“1–7 Jun. ‘Tuhan Menggembirakan Hatiku’: Rut; 1 Samuel 1–7,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Perjanjian Lama 2026 (2026)
“1–7 Jun. ‘Tuhan Menggembirakan Hatiku,’” Ikutlah Aku: Perjanjian Lama 2026
Whither Thou Goest [Ke Mana Engkau Pergi], oleh Sandy Freckleton Gagon
1–7 Jun: “Tuhan Menggembirakan Hatiku”
Rut; 1 Samuel 1–7
Kadang-kadang kita membayangkan bahawa kehidupan kita harus mengikuti jalan yang jelas dari awal hingga akhir. Jarak terpendek antara dua titik adalah garis lurus. Namun kehidupan sering penuh dengan kelewatan dan laluan lencongan yang membawa kita ke arah yang tidak dijangka.
Rut dan Hana pasti memahami ini. Rut bukanlah orang Israel, tetapi dia mengahwini orang Israel, dan ketika suaminya meninggal, dia terpaksa membuat pilihan. Adakah dia akan kembali kepada keluarganya dan kehidupannya yang lama, atau dia akan memeluk agama Israel dan rumah baharu bersama ibu mertuanya? (lihat Rut 1:4–18). Rancangan Hana untuk hidupnya adalah untuk melahirkan anak, tetapi dia tidak dapat melakukannya, dan itu membuatnya “sangat sedih” (lihat 1 Samuel 1:1–10). Semasa anda membaca tentang Rut dan Hana, pertimbangkan iman yang mereka miliki untuk mengembara di jalan yang tidak dijangka. Kemudian fikirkan perjalanan anda sendiri. Ia berbeza daripada perjalanan Rut dan Hana—dan orang lain. Tetapi sepanjang percubaan dan kejutan antara sini dan destinasi abadi anda, anda dapat belajar daripada Hana, “Tuhan menggembirakan hatiku” (1 Samuel 2:1).
Lihat juga Panduan Tulisan Suci untuk gambaran keseluruhan kitab Rut dan 1 Samuel.
Idea-idea untuk Pembelajaran di Rumah dan di Gereja
Rut
Yesus Kristus boleh mengubah tragedi kepada kemenangan.
Hidup adalah sukar bagi seorang balu di mana-mana zaman. Tetapi apabila suami Rut meninggal, keadaannya amat sukar. Dalam budaya orang Israel pada masa itu, seorang wanita tanpa suami atau anak lelaki tidak mempunyai hak untuk harta benda dan sukar untuk mencari nafkah hidup. Semasa anda membaca cerita Rut, perhatikan bagaimana Tuhan menjadikan tragedi kepada berkat besar. Apakah yang anda perhatikan tentang Rut yang membantunya? Bagaimanakah Boas menebus Rut daripada keadaannya yang terdesak? (lihat Rut 4:4–10). Bagaimanakah Rut dan Boas seperti Yesus Kristus?
Rut; 1 Samuel 1
Saya boleh percaya bahawa Tuhan akan membimbing dan membantu saya tanpa mengira keadaan saya.
Mungkin anda telah kehilangan, seperti Rut dan Naomi (lihat Rut 1:1–5). Atau mungkin, seperti Hana, anda menginginkan berkat yang belum anda terima (lihat 1 Samuel 1:1–10). Bagaimanakah wanita-wanita ini menunjukkan iman mereka kepada Tuhan? Apakah yang anda pelajari daripada teladan mereka?
Bukan setiap orang yang berdoa demi seorang anak akan menerima anak, dan bukan semua yang kehilangan suami atau isteri akan berkahwin lagi. Tetapi setiap orang yang berpaling kepada Juruselamat menerima bantuan dan bimbingan-Nya. Pertimbangkan bagaimana anda “datang untuk [percaya]” kepada Tuhan (Rut 2:12) ketika kesukaran hidup.
