Ikutlah Aku
Fikiran untuk Direnungkan: “Yesus Berseru, ‘Israel Mari Pulang’”


“Fikiran untuk Direnungkan: ‘Yesus Berseru, “Israel Mari Pulang,”’” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Perjanjian Lama 2026 (2026)

“Fikiran untuk Direnungkan: ‘Yesus Berseru, “Israel Mari Pulang,”’” Ikutlah Aku: Perjanjian Lama 2026

ikon fikiran

Fikiran untuk Direnungkan

“Yesus Berseru, ‘Israel Mari Pulang’”

Di gurun Sinai, Musa mengumpulkan anak-anak Israel di kaki gunung. Di situ Tuhan menyatakan bahawa Dia ingin mengubah kumpulan yang baru bebas daripada perhambaan ini menjadi orang yang perkasa. “Kamu akan menjadi,” kata Tuhan, “umat yang ditahbiskan, … [dan] imam [kepada-Ku]” (Keluaran 19:6). Dia berjanji mereka akan berkembang dan makmur, bahkan ketika dikelilingi oleh musuh yang lebih besar dan lebih berkuasa.

Semua ini berlaku bukan kerana bilangan orang Israel banyak atau kuat ataupun mahir. Ia akan terjadi, Tuhan menjelaskan, jika mereka “taat kepada-[Nya] dan setia kepada perjanjian-[Nya]” (Keluaran 19:5). Kuasa Tuhan, bukannya kuasa mereka, yang akan menjadikan mereka perkasa.

Tetapi orang Israel tidak selalu mematuhi suara Tuhan, dan lama-kelamaan mereka berhenti mentaati perjanjian-Nya. Ramai yang menyembah tuhan lain dan mengamalkan amalan budaya di sekitar mereka. Mereka menolak hal-hal yang menjadikan mereka bangsa yang tersendiri—hubungan perjanjian mereka dengan Tuhan. Tanpa kuasa Tuhan melindungi mereka, tiada apa yang dapat menghalang musuh mereka.

Pencerai-beraian

Beberapa kali antara tahun 735 dan 720 SM, orang Assyria (Asyur) menyerang Kerajaan Israel Utara, tempat tinggal sepuluh dari dua belas suku, dan menawan ribuan orang Israel ke berbagai bahagian Empayar Assyria. Orang Israel ini dikenali sebagai “suku yang hilang,” sebahagiannya kerana mereka dipindahkan dari tanah air mereka dan tercerai-berai di kalangan bangsa-bangsa lain. Tetapi mereka juga hilang dalam pengertian yang lebih dalam: lama kelamaan, mereka kehilangan pengertian identiti mereka sebagai umat perjanjian Tuhan.

Akhirnya ramai orang di Kerajaan Selatan Yehuda juga berpaling daripada Tuhan. Orang Assyria menyerang dan turut menakluki sebahagian besar kerajaan itu; hanya Yerusalem yang dipelihara secara ajaib. Kemudian, antara 597 dan 580 SM, orang Babilonia memusnahkan Yerusalem, termasuk bait suci, dan membawa ramai orang menjadi tawanan. Kira-kira 70 tahun kemudian, Yehuda yang selebihnya dibenarkan kembali ke Yerusalem dan membina semula bait suci. Bagaimanapun, banyak yang tinggal di Babilon.

Yerusalem dimusnahkan oleh api

The Destruction of Jerusalem by Nebuzar-adan [Kemusnahan Yerusalem oleh Nebuzaradan], oleh William Brassey Hole, © Providence Collection/dilesenkan dari goodsalt.com

Masa berlalu, orang Israel dari semua suku “[ter]selerak … terpaksa tinggal di negeri asing” (Zakharia 7:14). Sesetengah orang Tuhan bawa pergi ke negeri-negeri lain. Yang lain meninggalkan Israel untuk melarikan diri daripada ditangkap atau atas sebab politik atau ekonomi.

Kita menggelar semua peristiwa ini pencerai-beraian Israel. Dan ia penting untuk tahu tentang sebab-sebab pencerai-beraian ini. Satu sebabnya, ini adalah topik utama dari Perjanjian Lama—banyak nabi Perjanjian Lama telah menjadi saksi kepada kejatuhan rohani yang menyebabkan pencerai-beraian Israel. Mereka meramalkannya dan memberi amaran mengenainya. Sesetengah mereka bahkan mengalaminya. Ia berguna untuk diingati semasa anda membaca kitab Yesaya, Yeremia, Amos, dan nabi-nabi lain di bahagian akhir Perjanjian Lama. Dengan mempertimbangkan konteks ini, apabila anda membaca nubuat mereka tentang Assyria dan Babilon, penyembahan berhala dan penawanan, kemusnahan dan pemulihan akhirnya, anda akan mengetahui apa yang mereka bicarakan.

Memahami pencerai-beraian Israel akan membantu anda lebih memahami Kitab Mormon, kerana Kitab Mormon adalah catatan dari cabang Israel yang tercerai-berai itu. Catatan ini bermula dengan keluarga Lehi melarikan diri dari Yerusalem kira-kira 600 SM, sebelum orang Babilonia menyerang. Lehi salah seorang nabi yang bernubuat tentang pencerai-beraian Israel. Dan keluarganya membantu memenuhi nubuat tersebut, membawa cabang bani Israel mereka dan menanamnya di bahagian lain di dunia, di Benua Amerika.

Pengumpulan

Namun, pencerai-beraian Israel hanya sebahagian daripada cerita itu. Tuhan tidak melupakan umat-Nya, tidak juga Dia meninggalkan mereka, bahkan ketika mereka meninggalkan-Nya. Banyak nubuat bahawa Tuhan akan mencerai-beraikan Israel disertai dengan banyak janji bahawa Tuhan akan mengumpulkan mereka suatu hari nanti.

