“15–21 Jun. ‘[Tuhan] Sentiasa Menang Dalam Peperangan’: 1 Samuel 17–18; 24–26; 2 Samuel 5–7,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Perjanjian Lama 2026 (2026)
“15–21 Jun. ‘[Tuhan] Sentiasa Menang Dalam Peperangan,’” Ikutlah Aku: Perjanjian Lama 2026
David and Goliath [Daud dan Goliat], oleh Steve Nethercott
15–21 Jun: “[Tuhan] Sentiasa Menang Dalam Peperangan”
1 Samuel 17–18; 24–26; 2 Samuel 5–7
Sejak suku-suku Israel menetap di negeri yang dijanjikan, orang Filistin menjadi ancaman berterusan bagi keselamatan mereka. Tuhan telah menyelamatkan mereka banyak kali pada masa lalu, tetapi kini para pemimpin Israel menginginkan, “Kami tetap mahukan seorang raja … [untuk] memerintah kami dan memimpin kami dalam peperangan” (1 Samuel 8:19–20). Jadi Saul dipilih sebagai raja. Tetapi ketika Goliat melancarkan cabarannya kepada tentera Israel, Saul—seperti pasukan tenteranya “sangat ketakutan” (1 Samuel 17:11). Pada hari itu, bukan Raja Saul yang menyelamatkan Israel tetapi seorang budak gembala yang rendah hati bernama Daud, yang tidak memakai baju besi tetapi berpakaian iman kepada Tuhan yang tidak dapat ditembusi. Pertempuran ini membuktikan kepada Israel, dan kepada sesiapa saja yang berhadapan peperangan rohani, bahawa “Tuhan tidak memerlukan pedang ataupun tombak untuk menyelamatkan” dan “Dia sentiasa menang dalam peperangan” (1 Samuel 17:47).
Idea-idea untuk Pembelajaran di Rumah dan di Gereja
1 Samuel 17
Dengan bantuan Tuhan, saya dapat mengatasi sebarang cabaran.
Cerita Daud dan Goliat adalah salah satu cerita yang paling terkenal dalam tulisan suci. Sudah tentu, kita biasanya fokus pada Daud. Tetapi pada kali ini, semasa anda mengkaji 1 Samuel 17, renungkan kata-kata orang lain dalam bab ini (lihat senarai berikut). Apakah yang anda pelajari tentang mereka dan motif mereka? Apakah yang anda pelajari tentang Daud? Bagaimanakah dia berbeza?
-
Goliat: ayat 8–10, 43–44
-
Eliab: ayat 28
-
Saul: ayat 33
-
Daud: ayat 26, 32, 34–37, 39, 45–47
Cerita anda, walaupun tidak begitu terkenal seperti Daud, pasti termasuk cabaran bersaiz Goliat untuk diatasi dan peluang untuk menjalankan iman kepada Tuhan. Apakah yang teladan Daud ajarkan anda tentang menghadapi kesukaran dalam cerita anda? Anda juga boleh membaca pesanan Presiden Camille N. Johnson “Jemput Kristus untuk Mengarang Cerita Anda” (Liahona, Nov. 2021, 80–82) dengan salah satu cabaran anda dalam fikiran. Cari jawapan kepada soalan seperti ini: Bagaimanakah Tuhan mahu saya melihat cabaran saya? Bagaimanakah Dia telah membantu saya pada masa lalu? Bagaimanakah saya boleh menunjukkan bahawa saya mempercayai Dia untuk mengarang cerita saya?
Anda mungkin sudah tahu bahawa terdapat beberapa bab tragis dalam cerita Daud (lihat, contohnya, 2 Samuel 11). Jika anda berpeluang untuk menasihati Daud selepas pertempurannya dengan Goliat, apa yang akan anda katakan? Bagaimanakah nasihat ini boleh digunakan dalam hidup anda?
Lihat juga “The Lord Will Deliver Me” (video), Gospel Library.
The Lord Will Deliver Me
1 Samuel 17:26–50
Satu orang yang beriman kepada Kristus boleh membuat perbezaan.
