“Fikiran untuk Direnungkan: Membaca Perjanjian Lama,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Perjanjian Lama 2026 (2026)
“Membaca Perjanjian Lama,” Ikutlah Aku: 2026
Fikiran untuk Direnungkan
Membaca Perjanjian Lama
Apabila Nefi ingin mengilhami saudara-saudaranya untuk mempercayai Tuhan, dia berkongsi cerita tentang Musa dan ajaran daripada Yesaya. Apabila Rasul Paulus ingin menggalakkan orang Kristian awal untuk beriman kepada janji-janji Tuhan, dia mengingatkan mereka tentang iman Nuh, Abraham, Sara, Rahab, dan yang lain. Dan apabila Yesus Kristus memberitahu para pemimpin orang Yahudi untuk “menyelidiki Alkitab,” menjelaskan bahawa ia “memberikan kesaksian tentang Aku” (Yohanes 5:39), Alkitab yang Dia maksudkan adalah penulisan yang kita panggil Perjanjian Lama.
Dalam kata lain, apabila anda membaca Perjanjian Lama, anda membaca kata-kata yang telah mengilhamkan, menghiburkan, dan menggalakkan umat Tuhan selama beribu-ribu tahun.
Tetapi bolehkah sesuatu yang ditulis begitu lama dahulu benar-benar membantu anda mencari penyelesaian kepada masalah hari ini? Ya boleh! Terutamanya jika anda ingat tentang siapa sebenarnya Perjanjian Lama itu.
Satu Kesaksian tentang Yesus Kristus
Apa sahaja cabaran yang mungkin anda dan keluarga anda hadapi, jawapannya sentiasa Yesus Kristus. Jadi untuk mencari jawapan dalam Perjanjian Lama, carilah Dia. Ia tidak selalu mudah. Anda mungkin perlu sabar merenung dan mencari bimbingan rohani. Kadangkala rujukan kepada-Nya kelihatan sangat ketara, seperti dalam pengisytiharan Yesaya, “Seorang anak telah dilahirkan bagi kita! Seorang anak lelaki telah dianugerahkan kepada kita: … Dia akan disebut … Raja Damai” (Yesaya 9:6). Di tempat lain, Juruselamat diwakili secara halus, melalui simbol dan persamaan—contohnya, melalui gambaran pengorbanan binatang atau laporan Yusuf memaafkan saudara-saudaranya dan menyelamatkan mereka daripada kebuluran.
Light of the World [Cahaya Dunia], oleh Scott Sumner
Jika anda mencari iman yang lebih besar dalam Juruselamat semasa anda mengkaji Perjanjian Lama, anda akan menemuinya. Ini boleh menjadi matlamat kajian anda tahun ini. Berdoa agar Roh akan membimbing anda untuk mencari dan fokus pada petikan, cerita, dan nubuat yang akan mendekatkan anda kepada Yesus Kristus.
Dipelihara secara Ilahi
Jangan mengharapkan Perjanjian Lama untuk menyampaikan sejarah umat manusia yang menyeluruh dan tepat. Itu bukan apa yang pengarang dan penyusun asal cuba untuk ciptakan. Tujuan mereka yang lebih besar adalah mengajar sesuatu tentang Tuhan—tentang rancangan-Nya untuk anak-anak-Nya, tentang maksud untuk menjadi umat perjanjian-Nya, dan tentang bagaimana untuk mencari penebusan ketika kita terjatuh. Kadangkala mereka melakukannya dengan menceritakan peristiwa bersejarah yang mereka fahami, termasuk cerita-cerita daripada kehidupan para nabi yang hebat. Kitab Kejadian adalah contoh ini, begitu juga dengan kitab-kitab seperti Yosua, Hakim-Hakim, dan Raja-Raja 1 dan 2. Tetapi penulis Perjanjian Lama yang lain tidak cuba untuk menjadikan ia tentang sejarah. Sebaliknya, mereka mengajar melalui karya seni seperti puisi dan sastera. Kitab Mazmur dan Amsal sesuai dalam kategori ini. Dan kemudian terdapat kata-kata para nabi yang berharga, seperti Yesaya dan Maleakhi, yang berbicara firman Tuhan kepada Israel kuno—dan, melalui mukjizat dari Alkitab, masih berbicara kepada kita hari ini.
