“26 Januari–1 Februari. ‘Mengajarkan Hal-hal Ini dengan Bebas kepada Anak-anakmu’: Kejadian 5; Musa 6,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Perjanjian Lama 2026 (2026)
“26 Januari–1 Februari. ‘Mengajarkan Hal-hal Ini dengan Bebas kepada Anak-anakmu’,” Ikutlah Aku: 2026
Better than Paradise [Lebih Indah dari Firdaus], oleh Kendal Ray Johnson
26 Januari–1 Februari: “Mengajarkan Hal-hal Ini dengan Bebas kepada Anak-anakmu”
Kejadian 5; Musa 6
Kebanyakan Kejadian 5 adalah senarai generasi antara Adam dan Hawa dan Nuh. Kita membaca banyak nama, tetapi kita tidak belajar banyak tentang mereka. Kemudian kita membaca kata-kata yang menarik tetapi tidak dapat dijelaskan ini: “Oleh sebab Henokh selalu hidup akrab dengan Tuhan, dia menghilang kerana diambil oleh Tuhan” (Kejadian 5:24). Sudah tentunya ada cerita di sebalik ayat itu! Tetapi tanpa penjelasan lebih lanjut, senarai generasi diteruskan.
Nasib baik, Musa 6 mengungkapkan maklumat cerita Henokh—dan ini adalah cerita yang hebat. Kita belajar tentang kerendahan hati Henokh, ketidakyakinannya, potensi yang Tuhan lihat dalam dirinya, dan pekerjaan hebat yang dia laksanakan sebagai nabi Tuhan. Kita juga mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai keluarga Adam dan Hawa ketika ia berkembang dari generasi ke generasi. Kita membaca tentang “penguasaan yang besar” Setan tetapi juga tentang ibu bapa yang mengajar anak-anak “jalan Tuhan” (Musa 6:15, 21). Yang paling berharga adalah hal-hal yang kita pelajari tentang ajaran para ibu bapa ini ajarkan: iman dalam Yesus Kristus, pertaubatan, pembaptisan, dan menerima Roh Kudus (lihat Musa 6:50–52). Ajaran itu, seperti imamat yang mengiringinya, “ada pada permulaan [dan] juga akan ada pada akhir dunia ini” (Musa 6:7).
Idea-idea untuk Pembelajaran di Rumah dan di Gereja
Dosa mengehadkan keupayaan saya untuk melihat, merasa, dan mendengar hal-hal Tuhan.
Semasa anda mengkaji Musa 6:26–36, apakah yang anda pelajari tentang kesan-kesan dosa? Bagaimanakah anda telah melihat kesan-kesan ini? Apakah sifat-sifat Henokh yang membantunya mengatasi kesan-kesan ini? Bagaimanakah Tuhan memberkatinya sebagai hasilnya?
Tuhan memanggil saya untuk melakukan pekerjaan-Nya walaupun saya mempunyai kelemahan.
Jika anda pernah merasa keberatan dengan apa yang Tuhan telah panggil anda untuk lakukan, anda tidak bersendirian. Bahkan Henokh berasa demikian ketika Tuhan memanggilnya untuk menjadi nabi. Semasa anda membaca Musa 6:26–36, cari mengapa Henokh merasa keberatan dan apa yang Tuhan katakan untuk menggalakkannya.
Dalam ayat 37–47, anda boleh mencari cara Tuhan menyokong dan memberi Henokh kuasa untuk melakukan pekerjaan-Nya (lihat juga Musa 7:13). Anda boleh bandingkan pengalaman Henokh dengan pengalaman para nabi lain yang merasa kekurangan, seperti Musa (lihat Keluaran 4:10–16), Yeremia (lihat Yeremia 1:4–10), Nefi (lihat 2 Nefi 33:1–4), dan Moroni (lihat Eter 12:23–29). Apakah yang anda rasa Tuhan mahu anda pelajari dari tulisan suci ini mengenai pekerjaan yang Dia telah berikan untuk anda lakukan?