Selain daripada cabaran peribadi, kita juga menghadapi masalah besar dan kompleks yang menjejaskan seluruh dunia. Apabila kuasa jahat “berkumpul … untuk berperang” menentang kuasa kebaikan (1 Samuel 17:1), kita mungkin tertanya-tanya bagaimana usaha individu kita boleh membuat perbezaan. Apakah yang anda temui dalam cerita Daud yang memberi anda harapan?
Lihat juga “Mari Lakukan Cepat,” Nyanyian Rohani, no. 113.
True Friendship and Self-Respect [Persahabatan Sejati dan Harga Diri], oleh Wilson Ong (perincian)
1 Samuel 18
“Yonatan mengasihi [Daud] seperti jiwanya sendiri.”
Semasa anda membaca 1 Samuel 18, pertimbangkan untuk membezakan Saul dan anaknya Yonatan (yang, jika bukan kerana Daud, boleh dianggap dia akan menjadi raja seterusnya). Bagaimanakah reaksi Saul dan Yonatan terhadap kejayaan Daud? Apakah yang anda boleh pelajari daripada pengalaman ini?
Apakah yang anda temui dalam sikap dan tindakan Yonatan yang mengingatkan anda tentang Yesus Kristus?
“Mengibaratkan tulisan suci” (1 Nefi 19:23). Tulisan suci menyediakan peluang yang baik untuk belajar daripada motivasi dan tindakan orang seperti Daud, Yonatan, dan Saul. Anda akan temui bahawa tiada sesiapa dalam tulisan suci yang sempurna. Oleh itu, semasa anda membaca, sebagai contoh, tentang pilihan setia Daud, terbukalah untuk belajar juga daripada kesilapannya. Berbuat demikian boleh membantu kita mengenal pasti potensi kelemahan dalam diri kita dan “belajar untuk menjadi lebih bijak daripada [orang lain]” (Mormon 9:31).
1 Samuel 24–26
Pengampunan adalah jalan pasti yang menuju ke kedamaian dan penyembuhan.
Dalam 1 Samuel 24–26, cari pelajaran tentang keangkuhan, pengampunan, dan kawalan diri. Anda juga boleh mempertimbangkan untuk membaca pesanan Elder Mark A. Bragg “Sikap Tenang dan Yakin seperti Kristus” sebagai sebahagian daripada pengkajian anda (Liahona, Mei 2023, 60–63). Bagaimanakah Daud, Abigail, dan yang lain menunjukkan—atau gagal menunjukkan—sikap tenang dan yakin seperti Kristus dalam bab-bab ini? Apakah peluang yang anda miliki untuk menunjukkan sikap tenang dan yakin seperti Kristus?
Pesanan Sister Kristen Yee “Membawa Kegembiraan Kepada Kedugaan Hidup: Jalan Pengampunan Yang Menyembuhkan” (Liahona, Nov. 2022, 36–39) boleh membantu anda mengkaji 1 Samuel 25. Bagaimanakah Abigail seperti Yesus Kristus?
2 Samuel 5:17–25
Tuhan boleh memberi saya arahan.
Bahkan selepas Daud mengalahkan Goliat, masalahnya dengan orang Filistin belum berakhir. Semasa anda membaca 2 Samuel 5:17–25, pertimbangkan bagaimana teladan Daud boleh membantu anda dalam cabaran yang anda hadapi (lihat juga 1 Samuel 23:2, 10–11; 30:8; 2 Samuel 2:1). Bagaimanakah anda diberkati dengan bertindak atas wahyu yang anda terima?
2 Samuel 7
Apakah “keturunan [rumah]” yang Tuhan janjikan kepada Daud?
Apabila Daud menawarkan untuk membina sebuah rumah, maknanya sebuah bait suci, untuk Tuhan (lihat 2 Samuel 7:1–3), Tuhan menjawab bahawa putera Daud yang akan membinanya (lihat ayat 12–15; lihat juga 1 Tawarikh 17:1–15). Tuhan juga berfirman bahawa Dia akan membina Daud sebuah “[rumah]”, yang bermaksud keturunan, dan bahawa takhtanya akan kekal selamanya (lihat 2 Samuel 7:11, 16, 25–29; Mazmur 89:3–4, 35–37). Janji ini dipenuhi dalam Yesus Kristus, Raja Abadi kita, yang merupakan keturunan Daud (lihat Matius 1:1; Lukas 1:32–33; Yohanes 18:33–37).
