“Suara-suara Pemulihan: Lembaga Pertolongan,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Ajaran dan Perjanjian 2025 (2025)
“Lembaga Pertolongan,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: 2025
Suara-suara Pemulihan
Lembaga Pertolongan
Pada tahun 1842, selepas Lembaga Pertolongan ditubuhkan di Nauvoo, Illinois, Nabi Joseph Smith berkata, “Gereja tidak pernah sempurna ditubuhkan sehinggalah para wanita diaturkan.” Serupa dengan itu, Pemulihan Gereja Tuhan dan Imamat-Nya tidak lengkap sehingga ia termasuk Lembaga Pertolongan, yang adalah “pemulihan pola kuno” pengikut wanita Yesus Kristus.
Eliza R. Snow memainkan peranan penting dalam pemulihan itu. Dia hadir ketika Lembaga Pertolongan pertama ditubuhkan dan, sebagai setiausaha Lembaga Pertolongan, telah mencatatkan nota ketika pertemuan. Dia merupakan saksi pertama bahawa Lembaga Pertolongan ditubuhkan “mengikut contoh imamat.” Berikut adalah kata-katanya, yang ditulis semasa dia melayani sebagai Presiden Umum Lembaga Pertolongan yang kedua, untuk membantu para saudari memahami pekerjaan ilahi yang diamanahkan kepada para puteri perjanjian Tuhan.
Untuk belajar dengan lebih lanjut bagaimana Lembaga Pertolongan diorganisasikan, lihat Daughters in My Kingdom: The History and Work of Relief Society (2017), 1–25; The First Fifty Years of Relief Society (2016), 3–175.
Lukisan organisasi Lembaga Pertolongan oleh Paul Mann
Eliza R. Snow
“Walaupun nama [Lembaga Pertolongan] mungkin asalnya dari zaman moden, pertubuhannya berasal dari zaman dahulu kala. Kami diberitahu oleh [Joseph Smith], bahawa organisasi yang sama wujud di gereja dahulu kala, kiasan yang dibuat dalam beberapa surat yang dicatatkan dalam Perjanjian Baru, menggunakan gelaran, ‘wanita terpilih’ [lihat 2 Yohanes 1:1; Ajaran dan Perjanjian 25:3].
“Organisasi ini tidak dapat wujud tanpa Imamat, kerana semua wewenang dan pengaruhnya datang dari sumber itu. Apabila Imamat diambil dari bumi, institusi ini serta setiap tambahan kepada aturan benar Gereja Yesus Kristus di bumi, menjadi pupus. …
“Pernah menghadiri penubuhan ‘Lembaga Pertolongan Wanita Nauvoo,’ … dan juga mempunyai pengalaman yang banyak dalam persatuan itu, mungkin Aku dapat sampaikan beberapa petunjuk yang akan membantu para puteri Sion untuk maju dalam kedudukan yang sangat penting ini, yang penuh dengan tanggungjawab baharu dan berganda. Jika terdapat para puteri dan para ibu di Israel yang berasa terhad di dalam lingkungan mereka, sekarang mereka akan menemui banyak peluang dari pelbagai segi kuasa dan kemampuan untuk melakukan kebaikan yang telah dianugerahkan kepada mereka dengan banyaknya. …
Lembaga Pertolongan ditubuhkan di bilik atas Kedai Bata Merah.
“Jika soalan timbul di minda sesiapa, [tentang], Apakah objektif Lembaga Pertolongan Wanita? Aku akan menjawab—untuk melakukan kebaikan—untuk membawa masuk setiap kemampuan yang kita miliki bagi melakukan kebaikan, bukan hanya untuk melegakan orang miskin tetapi juga dalam menyelamatkan jiwa. Usaha yang bersatu akan mencapai lebih banyak daripada yang boleh dicapai oleh satu individu. …
“Dalam melayani yang miskin, Lembaga Pertolongan Wanita mempunyai tugasan lain untuk dilakukan daripada sekadar melegakan keperluan duniawi. Kemiskinan minda dan hati, juga memerlukan perhatian; dan sering kali ungkapan yang baik—nasihat, atau bahkan berjabat tangan dengan mesra dan penuh kasih adalah lebih baik dan lebih dihargai daripada emas. …
“Apabila Orang Suci berkumpul dari luar negeri, orang asing kepada semua orang, dan mungkin akan tertipu oleh orang yang menanti untuk menipu, Lembaga Pertolongan harus segera menjaga mereka, dan memperkenalkan mereka kepada orang-orang yang akan menyempurnakan dan membina, dan paling penting sekali, menguatkan iman mereka dalam Injil, dan dengan berbuat demikian, dapat menjadi alat untuk menyelamatkan banyak orang.
“Ia memerlukan jumlah yang banyak untuk mendefinisikan tugas, keistimewaan dan tanggungjawab yang terdapat dalam lingkungan Lembaga [Pertolongan]. … Laksanakannya (di bawah arahan uskup anda) dengan tenang, cermat, penuh semangat, bersatu dan penuh doa, dan Tuhan akan memahkotakan usaha anda dengan kejayaan.”