Lihat juga Amy A. Wright, “Bertahan Pada Hari Itu dalam Kristus,” Liahona, Nov. 2023, 9–11.
For This Child I Prayed [Untuk Anak Ini Aku Berdoa], oleh Elspeth Young
1 Samuel 2; 4–7
Untuk menerima bantuan Tuhan, saya perlu mempercayai Dia dan mematuhi perintah-perintah-Nya.
Apabila musuh mereka menyerang, orang Israel nampaknya berfikir bahawa hanya memiliki tabut perjanjian itu akan melindungi mereka. Semasa anda membaca 1 Samuel 4–6, fikirkan mengapa itu tidak berjaya. (Perhatikan juga tindakan tidak soleh anak-anak lelaki Eli, yang melayani sebagai imam di khemah ibadat, dalam 1 Samuel 2:12–25.) Apakah yang anda rasa Tuhan cuba ajarkan kepada umat-Nya? Apakah yang anda pelajari daripada apa yang berlaku kepada orang Filistin selepas menawan tabut itu? (lihat bab 5–6). Apakah yang anda pelajari daripada usaha Israel untuk mendapatkan semula perlindungan Tuhan dalam 1 Samuel 7?
Anda mungkin diilhamkan dengan membaca puisi pujian Hana dalam 1 Samuel 2:1–10. Apakah yang anda temui dalam kata-katanya yang boleh membantu anak-anak lelaki Eli dan orang Israel yang lain?
1 Samuel 3
Saya boleh mendengar dan mematuhi suara Tuhan.
Kadang-kadang, anda mungkin berasa seperti Samuel, yang mendengar suara Tuhan tetapi tidak mengenalinya. Seperti kita semua, Samuel harus belajar bagaimana untuk mengenali suara Tuhan. Semasa anda mengkaji 1 Samuel 3, apakah yang anda pelajari daripada anak muda ini tentang mendengar dan mematuhi suara Tuhan? Anda juga boleh mencari tulisan suci tambahan ini dan membuat senarai garis panduan yang boleh membantu seseorang mengenali suara Tuhan: 1 Raja-Raja 19:11–12; Lukas 24:15–32; 3 Nefi 11:3–7; Ajaran dan Perjanjian 6:22–23; 8:2–3; 9:7–9.
Pada masa lain, anda mungkin rasa bahawa langit tertutup dan Tuhan tidak mahu berkomunikasi dengan anda. Presiden Russell M. Nelson berkata: “Adakah Tuhan benar-benar ingin berbicara kepada anda? Ya!” (“Wahyu untuk Gereja, Wahyu untuk Kehidupan Kita,” Liahona, Mei 2018, 93–96). Semasa anda mengkaji pesanan Presiden Nelson, apakah yang anda temui yang mengilhami anda untuk mendengar dan mematuhi suara Tuhan? Apakah yang Presiden Nelson jemput anda untuk lakukan, dan apakah berkat yang dia janjikan? Anda juga boleh menemui jemputan dan berkat yang dijanjikan tentang wahyu dalam “Berjalan dalam Cahaya Tuhan” (Untuk Kekuatan Remaja: Panduan untuk Membuat Pilihan, 16–20). Pertimbangkan untuk memilih satu hal yang boleh anda lakukan untuk “meningkatkan kemampuan rohani anda untuk menerima wahyu.”
Untuk lebih lanjut, lihat isu bulan ini dalam majalah Liahona dan Untuk Kekuatan Remaja.
Idea-idea untuk Mengajar Kanak-kanak
Rut
Saya boleh menunjukkan kasih dan kebaikan kepada orang-orang di sekeliling saya.
