“9–15 Februari. ‘Nuh Menemui Rahmat di Mata Tuhan’: Kejadian 6–11; Musa 8,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Perjanjian Lama 2026 (2026)
“9–15 Februari ‘Nuh Menemui Rahmat di Mata Tuhan’,” Ikutlah Aku: 2026
Jehovah Keeps a Promise [Yehovah Menepati Janji], oleh Sam Lawlor
9–15 Februari: “Nuh Menemui Rahmat di Mata Tuhan”
Kejadian 6–11; Musa 8
Hidup pada zaman akhir, kita mempunyai sebab istimewa untuk memberi perhatian kepada cerita Banjir. Ketika Yesus Kristus mengajar bagaimana kita harus memperhatikan Kedatangan Kedua-Nya, Dia berkata, “Seperti ianya terjadi pada zaman Nuh, demikian juga ia akan terjadi pada kedatangan Putera Manusia” (Joseph Smith—Matius 1:41). Tambahan, frasa yang menggambarkan zaman Nuh, seperti “merosak” dan “dipenuhi dengan keganasan,” mudah menggambarkan zaman kita (Kejadian 6:12–13; Musa 8:28). Cerita Menara Babel juga terasa berlaku pada zaman kita, dengan gambaran tentang keangkuhan diikuti oleh kekeliruan dan kemudian perpecahan.
Laporan kuno ini berharga bukan hanya kerana ia menunjukkan kita bahawa kejahatan berulang sepanjang sejarah. Lebih penting lagi, ia mengajar kita apa yang harus dilakukan tentangnya. Nuh “menemui rahmat di mata Tuhan” (Musa 8:27). Dan keluarga Yared dan saudaranya berpaling kepada Tuhan dan dilindungi daripada kekeliruan dan perpecahan di Babel (lihat Eter 1:33–43). Jika kita tertanya bagaimana untuk pastikan diri dan keluarga kita selamat semasa berlakunya kerosakan dan keganasan pada zaman kita, cerita dalam bab-bab ini ada banyak pengajaran untuk kita.
Idea-idea untuk Pembelajaran di Rumah dan di Gereja
Kejadian 6; Musa 8
Terdapat keselamatan rohani dalam mengikuti nabi Tuhan.
Adakah anda melihat apa-apa dalam huraian zaman Nuh yang kelihatan serupa dengan keadaan pada zaman kita? Khususnya, lihat dalam Musa 8:15–24, 28. Apakah tema yang anda lihat berulang?
Satu persamaan penting yang anda akan lihat ialah Tuhan memanggil Nuh untuk menjadi nabi, dan Dia turut memanggil seorang nabi hari ini. Pertimbangkan untuk membuat senarai kebenaran yang anda pelajari tentang nabi daripada Musa 8:13–30. Bagaimanakah nabi kita yang hidup seperti Nuh? Sudah tentu, nabi Tuhan hari ini tidak memberi amaran tentang Banjir atau menjemput kita untuk membantu membina bahtera. Tetapi apakah amaran yang dia berikan kepada kita? Dan apa yang dia jemput kita untuk lakukan? Untuk membantu menjawab soalan-soalan ini, anda boleh menyemak satu bab daripada Teachings of Presidents of the Church [Ajaran-ajaran Presiden Gereja] di Gospel Library, terutamanya bahagian “Invitations and Promised Blessings” [Jemputan dan Berkat Janji]. Anda boleh memilih satu amaran dan satu jemputan yang kelihatan sangat penting bagi anda.
Elder Allen D. Haynie mengajar, “Bapa yang sempurna dan penyayang di Syurga telah memilih pola untuk mewahyukan kebenaran kepada anak-anak-Nya melalui seorang nabi” (“Nabi Hidup untuk Zaman Akhir,” Liahona, Mei 2023, 25). Pertimbangkan untuk mengkaji pesanan Elder Haynie, mencari sebab adanya seorang nabi adalah tanda kasih Bapa Syurgawi. Bagaimanakah mengikuti nabi Tuhan telah membantu anda berasa selamat hidup dalam zaman akhir?
Lihat juga Topics and Questions, “Prophets,” Gospel Library; “Why Do We Have Prophets?” (video), Gospel Library.
Why Do We Have Prophets?
Kejadian 6:5–13
Banjir adalah tindakan belas kasihan Tuhan.
Sesetengah orang tertanya-tanya tentang keadilan Tuhan dalam menghantar banjir untuk “membinasakan manusia” (Kejadian 6:7). Elder Neal A. Maxwell menjelaskan bahawa ketika berlakunya Banjir, “kerosakan telah mencapai tahap pemusnahan hak pilihan dimana roh tidak dapat, dalam keadilan, dihantar ke sini” (We Will Prove Them Herewith [1982], 58). Anda juga boleh mempertimbangkan bagaimana Banjir adalah tindakan belas kasihan. Apakah yang anda temui dalam Kejadian 6:5–13 yang menunjukkan belas kasihan dan kasih Tuhan kepada orang ramai?
Kejadian 9:8–17
Tanda atau simbol membantu saya mengingati perjanjian saya dengan Tuhan.
Berdasarkan Kejadian 9:8–17, apakah yang anda ingati apabila anda fikirkan tentang pelangi? Apakah yang Terjemahan Joseph Smith, Kejadian 9:21–25 (dalam Bantuan Pengkajian) tambah kepada pemahaman anda? Anda juga boleh mempertimbangkan untuk membuat senarai hal lain (seperti simbol, objek, atau apa sahaja) yang Tuhan telah berikan kepada anda untuk mengingatkan anda tentang perjanjian anda. Apa yang hal-hal ini ajarkan anda? Bagaimanakah ia membantu anda ingat?
