2025
Berpegang pada Penglihatan tentang Keabadian
Disember 2025 Liahona


Pesanan Pemimpin Kawasan Asia

Berpegang pada Penglihatan tentang Keabadian

Keluarga yang Bersatu dalam iman mungkin menghadapi kesusahan, tetapi Tuhan sentiasa memimpin mereka ke hadapan.”

Kemboja telah melalui banyak peperangan saudara yang tragis. Saya dilahirkan sejurus selepas konflik itu berakhir. Hidup ketika itu sukar dan makanan sangat terhad sementara ibu bapa saya berjuang membesarkan lapan orang anak. Kadangkala, saya tertanya-tanya apakah yang mungkin menanti saya pada masa depan dalam keadaan sebegitu.

Pada tahun 1998, hidup saya berubah semasa saya menyertai Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Saya telah dibaptiskan setahun sebelum menamatkan sekolah menengah. Oleh kerana tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk pergi ke kolej, saya memilih untuk melayani misi sepenuh masa. Semasa saya melayani, mata rohani saya telah dibukakan. Saya mula faham rancangan abadi Tuhan untuk anak-anak-Nya dan bagaimana saya boleh bersedia untuk membentuk keluarga abadi saya sendiri.

Kebenaran rohani daripada injil yang dipulihkan telah memungkinkan saya untuk mengetahui bahawa suatu hari nanti saya akan berkahwin di bait suci dan dimeteraikan dengan isteri serta anak-anak saya selamanya. Saya membayangkan kami pergi ke gereja bersama, menyanyi lagu rohani bersama, mengkaji injil bersama, dan suatu hari nanti menghantar anak-anak saya ke misi serta melihat mereka memulakan keluarga mereka sendiri yang dimeteraikan di bait suci yang kudus. Betapa indahnya penglihatan yang saya miliki untuk keluarga kami. Saya harap setiap orang memiliki penglihatan seperti ini.

Impian saya mula digenapi pada tahun 2005, ketika saya dimeteraikan dengan seorang wanita yang baik di Bait Suci Hong Kong, China. Sejak itu, jalan keabadian menjadi semakin jelas. Tuhan memberkati kami dengan lima orang anak lelaki.

Walaupun penglihatan tentang keabadian itu indah, perjalanan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Mengimbangi tanggungjawab sebagai presiden pancang, pengurus kilang, dan bapa kepada lima orang anak lelaki yang aktif memang amat mencabar. Anak-anak lelaki kami penuh dengan tenaga—sentiasa berlari, memanjat, dan bergusti. Mereka sering memecahkan barang, menumpahkan makanan, dan menjadikan rumah bersepah. Suatu hari, ketika saya dan isteri sibuk, mereka menyumbat singki dapur, membiarkan air melimpah ke lantai jubin, menambah sabun untuk meluncur ke sana sini, lalu dengan bangga berkata, “Kami sedang membina kolam renang!”

Kajian kitab suci keluarga boleh menjadi suatu cabaran kerana anak-anak lelaki sering mengusik satu sama lain dan menguji kesabaran kami. Pada hari Ahad, semasa saya di mimbar, isteri saya menguruskan anak-anak di kalangan jemaah. Mereka merangkak di bawah bangku, menarik kaki orang, dan kadangkala menjerit atau menangis dengan kuat. Isteri saya sering berasa malu dan keletihan. Pada suatu hari dia berkata kepada saya, “Saya mahu merasakan Roh dan belajar sesuatu. Tetapi kebanyakan masa apabila saya pergi ke gereja, saya tidak belajar apa-apa dan berasa kecewa dengan anak-anak kita. Kadangkala saya tertanya-tanya mengapa kita terus pergi.”

Pada saat begitu, saya teringat akan perjalanan Lehi di padang belantara. Mereka mempunyai banyak masalah, tetapi Tuhan menjanjikan, “Aku akan menjadi cahayamu di padang belantara . . . sejauh mana engkau mematuhi perintah-perintah-Ku, engkau akan dituntun ke negeri yang dijanjikan.” Keluarga yang bersatu dalam iman mungkin menghadapi kesusahan, tetapi Tuhan sentiasa memimpin mereka ke hadapan.

Raja Benyamin menasihatkan para ibu bapa untuk “Mengajar [anak-anak kamu] untuk berjalan di jalan kebenaran dan kesungguhan . . . untuk saling mengasihi, dan untuk saling melayani.” Tuhan juga telah memerintahkan kita untuk “Membesarkan anak-anakmu dalam cahaya dan kebenaran.” Ajaran-ajaran ini menyokong kita apabila kehidupan berkeluarga terasa begitu membebankan.

Berkat daripada ketabahan menjadi jelas pada suatu hari apabila anak lelaki sulung saya berucap dalam persidangan pancang. Dia berkata, “Sebagai pemegang imamat, saya akan menggunakan imamat saya untuk memberkati orang lain, sama seperti ayah saya lakukan.” Air mata kegembiraan mengalir. Saya faham mengapa kami terus maju walaupun ia nya sukar. Hari ini dia sedang melayani dengan setia dalam Misi Sepanyol Selatan Madrid. Adik-adiknya yang lebih muda menyediakan dan mengedarkan sakramen setiap minggu. Anak lelaki kedua kami sedang bersedia untuk melayani misi tidak lama lagi.

Presiden Russell M. Nelson pernah berkata, “Keluarga kita adalah tumpuan bagi pekerjaan dan kegembiraan kita yang terbesar dalam kehidupan ini; demikian juga sepanjang keabadian, apabila kita boleh ‘mewarisi takhta, kerajaan, kerajaan kecil . . . kuasa, kekuasaan . . . permuliaan dan kemuliaan.” Janji itu memberi saya kekuatan untuk terus mengajar dan menuntun keluarga saya ke gereja dan ke bait suci.

Saya dan isteri saya terus pergi ke gereja minggu demi minggu, walaupun dengan anak-anak yang bising dan aktif. Oleh kerana kami berusaha untuk mengekalkan injil sebagai pusat di rumah kami, saya kini dapat melihat buah daripada usaha-usaha tersebut. Saya melihatnya dalam anak-anak lelaki saya yang dengan layak mengedarkan sakramen, dalam anak lelaki saya yang sedang melayani misi dengan setia dan penuh sukacita, serta dalam kesaksian yang semakin berkembang dalam anak-anak kami yang lebih muda. Tuhan telah menunjukkan kepada saya bahawa setiap pengorbanan, setiap hari Ahad yang meletihkan, dan setiap kajian tulisan suci keluarga adalah berbaloi, kerana injil-Nya benar-benar memberkati keluarga.

Saya tahu bahawa apabila keluarga menyembah bersama di gereja, mereka menjemput Roh ke dalam rumah mereka, menguatkan kesatuan mereka, dan menjadi semakin dekat dengan Kristus. Tuhan menjanjikan kasih, kedamaian, dan perlindungan yang meningkat. Perjanjian mereka diperbaharui, dan anak-anak dipupuk dalam iman, menjamin berkat pada masa kini dan sepanjang keabadian. Jika kita terus merangkul injil dalam keluarga kita, Tuhan akan mengembangkan usaha-usaha kita. Sama seperti “Tuan ladang itu bekerja” bersama hamba-hamba-Nya, Juruselamat akan menolong kita melalui cabaran kita menuju keabadian dengan harapan dan sukacita. ■

Rujukan

  1. Nefi 17:13

  2. Mosia 4:15

  3. Ajaran dan Perjanjian 93:40

  4. Presiden Russel M. Nelson, “Set in Order Thy House,” Laporan Persidangan, Oktober 2001

  5. Yakub 5:72