Adakah semua nabi, pemuisi, dan penyusun ini tahu bahawa kata-kata mereka akan dibaca oleh orang di seluruh dunia ribuan tahun kemudian? Kita tidak tahu. Tetapi kita kagum bahawa inilah yang telah berlaku. Bangsa-bangsa bangkit dan jatuh, kota-kota ditakluki, raja-raja hidup dan mati; tetapi Perjanjian Lama mengatasi mereka semua, dari generasi ke generasi, dari jurutulis ke jurutulis, dari penterjemahan ke penterjemahan. Sudah tentu beberapa perkara telah hilang atau diubah, namun begitu banyak yang telah dipelihara secara mukjizat.
Old Testament Prophet [Nabi Perjanjian Lama], Judith A. Mehr (perincian)
Ini hanya beberapa perkara yang perlu direnungkan semasa anda membaca Perjanjian Lama tahun ini. Tuhan memelihara penulisan kuno ini kerana Dia mengenali anda dan apa yang anda sedang lalui. Dia telah menyediakan pesanan rohani untuk anda dalam kata-kata ini, yang akan mendekatkan anda kepada-Nya dan membina iman anda terhadap rancangan-Nya dan Putera Terkasih-Nya. Dia akan membimbing anda ke suatu petikan atau pandangan yang akan memberkati seseorang yang anda kenali—satu pesanan yang anda boleh kongsi dengan seorang rakan, ahli keluarga, atau rakan Orang Suci. Terdapat begitu banyak kemungkinan. Bukankah itu mengujakan untuk difikirkan?
Nefi berkata, “Jiwaku bersukacita akan tulisan-tulisan suci” (2 Nefi 4:15). Anda mungkin akan rasa yang sama semasa anda membaca banyak kata-kata seperti yang Nefi baca—yang kini dipanggil Perjanjian Lama.
Kitab-kitab dalam Perjanjian Lama
Dalam kebanyakan versi Kristian tentang Perjanjian Lama, kitab-kitab itu disusun secara berbeza dari cara pertama kali ia telah disusun menjadi sebuah koleksi. Oleh itu, sementara Alkitab Ibrani mengelompokkan kitab-kitab tersebut kepada tiga kategori—hukum, nabi, dan tulisan—kebanyakan Alkitab Kristian menyusun kitab-kitab tersebut kepada empat kategori: hukum (Kejadian–Ulangan), sejarah (Yosua–Ester), kitab-kitab puisi (Ayub–Kidung Agung), dan para nabi (Yesaya–Maleakhi).
Mengapakah kategori-kategori ini penting? Kerana mengetahui apakah jenis kitab yang anda sedang pelajari boleh membantu anda memahami bagaimana untuk mempelajarinya.
Ini adalah sesuatu yang perlu direnungkan semasa anda mula membaca “hukum,” atau lima kitab pertama dari Perjanjian Lama. Kitab-kitab ini, yang dipercayai telah dikaitkan dengan Musa, mungkin telah melalui banyak jurutulis dan penyusun dari masa ke masa. Dan kita tahu bahawa, selama berabad-abad, “banyak bahagian yang jelas dan tersangat bernilai” telah dikeluarkan daripada Alkitab (lihat 1 Nefi 13:23–26). Namun, kitab-kitab Musa adalah firman Tuhan yang diilhami, walaupun ia adalah—seperti karya Tuhan yang dihantar melalui manusia-—tertakluk kepada ketidaksempurnaan manusia (lihat Musa 1:41; Fasal-Fasal Kepercayaan 1:8). Kata-kata Moroni, merujuk kepada catatan Kitab Mormon yang kudus yang dia bantu susun, bermanfaat di sini: “Jika ada kesalahan itu adalah kesilapan manusia; kerana itu, janganlah mengecam hal-hal Tuhan” (halaman judul Kitab Mormon). Dalam kata lain, sebuah kitab suci tidak perlu bebas daripada kesalahan manusia untuk menjadi firman Tuhan.