2025
Rancangan Tuhan untuk Keluarga Selamanya
Disember 2025 Liahona


“Rancangan Tuhan untuk Keluarga Selamanya,” Liahona, Dis. 2025.

Pesanan Bulanan Liahona, Disember 2025

Rancangan Tuhan untuk Keluarga Selamanya

Keluarga yang menerima rancangan Tuhan, mengasihi seperti Juruselamat mengasihi, dan menghormati perjanjian-perjanjian mereka suatu hari nanti akan mewarisi “berkat-berkat kehidupan abadi dan kegenapan kebahagiaan.”

gambar Bait Suci São Paulo Brazil

Di penghujung misi sepenuh masa saya, saya gembira apabila saya dianugerahi dan dimeteraikan kepada ibu bapa saya di Bait Suci São Paulo Brazil.

Ibu bapa saya, Apparecido dan Mercedes, datang dari latar belakang agama yang berbeza, tetapi pengalaman hidup mereka menyediakan mereka untuk menerima injil yang dipulihkan.

Bapa saya dibesarkan dalam keluarga yang baik tetapi bukan beragama. Namun begitu, ketika masih muda dia berminat terhadap agama. Dia membaca Alkitab, menghadiri kelas-kelas Alkitab, dan mengkaji kehidupan Yesus Kristus. Pengkajiannya membuatkan dia sangat berminat terhadap injil Juruselamat dan juga keluarga, sehingga timbul keinginannya untuk berkahwin dengan seseorang yang sama pemikiran dengannya.

Sebaliknya, ibu saya datang daripada keluarga yang mempunyai agama yang mendalam. Mereka menerima asas-asas injil, menghadiri pertemuan gereja, dan mengamalkan agama mereka dengan penuh iman. Membesar dalam persekitaran itu, ibu saya menjadi jenis orang yang tidak pernah terlepas menghadiri pertemuan gereja.

Setelah ibu bapa saya berkahwin dan saya serta tiga abang saya dilahirkan, mereka berusaha sedaya upaya untuk membesarkan kami dalam cahaya pemahaman mereka tentang asas-asas injil. Suatu hari, ibu saudara saya, seorang ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir yang tidak aktif berkata kepada bapa saya, “Kamu ada empat orang budak lelaki. Jika kamu benar-benar ingin membesarkan keluarga yang berpusat pada Kristus dan mempunyai Tuhan dalam keluarga kamu, kamu perlu pergi ke gereja saya.”

Bapa saya mendengar apa yang dia katakan, tetapi dia tidak mengambil apa-apa tindakan sehinggalah pada hari para misionari sepenuh masa datang mengetuk pintu rumah di kawasan kejiranan kami dan mula mengajar kami. Dia segera menyedari bahawa mereka mewakili gereja yang telah digalakkan oleh ibu saudara saya untuk diselidikinya.

Cahaya dan Kebenaran

Salah satu perkara yang pada awalnya menarik minat ibu bapa saya terhadap injil Yesus Kristus yang dipulihkan adalah kepentingan yang Gereja letakkan terhadap keluarga dan ajaran bahawa “kebanyakan pekerjaan penyelamatan dan permuliaan dicapai melalui keluarga.” Sebelum mereka dibaptiskan, ibu bapa saya sangat kagum dengan apa yang mereka pelajari sehingga mereka menjemput jiran-jiran untuk menyertai mereka untuk pelajaran misionari.

gambar ibu bapa Elder Soares

Salah satu perkara yang pada awalnya menarik minat ibu bapa saya terhadap injil Yesus Kristus yang dipulihkan adalah kepentingan yang Gereja letakkan terhadap keluarga.

Semasa mereka bertemu dengan para misionari, dan terus mengkaji injil selepas pembaptisan mereka, ibu bapa saya belajar tentang cara “untuk membesarkan anak-anak [mereka] dalam cahaya dan kebenaran” dan bagaimana untuk secara rohani “mengatur rumah [mereka] sendiri” (Ajaran dan Perjanjian 93:40, 43).

Mereka belajar bahawa “keluarga adalah utama dalam rancangan Pencipta demi takdir ilahi yang abadi bagi anak-anak-Nya” dan bahawa “kegembiraan dalam kehidupan kekeluargaan adalah paling mungkin dicapai apabila berasaskan ajaran Tuhan Yesus Kristus.”