A Seer Hath the Lord Raised Up (Moses 6:36) [Seorang Pelihat Telah Tuhan Bangkitkan (Musa 6:36)], oleh Eva Timothy
Banyak rasul dan nabi zaman moden telah mengungkapkan perasaan yang serupa seperti Henokh apabila mereka menjelaskan bagaimana perasaan mereka ketika menerima panggilan mereka. Contohnya, lihat kesaksian Elder Ulisses Soares dalam “Nabi-Nabi Berbicara Melalui Kuasa Roh Kudus” (Liahona, Mei 2018, 98–99).
Apakah yang boleh anda pelajari daripada para nabi dan rasul ini tentang perasaan serba kekurangan? Bilakah anda telah merasa Juruselamat membantu anda apabila Dia meminta anda melakukan hal-hal yang sukar? Pertimbangkan untuk menuliskan beberapa pengalaman pada masa depan anda ketika anda perlu bergantung pada bantuan Juruselamat. Bagaimanakah anda dapat mendekati pengalaman ini dengan iman kepada Yesus Kristus?
Lihat juga David A. Bednar, “Tinggallah Di Dalam Aku, dan Aku Di Dalam Kamu; Oleh Kerana Itu Berjalanlah Bersama-Ku,” Liahona, Mei 2023, 123–25; “Ku Pergi ke Mana Kau Inginkan,” Nyanyian Rohani, no. 128.
Injil Yesus Kristus telah diajarkan sejak permulaan.
Oleh kerana kita mempunyai kitab Musa, kita tahu bahawa Tuhan telah mengajar anak-anak-Nya bagaimana untuk mencari penebusan sejak Adam dan Hawa. Semasa anda mengkaji Musa 6:48–68, cari apa yang kita mesti tahu dan lakukan untuk ditebus. Perhatikan soalan Adam dalam ayat 53. Pernahkah anda terfikir seperti itu? Apakah yang anda pelajari dari jawapan Tuhan dalam ayat 53–65? Anda boleh fikirkan ayat-ayat ini sebagai pesanan Tuhan pada acara pembaptisan Adam. Apakah yang anda pelajari tentang pembaptisan dari pesanan-Nya? Mengapakah Dia membandingkan pembaptisan dengan “dilahirkan semula”? (ayat 59). Apakah yang anda boleh lakukan untuk terus “dilahirkan semula” sepanjang hidup anda?
Cari lambang-lambang. Dalam tulisan suci, objek atau peristiwa sering mewakili atau melambangkan kebenaran rohani, terutamanya kebenaran tentang Juruselamat (lihat Mengajar dengan Cara Juruselamat, 7). Lambang-lambang ini dapat memperkayakan pemahaman anda tentang Juruselamat dan ajaran-Nya. Contohnya, apakah yang anda pelajari daripada lambang hati dan telinga dalam Musa 6:27, mata dan tanah liat dalam Musa 6:35, atau air dalam Musa 6:59–60?
“Mengajarkan hal-hal ini dengan bebas kepada anak-anakmu.”
Selepas mengajar Adam tentang kebenaran injil Yesus Kristus, dalam Musa 6:51–63, Tuhan memberitahu Adam untuk mengajarnya kepada generasi akan datang. Pertimbangkan untuk membuat senarai kebenaran ini. (Membahagikan petikan kepada kumpulan ayat yang lebih kecil boleh membantu, seperti ayat 51–52, 53–57, 58–60, 61–63). Mengapakah kebenaran ini berharga untuk generasi muda pada hari ini? Apakah lagi yang boleh anda pelajari dari arahan Tuhan kepada ibu bapa dalam Mosia 4:14–15 dan Ajaran dan Perjanjian 68:25–28; 93:40–50?
Membaca tentang “kitab kenangan” yang keluarga Adam dan Hawa simpan mungkin mengilhami anda atau keluarga anda untuk membuat kitab kenangan anda sendiri. Apa yang anda rasa Tuhan mahu anda sertakan? Pertimbangkan untuk menyimpan maklumat dari kitab kenangan anda pada FamilySearch.org.