Untuk lebih lanjut, lihat isu bulan ini dalam majalah Liahona dan Untuk Kekuatan Remaja.
Idea-idea untuk Mengajar Kanak-kanak
1 Samuel 17:20–54
Iman kepada Yesus Kristus dapat membantu saya untuk mempunyai keberanian.
-
Anda boleh gunakan “Daud dan Goliat” dalam Cerita-cerita Perjanjian Lama, 112–16, untuk membantu anak-anak anda membiasakan diri dengan apa yang berlaku dalam 1 Samuel 17:20–54. Kemudian anda boleh membiarkan mereka menceritakan semula cerita itu menggunakan gambar atau lukisan garisan dalam garis panduan ini. Tanya mereka apa yang mereka fikir Tuhan mahu mereka pelajari daripada cerita ini.
2:36David and Goliath
-
Anda dan anak-anak anda juga boleh membuat senarai beberapa cabaran sukar yang mungkin mereka hadapi sepanjang hidup mereka. Kemudian bantu mereka mencari hal-hal yang Daud katakan boleh membantu dalam menghadapi cabaran-cabaran ini (lihat 1 Samuel 17:26, 32, 34–37, 45–47). Kongsi bagaimana Yesus Kristus telah membantu anda semasa anda menghadapi cabaran.
-
Jemput kanak-kanak untuk berkawad seolah-olah mereka ialah Daud yang akan melawan Goliat sambil nyanyikan lagu tentang keberanian, seperti “Aku Akan Jadi Pemberani” (Buku Nyanyian Anak-Anak, 85).
1 Samuel 18:1–4
Kawan yang baik boleh menjadi satu berkat daripada Tuhan.
-
Bagaimanakah anda boleh membantu anak-anak anda belajar daripada persahabatan Yonatan dan Daud? Salah satu cara ialah memberi setiap anak dua kertas hati, satu untuk mewakili Daud dan satu lagi untuk mewakili Yonatan. Baca bersama beberapa frasa daripada 1 Samuel 18:1–4 yang menekankan kasih di antara dua kawan ini. Anak-anak anda kemudiannya boleh menulis atau melukis pada kertas hati mereka bagaimana mereka boleh menunjukkan kasih kepada kawan.
2 Samuel 5:19, 23
Jika saya perlukan bimbingan, saya boleh meminta Bapa Syurgawi.
-
Dalam bab-bab ini, Daud menjadi raja Israel. Mungkin menyeronokkan bagi anak-anak anda untuk berpura-pura menjadi raja atau permaisuri. Apakah undang-undang yang akan mereka buat? Ke manakah mereka boleh pergi untuk bantuan? Bantu anak-anak anda menemui bahawa ketika Daud memerlukan bantuan, dia “bertanya,” atau berdoa, untuk mendapatkan jawapan. Contohnya, semasa anda baca 2 Samuel 5:19, 23, jemput anak-anak untuk dengar perkataan “bertanya” dan melipat tangan ketika mendengarnya. Mengapa Daud memerlukan bantuan Tuhan dalam peranan baharunya?
-
Saling bercakap tentang pengalaman anda berdoa untuk bantuan Bapa Syurgawi. Apa perbezaan dengan adanya Dia membantu anda?
2 Samuel 7:16–17
Yesus Kristus ialah Raja Abadi saya.
-
Raja-raja yang kita baca dalam Perjanjian Lama semuanya mempunyai kekurangan—dan kerajaan mereka semua berakhir. Tetapi Yesus Kristus adalah Raja yang sempurna dan akan memerintah selama-lamanya. Anda boleh membantu anak-anak anda menerokai hal ini dengan membaca bersama apa yang nabi Natan katakan kepada Raja Daud dalam 2 Samuel 7:16–17. Bagaimanakah kerajaan Daud tidak akan berakhir? Bantu anak-anak anda mencari dan membaca petikan tulisan suci yang mengajar bahawa Yesus Kristus, keturunan Daud, adalah seorang Raja, seperti Lukas 1:32–33; Yohanes 18:33–37; dan Wahyu 19:16. Bagaimanakah Yesus berbeza daripada raja-raja duniawi? Bagaimanakah kita menghormati Yesus Kristus sebagai Raja Abadi kita?
Untuk lebih lanjut, lihat isu bulan ini dalam majalah Friend.