? (lihat 2 Raja-Raja 19:35–37). Pada pendapat anda, mengapa Hizkia kekal setia? (lihat 2 Raja-Raja 18:5–7). Renungkan bagaimana Tuhan telah menyokong anda dalam masa-masa yang mencabar. Apakah yang anda terilham untuk lakukan untuk meningkatkan kepercayaan anda kepada-Nya?
Pesanan Presiden Jeffrey R. Holland “Jangan Takut: Percaya Sahaja!” (Liahona, Mei 2022, 34–36) mempunyai nasihat yang berguna untuk masa takut atau ragu-ragu. Lagu rohani seperti “Mari Lakukan Cepat” (Nyanyian Rohani, no. 113) juga boleh mempunyai pesanan yang menggalakkan. Apakah yang anda temui dalam sumber-sumber ini yang membantu anda?
Lihat juga 2 Tawarikh 31–32; 3 Nefi 3–4; Jörg Klebingat, “Penganutan yang Berani di Zaman Akhir,” Liahona, Mei 2022, 107–10.
Gunakan bantuan pengkajian tulisan suci. Gereja menyediakan banyak sumber untuk membantu anda memahami tulisan suci. Contohnya, di Gospel Library anda boleh menemukan Panduan Tulisan Suci, Topics and Questions, dan majalah-majalah Gereja. Selain daripada itu, semasa anda membaca Perjanjian Lama, anda boleh menemukan konteks dan pandangan yang berguna dalam artikel “Fikiran untuk Direnungkan” dalam Ikutlah Aku. Artikel bertajuk “Yesus Berseru, ‘Israel Mari Pulang” mungkin membantu anda mengkaji 2 Raja-Raja 16–25.
2 Raja-Raja 19:20–37
Segala hal berada di tangan Tuhan.
Sanherib, raja Asyur, mempunyai alasan yang baik untuk mempercayai bahawa tenteranya akan menakluki Yerusalem (lihat 2 Raja-Raja 17; 18:33–34; 19:11–13). Tetapi Tuhan mempunyai pesanan mengenai Sanherib, yang diberikan melalui nabi Yesaya. Ia direkodkan dalam 2 Raja-Raja 19:20–34. Apakah kebenaran yang anda temui dalam pesanan Tuhan yang membantu anda beriman kepada-Nya dan rancangan-Nya?
2 Raja-Raja 21–23
Tulisan suci dapat memalingkan hati saya kepada Tuhan.
Pernahkah anda berasa anda kekurangan sesuatu secara rohani? Mungkin anda berasa bahawa hubungan anda dengan Tuhan boleh menjadi lebih kuat. Apakah yang membantu anda kembali kepada-Nya? Renungkan soalan ini semasa anda membaca 2 Raja-Raja 21–23, yang menggambarkan bagaimana Kerajaan Yehuda menjauh daripada Tuhan di bawah Raja Manasye (lihat 2 Raja-Raja 21) dan bagaimana Raja Yosia membantu mereka berpaling kembali kepada-Nya (lihat 2 Raja-Raja 22–23). Bagaimana dan mengapa Yosia dan rakyatnya berubah? (lihat 2 Raja-Raja 22:8–11; 23:1–6, 21, 24).
Presiden Spencer W. Kimball memanggil cerita Raja Yosia “salah satu cerita terbaik dalam semua tulisan suci” (Teachings of Presidents of the Church: Spencer W. Kimball [2006], 62). Baca kata-kata Presiden Kimball tentang Raja Yosia (halaman 62–64). Mungkin anda boleh fikirkan pengalaman apabila petikan tulisan suci “bekerja dengan kuat” dalam diri anda. Apakah yang boleh anda lakukan untuk menerima lebih banyak pengalaman seperti itu?
Lihat juga Alma 31:5; “Josiah and the Book of the Law” (video), Gospel Library.
Josiah and the Book of the Law
2 Raja-Raja 23:1–25
Perjanjian ialah komitmen sepenuh jiwa di antara saya dan Tuhan.
Apakah yang menarik perhatian anda tentang perjanjian yang Yosia buat dalam 2 Raja-Raja 23:3? Semasa anda terus membaca bab 23, perhatikan apa yang Yosia lakukan untuk menunjukkan komitmennya kepada Tuhan (lihat juga gambar di akhir garis panduan ini). Bagaimanakah anda boleh menunjukkan komitmen anda kepada Dia?