Lihat juga Dieter F. Uchtdorf, “Yesus Kristus ialah Kekuatan Ibu Bapa,” Liahona, Mei 2023, 55–59; “Parenting: Touching the Hearts of Our Youth,” “But Why?” (video), Gospel Library.
Untuk lebih lanjut, lihat isu bulan ini dalam majalah Liahona dan Untuk Kekuatan Remaja.
Idea-idea untuk Mengajar Kanak-kanak
Tuhan boleh membantu saya melakukan hal-hal sukar.
-
Ketika Henokh dipanggil untuk mengkhutbahkan injil, dia khuatir dia akan gagal. Tetapi Tuhan membantunya. Baca bersama cerita ini dalam Musa 6:26–34 (lihat juga “Nabi Henokh” dalam Cerita-cerita Perjanjian Lama, 19–21). Mengapakah Henokh berasa dirinya tidak dapat mengkhutbahkan injil? (lihat Musa 6:31). Bagaimanakah Tuhan membantu Henokh? (lihat Musa 6:32–34; 7:13).
-
Anak-anak anda mungkin suka berkongsi atau melakonkan contoh lain apabila Tuhan membantu orang melakukan hal-hal yang sukar—contohnya, Nuh, Daud, Amon, atau Samuel orang Laman (lihat Buku Seni Injil, no. 7, 19, 78, 81). Anda juga boleh berkongsi pengalaman anda sendiri dan biarkan anak-anak anda bercakap tentang bagaimana Tuhan membantu mereka melakukan hal-hal yang sukar.
Iman dalam Kristus, pertaubatan, pembaptisan, dan menerima Roh Kudus membantu saya untuk kembali kepada Tuhan.
-
Tuhan mengajar Adam hal-hal yang kita perlu lakukan untuk kembali kepada-Nya—beriman kepada Yesus Kristus, bertaubat, dibaptiskan, dan menerima kurnia Roh Kudus. Bantu anak-anak anda mencari asas-asas ini dalam Musa 6:52, 57. Kemudian anda boleh membantu mereka menulis ucapan ringkas tentang salah satu asas itu. Setiap ucapan boleh termasuk tulisan suci dari Musa 6, pengalaman, dan kesaksian. Biarkan mereka saling berkongsi ucapan mereka.
-
Anda juga boleh memaparkan gambar-gambar yang mewakili asas-asas pertama injil (lihat fasal-fasal kepercayaan keempat). Letakkan ia dalam satu garisan menuju kepada gambar Yesus Kristus. Semasa anda membaca Musa 6:52, anak-anak anda boleh berdiri di sebelah gambar yang betul apabila mereka mendengar perkataan yang gambar itu wakili.
-
Anak-anak anda mungkin seronok menyanyikan lagu-lagu yang mengajarkan asas-asas dalam Musa 6:52, seperti “Iman,” “Waktu Aku Dibaptis,” dan “Roh Kudus” (Buku Nyanyian Anak-Anak, 50, 53, 56). Bantu mereka mencari asas-asas ini dalam Musa 6:52.
Bapa Syurgawi ingin para ibu bapa untuk mengajar anak-anak mereka.
-
Untuk menggalakkan anak-anak anda menyokong ibu bapa mereka dalam peranan mereka sebagai pengajar injil, pertimbangkan untuk meminta seorang anak untuk membaca Musa 6:58 dan mengenal pasti perintah yang Tuhan berikan kepada ibu bapa. Kemudian anda boleh menunjukkan gambar Adam dan Hawa mengajar anak-anak mereka (seperti dalam akhir garis panduan ini) dan biarkan anak-anak anda bercakap tentang apa yang mereka lihat dalam gambar itu. Anak-anak anda boleh melukis gambar keluarga mereka membaca tulisan suci bersama, berdoa bersama, atau bermain bersama.
Untuk lebih lanjut, lihat isu bulan ini dalam majalah Friend.