“Fikiran untuk Direnungkan: Perjanjian,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Perjanjian Lama 2026 (2026)
“Perjanjian,” Ikutlah Aku: 2026
Fikiran untuk Direnungkan
Perjanjian
Sepanjang Perjanjian Lama, anda akan kerap membaca perkataan perjanjian. Zaman sekarang kita biasanya menganggap perjanjian sebagai janji kudus dengan Tuhan, tetapi di zaman kuno, perjanjian juga merupakan bahagian penting bagi interaksi satu sama lain. Untuk keselamatan dan kelangsungan hidup mereka, orang perlu saling mempercayai, dan perjanjian adalah cara untuk mendapatkan kepercayaan itu.
Oleh itu, ketika Tuhan berbicara kepada Henokh, Nuh, Musa, dan yang lain tentang perjanjian, Dia menjemput mereka untuk masuk ke dalam hubungan kepercayaan dengan-Nya. Kita panggil perjanjian ini perjanjian yang baru dan abadi atau perjanjian Abraham—rujukan kepada perjanjian yang Tuhan buat dengan Abraham dan Sara dan kemudian diperbaharui dengan keturunan mereka Ishak dan Yakub (juga dipanggil Israel). Dalam Perjanjian Lama, ia hanya dikenali sebagai “perjanjian.” Anda akan melihat bahawa Perjanjian Lama pada asasnya adalah cerita orang-orang yang melihat diri mereka sebagai pewaris perjanjian ini—umat perjanjian.
Perjanjian Abraham terus menjadi penting hari ini, terutama bagi para Orang Suci Zaman Akhir. Mengapa? Kerana kita juga adalah umat perjanjian, sama ada kita keturunan langsung Abraham, Ishak, dan Yakub ataupun tidak. Oleh kerana ini, ia penting untuk memahami apakah itu perjanjian Abraham dan bagaimana perjanjian itu berkaitan dengan kita hari ini.
Apakah Itu Perjanjian Abraham?
Abraham mahu “untuk menjadi seorang pengikut kebenaran yang besar” (Abraham 1:2), oleh itu Tuhan menjemputnya ke dalam hubungan perjanjian. Abraham bukanlah orang pertama yang mempunyai hasrat ini, dan dia bukan orang pertama yang menerima perjanjian. Lagipun, ia adalah perjanjian yang abadi. Abraham mencari “berkat-berkat nenek moyang” (Abraham 1:2)—berkat-berkat yang diberikan melalui perjanjian kepada Adam dan Hawa dan kepada mereka yang tekun mencari berkat ini.
Perjanjian Tuhan dengan Abraham menjanjikan berkat-berkat yang menakjubkan: warisan negeri, keturunan besar, akses kepada tatacara imamat, dan nama yang akan dihormati untuk generasi yang akan datang. Tetapi fokus perjanjian ini bukan hanya pada berkat yang Abraham dan keluarganya akan terima tetapi juga berkat yang akan diberikan kepada semua anak Tuhan. “Engkau menjadi berkat,” Tuhan mengisytiharkan, “melalui engkau, Aku akan memberkati semua bangsa di bumi” (Kejadian 12:2–3).
Adakah perjanjian ini memberi Abraham, Sara, dan keturunan mereka status istimewa di kalangan anak-anak Tuhan? Hanya dalam pengertian bahawa ia adalah hak istimewa untuk memberkati orang lain. Keluarga Abraham “akan memberikan pelayanan dan Imamat ini kepada segala bangsa,” berkongsi “berkat-berkat Injil, yang merupakan berkat-berkat keselamatan, bahkan kehidupan yang abadi” (Abraham 2:9, 11). Menjadi umat perjanjian Tuhan tidak bermakna mereka lebih baik daripada yang lain; ini bermakna mereka mempunyai kewajipan untuk membantu orang lain menjadi lebih baik.
Perjanjian ini adalah berkat yang Abraham inginkan. Setelah menerimanya, Abraham berkata dalam hatinya, “Hamba-Mu telah mencari Engkau dengan bersungguh-sungguh; sekarang aku telah menemui Engkau” (Abraham 2:12).
Itu adalah beribu-ribu tahun yang lalu, tetapi perjanjian ini telah dipulihkan pada zaman kita. Dan kini ia sedang digenapi dalam kehidupan umat Tuhan. Penggenapan perjanjian itu sedang menjadi lebih kuat pada zaman akhir ketika pekerjaan Tuhan berkembang, memberkati keluarga di seluruh dunia. Dan sesiapa yang, seperti Abraham, ingin menjadi seorang pengikut kebenaran yang besar—sesiapa pun yang mencari Tuhan dengan bersungguh-sungguh—dapat menjadi sebahagian daripadanya.
Apakah Makna Perjanjian Abraham bagi Saya?
Anda ialah anak perjanjian. Anda membuat perjanjian dengan Tuhan ketika anda dibaptiskan dan ketika anda mengambil sakramen. Dan anda menerima kepenuhan perjanjian dengan tatacara kudus bait suci.
Melalui perjanjian dan tatacara ini, kita menjadi umat Tuhan. Kita terikat kepada-Nya “dengan perhubungan yang kekal.” “Apabila kita membuat perjanjian dengan Tuhan,” Presiden Russell M. Nelson mengajarkan, “kita meninggalkan kehidupan sambil lewa selamanya. Tuhan tidak akan tinggalkan hubungan-Nya dengan mereka yang menjalin ikatan itu dengan-Nya. Semua yang telah membuat perjanjian dengan Tuhan memiliki akses kepada kasih dan belas kasihan yang istimewa. … Kerana perjanjian kita dengan Tuhan, Dia tidak akan hentikan usaha-Nya untuk membantu kita, dan kita tidak akan menghabiskan kesabaran-Nya terhadap kita.” Anda akan melihat ini dalam sejarah umat perjanjian Tuhan dalam Perjanjian Lama, dan anda akan melihatnya dalam kehidupan anda sendiri sebagai salah seorang daripada anak-anak perjanjian-Nya.
Be Not Afraid [Jangan Takut], oleh Dan Wilson
Inilah pemahaman berharga yang diberikan kepada kita kerana Pemulihan perjanjian Abraham melalui Nabi Joseph Smith. Oleh itu, apabila anda membaca tentang perjanjian dalam Perjanjian Lama, jangan hanya memikirkan hubungan Tuhan dengan Abraham, Ishak, dan Yakub. Fikirkan juga tentang hubungan-Nya dengan anda. Apabila anda membaca tentang janji keturunan yang tidak terhitung jumlahnya, jangan hanya fikirkan tentang berjuta-juta orang yang memanggil Abraham sebagai bapa mereka pada hari ini. Fikirkan juga tentang janji Tuhan kepada anda tentang keluarga abadi dan peningkatan abadi. Apabila anda membaca tentang janji negeri warisan, jangan hanya memikirkan negeri yang dijanjikan kepada Abraham. Fikirkan juga tentang takdir selestial bumi itu sendiri—warisan yang dijanjikan kepada orang yang “rendah hati” yang “berharap kepada Tuhan” (Matius 5:5; Mazmur 37:9, 11). Dan apabila anda membaca tentang janji bahawa umat perjanjian Tuhan akan memberkati “semua keluarga di bumi” (Abraham 2:11), jangan hanya fikirkan tentang pelayanan Abraham atau para nabi keturunannya. Fikirkan juga apa yang anda boleh lakukan—sebagai pengikut perjanjian Yesus Kristus—untuk menjadi berkat kepada keluarga di sekeliling anda.