Lihat juga Gerrit W. Gong, “Selalu Mengingati-Nya,” Liahona, Mei 2016, 108–11.
The Tower of Babel [Menara Babel], oleh David Green
Kejadian 11:1–9
Mengikuti Yesus Kristus adalah satu-satunya cara kepada Bapa Syurgawi.
Laporan tentang orang-orang di Babel membina sebuah menara memberikan kontras yang menarik terhadap laporan Henokh dan orang-orangnya yang membina Sion, yang anda pelajari pada minggu lalu. Kedua-dua kumpulan orang ini berusaha untuk mencapai syurga tetapi dengan cara yang berbeza. Bagaimanakah orang Sion memperoleh syurga? (lihat Musa 7:18–19, 53, 62–63, 69). Apakah yang anda pelajari daripada Kejadian 11:1–9 dan Helaman 6:26–28 tentang orang-orang di Babel? Apakah yang ini ajarkan kita tentang usaha kita sendiri untuk kembali ke hadirat Tuhan? Apakah yang Tuhan telah sediakan untuk membantu kita “sampai ke syurga”? (Kejadian11:4; lihat juga Yohanes 3:16).
Belajar secara aktif. Pembelajaran boleh melibatkan lebih daripada sekadar membaca atau mendengar. Contohnya, apabila belajar tentang Menara Babel, anda dan keluarga atau kelas anda boleh menulis, pada sehelai kertas, hal-hal yang menjauhkan kita daripada Tuhan. Kemudian, pada lembaran kertas lain, anda boleh menulis hal-hal yang mendekatkan kepada Tuhan. Susun kumpulan kertas yang pertama dalam bentuk menara dan kumpulan yang kedua pula dalam bentuk bait suci.
Untuk lebih lanjut, lihat isu bulan ini dalam majalah Liahona dan Untuk Kekuatan Remaja.
Idea-idea untuk Mengajar Kanak-kanak
Kejadian 6:14–22; 7–8; Musa 8:16–24
Mengikuti nabi Tuhan akan memberkati saya dan keluarga saya.
-
Kebanyakan kanak-kanak suka cerita Nuh dan bahtera. Pertimbangkan untuk memberi anak-anak anda peluang untuk berkongsi apa yang mereka tahu mengenainya. Untuk membantu mereka, anda boleh gunakan gambar-gambar dalam garis panduan ini, “Nuh dan Keluarganya” dalam Cerita-cerita Perjanjian Lama (22–25), dan ayat ketiga dalam “Patuhi Nabi” (Buku Nyanyian Anak-Anak, 58). Anak-anak anda mungkin suka untuk melakonkan sebahagian cerita tersebut—contohnya, berpura-pura menggunakan alat untuk membina bahtera atau berjalan seperti binatang memasuki bahtera.
-
Semasa anda bercakap tentang Nuh, bantu anak-anak anda melihat betapa kita diberkati kerana mempunyai seorang nabi Tuhan hari ini. Bantu anak-anak anda menyelidiki Musa 8:16–24 untuk mencari ajaran Nuh yang pemimpin Gereja kita masih ajarkan sekarang. Bagaimanakah kita diberkati ketika kita mematuhi ajaran-ajaran ini?
Kejadian 9:15–16
Tuhan akan mentaati janji-Nya kepada saya.
-
Anak-anak anda mungkin suka melukis atau mewarna pelangi semasa anda membincangkan apa yang ia wakili (lihat Terjemahan Joseph Smith, Kejadian 9:21–25 [dalam Bantuan Pengkajian]). Apa yang Tuhan mahu Nuh dan keluarganya fikirkan setiap kali mereka melihat pelangi?
-
Anda juga boleh tunjukkan anak-anak anda sesuatu yang mengingatkan anda tentang sesuatu yang penting dalam hidup anda, seperti cincin perkahwinan, gambar, atau jurnal. Biarkan anak-anak anda berkongsi contoh mereka sendiri. Ini boleh membawa kepada perbualan tentang hal-hal yang membantu kita mengingati perjanjian kita, seperti sakramen, yang membantu kita mengingati perjanjian pembaptisan kita untuk mengikuti Yesus Kristus (lihat Ajaran dan Perjanjian 20:75–79).
Tuhan memberitahu keluarga Nuh bahawa pelangi akan menjadi “tanda perjanjian abadi yang Aku buat dengan kamu” (Kejadian 9:12).
Kejadian 11:1–9
Mengikuti Yesus Kristus adalah satu-satunya jalan ke syurga.
-
Membina menara daripada blok atau objek lain bersama anak-anak anda boleh menyeronokkan. Semasa anda berbuat demikian, jelaskan bahawa orang-orang di Babel fikir mereka boleh pergi ke syurga dengan membina menara yang tinggi. Anda kemudian boleh melihat gambar Juruselamat dan tanya anak-anak anda bagaimana Dia membantu kita pergi ke syurga. Kemudian anda boleh saling bercakap tentang hal-hal yang anda boleh lakukan untuk mengikuti Juruselamat.
-
Selain membaca cerita menara Babel dalam Kejadian 11:1–9, anda dan anak-anak anda boleh membaca Helaman 6:28. Menurut ayat ini, mengapa orang-orang di Babel membina menara tersebut? Mengapakah membina menara ini adalah cara salah untuk mencapai syurga? Kemudian anda boleh menyelidiki 2 Nefi 31:20–21 dan Helaman 3:28 untuk mencari jalan benar untuk mencapai syurga. Apakah nasihat yang kita akan berikan kepada orang-orang di Babel?
Untuk lebih lanjut, lihat isu bulan ini dalam majalah Friend.