Untuk lebih lanjut, lihat isu bulan ini dalam majalah Liahona dan Untuk Kekuatan Remaja.
Idea-idea untuk Mengajar Kanak-kanak
2 Raja-Raja 18:3–6; 19:14–19
Saya boleh mempercayai Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus.
-
Dalam 2 Raja-Raja 18:3, 5–6, bantu anak-anak anda terokai apa yang menjadikan Hizkia seorang raja yang baik. Kemudian semasa anda membaca bersama 2 Raja-Raja 19:14–19, mereka boleh terokai bagaimana dia menunjukkan dia mempercayai Tuhan. Anda boleh melihat gambar Yesus dan bercakap tentang mengapa kita boleh mempercayai Dia. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita mempercayai Tuhan?
2 Raja-Raja 22:1–7
Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus boleh mempercayai saya.
-
Dalam 2 Raja-Raja 22:1, bantu anak-anak anda terokai berapa umur Yosia ketika dia menjadi raja. Apakah yang kita pelajari tentang Yosia dalam ayat 2? Pertimbangkan aktiviti yang boleh menggambarkan mengikuti Tuhan dan “taat setia.”
-
Para pekerja yang digambarkan dalam 2 Raja-Raja 22:3–7 dipercayai dengan wang untuk membina semula bait suci “[kerana] sangat jujur” (ayat 7). Selepas membaca ayat-ayat ini, anda dan anak-anak anda boleh bercakap tentang hal-hal yang telah dipercayakan kepada anda. Bagaimanakah kita boleh menjadi amanah seperti para pekerja dalam ayat-ayat ini?
Seorang jurutulis membawa segulung tulisan suci kepada Raja Yosia; ilustrasi oleh Robert T. Barrett
2 Raja-Raja 22:8–11; 23:2–3
Tulisan suci mengajar saya untuk mengikuti Yesus Kristus.
-
Untuk memperkenalkan cerita Raja Yosia dalam 2 Raja-Raja 22–23, anda boleh menyembunyikan salinan tulisan suci di suatu tempat di dalam bilik. Jemput anak-anak anda untuk mencarinya. Kemudian anda boleh berkongsi apa yang berlaku apabila salah seorang imam Yosia menemui tulisan suci di bait suci (lihat 2 Raja-Raja 22:8–11; lihat juga “Raja Yosia” dalam Cerita-cerita Perjanjian Lama, 148–49). Apakah yang mungkin berlaku kepada kita jika kita tidak mempunyai tulisan suci? Saling berkongsi mengapa anda gembira kita mempunyai tulisan suci hari ini.
1:36King Josiah
-
Selepas membaca 2 Raja-Raja 23:2–3, anda dan anak-anak anda boleh bercakap tentang tulisan suci yang telah mengilhami anda untuk “taat kepada [Tuhan]” (ayat 3). Anda boleh nyanyikan bersama satu lagu tentang membaca tulisan suci, seperti “Cari, Renungkan Dan Berdoa” (Buku Nyanyian Anak-Anak, 66).
2 Raja-Raja 23:1–3
Saya akan mentaati perjanjian saya dengan Tuhan.
-
Ketika Yosia dan rakyatnya mempelajari perintah-perintah Tuhan, mereka membuat perjanjian untuk menjalaninya. Baca tentang ini bersama anak-anak anda dalam 2 Raja-Raja 23:1–3, dan bantu mereka mencari perkataan atau frasa yang menunjukkan bagaimana perasaan rakyat itu tentang perintah-perintah Tuhan. Anak-anak anda boleh berdiri dan bercakap tentang maksud untuk “berpegang kepada perjanjian itu.” Kemudian mereka boleh berjalan setempat dan bercakap tentang maksud untuk “taat kepada [Tuhan].” Seterusnya, mereka boleh meletakkan tangan mereka pada dada dan mencadangkan cara-cara kita dapat mentaati perjanjian kita “dengan segenap hati [kita].”
Untuk lebih lanjut, lihat isu bulan ini dalam majalah Friend.