Mereka belajar bahawa “perkahwinan-perkahwinan dan keluarga-keluarga yang berjaya didirikan dan dikekalkan atas asas-asas iman, doa, pertaubatan, pengampunan, hormat, kasih sayang, belas kasihan, kerja, dan kegiatan rekreasi yang baik dan sihat.”

Mereka belajar bahawa keluarga boleh menjadi abadi dan bahawa “pergaulan yang sama itu yang wujud di antara kita di sini akan wujud di antara kita di sana, cuma ia akan digandingkan dengan kemuliaan abadi” (Ajaran dan Perjanjian 130:2).

Dan mereka belajar bahawa “tujuan utama setiap pengajaran, setiap aktiviti dalam Gereja adalah bahawa ibu bapa dan anak-anak mereka gembira di rumah, dimeteraikan dalam perkahwinan abadi, dan dikaitkan dengan generasi mereka.”

Dengan pengetahuan itu, mereka ingin dimeteraikan sebagai keluarga selamanya.

Pandangan ke Arah Keabadian

Selepas ibu bapa saya dibaptiskan, mereka mengamalkan apa yang mereka pelajari, mula berfokus kepada hal-hal rohani. Mereka berusaha untuk menyatukan keluarga kami dengan mengadakan malam keluarga dan pengkajian tulisan suci sekeluarga, menghadiri pertemuan Gereja dengan setia, dan melakukan kerja sejarah keluarga. Dengan usaha tersebut ke arah kesatuan, mereka berharap untuk mencipta keluarga yang berpusat pada rancangan keselamatan dengan pandangan ke arah keabadian.

Pada 1965, tahun ibu bapa saya dibaptiskan, bait suci terdekat dengan São Paulo, Brazil, berada di Mesa, Arizona, hampir 6,000 batu (9,650 km) jauhnya. Perjalanan itu terlalu mahal untuk keluarga kami, jadi ibu bapa saya perlu menunggu sehingga pembaktian Bait Suci São Paulo Brazil pada tahun 1978 sebelum mereka boleh menerima tatacara bait suci mereka dan dimeteraikan. Pada masa itu, saya melayani misi di Rio de Janeiro.

Kira-kira dua bulan sebelum saya menamatkan misi pada Februari 1980, presiden misi saya membenarkan saya dan rakan saya untuk melakukan perjalanan semalaman bersama ahli-ahli pancang dari Rio de Janeiro ke bait suci di São Paulo supaya saya dapat menerima anugerahan dan dimeteraikan dengan ibu bapa saya. Seperti ibu bapa saya, saya telah menunggu bertahun-tahun untuk berkat-berkat yang dijanjikan melalui tatacara dan perjanjian bait suci.

Pengalaman itu mengubah penglihatan saya tentang masa depan dan memberi saya gambaran pertama tentang kebenaran kata-kata Presiden Russell M. Nelson baru-baru ini: “Masa yang diluangkan di dalam bait suci akan membantu anda untuk berfikiran selestial dan memahami siapa anda sebenarnya, siapa yang anda boleh menjadi, dan jenis kehidupan yang anda boleh miliki selamanya.”

Masa singkat saya di bait suci pada kesempatan itu memberi pengaruh yang mendalam terhadap baki pelayanan misi saya. Dengan penglihatan baharu itu, bersaksi tentang bait suci dan kepentingan rancangan Tuhan untuk keluarga juga mempunyai kesan yang berkekalan dalam hidup saya.

Apabila isteri saya, Rosana, dan saya berkahwin dua tahun selepas misi saya, kami dimeteraikan di bait suci dengan penglihatan untuk membesarkan keluarga abadi kami sendiri. Untuk berbuat demikian, kami bekerjasama untuk mencipta tradisi keluarga seperti yang telah diajar oleh ibu bapa kami, semuanya berfokus pada Juruselamat, ajaran-ajaran-Nya, dan ajaran-ajaran para nabi zaman moden-Nya.

Hari ini anak-anak kami membesarkan anak-anak mereka dengan asas-asas injil kebahagiaan yang sama. Bagi kami, keluarga adalah segala-galanya kerana kami memahami pusat keluarga dalam rancangan Tuhan.