Masa itu adalah sekarang—zaman kita. Pengumpulan telah pun bermula. Pada tahun 1836, ribuan tahun setelah Musa mengumpulkan anak-anak Israel di kaki Gunung Sinai, dia muncul di Bait suci Kirtland untuk memberi Joseph Smith “kunci-kunci pengumpulan Israel dari empat bahagian bumi” (Ajaran dan Perjanjian 110:11). Kini, dengan arahan orang yang memegang kunci-kunci ini, suku-suku Israel dikumpulkan dari setiap bangsa di mana hamba-hamba Tuhan dapat pergi.

Musa muncul kepada Joseph Smith dan Oliver Cowdery di Bait Suci Kirtland

Moses, Elias, and Elijah Appear in the Kirtland Temple [Musa, Elias, dan Elia Muncul di Bait Suci Kirtland], oleh Gary E. Smith

Presiden Russell M. Nelson telah mengelar pengumpulan ini “yang terpenting pada masa ini di bumi. Tidak ada yang lain dapat dibandingkan dari segi kebesaran, kepentingan, dan keagungan kerja ini. Dan jika mahu, anda boleh menjadi sebahagian besar dalam kerja ini.”

Bagaimanakah kita boleh membantu? Apakah maksudnya untuk mengumpulkan Israel? Adakah ia bermaksud memulihkan dua belas suku ke negeri asal mereka? Sebenarnya, ia adalah sesuatu yang lebih besar, yang lebih abadi. Seperti Presiden Nelson menjelaskan:

“Apabila [kita] berbicara tentang pengumpulan, [kita] hanya menyatakan kebenaran yang asas iaitu setiap anak Bapa di Syurga patut mendengar injil Yesus Kristus yang dipulihkan di kedua-dua belah tirai kehidupan. …

Bilamasa anda lakukan segala untuk membantu seseorang membuat perjanjian dengan Tuhan dan menerima pembaptisan dan tatacara bait suci penting bagi mereka—di kedua-dua belah tirai—anda membantu mengumpulkan Israel. Ia [semudah] itu.”

Ini terjadi, seperti Yesaya katakan, “seorang demi seorang” (Yesaya 27:12) atau, seperti Yeremia jangkakan, “seorang dari setiap kota, dan dua orang daripada setiap puak” (Yeremia 3:14).

Pengumpulan Israel bermaksud membawa anak-anak Tuhan kembali pada-Nya. Ia bermaksud memulihkan mereka kepada hubungan perjanjian mereka dengan Tuhan. Ia bermaksud mendirikan semula “umat yang ditahbiskan” seperti yang Tuhan ingin dirikan lama dahulu (Keluaran 19:6).

Mari Pulang

Sebagai seorang yang telah membuat perjanjian dengan Tuhan, anda adalah sebahagian daripada bani Israel. Anda telah dikumpulkan, dan anda adalah seorang pengumpul. Cerita epik selama berabad-abad tentang umat perjanjian sedang membina ke kemuncaknya, dan anda adalah pemain utama. Inilah masanya ketika “Yesus berseru, ‘Israel mari pulang.’”

Ini adalah pesanan para pengumpul: Mari pulang kepada perjanjian. Mari pulang ke Sion. Mari pulang kepada Yesus Kristus, Yang Kudus dari Israel, dan Dia akan membawa anda pulang kepada Tuhan, Bapa anda.

Nota

  1. Lihat Ulangan 28:1–14.

  2. Lihat 2 Raja-Raja 17:6–7; 2 Tawarikh 36:12–20.

  3. Lihat 2 Raja-Raja 17:1–7. Sepuluh suku yang ditawan oleh Assyria adalah Ruben, Simeon, Isakhar, Zebulon, Dan, Naftali, Gad, Asyer, Efraim, dan Manasye. Suku Lewi tersebar di seluruh wilayah suku lain supaya mereka dapat melaksanakan tanggungjawab imam mereka.

  4. Lihat 2 Raja-Raja 19; Yesaya 10:12–13.

  5. Lihat 2 Raja-Raja 24–25; 2 Tawarikh 36; Yeremia 39; 52.

  6. Lihat Ezra 1; 7; Nehemia 2.

  7. Lihat 2 Nefi 1:1–5; Omni 1:15–16.

  8. Lihat 2 Raja-Raja 25:22–26; Yeremia 42:13–19; 43:1–7.

  9. Pada tahun 70 Masehi, Yerusalem dan bait suci sekali lagi musnah, kali ini oleh orang Roma, dan orang Yahudi tercerai-berai di banyak bangsa.

  10. Lihat Yeremia 29:18; Yehezkiel 22:15; Hosea 9:17; Amos 9:9; 1 Nefi 1:13.

  11. Lihat 1 Nefi 15:12.

  12. Lihat 1 Nefi 1:13, 18–20; 10:12–14.

  13. Lihat Yesaya 5:26; 27:12; 54; Yeremia 16:14–15; 29:14; 31:10; Yehezkiel 11:17; 34:12; 37:21–28; Zakharia 10:8; 1 Nefi 10:14; 22:25; 3 Nefi 16:1–5; 17:4.

  14. Russell M. Nelson, “Harapan Israel” (pertemuan rohani remaja sedunia, 3 Jun 2018), Gospel Library.

  15. Russell M. Nelson, “Harapan Israel.”

  16. Lihat 2 Nefi 30:2.

  17. Marilah Bersuka,” Nyanyian Rohani, no.3