-
Semasa anda berkongsi dengan anak-anak anda cerita tentang Rut (anda boleh gunakan “Rut dan Naomi” dalam Cerita-cerita Perjanjian Lama, 100–103), jemput mereka untuk mengangkat tangan setiap kali mereka mendengar tindakan kebaikan dalam cerita itu. Mereka juga boleh berkongsi perasaan mereka apabila orang lain baik kepada mereka, atau apabila mereka baik kepada orang lain. Bagaimanakah Juruselamat telah baik kepada kita? Bagaimanakah kita boleh mengikuti teladan-Nya? (lihat “Kebaikan Mulai Dari Aku,” Buku Nyanyian Anak-Anak, 83).
2:0Ruth and Naomi
Rut; 1 Samuel 1
Saya boleh beriman kepada Tuhan.
-
Cerita Rut dan Hana boleh mengilhami anak-anak anda untuk kekal setia semasa masa sukar. Pertimbangkan untuk membantu mereka mencipta carta ringkas dengan tajuk Percubaan, Tindakan, Berkat. Kemudian anda boleh baca bersama Rut 1:3–5, 8, 16; 2:1–3, 8–12; 4:13–17; 1 Samuel 1:1–18 dan tuliskan di bawah tajuk apa yang mereka temui dalam ayat-ayat ini. Bagaimanakah Rut dan Hana menunjukkan iman kepada Tuhan? Anda atau anak-anak anda kemudiannya boleh berkongsi contoh bagaimana Tuhan telah memberkati anda semasa masa sukar.
1 Samuel 1:1–18
Bapa Syurgawi mendengar dan menjawab doa saya.
-
Untuk ketahui tentang Hana, anak-anak anda boleh membaca 1 Samuel 1:1–18 atau “Hana” dalam Cerita-cerita Perjanjian Lama (104–5) atau menonton “Hannah’s Faith” (video, Gospel Library). Mungkin menyeronokkan untuk membalingkan bola kepada anak-anak dan menjemput mereka menceritakan sebahagian daripada cerita itu sebelum membalingkan bola kepada orang lain. Apakah yang kita pelajari tentang doa dari contoh Hana?
1:15Hannah
3:9Hannah's Faith
Samuel Tells Eli the Truth [Samuel Memberitahu Eli Kebenaran], oleh Robert T. Barrett
1 Samuel 3:1–10
Saya boleh mendengar dan mematuhi suara Tuhan.
-
Mungkin lakon peranan yang mudah boleh membantu anak-anak anda belajar daripada pengalaman Samuel dengan wahyu. Seorang anak boleh berlakon menjadi Samuel, dan seorang lagi boleh berlakon menjadi Eli semasa anda membaca 1 Samuel 3:1–10 (lihat juga “Nabi Samuel” dalam Cerita-cerita Perjanjian Lama, 106–9, atau video “Samuel and Eli,” Gospel Library). Apakah yang kita dapat pelajari daripada Samuel tentang bagaimana untuk mendengarkan suara Tuhan? Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita bersedia untuk mendengar ketika Tuhan berbicara kepada kita?
2:10Samuel the Prophet
1:58Samuel and Eli
-
Tanya anak-anak bagaimana mereka akan menjelaskan kepada seseorang tentang bagaimana Tuhan berbicara kepada mereka. Anda boleh membantu mereka mencari jawapan dalam Ajaran dan Perjanjian 6:22–23; 8:2–3; 9:7–9.
Bantu anak-anak anda belajar mengenali Roh. Ia bukan mudah untuk membezakan antara perasaan kita sendiri dan Roh Kudus. Semua orang bergelut dengan ini dari semasa ke semasa. Ambil setiap peluang yang ada untuk membantu anak-anak anda mengenali apabila mereka merasakan pengaruh Roh. Contohnya, semasa anda membaca 1 Samuel 3:1–10 dan ayat-ayat yang dicadangkan dalam Ajaran dan Perjanjian, anda boleh berkongsi pengalaman di mana Tuhan telah mengajar anda dalam fikiran dan hati anda.
Untuk lebih lanjut, lihat isu bulan ini dalam majalah Friend.