Sebagai Penguasa Umum, saya mempunyai berkat untuk memeteraikan tiga anak saya kepada pasangan mereka di bait suci. Melihat ke dalam mata mereka ketika mereka berlutut di altar di bait suci adalah satu pengalaman yang indah. Saya dapat melihat keturunan saya diberkati dengan asas-asas injil yang sama yang diajarkan oleh ibu bapa saya kepada saya dan yang Rosana dan saya ajarkan kepada mereka. Saya dapat melihat berkat-berkat itu berterusan dalam generasi akan datang. Dan saya diingatkan tentang siapa yang memungkinkannya.

pelbagai set latar Kelahiran Kristus di rak

Satu Peringatan Krismas

Keluarga adalah pusat kepada rancangan kebahagiaan Tuhan, tetapi tanpa Juruselamat Yesus Kristus, rancangan itu tidak akan menjadi mungkin. Korban Tebusan-Nya dan tatacara serta perjanjian yang terdapat dalam injil-Nya memungkinkan janji permuliaan.

Presiden Nelson telah mengisytiharkan: “Permuliaan adalah urusan keluarga. Hanya melalui tatacara-tatacara penyelamatan injil Yesus Kristus keluarga dapat dimuliakan. Matlamat tertinggi yang kita usahakan adalah supaya kita menjadi bahagia sebagai sebuah keluarga—menerima anugerahan, dimeteraikan, dan bersedia untuk kehidupan abadi di hadirat Tuhan.

Apabila saya mengunjungi tempat yang tidak pernah saya lihat sebelum ini, saya cuba mencari satu set kecil latar Kelahiran Kristus yang mengingatkan Rosana dan saya tentang Juruselamat. Saya sedang membina satu koleksi.

Semasa merenungkan latar Kelahiran Kristus yang sederhana itu, isteri saya dan saya pernah merenungkan, “Apakah yang benar-benar penting dalam hidup kita?” Jawapannya, sememangnya, ialah Juruselamat, injil-Nya, dan keluarga kami. Untuk mengingatkan kami tentang kasih Bapa Surgawi terhadap kami dan bahawa melalui Juruselamat, janji tentang keluarga abadi menjadi mungkin, beberapa tahun lalu sebelum Krismas, kami meletakkan semua latar Kelahiran Kristus kami di dua rak besar di rumah kami—dan membiarkannya terpamer daripada disimpan selepas cuti Krismas. Tradisi itu membantu kami mengekalkan semangat Krismas di rumah sepanjang tahun.

Setiap hari semasa kami melihat latar Kelahiran Kristus itu, ia mengingatkan kami tentang peranan utama Juruselamat dalam hidup kami. Ia mengingatkan kami bahawa kedamaian di bumi sekarang (lihat Lukas 2:14) dan kebahagiaan abadi di dunia seterusnya bergantung kepada Juruselamat dan dengan menghormati perjanjian yang kami telah buat dengan-Nya. Dan ia juga mengingatkan kami bahawa “Dia datang ke dunia, bahkan Yesus, untuk disalibkan bagi dunia, dan untuk menanggung dosa-dosa dunia, dan untuk menguduskan dunia, dan untuk membersihkannya dari segala ketidaksolehan;

“Agar melalui Dia semua orang boleh diselamatkan yang telah Bapa letakkan ke dalam kuasa-Nya dan ciptakan melalui-Nya” (Ajaran dan Perjanjian 76:41–42).

Seperti mana kami mempelajari kebenaran ini daripada ibu bapa kami, Rosana dan saya telah berusaha untuk menyerahkannya kepada anak-anak kami. Sekarang anak-anak kami mengajar kebenaran yang sama ini kepada anak-anak mereka. Biji benih yang ditanam dalam hati ibu bapa saya 60 tahun yang lalu di rumah kecil kami di Brazil telah mekar dan menghasilkan buah “yang paling berharga, yang manis melebihi segala yang manis, dan yang putih melebihi segala yang putih, ya, dan murni melebihi segala yang murni” (Alma 32:42).

Saya bersaksi bahawa mereka yang menerima rancangan Tuhan untuk keluarga, mengasihi seperti Juruselamat mengasihi, dan menghormati perjanjian mereka suatu hari nanti akan mewarisi “berkat-berkat kehidupan abadi dan kegenapan kebahagiaan” dengan orang yang mereka kasihi dan dengan Bapa dan Putera.